![]() Bilang seorang rakan fakulti; minggu-minggu sebelum kehadiran pelajar untuk semester baru seharusnya diisi sebaiknya untuk aktiviti individu dan lebih peribadi sifatnya, namun banyak pula perkara sampingan yang harus didahulukan justeru semua itu merupakan tugas hakiki serta tanggungjawab terhadap profesion. Saya bersetuju, benar-benar bersetuju. Jumaat yang lepas, saya berbengkel di Puri Pujangga untuk kumpulan penyelidikan Media Alternatif, pun terpaksa berlarian ke fakulti kerana ada dua mesyuarat yang harus dihadiri - pagi , Seminar ICELD dan petang pulang untuk perbincangan hasil projek IRIS bersama wakil dari Lembaga Zakat Selangor (LZS). Hari ini, saya berkampung pula di Danau Golf Resort bersama ahli kumpulan penyelidikan Inovasi P&P pula. Semenjak pagi, kami memerah otak untuk menghasilkan bab dalam buku yang bakal diterbitkan pada tahun 2015. Saya sendiri, meski sudah punya bahan untuk dicanai dalam penulisan, masih tidak berkesempatan untuk berjinak-jinak dengan intro bab! Syukurlah, kesempatan berbengkel ini kami gunakan sebaiknya untuk proses penulisan secara lebih produktif . Dalam sibuk menggeluti penulisan, saya tersedar ada satu emel masuk: panggilan untuk menghadiri taklimat geran Sumitomo pula di Fakulti Sains Teknologi. Saya, bersama seorang lagi rakan dari ahli kumpulan yang berbengkel hari ini berbisik. Petang ini, harus ke sana kerana ini panggilan daripada ketua geran penyelidikan kami. Lalu, bengkel yang harusnya langsai sehingga petang terpaksa dihadiri separuh hari sahaja. Saya baru tersedar, kala telefon disenyapkan kerana berada dalam bengkel, ada panggilan masuk daripada rakan sejawat yang lain. Tentang geran Penyelidik Muda pula. Saya mohon maaf kepadanya kerana belum sempat melihat emel yang dihantar kerana perlu berada di luar pejabat. Duh. Saya menjeling jam. Sudah petang. Bab dalam buku belum juga langsai sepenuhnya. Pindaan peruntukan perbelanjaan untuk geran baru juga belum diberesi. "Banyak sangat dalam kepala saya ni! Nak fikir itu, fikir ini!" luahan hati ini saya dengar berkali-kali daripada beberapa individu berbeza. Bermakna, bukan saya seorang sahaja yang berhadapan dengan dilema ini. Saya mendongak ke langit, namun, langit di atas sana kelihatan seperti mengejek saya. Semua manusia punya 24 jam sehari. Akal fikiran yang dikurniakan Allah itu, gunakanlah sebaiknya. Jangan kerana terlalu berkisahkan urusan dunia, engkau lupa tanggungjawab paling utama - buat Tuhan-Mu. Sekonyong-konyong saya tertunduk malu :(
2 Comments
|
Archives
December 2020
Blogs that I follow:Edutopia
Center for Teaching Educators Technology Jendela Kamila Tinta Seorang Wanita PhD Blog Patter The Thesis Whisperer James Hayton e-Learning Acupunture Mendeley Blog Let's View my Blog Google Drive Blog SuperWebsiteBuilder e-learning learning Brain Rules Peter Pappas Classroom 2.0 Scoop.it Categories
All
|