Cerita semalam.
Malam Apresiasi Prasiswazah Fakulti Pendidikan untuk tahun ini diadakan di Hotel Bangi-Putrajaya. Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk meraikan anak-anak didik khususnya pelajar tahun akhir yang bakal bergraduat setiap tahun kerana saya kira inilah masanya untuk duduk-duduk dan bersembang tentang masa hadapan, aspirasi kerjaya di samping merapatkan silaturahmi pastinya. Malang sekali dua pelajar di bawah bimbingan saya tidak dapat hadir ke majlis makan malam ini meskipun saya telah bersedia untuk menaja tempat duduk mereka. Rugi untuk mereka melepaskan momen sebegini di kala pengalaman sebagai pelajar pra-siswazah semakin kian menghampiri titik akhir. Pelajar fakulti yang merupakan bakal-bakal guru, Banyak hal yang menanti di luar sana. Di saat kakimu melangkah memasuki pintu pagar sekolah, di saat itu juga kau harus membuka ruang fikir dan tindak. Banyak perkara yang tidak bisa dihadam dengan akal biasa yang menantimu di dalam bilik darjah, di ruang bilik guru malah di pejabat sekolah. Hanya dengan pengalaman, kau akan membangunkan jati diri serta aspirasi kendiri. Jangan sesekali mengharapkan segala yang muluk dan mudah dan tuntas, justeru pancawarna yang bakal menyulami kehidupanmu sebagai guru tidak semudah diangankan. Hanya jika niatmu suci, minatmu abadi, sabarmu terpuji, untuk menjadi teladan suri buat anak bangsa sendiri .. baharu kau temui kebahagiaan abadi. Kepada semua bekas pelajar saya yang bakal bergraduat, saya mengucapkan selamat maju jaya!
0 Comments
Alhamdulillah, atas segala kurnia dan rahmat daripada-Nya. Syukur ya Allah di atas usia yang masih bersisa, udara yang masih dihirup dan hayat nadi yang masih berdenyut.
Sahabat yang saya hormati dan sanjungi - Dr Faizah telah sudi menjemput saya sebagai sebahagian daripada ahli penyelidikan untuk mengembara ke bumi Hoi Ann dan Danang di Vietnam. Kami terbang ke sana seramai lima orang. Tujuan asas lawatan kali ini adalah untuk meninjau sektor pelancongan di dua tempat ini serta sekaligus cuba memahami gaya hidup rakyat di sana. Bertindak sebagai etnographers, banyak yang perlu diperhatikan - adat budaya, cara hidup, persekitaran, bahasa malah cara pergaulan. Kembara ini turut memberi ruang untuk saya menikmati syurga dunia alam ciptaan Tuhan. Meski kepenatan diheret perjalanan nan panjang. namun kala melihat indahnya langit senja di sana, hati tiba-tiba jauh mengembara. Terasa benar akan kerdilnya kita sebagai hamba yang menumpang di satu sudut paling kecil dalam dunia nan luas terbentang ini! Detik waktu datang dan pergi, meninggalkan setiap kita dengan bekalan memori yang menjadi ingatan abadi. Hampir pasti tiada seorangpun yang akan menyangkal keindahan musim kanak-kanak sehingga memanjat usia remaja. Pabila dikenang waktu yang telah berlalu, pasti ingatan dan rindunya pada musim itu mencengkam kabad dan hati.
Kamariah, seperti yang sering saya war-warkan sebelum ini, merupakan sahabat saya semenjak di zaman kanak-kanak. Kami bertemu ketika di darjah empat, bila mana masing-masing merupakan pelajar baharu yang berpindah ke Sekolah Kebangsaan Binjai. Kami benar-benar akrab. Banyak cerita yang dikongsi, banyak rahsia yang disimpan, malah banyak jenis kegilaan yang menjadi memori kami. Lokasi kami tidaklah terpisah begitu jauh kerana Dr. Kamariah bertugas di UPM. Dekat tapi jauh. Begitu keadaannya kerana sukar untuk kami bertemu dan bersua muka. Alhamdulillah, akhirnya ada juga ruang senggang yang dapat dirancang untuk pertemuan ini. Kesempatan masa yang tidak sampai berapa jam itu walau bagaimanapun, banyak memberi kekuatan, umpama bateri yang dicas penuh. Perbincangan dan bicara yang lunak itu banyak memberi semangat dan keazaman untuk memastikan setiap pekerjaan ini dijalankan dengan jiwa ikhlas dan diteduhi rahmat-Nya ... 'Setiap yang baik, tidak semestinya baik .. setiap yang tidak baik tidak semestinya tidak baik' .. itu satu perkara yang perlu kita selami dalam hidup ini kerana pusaran hidup tidak pernah lekang daripada ujian, bukan? Namun hati yang dekat dengan-Nya akan memujuk dengan ungkapan sebegitulah .. Allahku, bersihkanlah jiwa kami agar sentiasa redha dengan apa jua kurnia-Mu kerana hidup ini bukanlah sesuatu yang abadi! |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |