Fariza Khalid
  • Home
    • Guestbook
  • Teaching
    • GE2153 Educational Technology
    • GE1155 Komputer dalam Pendidikan
    • GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning
    • GE3403 Photography
    • GB6013 RESEARCH METHODS
    • GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat
    • GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan
    • GE6954 Penyelidikan Pendidikan Komputer
    • Supervision
  • Publication
    • Awards
    • Past & Current Research
  • e-Learning Support
  • RESEARCH SUPPORT
  • When My Mind Speaks

Ahli akademik : Bukan ini bahagia yang dicari!

10/10/2018

1 Comment

 
Picture
Barangkali ada yang menganggap bahawa kerjaya sebagai ahli akademik, khususnya yang bertugas di menara gading sebagai satu tugas yang elit, serta bukan dapat dicapai oleh orang-orang biasa. Mungkin kerana syarat asas seseorang ahli akademik adalah pencapaian yang baik serta memiliki Ijazah Kedoktoran, maka golongan ahli akademik di pandang tinggi. 

Namun, apalah erti gelaran sebagai pensyarah jika nilai dan pekerti tidak setanding gelaran kerjayanya? 

Memasuki dunia ahli akademik merupakan satu langkah besar, justeru tanggungjawab yang bakal dipikul dengan jawatan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Seorang pensyarah tugasnya justeru untuk mendidik, memacu kecemerlangan para pelajar, menjadi tempat rujukan para penyelidik lain malah sekali gus menjadi suri teladan dalam setiap aspek yang positif. 

Cara berfikir, cara bertindak, malah cara menangani para pelajar yang pelbagai rencam, meraih geran serta menjalankan penyelidikan berimpak, malah tidak dilupakan tanggungjawab sosial melalui kerja-kerja khidmat komuniti  - merupakan antara elemen yang perlu dihadam serta perlu 'dihidupkan' dalam diri seseorang ahli akademik. 

Kewibawaan seseorang ahli akademik pula diraih berdasarkan 'acknowledgement' orang lain dan bukannya boleh dibeli dengan wang ringgit atau acara kipas-mengipas. 

Justeru, sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki dalam dunia akademik, harus dan wajib merenung semula niat kenapa kita memilih untuk menjadi pensyarah. Jika yang diangan-angankan adalah kenaikan pangkat dengan jalan pintas, atau sanjungan tinggi kerana faktor kebaikan yang ditonjol-tonjol secara bermotif (walau pada hakikatnya tidaklah ubah seperti sebuah tong deram yang kosong) - maka di saat itu wajiblah kita melalui proses muhasabah diri serta purifikasi, yakni penjernihan diri dari sampah-sampah pemikiran berstatus lantai. 

Masuk ke dunia akademik juga mengajar kita tentang erti adab. Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Amat sayang dan rugi sekali kepada mana-mana pensyarah yang terlalu terburu-buru untuk menjadi 'core member' dalam lingkungan ahli akademik. Lebih sedih jika hasrat tersebut ingin dicapai dengan jalan ringkas - memijak kepala orang atau menikam dari belakang. Atau, barangkali manusia sebegini begitu senang dengan cara memburuk-burukkan orang lain dengan mengadakan cerita yang tidak benar, dengan harapan imej seseorang itu tercalar serta dipandang negatif - di kala itu, tentu sekali harapan yang bersarang di dadanya agar orang lain terus mengiktiraf dirinya sebagai manusia sempurna yang dihantar ke bumi, maksumnya mengalahkan nabi, cekap dan taatnya mengalahkan malaikat. 

Ingatlah, manusia-manusia yang bersikap dan berfikir begini, bahawa Allah itu ada. 

Hari ini, anda senang menumbuk lumat kredibiliti orang lain dengan nista dan kesumat, namun jangan lupa setiap perbuatan itu pasti Allah tahu. 

Kita ini manusia biasa yang punya hati dan pedal. 
Kita juga dianugerahi perasaan yang halus - cuma yang membezakan kita adalah cara kita bekerja dan bermuamalah. Jika ada manusia yang resamnya  hanya tahu membodek, ditambah perencah fitnah seenak rasa, maka hiduplah mereka dalam cara sebegitu dengan bahagianya.

Namun, kita jangan lupa. 
Hidup kita ini, adakah hanya untuk bahagia di dunia? 
1 Comment

Kesedaran siber remaja sekolah

8/24/2018

0 Comments

 
Picture

Mungkin kerana telah ditetapkan rezeki saya untuk menyelidik hal ini, justeru permohonan geran FRGS saya berjalan lancar dan diluluskan setelah mencubanya buat pertama kali. Alhamdulillah thummalhamdulillah! 

Idea untuk menjalankan kajian tentang kesedaran siber ini muncul setelah saya mendengar ceramah daripada Brother Aaron yang ketika itu masih bertugas di Cyber Security Malaysia. Beliau dijemput ke UKM untuk memperkatakan tentang bahaya siber serta risikonya andai pengguna tidak tahu mekasnisme pertahanan diri. Sudah ramai menjadi mangsa. Tidak sedikit pula yang dipersia. 

Semua itu membuatkan saya mula celik mata. Betapa membarahkah keadaan ini? Sejauh mana ketagihankah anak remaja kita kepada media sosial serta komunikasi dalam talian? Tidak adakah mekanisme pertahanan diri? Apakah mereka akan merujuk ibu bapa, guru atau teman kiranya sesuautu kejadian tidak diingini menimpa diri? Itu antara perkara yang melingkari pemikiran saya kala menulis proposal kajian. 

Lalu apabila permohonan saya diluluskan, dan mendapat remark daripada penilai bahawa ini kajian yang sangat kontemporari dan diperlukan dalam keadaan semasa, saya menghela nafas lega. Namun cemas pula apabila memikirkan ini satu tugas yang berat dan panjang yang harus dipikul sebaiknya. 

Alhamdulillah, setelah proses pembangunan item dilaksanakan beserta pilot test yang menghasilkan Alpha Cronbach yang memuaskan, penyelidikan saya kini melangkah setapak lagi - iaitu pengutipan data sebenar. 

Negeri pertama tempat saya singgah adalah Sarawak Bumi Kenyalang. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih buat sahabat rapat saya Dr. Salmah yang telah sudi meluangkan masa dan tenaga untuk sama-sama mengharungi dua hari penuh makna itu. Saya membawa pulang lebih 200 soal selidik yang lengkap ditanda (berkilo-kilo beratnya!). 


Orang Sarawak memang hebat lagi penyantun. Hospitalitynya tip top. Di kesempatan ini juga ingin saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat pengetua di dua buah sekolah yang telah memberikan kebenaran untuk saya meluangkan masa bersama para pelajar. Jamuan makan tengahari yang enak pasti juga tidak dilupakan! Malah di salah sebuah sekolah yang kami lawati, menyediakan ruang masa yang begitu panjang sehingga sempat pula saya dan Dr Salmah menjalankan sesi ceramah tentang Kesedaran Siber. Semoga anak-anak yang bersama dalam sesi tersebut mendapat sedikit sebanyak maklumat tentang bahaya yang menunggu dalam talian kiranya tiada waspada. 



Di sebelah petang hari pertama juga sempat singgah ke UNIMAS untuk perkongsian kecil tentang CONDUCTING RESEARCH AND SYSTEMATIC DATA ANALYSIS IN CASE STUDY 

Warga UNIMAS juga begitu peramah menjadikan saya lebih selesa bergurau senda. Oh oh -- tidak ketinggalan ketemu pula dengan senior di UM dahulu - Pn Samsiah Jayos. Tidak dilupakan perkenalan penuh makna bersama Pn Nora .. sehingga terjebak saya dengan satu jenis obsesi hehe (rahsia). 

Salmah sahabatku 
Susuk yang kukenali di zaman bergelar pelajar PhD. 
Ternyata persahabatan ini masih terpatri dengan kukuh. 
Banyak susur galur hidup kita lalui bersama mate, dan semua itu kukenang dalam sangkar memori jua. 
Mate, masih banyak perkara yang hendak kita lakukan. 
Mohon titiskan doamu dari kejauhan. 
Mudah-mudahan segala perancangan dapat dilunaskan dengan redha Ilahi jua. 
TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA MATE!
​
​Secebis kenangan di Nottingham dan Paris ^___^

 
Picture
Picture
0 Comments

Yang jauh dikenang jua

8/13/2018

0 Comments

 
Picture

Begitu lama, sungguh lama. Terpisah pula oleh jarak dan masa. Namun yang jauh itu masih dalam ingatan jua. Syukur jua dengan kesempatan yang diberi. Pemergian saya ke Kuching adalah atas tuntutan penyelidikan namun masa yang terluang tidak disia-siakan. Terima kasih Kak Bib dan Kak Edot yang sudi meluangkan masa untuk menemani saya makan lewat petang di Matang tadi. 

Kedua-duanya rakan sekuliah sewaktu di Universiti Malaya dahulu. Alangkah pantasnya masa meninggalkan kita .. tidak terasa bahawa zaman ijazah pertama telah terlalu lama dilewati. Dalam usia sebegini, banyak perkara yang menjadi kenangan. Perjalanan hidup dalam tahun-tahun yang panjang membina satu kefahaman tentang makna hidup yang tidak selalunya cerah. Namun, kerana rencah dan rasa yang pebagai itulah telah membentuk landskap warna-warni kehidupan. Penuh suka dan hiba. Sarat rasa yang berselirat. Hanya pergantungan kepadaNya jua menjadi penawar dan kapsul yang membekalkan tenaga buat jiwa. 

Mudah-mudahan sahaja silaturahim ini terus kukuh dan padu. 

0 Comments

Antara dua benua

11/1/2017

0 Comments

 
Tiada yang marah untuk kita bersahabat, malah Deen Islami sendiri menggalakkan kita bermahabbah meskipun melibatkan mereka yang bukan Muslim. 

Jessica Gregson. Daripada hubungan profesional kepada seorang sahabat. 
Begitu perjalanan hubungan kami yang selama ini terpisah antara dua benua. 

Dia yang saya kenali ketika giat menyiapkan bab 5 kajian PhD tidak pernah terputus sehingga kini. Selama ini juga kami berurusan hanya melalui emel dan malah, saya tidak pernah sekalipun melihat wajah sebenar beliau. 

Pernah suatu ketika saya begitu ingin mengetahui siapa sebenarnya Jessica lalu saya mencari nama beliau di enjin pencarian Google dan yang terpacul di hadapan hasil pencarian adalah maklumat bawah seorang Jessica Gregson adalah penulis novel British. 

Hmm .. tetapi persoalan itu lama saya simpan. 
Sehinggalah awal September baru-baru ini (siaran ini tertunda sekian lama!!!) beliau menghubungi dan memberitahu hasratnya untuk ke Malaysia buat beberapa hari lalu mencadangkan agar kami bertemu empat mata. Saya mengajaknya datang ke Putrajaya lalu beliau bersetuju.

Tentulah ini peluang yang tidak akan saya lepaskan. Selama inipun, tiada terlintas bahawa kami akan ditakdirkan bertemu secara fizikal! Saya cuma sesekali membayangkan jika saya berpeluang ke Glasgow, saya ingin cuba mencarinya! 

Dan, benarlah hasil carian Google saya - beliau penulis novel-novel itu! Oh banyak sekali perihal yang kami koingsi. Namun kata beliau, dia kasihankan saya kerana dia banyak mengetahui tentang diri saya lewat penulisan dan bahan ilmiah yang saya hasilkan tetapi saya hanya mengetahui nama dan alamatnya sahaja hahaha! Memang benar. Ianya tidak adil. 

Sehari bersama sahabat saya tidak terasa. Kala petang dia dihantarkan ke KLIA kerana ada janji dengan rakan dari UK yang transit sekitar 8 jam di sana. 

Tiada yang jauh dalam hidup ini. 
Sekali aku menerimamu sebagai sahabat, selamanya kau dalam hatiku. 


Picture
Picture
0 Comments

Kuching punya cerita 

4/1/2017

0 Comments

 

Sudah beberapa minggu berlalu. Masa senggang sukar dicari. Baru saat ini saya bisa membuat catatan kecil ini. Alkisah di cuti persekolahan Mac baru-baru ini, saya diamanahkan untuk melaksanakan kuliah bagi kumpulan pelajar Master Eksekutif di Kuching, atau lebih tepat lagi di IPGKTAR Kota Samarahan. 

Kebetulan, sahabat lama saya di UM - Dr. Noraini Omar bertugas di IPGKTAR lalu beberapa hari sebelum ke Kuching kami sempat berhubung. Sebelum saya terbang ke Kuching, beliau menghubungi saya dan menyatakan yang beliau akan menjemput saya di lapangan terbang dan kami akan terus makan malam bersama Kak Edot - seorang lagi rakan sekelas di UM dahulu. Tentulah hati ini girang sekali kerana kesempatan bertemu sahabat lama amat jarang diperolehi! Pertama kali bersua semula dengan Kak Edot- lidah saya agak kelu. Maklumlah sudah berpulh tahun tiada ketemu, tahu-tahu kami sidah bertentang mata! Tentulah nama rakan-rakan meniti di bibir - satu persatu dan semua cerita lucu kembali diputar semula. Aduh! Kepenatan dari kelas semenjak jam 8.30 pagi sehingga ke malam tidak dirasakan gara-gara keterujaan bertemu sahabat lama.

Picture
Picture
Picture
Picture
K. Nor bukan sahaja meraikan saya pada malam ketibaan, malah keesokan harinya saya dibawa menjamah Laksa Sarawak serta mencari bekalan kek lapis Sarawak. Saya juga dibawa berkunjung ke rumah K. Nor yang cukup kemas dan rapi! Terima kasih yang tidak terhingga K.Nor atas budi baikmu itu. Akanku kenang dan mudah-mudahan kebaikan itu diganjari pahala yang tiada kesudahannya ameen! :) 

Pada malam ke-dua pula saya menemui sahabat akrab yang sama-sama bermusafir ke Nottingham sewaktu pengajian PhD dahulu - Sal, pensyarah di UNIMAS. Projek asal untuk dia bermalam di bilik hotel saya tidak kesampaian kerana menurut Sal, ada hal yang harus dilangsaikan awal pagi esoknya lalu termangu-mangu saya sendiri kerana saya sudah memasang angan-angan untuk ber'pillow talk' bersama Sal hingga pagi tidak kesampaian! Sal datang ke lobi hotel dan membawa saya menjamu selera makan laut di Top Spot. Duh! Terlalu banyak yang hendak ditelan sehingga tidak mampu untuk menghabiskan juadah di meja. Banyak juga yang kami bicarakan. Terasa seperti malam-malam di Hartley Road di mana kami sering berbual sambil menghabiskan berkole-kole teh! Terasa masa begitu singkat sedangkan masih banyak perkara yang hendak dibualkan. 

Terima kasih mate, atas kesudian bertemu buat kali ini. Semoga Allah membalas kebaikanmu jua dan mempermudahkan segala urusanmu ameen! 



Picture
Picture
0 Comments

Kenduri dan silaturahim 

3/30/2017

0 Comments

 
Picture
Picture

Cuti persekolahan memang sinonim dengan kenduri kendara. Alhamdulillah saya bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk turut sama meraikan mempelai manis berseri - anak buah saya yang lebih mesra disapa Achik dan suaminya. Kenduri sebegini selain memberi kesempatan untuk berkumpul anak-beranak dalam keluarga kecil kami malah turut memanjangkan silaturahim dengan sahabat handai yang sudi memenuhi jemputan. 

Paling mengujakan adalah pertemuan semula dengan Yanti sahabat akrab semenjak di darjah empat. Pertemuan sekitar sejam lebih itu seperti terlalu pendek dirasakan. Terlalu banyak perkara yang hendak dinukilkan - belum masuk tempoh bertenang setelah hamburan tawa bertemali antara kami. Dan oh Yanti jugalah antara ahli kumpulan Blackcat. Catatan tentangnya ada di sini. 

Antara yang lain termasuklah dua Hasanah - Hasanah Hassan dan Hasanah Khamis yang juga merupakan rakan persekolahan saya di SK Binjai dahulu. Tidak ketinggalan rakan di TOk Jiring - Rohana Jusoh yang mencari saya hingga ke ruang dapur! Terima kasih semua para taulanku sekalian, Meski masa dan jarak memisahkan kita , kenangan lama tetap menjadi tali pengikat kemesraan! 

Tahniah buat Achik dan suami .. semoga hari bahagia ini akan sentiasa dipenuhi puing-puing mawaddah dan rahmah antara kalian :) 
0 Comments

Pantai dan ingatan 

2/9/2016

2 Comments

 
Picture

Kemaman, daerah kelahiran. Tempat membesar di zaman bocah. Sudah beberapa bulan tidak menjenguk ranah yang dirindu serta menatap wajah bonda yang kian dimamah usia. Syukur dalam kesempatan baru-baru ini saya kembali menjejak segala kenangan dan ingatan itu. 

Oh oh saya rindu sekali akan bau angin pantai timur yang berbaur hanyir ikan serta gemalai bayu yang menyapa. Sesekali pulang, saya bawa anak-anak bermesra dengan pasir dan pantai. Laut yang tidak bertepi, saya perhatikan sepuasnya seakan mencari titik pemisah antara garis laut dan langit yang membiru senada. 

Seakan tergambar di fikiran bagaimana saya dan rakan-rakan berlarian menyusur gigi pantai Chendor. Kamariah dan Azizawati - dua nama yang melekat di hati - kerana bersama merekalah saya turut sama menganggotai kumpulan BlackCat. Oh oh .. entah siapa pernah bilang bahawa bunyinya seperti kumpulan samseng! Haha! Namun itulah sebenarnya jolokan kepada persahabatan rapat kami bertiga di sekolah rendah dahulu. Sama-sama menjadi pengawas, seorang anak sulung, seorang anak tengah dan seorang lagi anak bongsu. Syukur alhamdulillah sehingga kini silaturahmi masih tetap utuh meski dipisah jarak dan masa. 

Benar, bilang orang bahawa sahabat di zaman sekolah tidakkan sama dengan sahabat yang baharu kita temui ditempat kerja atau lainnya. Justeru mungkin kerana zaman sekolah merupakan zaman membesar, zaman mencari identiti dan jatidiri lalu banyak sekali kenangan yang bejat yang sihat menjadi perhiasan memori! 

Saya tidak lupakan bagaimana kami menyusup ke kuari kilang batu-bata kala petang untuk melihat pemandangan pasir yang memutih .. atau kenangan berlarian ke petak sawah di Paman, sambil menghirup udara petang yang nyaman dengan tolakan angin semilir menyapu rambut bertocang panjang! Juga tidak ketinggalan pengalaman meloncat bas Thong Aik untuk ke pekan Chukai dengan duit bekalan di tangan tidak sampai sepuluh ringgit! Kemudian keberanian berganda pula untuk menjadi penumpang bas Sihat untuk ke pekan Kuantan! Semua itu gara-gara mencari kepuasan dan pengalaman baharu! 

Pantai, petak sawah dan kenangan masih di situ. Di manakah kan kutemui kenangan yang serupa di kota? 

​
2 Comments

Aduhai Dewi

1/25/2016

0 Comments

 
Picture

Cuti. Syukurlah kerana ia memberi ruang untuk saya menziarahi mertua di hospital yang kurang sihat. Kebetulan hendak berada di situ lebih lama, lalu saya bercadang menunaikan solat Zohor di situ sahaja. Ketika melangkah ke 'bilik kecil' sebelum ke bilik solat, saya tanpa sengaja terlihat satu insiden. Dua gadis bertudung labuh berkira-kira sama ada bilik tandas itu berpenghuni atau tidak meskipun pada zahirnya di mata saya jelas tanda 'merah' pada pemegang pintu yang menunjukkan pintu dikunci dari sebelah dalam. Namun entah kenapa, salah seorang daripadanya tiba-tiba menolak pintu tu dengan agak kuat sehingga daunnya tertolak. Lalu sekonyong-konyong ada suara dari dalam "Heyy!!!". Pintu lalu dilantun kuat, mungkin penghuni dalam berasa terganggu! 

Tidak lama kemudian, keluarlah seorang wanita dengan raut wajahnya agak tegang. Saya hanya meminggir untuk memberi laluan keluar. Aneh. Saya tertunggu-tunggu kata maaf daripada gadis yang menolak pintu tadi namun tiada sepatah kata diucapkan kepada wanita tersebut. Jika andalah yang secara tidak sengaja telah menolak daun pintu itu, apakah mungkin anda terfikir untuk mengucapkan kata maaf? 

Selesai urusan di situ, saya memasuki bilik solat dan saya perhatikan dua gadis tadi telah bersedia untuk bersolat. Sememangnya ruang solat di bilik itu hanya cukup untuk dua sejadah sahaja lalu saya perlu menunggu di belakang sementara menanti giliran.

MashaAllah SubhanaLlah .. bukanlah niat saya untuk membuka aib orang  tetapi apa yang saya lihat membuat hati berdebar-debar. Tidak ubah seperti kartun Charlie Chaplin dua-dua gadis tadi bersolat tanpa sebarang toma'ninah! Saya ternganga di belakang. Tidak sampai dua minit solatnya selesai dan mereka terus bangun tanpa menadah doa barang sepatah. 

Allah ... Allah ... apakah yang mampu saya katakan? Justeru saya ini bukanlah manusia sempurna dalam ibadat namun apa yang terhidang di hadapan mata amat membekas di hati. 

Semoga kisah ringkas ini memberi makna buat kita dalam muhasabah diri tentang ibadah dan muamalah kita sebagai hamba!

0 Comments

Silaturahmi antara kami 

12/14/2015

0 Comments

 
Picture
Kami pernah serumah tika berkelana di Nottingham suatu ketika dahulu. Banyak suka duka dikongsi bersama. Kenangan itu membuat saya menghargainya sebagai sahabat rapat. Meski terpisah oleh Laut China Selatan - kerana beliau bertugas di UNIMAS, silaturahmi kami masih subur lewat panggilan serta mesej ringkas yang tidak kunjung putus. 

Hari ini, syukur alhamdulillah rezeki saya dan dia untuk bersua muka setelah sekian lama tiada ketemu. Terlalu banyak cerita ingin dikongsi .. banyak babak tangis tawa sehingga lupa manusia sekeliling! Tidak terasa masa berlalu begitu deras .. sedar-sedar kami sudah di hujung hari lalu tiada pilhan terpaksa berpermisi. 

Sal, 
Semoga perjuangan kita dirahmati Allah selalu .. seperti apa kita ujarkan bahawa hidup kita ini penuh duga dan uji ... aku yakin kita mampu membina kuasa positif dalam diri untuk terus ampuh dengan apa juga uji-Nya. 

Selamat dan terus selamat sahabat dalam segala urusanmu. Jangan lupa hubungi aku kapan saja kau ke Semenanjung; pasti tangan ini sentiasa terbuka menerimamu! :) 

p/s: Kami merindui Dr Faizah untuk turut sama dalam acara ini!
0 Comments

Anak kita; amanah kita

11/26/2015

0 Comments

 
Masa berlalu, usia bertambah, tanggunjawab juga berganda. Di Fakulti, tanggungjawab tertumpu kepada pengajaran, penyelidikan, penerbitan serta segala macam 'deadlines'  yang memburu. Pulang ke rumah, lain pula ceritanya. Karenah anak-anak, keperluan rumah, menu harian etc etc .. perlu diberi perhatian setiap hari. Ada yang berkata wanita itu 'superwoman' kerana banyak kerja dilakukan secara 'multitasking' .. sambil memandu kepala ligat memikirkan menu hidangan makan malam, sambil menyiapkan hidangan, sempat pula memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh sambil mengelap pinggan di rak. Usai makan malam, memantau kerja rumah si anak, sambil tangan ligat melipat kain-kain yang dibasuh. Mata tidak akan lena selagi anak-anak tidak beradu. Kadangkala, sebelum tidur sempat pula membuka komputer riba mempersiap bahan untuk tugas keesokan hari! 

Saya sesekali, lewat pertemuan dengan sahabat-sahabat rapat, berbincang tentang peranan kita sebagai ibu dan pendidik. dalam kesibukan membentuk anak bangsa, kadangkala, ada yang terlupa akan tanggunjawab membentuk anak sendiri :( 

Dalam riuh memperkata kebejatan sosial anak orang, kita lupa apa yang berlaku dalam diri anak sendiri. Dalam kesibukan mencari salah anak orang, kita buta tentang kesilapan anak kita di mata gurunya. Duh .. perasaan itu menyentap jiwa. Sesekali, muhasabah itulah yang perlu.  Jangan mudah mencari khilaf orang, sebaliknya cermin diri, perbetulkan peribadi. Sesungguhnya anak itu amanah lalu tunaikanlah haknya sebaik yang mampu. Allahku, tunjuki kami jalan yang benar, kekuatan yang padu untuk membina keluarga jannah amin ... ​
Picture
Picture
0 Comments
<<Previous
    Picture
    I write whatever comes to my mind. I do write in English but most of the time I prefer to express my thought in Bahasa; just because I am Anak Malaysia :) 
    free web counter no ads
    Welcome to my website. See you again! :)

    RSS Feed

    Archives

    December 2019
    November 2019
    October 2019
    September 2019
    August 2019
    June 2019
    May 2019
    April 2019
    February 2019
    January 2019
    October 2018
    September 2018
    August 2018
    July 2018
    May 2018
    April 2018
    March 2018
    January 2018
    December 2017
    November 2017
    October 2017
    September 2017
    July 2017
    April 2017
    March 2017
    February 2017
    January 2017
    November 2016
    October 2016
    September 2016
    July 2016
    June 2016
    May 2016
    April 2016
    February 2016
    January 2016
    December 2015
    November 2015
    October 2015
    September 2015
    July 2015
    June 2015
    April 2015
    March 2015
    February 2015
    January 2015
    December 2014
    November 2014
    October 2014
    September 2014
    August 2014
    July 2014
    June 2014


    Blogs that I follow:

    Edutopia
    Center for Teaching 
    Educators Technology
    Jendela Kamila
    Tinta Seorang Wanita 
    PhD Blog 
    Patter
    The Thesis Whisperer
    James Hayton
    ​
    e-Learning Acupunture 
    Mendeley Blog
    Let's View my Blog 
    Google Drive Blog 
    SuperWebsiteBuilder
    ​
    e-learning learning
    Brain Rules 
    Peter Pappas 
    Classroom 2.0 
    ​Scoop.it

    Categories

    All
    4IR
    Academia
    Aidil Fitri
    AKRI
    Announcement
    APRS
    Augmented Reality
    Award
    Bandung
    Cabaran Perdana
    Campuslife
    Campus Life
    Choices
    Coklat
    Computational Thnking
    Conference
    Convocation
    Cyber Crime
    Determination
    Educator 4.0
    E Learning Training
    E-learning Training
    Expert Evaluation
    Friendship
    Geran Industri
    Google Scholar
    H-Inovasi
    Hong Kong
    Immersive Learning
    Infographic
    Innovation
    Interpretive Structural Model
    Interpretive Structural Modelling
    IOER
    Japan
    Life
    Lifo Long Learning
    Love
    Memory
    Missing In Life
    MOOC
    Nominal Group Technique
    Oath
    Palestine
    Piety
    Pitching
    Praktkum
    Pray
    Project
    Publication
    Pusat Internet
    Qualitative Data
    Ramadhan
    Research
    Role
    Self Reminder
    Self-reminder
    Seminar
    Simposium
    SoTL
    Success Recipe
    Supervisee
    Symposium
    Teaching Practicum
    Thank You
    Time Is Hindering
    True Friend
    UKM
    UNESCO
    Universal Design
    Wedding