Sudah terlalu lama rasanya saya tidak menghadiri mana-mana persidangan antarabangsa yang khusus seputar bidang Teknologi Pendidikan atau Educational Technology. Kebanyakan seminar yang sering dihadiri adalah umum kepada Sains Sosial. Kesempatan ini saya ambil sementelah dilamar menjadi committee member yang antara lain bertangugngjawab melaksanakan tugas sebagai pewasit serta mempengerusikan sesi pembentangan selari. Syukur, Dr Hazrati turut bersama-sama saya menghadiri ICEDUTECH ini. Jadi perjalanan dan agenda tiga hari tidaklah terasa sunyi kerana ada teman mengembara. Seminar berlangsung di Lingnan University. Letaknya di Tuen Mun - hentian terakhir untuk tren MTR. Fuhhh .. memang agak di hujung tanjung (hmmm ... mengingatkan saya akan kembara beberapa tahun lalu di Paris bersama pakar kaunseling dari Unimas, Dr Salmah. Hotel kami juga letaknya di hentian terakhir tren. Puas menunggu untuk tiba. Namun yang penting hotel ratenya murah hehe! Ok tinggalkan cerita Paris .. sambung cerita Hong Kong pula). Antara yang menarik adalah beberapa pembentangan ucaptama yang menyentuh topik Cybersecurity (Prof Hui dari Hong Kong University of Science and Technology), Digital transformation of K-12: From digitized curriculum to deeply-digital curriculum (Prof Chatie & Prof Elliot dari USA) serta demonstrasi bagaimana mudahnya maklumat peribadi 'ditawan' oleh robot Zenbo - Using companion robot for research and education (Prof Hung dari Ontario Institute of Technology Canada). Tidak kurang menariknya adalah topik-topik pembentangan selari di sepanjang tiga hari yang penuh bermanfaat itu. Benarlah pesan para sifu, jika mahu mendalami kefahaman dalam bidang sendiri, hadirlah ke seminar yang khusus untuk bidang itu sahaja kerana di situ bukan sahaja pembentangan semuanya ada kaitan dengan bidang kita, malah peluang untuk duduk bersama dengan pakar-pakar bidang dari luar negara tentu sekali kesempatan yang tidak boleh dilepaskan. Kami memang kesuntukan masa untuk bersiar-siar di sekitar Tuen Mun lantaran sehari-hari memang dihabiskan di Lingnan University. (Memang niat dipasang untuk hadir penuh ke seminar ini) syukurlah perjalanan dari hotel tempat kami menginap hanya mengambil masa sekitar 15 minit menaiki bas. Namun pengalaman mencari stesen bas serta nombor bas untuk ke Lingnan University agak menyeronokkan (walaupun agak letih sebenarnya kerana terpaksa menapak ke stesen tren yang terletak sekitar 500 meter dari Penta Hotel). Kebanyakan rakyat di sana juga boleh berbahasa Inggeris meskipun tidak begitu fasih namun boleh membantu misalnya menunjuk arah. Sementelah, semenjak di bangku sekolah dahulu saya sememangnya 'hantu' drama dan filem Kantonis, jadi beberapa perkataan dalam Kantonis masih boleh diingati. Seronok dapat berbual bersama pemandu teksi yang kami tumpangi pada hari kedua dan ketiga untuk pulang semula ke hotel. Ternyata mereka teruja apabila melihat orang asing boleh menggunakan beberapa patah perkataan dalam konteks yang tepat hahaha. Terima kasih Andy Lau, Simon Young, Anita Mui dan tidak ketinggalan Jackie Chan! :P Melalui keseluruhan perjalanan di seminar ini beberapa refleksi untuk renungan: 1. Jangan underestimate international conference seperti ini. Pastikan topik yang dipilih untuk dibentangkan merupakan topik yang signifikan dengan bidang serta memperlihatkan sumbangan dalam kajian. 2. Tidak salah untuk membentangkan sesuatu projek yang bersifat 'on-going' kerana melalui platform ini, akan ada sahaja idea dikongsi oleh para audiens. 3. Pastikan slide ringkas dan yang paling penting, bersedia dengan latihan atau rehearsal agar tidak gugup dan hilang kata-kata di hadapan para penonton yang datang dari pelbagai pelosok negara. 4. Jangan berkumpul dengan ahli rombongan senegara sahaja. Pastikan berbual dan perkenalkan diri kepada mereka. Lebih baik sediakan kartu nama anda dan masukkan maklumat untuk dihubungi. Boleh juga senaraikan bidang penyelidikan bagi memudahkan orang lain mengetahui larat belakang (mana tahu jika ada rezeki untuk kolaborasi di masa akan datang!). 5. Mereka yang bermata biru berambut blonde kadang-kadang agak segan apabila melihat wanita jelita bertudung. Jadi jangan teragak-agak menegur dahulu. Tunjukkan keterbukaan kita. Kita tidak tahu persepsi apa yang ada dalam diri mereka. Namun percayalah, apabila kita menunjukkan kemesraan, mereka tidak teragak-agak untuk membalas dengan kemesraan juga. 6. Jika ke negara yang bukan negara Islam, makanan halal mungkin tidak mudah didapatkan. Jadi pastikan memilih pilihan makanan vegetarian untuk mengelakkan kita berputih mata. Alhamdulillah, lunch kami begitu enak sekali malah portionnya agak besar sehingga tidak mampu dihabisi! Sesekali meninggalkan ayam, daging atau ikan tiada masalahnya. Namun jika tiada pilihan makanan di luar, pastikan bekal maggi dan biskut atau roti secukupnya dibawa. (Kami meninggalkan 6 peket maggi di meja sebelum pulang. Kami anggap ia sebagai ole-ole untuk petugas hotel .. tak larat pula nak bawa balik semula!) 7. Rancang penginapan serta kenalpasti kemudahan pengangkutan yang ada sebelum bertolak dari negara kita. Dapatkan maklumat lain seperti ramalan cuaca misalnya kerana ia akan membantu kita memilih pakaian yang sesuai sebelum keluar. Oh oh Hong Kong pada ketika ini sebenarnya dalam mode musim sejuk namun suhunya tidaklah begitu sejuk. Malah ini musim sejuk yang paling 'panas' di Hong Kong berbanding tahun-tahun sebelum ini. Hmm .. agak panjang entri kali ini. Jumpa lagi. ^____^
0 Comments
|
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |