Fariza Khalid
  • Home
    • Guestbook
  • Publication
    • Awards
    • Past & Current Research
  • e-Learning Support
  • RESEARCH SUPPORT
  • When My Mind Speaks

Ahli akademik : Bukan ini bahagia yang dicari!

10/10/2018

1 Comment

 
Picture
Barangkali ada yang menganggap bahawa kerjaya sebagai ahli akademik, khususnya yang bertugas di menara gading sebagai satu tugas yang elit, serta bukan dapat dicapai oleh orang-orang biasa. Mungkin kerana syarat asas seseorang ahli akademik adalah pencapaian yang baik serta memiliki Ijazah Kedoktoran, maka golongan ahli akademik di pandang tinggi. 

Namun, apalah erti gelaran sebagai pensyarah jika nilai dan pekerti tidak setanding gelaran kerjayanya? 

Memasuki dunia ahli akademik merupakan satu langkah besar, justeru tanggungjawab yang bakal dipikul dengan jawatan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Seorang pensyarah tugasnya justeru untuk mendidik, memacu kecemerlangan para pelajar, menjadi tempat rujukan para penyelidik lain malah sekali gus menjadi suri teladan dalam setiap aspek yang positif. 

Cara berfikir, cara bertindak, malah cara menangani para pelajar yang pelbagai rencam, meraih geran serta menjalankan penyelidikan berimpak, malah tidak dilupakan tanggungjawab sosial melalui kerja-kerja khidmat komuniti  - merupakan antara elemen yang perlu dihadam serta perlu 'dihidupkan' dalam diri seseorang ahli akademik. 

Kewibawaan seseorang ahli akademik pula diraih berdasarkan 'acknowledgement' orang lain dan bukannya boleh dibeli dengan wang ringgit atau acara kipas-mengipas. 

Justeru, sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki dalam dunia akademik, harus dan wajib merenung semula niat kenapa kita memilih untuk menjadi pensyarah. Jika yang diangan-angankan adalah kenaikan pangkat dengan jalan pintas, atau sanjungan tinggi kerana faktor kebaikan yang ditonjol-tonjol secara bermotif (walau pada hakikatnya tidaklah ubah seperti sebuah tong deram yang kosong) - maka di saat itu wajiblah kita melalui proses muhasabah diri serta purifikasi, yakni penjernihan diri dari sampah-sampah pemikiran berstatus lantai. 

Masuk ke dunia akademik juga mengajar kita tentang erti adab. Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Amat sayang dan rugi sekali kepada mana-mana pensyarah yang terlalu terburu-buru untuk menjadi 'core member' dalam lingkungan ahli akademik. Lebih sedih jika hasrat tersebut ingin dicapai dengan jalan ringkas - memijak kepala orang atau menikam dari belakang. Atau, barangkali manusia sebegini begitu senang dengan cara memburuk-burukkan orang lain dengan mengadakan cerita yang tidak benar, dengan harapan imej seseorang itu tercalar serta dipandang negatif - di kala itu, tentu sekali harapan yang bersarang di dadanya agar orang lain terus mengiktiraf dirinya sebagai manusia sempurna yang dihantar ke bumi, maksumnya mengalahkan nabi, cekap dan taatnya mengalahkan malaikat. 

Ingatlah, manusia-manusia yang bersikap dan berfikir begini, bahawa Allah itu ada. 

Hari ini, anda senang menumbuk lumat kredibiliti orang lain dengan nista dan kesumat, namun jangan lupa setiap perbuatan itu pasti Allah tahu. 

Kita ini manusia biasa yang punya hati dan pedal. 
Kita juga dianugerahi perasaan yang halus - cuma yang membezakan kita adalah cara kita bekerja dan bermuamalah. Jika ada manusia yang resamnya  hanya tahu membodek, ditambah perencah fitnah seenak rasa, maka hiduplah mereka dalam cara sebegitu dengan bahagianya.

Namun, kita jangan lupa. 
Hidup kita ini, adakah hanya untuk bahagia di dunia? 
1 Comment

Menunggu teduh 

10/11/2016

0 Comments

 
Picture
Waktu yang begitu memburu. 
Lepas satu, satu. 


Menunggu teduh. 
Saya ingin berehat. 
​Seketika. 
0 Comments

Aduhai Dewi

1/25/2016

0 Comments

 
Picture

Cuti. Syukurlah kerana ia memberi ruang untuk saya menziarahi mertua di hospital yang kurang sihat. Kebetulan hendak berada di situ lebih lama, lalu saya bercadang menunaikan solat Zohor di situ sahaja. Ketika melangkah ke 'bilik kecil' sebelum ke bilik solat, saya tanpa sengaja terlihat satu insiden. Dua gadis bertudung labuh berkira-kira sama ada bilik tandas itu berpenghuni atau tidak meskipun pada zahirnya di mata saya jelas tanda 'merah' pada pemegang pintu yang menunjukkan pintu dikunci dari sebelah dalam. Namun entah kenapa, salah seorang daripadanya tiba-tiba menolak pintu tu dengan agak kuat sehingga daunnya tertolak. Lalu sekonyong-konyong ada suara dari dalam "Heyy!!!". Pintu lalu dilantun kuat, mungkin penghuni dalam berasa terganggu! 

Tidak lama kemudian, keluarlah seorang wanita dengan raut wajahnya agak tegang. Saya hanya meminggir untuk memberi laluan keluar. Aneh. Saya tertunggu-tunggu kata maaf daripada gadis yang menolak pintu tadi namun tiada sepatah kata diucapkan kepada wanita tersebut. Jika andalah yang secara tidak sengaja telah menolak daun pintu itu, apakah mungkin anda terfikir untuk mengucapkan kata maaf? 

Selesai urusan di situ, saya memasuki bilik solat dan saya perhatikan dua gadis tadi telah bersedia untuk bersolat. Sememangnya ruang solat di bilik itu hanya cukup untuk dua sejadah sahaja lalu saya perlu menunggu di belakang sementara menanti giliran.

MashaAllah SubhanaLlah .. bukanlah niat saya untuk membuka aib orang  tetapi apa yang saya lihat membuat hati berdebar-debar. Tidak ubah seperti kartun Charlie Chaplin dua-dua gadis tadi bersolat tanpa sebarang toma'ninah! Saya ternganga di belakang. Tidak sampai dua minit solatnya selesai dan mereka terus bangun tanpa menadah doa barang sepatah. 

Allah ... Allah ... apakah yang mampu saya katakan? Justeru saya ini bukanlah manusia sempurna dalam ibadat namun apa yang terhidang di hadapan mata amat membekas di hati. 

Semoga kisah ringkas ini memberi makna buat kita dalam muhasabah diri tentang ibadah dan muamalah kita sebagai hamba!

0 Comments

Bicara Sendu di Penghujung Kembara

12/8/2015

0 Comments

 
Picture
Alhamdulillah .. thummalhamdulillah .. thummalhamdulillah 

Itu rasa hati menyingkap rasa syukur yang tiada penghujungnya. Sebuah kembara ilmu bakal tiba di titik akhir, namun bisik hati, ini suatu permulaan! Tiada terfikir dalam kotak minda bahawa tempoh 12 bulan berjaya ditempuh dengan penuh keazaman dan bisik hati lagi ini semua tiada kan mampu digapai tanpa redha-Nya jua. Alhamdulillah ..  thummalhamdulillah .. thummalhamdulillah!

Pastinya ketibaan setiap Isnin bakal dirindui. Pertemuan mahabbah di 'rumah ilmu' pasti membungakan rindu yang tidak berpenghujung. Sendu mengiringi sebuah perpisahan namun bisik jiwa, ini hanya perpisahan jarak namun ukhuwwah fillah yang dijalin sepanjang 12 bulan kuliah ilmu pastikan kekal dalam bentuk yang utuh padu, mudah-mudahan. 

Ujar K. An yang kukenali di saf pertama "Pastikan selepas ini kita bertemu lagi di rumah ilmu ini .. mari kita tetapkan janji berkunjung lagi di sini, dan mudah-mudahan tuan guru kita kekal sihat untuk mengemudi tazkirah hati." Aku mengangguk pasti. InsyaAllah, jawab bibir namun ia datang dari hati. 

Allah .. Allah .. perjalanan itu penuh liku sesungguhnya. Aku menyaksikan beberapa taulan yang gugur di tengah jalan. Semua itu dugaan yang aku kira amat berat untuk ditelan. Namun sahabat, kekal cekallah .. kerana itu juga satu perjuangan. Jangan kerana kejatuhan ini kau berpaling pergi kerana rumpun nur Ilahi pasti menyinari sebuah kabad yang bersalut ikhlas nan tinggi. 

​


0 Comments

Ahlan ya Ramadhan 

6/17/2015

0 Comments

 
Picture
Ramadhan bertamu lagi. Menitip pesan dari Syaaban yang telah pergi .. mengingatkan diri akan Syawal yang bakal ditempuhi, apakah madrasah Ramadhan memberi impak pada paksi diri sebagai abdi-Llah  ... memperteguh nilai istiqamah dalam pengabdian ... mudah2an Ya Rabb Ya Rahmaan .. perjalanan yang baru sehari ditempuhi ini menjadi permulaan kepada hijrah nan abadi dalam diri .. ameen... 

Semalam, barangkali tarikhnya begitu kena dengan kedatangan Ramadhan, lalu syukurlah kepada Yang Esa kerana memberi ruang untuk kami mendapat pengisian minda dan rohani. Kedatangan Dato' Dr. Afifi al-Akiti ke majlis ilmu U-Wise anjuran Universiti Islam Malaysia (UIM) bagitu bermakna. Hampir tiga jam menadah telinga dan membuka dada, setiap maklumat dan penerangan seperti lancarnya air sungai mengalir ke dalam takungan minda. Begitu hebat nikmat yang Allah Azza wa Jalla kurniakan kepada anak Melayu yang membawa nama Malaysia ke persada dunia. Ah, terasa rugi kerana saya tidak berkesempatan menjejak kaki ke Oxford University kala bertamu di bumi ratu dahulu :(

Begitu menarik kupasan beliau tentang maksud 'hikmah' atau wisdom. Benarlah, hikmah itu seperti satu barang berharga yang hilang daripada kita, lalu wajarlah usaha untuk mencarinya dilakukan secara tekal, dengan niat yang padu dan azam beribu. Ditekankan juga bahawa 'hikmah' itu tidak akan dapat dirasai oleh mana-mana individu, kecuali setelah sesuatu ilmu itu diamalkan atau diaplikasi dalam bentuk yang bermakna. Saya misalnya, begitu tertarik dengan apa yang disampaikan daripada Imam al-Ghazali tentnag peri pentingnnya keseimbangan dalam elemen aqli dan naqli dalam membentuk kehidupan yang menjamin pahala di sisi-Nya. Jelas bahawa Islam bukanlah hanya semata-mata agama di tikar sembahyang, namun sebaliknya, penekanan terhadap ilmu dunia tidak pernah diabaikan dalam tradisi Islam kita. Justeru, lewat doa seusai solat yang sering kita lafazkan - "Rabbana aatina fid dunya hasanah, wa fil aakhirati hasanah, waqinaa azaaban naar.."  - Bukankah dalam doa ini kita memohon kebaikan hidup di dunia dan juga di akhirat? 

Bicara semalam memujuk minda, membujuk jiwa. Lalu menghantar keinsafan apabila ditatang neraca kehidupan selama ini .. seimbangkah dunia dan akhirat kita? Hati luluh. Terasa diri ini memang alpa. 

Sehari sebelum itu pula, temuduga kemasukan pelajar baru berlangsung di fakulti. Pelbagai ragam dan rasa dihidangkan para calon yang datang. Selamat datang ke UKM buat yang berjaya, manakala yang tidak, saya mendoakan jalan lebih baik buat semua :) 
Picture
Meski kepenatan, masih bisa tersengih :D
0 Comments

Palestine oh Palestine 

8/5/2014

0 Comments

 
Picture
Rana dan Bana
Picture
'Keluarga' kami di Nottingham
Picture
Anak kedua Musa, Lynn
Picture
Kami para wanita berbual di ruang lain, manakala lelaki bersantai di ruang tamu
Picture
Lynn yang cantik dipangkuan saya
Saya mengikuti perkembangan di Palestine saban hari dengan pelbagai perasaan yang mendalam. Kadangkala sebak lalu berair mata mengenangkan kekejaman terhadap saudara seagama di sana. Apatah lagi kala lagu-lagu jihad dikumandangkan, begitu menggegar nurani. Betapa dekatnya mereka dengan semangat mati kerana Allah, berbanding kita yang hidup bersenang-lenang di bumi bertuah ini. Peristiwa berdarah ini  turut membuat saya terkenangkan kenalan saya Brother Dr. Musa dan keluarganya yang berasal dari tanah Palestine. 

Mereka saya kenali ketika bermukim di Nottingham dahulu. Musa seorang yang sentiasa tenang, begitu menjaga solatnya. Sering kali, saya lihat beliau tanpa sangsi mendirikan solat di atas lantai di bilik kerja kami C12. Malahan, penghuni lain yang bukan Muslim sepertinya sudah lali serta tidak hairan dengan situasi begitu. Satu lagi sikap mereka yang membekas di hati adalah nilai 'takreemud dhuyuf' (menghormati tetamu) yang bersangatan. Pernah kami mengunjungi rumah beliau dan isterinya Rana, dua hari setelah mereka menerima cahaya mata baru, bernama Bana. Saya tidak percaya bahawa Rana yang baru beberapa melahirkan begitu gigih di dapur mempersiap juadah untuk kami. Beliau kelihatan kuat seperti bukan di dalam pantang. Kami pula yang 'seriau' melihat kelasakan Rana sehingga kami menariknya supaya duduk di kerusi. 

Pernah juga saya tanyakan keadaan di bumi Palestine. Balas Musa, mereka tidak pernah gentar, dan setelah tamat pengajian PhD beliau dengan pasti akan pulang ke Palestine untuk berkhidmat di salah sebuah universiti di sana. Tidak pula saya pastikan universiti yang mana satu. Lalu, setelah menerima khabar bahawa pihak tentera Zionis sudah mula mensasarkan sekolah serta institusi pengajian di sana, hati saya tiba-tiba terjentik. Allah, Allah .. Kau selamatkan mereka dan ahli keluarga di sana! Andai mereka terkorban, bariskanlah mereka dalam kalangan syuhada' ..ameen ya rabb! 

NOTA:

Nikmatnya kita hidup di bumi bertuah ini. Jika tiada rasa syukur, maka apalah ertinya segalanya ... :( 
0 Comments

Doa untukmu, sahabat

7/18/2014

2 Comments

 
Picture
Manis.
Itulah apa yang saya rasa tentang perkenalan kami. Bermula di tahun-tahun awal pengajian di Nottingham University, dan akhirnya berlarutan sehingga kembara kami ke England, lalu menjejak beberapa negara Eropah lain. 

Sahabat saya ini bukanlah orang jauh. Asalnya dari Selangor, namun hijrahnya ke Sarawak memberi makna tersendiri tentang ketabahan dan jatidiri serta pengorbanannya buat keluarga. 


Banyak cerita-ceriti, masam-manis dalam sejarah kembara kami berdua - bukan sahaja kembara ke benua dan negara orang, malah kembara dalam perjalanan sebuah PhD juga. Mungkin kerana saya dan dia, sama-sama menjadi pelajar di universiti yang sama, kebersamaan itu banyak mengikat silaturahim saya dengannya. 

Satu perkara yang membuat saya sering kagum dengan beliau adalah kecekapannya dalam pencarian maklumat, malah tepat pula. Beliau banyak juga berkongsi pautan serta bahan-bahan yang dimuat turun daripada laman sesawang untuk faedah bersama. Malah, ketika kami di England, hati lebur kerana terpaksa beraya di negara orang, tanpa kehadiran suami dan anak-anak tersayang. Dialah insan yang paling cekap mencari maklumat penerbangan serta melengkapkan jadual perjalanan kembara kami di Perancis. Mana boleh saya lupakan hasrat beliau yang begitu berkobar-kobar hendak bersembahyang sunat Idul Fitri di Mosque de Paris. Kerana jasa beliau juga, akhirnya kami yang baru menjejak kaki di lapangan terbang Charles De Gaulle akhirnya sempat tiba di perkarangan masjid tertua di Paris itu untuk sama-sama merasakan semangat idul fitri bersama umat Islam di Paris, biarpun kami terlepas upacara solat sunat berjemaah. 

Kehidupan di Hartley Road bersama dia juga banyak memberi ruang untuk kami saling menyelami hati budi masing-masing. Semangat berdikari, toleransi serta kerjasama banyak mengajar saya tentang mualamat yang berkesan. Saya juga banyak belajar daripada kelemahan dan kekhilafan diri sendiri. Malah permukiman di England turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan baik seperti K.Faizah dan Zac. Kami pernah bertemu di Kampus Bandar di Chulan Tower Kuala Lumpur ketika menghadiri modul Research Methods bersama Dr Peter Gates. Lalu kedatangan kami disambut mesra dua sahabat yang pernah dikenali itu. Saya tidak akan pernah melupakan jasa K.Faizah sekeluarga yang datang menjemput kami di Birmingham, malah jaza baik Zac menguruskan rumah sewa daripada Symond, si tuan rumah yang baik hati itu. 

Banyak kisah yang boleh dicatat namun saya tidak berniat untuk bercerita panjang kali ini. 
Cuma ada bingkisan buat sahabat saya ini: 

Sal, 
Aku sentiasa mendoakan agar setiap usaha dan jerih perihmu itu akan membuahkan kejayaan sedikit masa lagi. 

Semoga Allah mempermudah segala urusanmu, mate. 
Persahabatan kita ini aku anggap sebagai satu anugerah; kerana melaluinya aku belajar banyak tentang erti kehidupan. 
Rabbi yassir wa la tuassir .. rabbi tammim bil khair ... 







2 Comments
    free web counter no ads
    Welcome to my website. See you again! :)

    RSS Feed

    Archives

    March 2025
    December 2023
    November 2023
    October 2023
    August 2023
    May 2023
    March 2023
    February 2023
    January 2023
    December 2022
    November 2022
    October 2022
    September 2022
    August 2022
    July 2022
    June 2022
    May 2022
    April 2022
    March 2022
    February 2022
    January 2022
    December 2021
    November 2021
    September 2021
    August 2021
    July 2021
    June 2021
    May 2021
    April 2021
    March 2021
    February 2021
    December 2020
    November 2020
    October 2020
    September 2020
    July 2020
    June 2020
    May 2020
    December 2019
    November 2019
    October 2019
    September 2019
    August 2019
    June 2019
    May 2019
    April 2019
    February 2019
    January 2019
    October 2018
    September 2018
    August 2018
    July 2018
    May 2018
    April 2018
    March 2018
    January 2018
    December 2017
    November 2017
    October 2017
    September 2017
    July 2017
    April 2017
    March 2017
    February 2017
    January 2017
    November 2016
    October 2016
    September 2016
    July 2016
    June 2016
    May 2016
    April 2016
    February 2016
    January 2016
    December 2015
    November 2015
    October 2015
    September 2015
    July 2015
    June 2015
    April 2015
    March 2015
    February 2015
    January 2015
    December 2014
    November 2014
    October 2014
    September 2014
    August 2014
    July 2014
    June 2014


    Realtime Website Traffic

    Categories

    All
    4IR
    Academia
    Aidil Fitri
    AKEPT
    AKRI
    Announcement
    Anugerah Bitara UKM
    Apel.Q
    APRS
    Assessment
    Audit
    Augmented Reality
    Award
    Bandung
    Benchmark
    Bengkel
    Brunei
    BSTP
    Cabaran Perdana
    Campus Life
    Campuslife
    Center For Education Extension
    Choices
    Coklat
    Computational Thnking
    Conference
    Convocation
    Cyber Crime
    Determination
    Educator 4.0
    Edutourism
    E Learning Training
    E-learning Training
    Expert Evaluation
    FPend
    Friendship
    Geran Industri
    Google Scholar
    Guru
    H-Inovasi
    Hong Kong
    Immersive Learning
    Infographic
    Innovation
    Interpretive Structural Model
    Interpretive Structural Modelling
    IOER
    Japan
    Life
    Life Long Learning
    Lifo Long Learning
    Love
    MARA
    Memory
    Micro Credential
    Micro-credential
    Missing In Life
    MOOC
    Nominal Group Technique
    Oath
    ODL
    ODL UKM
    Open & Distance Learning
    Open Distance Learning
    Palestine
    PhD
    Piety
    Pitching
    PKP
    Praktikum
    Praktkum
    Pray
    Project
    Provisional Accreditation
    PTPTN
    Publication
    Pusat Internet
    Pusat Kembangan Pendidikan
    Qualitative Data
    Ramadhan
    Research
    Research Grant
    Robing
    Role
    Self Reminder
    Self-reminder
    Seminar
    Sijil Profesional
    Simposium
    SoTL
    Success Recipe
    Supervisee
    Symposium
    Talk
    Teaching Practicum
    Thank You
    Time Is Hindering
    True Friend
    UKM
    UKMShape
    UNESCO
    Universal Design
    Visit
    Viva
    Wedding