Pagi. Saya sedang memandu perlahan kerana berkira-kira mahu membelok ke kanan. Saya melihat ada tangan-tangan yang melambai lalu saya turunkan cermin sisi kenderaan.
"Dr., selamat bercuti!' jerit seorang daripada dua gadis comel itu. "Cuti?" saya melongo. "Saya tak cuti, kamu yang cuti!", balas saya. "Oh hahaha! Ye lah .. lupa!" Dia menyeringai. Masih comel. "Kamu dah nak balik kampung?", seperti sudah gaharu cendana pula saya. Masakan mahu ke kuliah lagi jika mengusung beg pakaian sebesar beg abang Bangla mahu pulang negeri :P "Ye! Exam dah habis!", kedua-duanya riang sekali. "Okay, selamat bercuti untuk kamu. Jangan lupa tolong ibu di dapur!'. usik saya. Hasilnya, bunga tawa melayang-layang di udara. Perasaan itu. Bukan tidak pernah saya rasa. Malah, kehidupan di kampus di sepanjang ijazah pertama sememangnya banyak melakar momen indah. Kenangan merempit motor Honda Cup berplat TP7734 ke perpustakaan besar atau sesekali ke perpustakaan undang-undang sepanjang hari hingga suntuk ke malam tidak mudah dikikis. Masuk pagi, keluar sebentar mengisi perut di kala tengahari kemudian menyambung 'uzlah' di penjuru yang sama setiap hari bukanlah satu rutin yang mudah dilaksanakan. Tanpa 'internal driver' saya kira tidak akan memberi kekuatan sebegitu. Lalu tidak hairanlah di musim peperiksaan tiba, kami seperti tidak kenal satu sama lain kerana masing-masing khusyuk mengelek buku dan nota sendiri. Mungkin kebanyakan sahabat saya kala itu mempunyai stail pembelajaran yang sama - kami banyak belajar sendiri; sehingga sudah terisi minda dengna maklumat asas, baharulah berani membuka mulut untuk perbincangan. Kelemahan saya pula, pantang jika ada perkara yang disebut oleh sahabat lain yang tiada dalam simpanan memori dan taakulan saya, saya akan cepat panik dan terancam. Dahulu, zaman saya di kampus Uni Malaya tidak ada sebarang Facebook groups! Tiada bekalan nota dimuat naik oleh pensyarah malah masih ramai pensyarah menggunakan Over Head Projektor semasa kuliah! Sumber rujukan utama untuk peperiksaan adalah nota kuliah dan contengan-contengan pada buku nota lewat tutorial. Jika banyak yang disalin dan dinotakan, banyaklah bekalan. Tempoh beberapa minggu membekam rasa, penuh khusyuk pula menadah doa agar usaha itu tidak sia-sia. Empat tahun di ijazah pertama sungguh mengusik kalbu. Di situ kehidupan dan cita-cita tumbuh, di situ manis masam kehidupan dan persahabatan benar-benar dirasai. Kemuncaknya, Ijazah Kelas Pertama dalam transkrip tentunya memberi makna dan pulangan lumayan. Alhamdulillah di atas segala kesusahan dan onak duri itu kerana tanpa keperitan kejayaan tidak akan menjadi semanis itu. Cuti semester panjang juga seringkali terisi dengan aktiviti tetap - mengajar sementara sebagai guru ganti. Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, malah Muzik antara subjek yang pernah saya ajar. Rupanya pengalaman ringkas tapi signifikan di sekolah-sekolah itu menghidupkan semangat guru dalam diri. Mungkin kerana itu saya mahu kekal dalam profesion ini. Nasihat saya, meskipun peperiksaan sudah tamat, jangan anggap cuti ini sebagai ruang melepas penat dan lelah dengan hanya acara santai-santai. Usia muda hanya sekali. Jangan nanti kita disapa kekesalan kerana tidak memanfaatkan 'muda sebelum tua'. SELAMAT BERCUTI SEMUA :)
4 Comments
Siang dan malam. Ia datang dan pergi. Kita melalui rutin itu setiap hari. Ada kalanya, berlaku pertukaran rutin kerana perkara-perkara tertentu. Ada kalanya kita berlari mengejar sesuatu yang harus diberesi dalam kerangka masa tertentu. Ada kalanya kita berasa agak lapang kerana urusan yang sudah terlangsai seadanya.
Alhamdulillah. Hidup ini masih berputar dan bernyawa buat kita. Seperti siang dan malam. Ia masih datang dan pergi. Namun seperkara yang tidak kembali adalah masa dan usia. Sedang dunia semakin hampir ke penghujung, kita seakan-akan leka; hakikatnya memang begitu, kerana kita ini manusia - manusia yang sering terlupa. Di mana erti hidup yang bermakna? Seringkali kita mahu kehidupan yang memberi kepuasan, kegembiraan malah kebahagiaan. Tidak mustahil itu impian semua orang. Namun kekadang kita terlupa bahawa dalam erti hidup yang bermakna juga terselit nilai 'memberi' kepada yang perlu. Kita sering mahukan sesuatu, tetapi jarang sekali mahu memberi. Memberi bukan setakat bersandar kepada wang ringgit, tetapi bantuan fizikal, masa serta buah fikiran. Minggu ini agak suntuk buat saya. Banyak perkara perlu dilangsai bersama deretan mesyuarat yang silih berganti, serta hal-hal keluarga yang tidak boleh diabaikan. Namun, saya selalu ingat pesan seorang rakan baik, katanya 'Jangan lokek memberi, kerana Allah pasti akan mempermudah segala urusan kita; jika tidak hari ini, esok, jika tidak esok, lusa dan seterusnya.' Saya kagum dalam diam. Dan saya mahu belajar dan beramal. Jadi, memberi juga melibatkan komitmen hati. Biar masa kita terasa sempit menghimpit, belajarlah untuk meluangkan sedikit untuk mereka yang memerlukan. Mudah-mudahan dengan niat memberi dan membantu, segala kerengsaan dalam lorong dan lohong hidup kita akan disinari cahaya penyudah yang diimpikan :) Binjai, Kemaman. Tapi saya pernah tahu yang di Kelantan juga ada tempat bernama Binjai. Mungin di daerah-daerah lain juga ada yang bernama Binjai, namun tiada dalam lembar pengetahuan saya.
Binjai, daerah sepi. Mungkin kerana bila berpeluang kembali ke sana, tiada lagi dapat saya dengar hilai tawa anak-anak saudara yang bocah bermain basikal atau zero point di laman rumah, atau mungkin juga kerana tiada lagi suara-suara kecil memberi salam dari beranda rumah untuk menghadiri kelas mengaji al-Quran di rumah bonda. Sepi kerana hanya beberapa kali dalam setahun saya berpeluang kembali ke laman kenangan itu. Namun Binjai tetap di hati. Kerana di situ saya membesar, di kelilingi kasih sayang ibu, ayah dan kakak-kakak, serta tidak kurang pula rakan-rakan yang penuh asyik dengan pembelajaran, dan sukan malah. Ingatan kepada Binjai begitu membuak. Apatah lagi, seorang rakan baik saya dari daerah yang sama; Dr. Kamariah Kamarudin mempelawa saya menggeluti dunia penulisan dan paling mengesankan, beliau meminta saya menulis tentang zaman kanak-kanak serta remaja kami ketika ranah Binjai itu kami diami. Apa yang harus saya tulis?, soal saya bingung. Sementelah saya bukanlah terlahir dalam golongan penulis sastera moden seperti beliau. Lalu ungkapan itu merupakan persoalan yang wajar saya utarakan. "Kau tulis sahaja setiap yang terlintas di benak fikir." "Hatta hal-hal kecil tapi signifikan." "Aku cuba inshaAllah." Lalu kulit kepala yang tidak gatal tiba-tiba minta digaru. Heh! "Setiap impian, jika disusuli usaha, doa dan tawakkal pasti berbuahkan hasil." Suara bonda tiba-tiba singgah di bahu fikir. Teduh angin petang yang menyapu pipi terasa dingin dan selembut sentuhan bonda. "Binjai itu." Saya mula merangka-rangka. Aneh. Banyak sekali yang ingin saya perkatakan rupanya! Harta kekayaan, pangkat, darjat boleh dicari namun jika tiada budi bahasa apalah ertinya hidup di dunia sebagai hamba Allah? Saya menghadiri satu mesyuarat khas baru-baru ini di fakulti. Seperti biasa, ini kesempatan yang perlu digunakan sebaiknya untuk bertegur sapa dengan rakan-rakan sejawat setelah beberapa lama tidak bersua muka. Sedang saya duduk-duduk sambil menghabiskan sisipan secangkir kopi di tangan, datang seseorang mendekati salah seorang rakan sejawat saya. "Satu dan dua hari bulan ini you kena pergi XXX untuk tugas XXX." Sahabat saya ternganga. Tiada salam tanda permulaan kalam. "Untuk apa tu Dr. Y?" soalnya bodoh. (Memang dia mengaku kebodohan kala itu pada pada setelah peristiwa itu berlaku.) "You kena buat XXX. Block tarikh tu dalam jadual!". Selamba benar wajah seseorang itu, mengalahkan ketua fakulti. Sahabat di hadapan tidak terkata. Angguk tidak gelengpun tidak dan seseroang itu berlalu. "Hey .. kenapa kasar benar budi bahasanya? Tidak bolehkah bertanya elok-elok?" sahabat itu melepas geram sambil separuh menggumam. "Sekurang-kurangnya tanyalah dahulu sama ada aku ada hal lain atau tidak pada tarikh itu. Ini tidak, terus diarahnya, kayak kita ni budak-budak?!" . Jelas dia marah. Saya tidak mahu menyimbah minyak pada api nanti semakin marak pula tentu sukar untuk memadamkannya. Lalu diam adalah pilihan terbaik. "Apa guna pangkat dan gelaran, kalau budi bahasa duduk di telapak kaki!" Sinis. Sahabat saya itu terus angkat punggung usai mengujarkan ayat terakhir. Begitu setelah bersurai dari bilik mesyuarat itu, telefon saya berdecit. Ada mesej di whatsapp. Begini: Ayat indah ini kiriman daripada sahabat saya di UNIMAS, Salmah. Hati saya tersentuh. Seperti ada telepati pula. Baru sekejapan saya melalui satu insiden yang melihat bagaimana budi bahasa ditolak tepi oleh seseorang yang ada nama, pangkat dan gaya. Dan sekarang, dia menghantar satu pesanan, terus singgah di sanubari. Terima kasih mate, peringatan ini sungguh bermakna, bukan sahja untuk dibaca, namun diamal dan dihayati.
Nota: Apabila hilang budi bahasa daripada pertuturan dan tingkah laku seseorang, tanggallah segala rasa hormat orang pada dirinya seakan pudarnya warna air bila disimbah air lalu. ![]() Assalam. Bila. Satu kata tanya. Dalam komunikasi seharian, perkataan ini terlalu banyak kita gunakan sehingga rasanya tidak terkira bilangannya hatta dalam satu hari, setidak-tidaknya walau sekali kita akan mengungkap persoalan dengan menggunakan perkataan 'bila'. Tidak salah untuk bertanya, malah malu bertanya sesat jalan barangkali. Bila sesat, malah sukar pula mencari jalan pulang! Namun bukan isu sesat yang hendak saya utarakan di sini. Saya berminat kepada perkataan 'bila' itu. Tadi, saya terserempak dengan seseorang yang saya pernah kenali. Ibu muda ini merupakan pelajar PhD di salah sebuah universiti tempatan. Itu maklumat yang sudah lama saya ketahui. Lalu, setelah bertahun lamanya tiada bersua, kesempatan berselisih bahu itu saya ambil untuk bertanya khabar serba sedikit, seperti mana dia jua mengajukan soalan-soalan kepada saya. "Oh, bagaimana dengan pembelajaran saudari ... Sudah tamatkah?" soal saya. "Saya masih di peringkat penulisan lagi," jawabnya lirih. Dia melarikan pandangan mata ke arah lain. "Oh..", hanya sepatah yang keluar dari mulut saya. Tetapi kemudian saya menyambung, "Jangan risau, teruskan apa yang masih berbaki, kerana di saat begini momentumlah senjata utama. Insha-Allah, Allah tidak akan mensia-siakan usaha saudari." Dia tersenyum dan mengangguk-angguk. "Mujurlah saya tidak ditanya BILA hendak 'submit'", balasnya namun kelihatan berseloroh dan ketawa kecil. "Saya mengerti." "Hah?" "Saya mengerti apa perasaan saudari kerana saya pernah duduk di tempat yang sama. Soalan BILA merupakan racun yang boleh merengsakan hati, menumpulkan fokus serta menjatuhkan nilai motivasi. Namun, ramai pula yang tidak sensitif dengan perkara ini. Mereka bilang, apa salahnya bertanya, sekadar memberi perangsang. Namun saya memang mengerti perasaan bila ditanya dengan soalan keramat itu. Jadi sebab itu, saya tidak bertanya." "Oh .." "Ye .. kadangkala kita perlu belajar dari pengalaman diri, untuk mewujudkan nilai empati, bukan setakat simpati." "Terima kasih. Saya kira saudari seorang yang memahami." Anak matanya bulat memandang saya. "Itulah lumrah kehidupan. Bila terumbang-ambing, hanya kita sendiri yang menanggung. Bila senang, ramai pula datang meneman. Teruskanlah usaha. Kejapkan doa. Bersihkan jiwa dan luruskan niat. Sesuatu yang payah untuk digapai, akan terasa begitu manis bila sudah digenggaman." "Ya, saya ingat itu." "Benar, sebelum orang bertanya BILA, persiapkanlah diri dengan jawapannya, maksudnya rancang tarikh paling tepat dan munasabah dengan keadaan kita untuk menyerahkan tugasan tesis; perkemaskan jadual kerja, teguhkan hati dan teruslah pandang ke hadapan. Ianya tidak jauh lagi, mungkin hanya tinggal sejengkal. Usah terjatuh hanya kerana pertanyaan daripada orang lain. Mereka tidak tahu apa yang kita lalui. Hanya kita sendiri yang tahu, justeru kitalah yang harus menguasai diri kita." "Hey .. saya rasa bersemangat!" "Alhamdulillah, semoga Allah mempermudah urusanmu." :) Nota: Tanpa jatuh dan sakit, kejayaan itu tidak akan lengkap rukunnya! Selamat meneruskan usaha penulisan untuk semua. |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |