Memang.
Kami kaki sushi. Jika mahukan makanan Jepun, dia (Dr Azlin) akan saya cari hehe.. Sayangnya gambar-gambar di restoran Jepun lain yang pernah kami jejaki tiada dalam simpanan - atau dengan erti kata lain - tiada rakamanpun! Gambar ini diambil ketika kami mengisi perut di Miyagi sambil rancak bercerita hal itu dan ini .. dan yang pasti penuh dengan pengajaran dan pembangunan profesional - bukan membawang ye :D Mungkin bukan semua orang menggemari makanan Jepun. Rata-rata yang menolak makanan Jepun seperti sushi mempunyai alasan yang tersendiri. Antara sebab utama mereka tidak menggemari sushi dan rakan-rakannya adalah kerana merasakan bahawa ianya sesuatu yang mentah dan hanyir. Oh oh .. jangan cepat melatah. Cubalah dahulu baru anda tahu enaknya makanan Jepun ini! Saya kongsikan sedikit maklumat berguna tentang khasiat sushi. Selain ia mengandungi kandungan mineral dan vitamin, sushi juga dikatakan dapat membekalkan asid omega, vitamin B, sebatian mineral dalam bentuk fosforus dan magnesium. Mana tidaknya, komponen utama dalam hidangan sushi adalah ikan misalnya tuna atau salmon. Sushi juga merupakan hidangan yang rendah kolesterol. Jadi bagi mereka yang mempunyai masalah kolesterol tinggi di dalam darah boleh mencuba sebagai alternatif hidangan. Namun jagan pula sushi diambil setiap hari. Setiap apapun, jika diambil berlebihan tentu akan membawa ketidakseimbangan pula kepada sistem tubuh badan :)
0 Comments
Saya sempat bertamu ke negara matahari terbit beberapa bulan yang lalu, ketika musim luruh baru bertamu lalu tiadalah dapat saya menyapa dedaun yang kekuningan atau kemerahan karena ketibaan saya dan ahli penyelidikan dikatakan Shiho, juru bahasa kami 'ter'awal beberapa minggu, heh. Saya pada mulanya membayangkan akan suasana 'autumn in my heart' kerana pernah jua saya mencuri pandang foto-foto sekitar musim luruh di Nagoya yang melata dengan warna alam yang sukar dikecapi di bumi bertuah Malaya.
Namun, musim luruh itu kini kian jua pergi, penuh pasrah dan santun untuk memberi laluan kepada musim dingin salju yang bakal menyapa. Oh, mungkinkah kami 'ter'awal beberapa bulan? Soal hati. Sesekali teringin jua merasai gigilan tubuh disapa angin yang sejuk menyerbu tulang hitam; seperti mana gigilan rahang sehingga hantukan itu yang membuat Sal, sahabat rapat saya ketawa mengilai sewaktu kami pulang dari kedai runcit dengan kedua tangan membimbit barang belian untuk pulang ke Hartley Road, tika bermukim di bumi ratu suatu ketika dahulu. Begitu indah kitaran alam ciptaan Allah. Begitu, kita disaran agar berjalan di muka bumi ini, lalu dengan mata hati, perhatikanlah panorama mengusik kalbu dan kabad, sehingga terdetiknya rasa kerdil diri, dan dalam masa yang sama mengiyakan kekuasaan Pencipta al-Khalik ar-Raziq. Subhanallah. Gumpalan awan di atas sana penuh seni berarak pergi. Turun naik lengkok gunung dan bukit menyempurnakan seni horizon serta pelengkap membahagi antara langit dan bumi melata. Lalu nikmat Tuhan-Mu yang mana lagi hendak kamu dustakan? Hidup yang berkejaran mencari makna memaksa jua kaki ini melangkah. Pesan bonda, sentiasa ingat Dia, walau di mana bumi ini dipijak. Ingatan itu tidak harus putus karena dengan mengingati-Nya, hati menjadi bernyawa. Kaki terus juga melangkah pergi... |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |