Pecutan 10 Terakhir Ramadhan. Begitulah kupasan tazkirah pada pagi tadi sebagai makanan rohani buat semua. Disampaikan oleh Da'i Hadhari, seorang penceramah muda yang energetik dan tidak kurang lawaknya menyebabkan audiens tidak kering gusi.
Antara inti utama yang menjadi peringatan buat semua - tiga perkara yang seringkali menyebabkan umat Islam rugi apabila menjelangnya Ramadhan: a) Kurangnya bersedekah b) Tidak melaksanakan solat sunat 2 rakaat c) TIdak membaca Al-Quran Satu peringatan penting yang membuatkan diri bermuhasabah. Terima kasih Da'i Hadhari di atas perkongsian ilmu tersebut. Syabas pihak PKP di atas inisiatif untuk majlis ilmu yang bermakna ini. Barakamullah ...
0 Comments
Pantas sekali. Idul Fitri 1437H datang apabila tiba masanya. Kampus lengang seperti lepas perang. Semua warga telah berlari pulang penuh keriangan. Awas, jangan ada yang mahu cuba-cuba bermain mercun! Kesempatan ini ingin saya rangkul. Sepuluh jari disusun, mohon kemaafan buat semua jika ada yang terkurang atau terkasar bahasa. Adapun kita, manusia biasa. Khilaf itu mainan jiwa. Salam Idul Fitr. Maaf zahir dan batin :) Alhamdulillah, atas segala kurnia dan rahmat daripada-Nya. Syukur ya Allah di atas usia yang masih bersisa, udara yang masih dihirup dan hayat nadi yang masih berdenyut.
Sahabat yang saya hormati dan sanjungi - Dr Faizah telah sudi menjemput saya sebagai sebahagian daripada ahli penyelidikan untuk mengembara ke bumi Hoi Ann dan Danang di Vietnam. Kami terbang ke sana seramai lima orang. Tujuan asas lawatan kali ini adalah untuk meninjau sektor pelancongan di dua tempat ini serta sekaligus cuba memahami gaya hidup rakyat di sana. Bertindak sebagai etnographers, banyak yang perlu diperhatikan - adat budaya, cara hidup, persekitaran, bahasa malah cara pergaulan. Kembara ini turut memberi ruang untuk saya menikmati syurga dunia alam ciptaan Tuhan. Meski kepenatan diheret perjalanan nan panjang. namun kala melihat indahnya langit senja di sana, hati tiba-tiba jauh mengembara. Terasa benar akan kerdilnya kita sebagai hamba yang menumpang di satu sudut paling kecil dalam dunia nan luas terbentang ini! Detik waktu datang dan pergi, meninggalkan setiap kita dengan bekalan memori yang menjadi ingatan abadi. Hampir pasti tiada seorangpun yang akan menyangkal keindahan musim kanak-kanak sehingga memanjat usia remaja. Pabila dikenang waktu yang telah berlalu, pasti ingatan dan rindunya pada musim itu mencengkam kabad dan hati.
Kamariah, seperti yang sering saya war-warkan sebelum ini, merupakan sahabat saya semenjak di zaman kanak-kanak. Kami bertemu ketika di darjah empat, bila mana masing-masing merupakan pelajar baharu yang berpindah ke Sekolah Kebangsaan Binjai. Kami benar-benar akrab. Banyak cerita yang dikongsi, banyak rahsia yang disimpan, malah banyak jenis kegilaan yang menjadi memori kami. Lokasi kami tidaklah terpisah begitu jauh kerana Dr. Kamariah bertugas di UPM. Dekat tapi jauh. Begitu keadaannya kerana sukar untuk kami bertemu dan bersua muka. Alhamdulillah, akhirnya ada juga ruang senggang yang dapat dirancang untuk pertemuan ini. Kesempatan masa yang tidak sampai berapa jam itu walau bagaimanapun, banyak memberi kekuatan, umpama bateri yang dicas penuh. Perbincangan dan bicara yang lunak itu banyak memberi semangat dan keazaman untuk memastikan setiap pekerjaan ini dijalankan dengan jiwa ikhlas dan diteduhi rahmat-Nya ... 'Setiap yang baik, tidak semestinya baik .. setiap yang tidak baik tidak semestinya tidak baik' .. itu satu perkara yang perlu kita selami dalam hidup ini kerana pusaran hidup tidak pernah lekang daripada ujian, bukan? Namun hati yang dekat dengan-Nya akan memujuk dengan ungkapan sebegitulah .. Allahku, bersihkanlah jiwa kami agar sentiasa redha dengan apa jua kurnia-Mu kerana hidup ini bukanlah sesuatu yang abadi! Cuti. Syukurlah kerana ia memberi ruang untuk saya menziarahi mertua di hospital yang kurang sihat. Kebetulan hendak berada di situ lebih lama, lalu saya bercadang menunaikan solat Zohor di situ sahaja. Ketika melangkah ke 'bilik kecil' sebelum ke bilik solat, saya tanpa sengaja terlihat satu insiden. Dua gadis bertudung labuh berkira-kira sama ada bilik tandas itu berpenghuni atau tidak meskipun pada zahirnya di mata saya jelas tanda 'merah' pada pemegang pintu yang menunjukkan pintu dikunci dari sebelah dalam. Namun entah kenapa, salah seorang daripadanya tiba-tiba menolak pintu tu dengan agak kuat sehingga daunnya tertolak. Lalu sekonyong-konyong ada suara dari dalam "Heyy!!!". Pintu lalu dilantun kuat, mungkin penghuni dalam berasa terganggu! Tidak lama kemudian, keluarlah seorang wanita dengan raut wajahnya agak tegang. Saya hanya meminggir untuk memberi laluan keluar. Aneh. Saya tertunggu-tunggu kata maaf daripada gadis yang menolak pintu tadi namun tiada sepatah kata diucapkan kepada wanita tersebut. Jika andalah yang secara tidak sengaja telah menolak daun pintu itu, apakah mungkin anda terfikir untuk mengucapkan kata maaf? Selesai urusan di situ, saya memasuki bilik solat dan saya perhatikan dua gadis tadi telah bersedia untuk bersolat. Sememangnya ruang solat di bilik itu hanya cukup untuk dua sejadah sahaja lalu saya perlu menunggu di belakang sementara menanti giliran. MashaAllah SubhanaLlah .. bukanlah niat saya untuk membuka aib orang tetapi apa yang saya lihat membuat hati berdebar-debar. Tidak ubah seperti kartun Charlie Chaplin dua-dua gadis tadi bersolat tanpa sebarang toma'ninah! Saya ternganga di belakang. Tidak sampai dua minit solatnya selesai dan mereka terus bangun tanpa menadah doa barang sepatah. Allah ... Allah ... apakah yang mampu saya katakan? Justeru saya ini bukanlah manusia sempurna dalam ibadat namun apa yang terhidang di hadapan mata amat membekas di hati. Semoga kisah ringkas ini memberi makna buat kita dalam muhasabah diri tentang ibadah dan muamalah kita sebagai hamba! Saya menerima satu pesanan ringkas tapi penuh signifikan.
Pesanan istimewa yang membawa peringatan buat mengubat hati yang terlupa. Bilik saya di fakulti semalam dimasuki 'seseorang' lalu dia membawa pergi mesin pencetak Laser Jet HP saya sebagai ole-ole percuma. Masuknya tetamu tidak diundang melalui tingkap (yang sekian lama tidak bisa dirapatkan lalu jika dilihat dari luar akan kelihatan rongga semuat jari kelingking). Mangga dipecahkan lalu dibawa entah ke mana .. melompat dia ke atas karpet merah belang tempat bersolat setiap hari. Entah berapa lama dia di dalam bilik sederhana saya .. menyelongkar segenap laci namun mungkin tiada yang bernilai ditemui selain mesin pencetak yang menjangkau usia dua tahun itu. Begitulah. Saya kehairanan sendiri bagaimana pintu bilik saya tidak terkunci kala mula-mula menjejak kaki ke pintu. Beberapa ketika cuba 'membaca' petanda yang ada fahamlah saya ada 'tetamu' semalamnya di situ. Sementelah pula kunci pendua pintu bilik saya tinggalkan di atas rak berhampiran pintu lalu tidak perlulah dia bersusah payah memanjat tingkap lagi untuk keluar pergi bersama ole-ole tadi. 'Bersyukur Saat Diuji' karya Prof Kamil kiranya menjadi penawar hati. Saya tiba-tiba membandingkan ujian yang pernah dialami penulis jauh lebih berat daripada apa yang saya lalui. Lalu, bersyukurlah saat diuji - kerana di sebalik ujian saya menerima satu pesanan untuk kembali dan membersih hati. Ampunilah diri ini Allahku, jika di sebalik mencari dunia diri ini alpa tentang perhambaan kepada-Mu. Diri ini mengakui bahawa nikmat-Mu terlalu agung untuk dibayar dengan nilai amalku yang sekelumit cuma. AstaghfiruLlahal adzim .. mungkin juga kerana doa ini sudah lama tidak dibaca ..... Alhamdulillah .. thummalhamdulillah .. thummalhamdulillah
Itu rasa hati menyingkap rasa syukur yang tiada penghujungnya. Sebuah kembara ilmu bakal tiba di titik akhir, namun bisik hati, ini suatu permulaan! Tiada terfikir dalam kotak minda bahawa tempoh 12 bulan berjaya ditempuh dengan penuh keazaman dan bisik hati lagi ini semua tiada kan mampu digapai tanpa redha-Nya jua. Alhamdulillah .. thummalhamdulillah .. thummalhamdulillah! Pastinya ketibaan setiap Isnin bakal dirindui. Pertemuan mahabbah di 'rumah ilmu' pasti membungakan rindu yang tidak berpenghujung. Sendu mengiringi sebuah perpisahan namun bisik jiwa, ini hanya perpisahan jarak namun ukhuwwah fillah yang dijalin sepanjang 12 bulan kuliah ilmu pastikan kekal dalam bentuk yang utuh padu, mudah-mudahan. Ujar K. An yang kukenali di saf pertama "Pastikan selepas ini kita bertemu lagi di rumah ilmu ini .. mari kita tetapkan janji berkunjung lagi di sini, dan mudah-mudahan tuan guru kita kekal sihat untuk mengemudi tazkirah hati." Aku mengangguk pasti. InsyaAllah, jawab bibir namun ia datang dari hati. Allah .. Allah .. perjalanan itu penuh liku sesungguhnya. Aku menyaksikan beberapa taulan yang gugur di tengah jalan. Semua itu dugaan yang aku kira amat berat untuk ditelan. Namun sahabat, kekal cekallah .. kerana itu juga satu perjuangan. Jangan kerana kejatuhan ini kau berpaling pergi kerana rumpun nur Ilahi pasti menyinari sebuah kabad yang bersalut ikhlas nan tinggi. Alhamdulillah, untuk segala-galanya wahai Allah.. untuk udara segar yang masih bisa dihela, untuk segala rezeki yang dikurniakan, untuk segaris keriangan yang menghiasi hari-hariku .. dan tidak terkecuali untuk puing-puing kesedihan yang kadangkala meranap kekuatan jiwaku di sepanjang kembara di dunia.. Alhamdulillah!
Segala cerita dalam hidup, bisa saja saya ringkaskan bahawa hidup kita memang tidak boleh bersendiri-sendiri, kerana lingkungan hidup dan perhubungan kita dengan manusia sejagat sememangnya terlarut dalam fitrah kehidupan itu sendiri. Kerana itu disebutkan bahawa kewajipan manusia bukan setakat menjaga 'hablum minalLah' (hubungan dengan Allah) semata-mata, malah merupakan tanggunjawab kita juga sebagai makhluk di dunia untuk memelihara 'hablum minannaas' (hubungan dengan manusia). Beberapa ketika dahulu saya pernah berbicara dengan beberapa orang rakan tentang apa yang disebut sebagai rangkaian doa dan keajaibannya. Betapa pentingnya kita saling mendoakan, dan doa itu haruslah untuk kebaikan dan perkara-perkara yang positif sahaja. Justeru, kerana kita ini manusia lemah, lalu, kita membutuhkan doa daripada orang lain untuk kita. Namun, kata seorang teman - tiada kuasanya untuk mendoakan manusia yang berbuat dajal pada dirinya, dan alangkah bagus jika didoakan manusia keji itu mati dengan cepat. Allah .. Allah .. Allah .. saya terkesima mendengar ujaran lantang itu. Lalu seusai pertemuan, saya cuba teduhkan jiwa .. ampunkanlah Allah .. segala perbuatan, perkataan mahupun lintasan dalam hatiku andai aku juga pernah mendoakan perkara-perkara bejat buat orang lain ... mohon dijauhkanlah ya Allah daripada lintasan yang tidak baik .. luaskanlah ya Allah unsur pemaaf dalam diriku .. perkayakanlah ya Allah, akan kesucian peribadi, hati dan jiwaku agar berputik dari situ nur keimanan yang bakal membawa kesejahteraan buat diriku dan manusia-manusia dalam lingkungan hidupku - keluargaku, sahabat handaiku, pelajar-pelajarku .. Alhamdulillah, syukurku tidak pernah bertepi. Kerana langit rahmat-Mu terlalu luas, laut Rahim-Mu tidak pernah mampu kuselami hingga ke dasarnya. Bulan Ramadhan kali ini berkebetulan pula dengan cuti semester. Jadi, kesempatan yang ada ini perlu digunakan dengan sebaiknya untuk kerja-kerja penulisan dan penyelidikan, sementelah kesemua markah peperiksaan telahpun diserahkan kepada yang bertanggungjawab. Kekerapan mesyuarat juga tidak terjejas dek kerana berpuasanya kita di siang hari. Mungkin hikmahnya, fakulti dapat menjimatkan sedikit peruntukan makanan di sepanjang Ramadhan Kareem ini.
Saya dikejar beberapa 'deadlines' yang harus juga dilangsaikan tanpa kompromi. Begitu, dalam ralit kita kejar-mengejar dalam tuntutan dunia, mari sama-sama menghantar waras ke perdu fikir. Jeling neraca timbang. Seimbangkah apa yang kita kejar antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Kita, sesungguhnya sangat menyedihkan kerana selalu sahaja tertewas dengan dunia! Namun, ayuh, kita mulakan lembar baru. Mari kejar ilmu yang bermanfaat. Mari bungkus bekal akhirat. #thinkpositive #startnow #repent Ramadhan kita sudah masuk ke 'trimester' yang kedua. Pantas sungguh hari-hari yang berlalu, tahu-tau kita sudah menjengah hari ke 11 dalam bulan mulia ini. Tadi saya sempat mendengar halwa telinga di IKIM fm melalaui slot Islam Itu Indah. Ustaz Pahrol bercakap tentang erti Ramadhan. Dua perkara penting yang dikupas adalah tentang bagaimana ibadat puasa ini bukan sahaja sebagai satu perintah daripada Allah, namun apa yang tersirat di sebalik ibadat ini adalah untuk mengukuhkan keimanan, rasa pengharapan kita terhadap keampunan Allah. Hati saya tersentuh apabila beliau turut mengaitkan tentang keyakinan seseorang terhadap janji syurga. Beliau membawa contoh kehidupan umat Islam di Palestine; sehingga ada ungkapan yang menyebut bahawa di Palestine, 'seseorang itu mungkin bersahur di dunia, tetapi berbuka di akhirat'. Hal ini rentetan daripada keadaan di bumi Palestine kini yang menerima hujanan peluru oleh puak musuh Islam yang durjana, lalu panggilan syahid itu boleh menjemput bila-bila masa. Namun kerana keyakinan akan janji Allah, mereka langsung tiada gentar.
Seharusnya kita tidak putus memanjat kesyukuran kepada rahmat dan nikmat Allah buat kita. Makan minum kita serba mencukupi di bulan Ramadhan, malah kadangkala melebihi daripada nikmat rezeki yang kita perolehi di bulan-bulan biasa. Pesanan buat diri sendiri dan semua: Berpada-padalah dalam menyediakan (atau membeli) juadah berbuka. Jangan sehingga makanan itu bersisa sia-sia. Jika godaan kecil ini pun kita tewas, bagaimana melalaui ibadat berpuasa ini dapat kita bentuk keyakinan dan keberanian untuk mencapai kunci ke pintu syurga? :( |
Archives
March 2025
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |