![]() Assalam. Bila. Satu kata tanya. Dalam komunikasi seharian, perkataan ini terlalu banyak kita gunakan sehingga rasanya tidak terkira bilangannya hatta dalam satu hari, setidak-tidaknya walau sekali kita akan mengungkap persoalan dengan menggunakan perkataan 'bila'. Tidak salah untuk bertanya, malah malu bertanya sesat jalan barangkali. Bila sesat, malah sukar pula mencari jalan pulang! Namun bukan isu sesat yang hendak saya utarakan di sini. Saya berminat kepada perkataan 'bila' itu. Tadi, saya terserempak dengan seseorang yang saya pernah kenali. Ibu muda ini merupakan pelajar PhD di salah sebuah universiti tempatan. Itu maklumat yang sudah lama saya ketahui. Lalu, setelah bertahun lamanya tiada bersua, kesempatan berselisih bahu itu saya ambil untuk bertanya khabar serba sedikit, seperti mana dia jua mengajukan soalan-soalan kepada saya. "Oh, bagaimana dengan pembelajaran saudari ... Sudah tamatkah?" soal saya. "Saya masih di peringkat penulisan lagi," jawabnya lirih. Dia melarikan pandangan mata ke arah lain. "Oh..", hanya sepatah yang keluar dari mulut saya. Tetapi kemudian saya menyambung, "Jangan risau, teruskan apa yang masih berbaki, kerana di saat begini momentumlah senjata utama. Insha-Allah, Allah tidak akan mensia-siakan usaha saudari." Dia tersenyum dan mengangguk-angguk. "Mujurlah saya tidak ditanya BILA hendak 'submit'", balasnya namun kelihatan berseloroh dan ketawa kecil. "Saya mengerti." "Hah?" "Saya mengerti apa perasaan saudari kerana saya pernah duduk di tempat yang sama. Soalan BILA merupakan racun yang boleh merengsakan hati, menumpulkan fokus serta menjatuhkan nilai motivasi. Namun, ramai pula yang tidak sensitif dengan perkara ini. Mereka bilang, apa salahnya bertanya, sekadar memberi perangsang. Namun saya memang mengerti perasaan bila ditanya dengan soalan keramat itu. Jadi sebab itu, saya tidak bertanya." "Oh .." "Ye .. kadangkala kita perlu belajar dari pengalaman diri, untuk mewujudkan nilai empati, bukan setakat simpati." "Terima kasih. Saya kira saudari seorang yang memahami." Anak matanya bulat memandang saya. "Itulah lumrah kehidupan. Bila terumbang-ambing, hanya kita sendiri yang menanggung. Bila senang, ramai pula datang meneman. Teruskanlah usaha. Kejapkan doa. Bersihkan jiwa dan luruskan niat. Sesuatu yang payah untuk digapai, akan terasa begitu manis bila sudah digenggaman." "Ya, saya ingat itu." "Benar, sebelum orang bertanya BILA, persiapkanlah diri dengan jawapannya, maksudnya rancang tarikh paling tepat dan munasabah dengan keadaan kita untuk menyerahkan tugasan tesis; perkemaskan jadual kerja, teguhkan hati dan teruslah pandang ke hadapan. Ianya tidak jauh lagi, mungkin hanya tinggal sejengkal. Usah terjatuh hanya kerana pertanyaan daripada orang lain. Mereka tidak tahu apa yang kita lalui. Hanya kita sendiri yang tahu, justeru kitalah yang harus menguasai diri kita." "Hey .. saya rasa bersemangat!" "Alhamdulillah, semoga Allah mempermudah urusanmu." :) Nota: Tanpa jatuh dan sakit, kejayaan itu tidak akan lengkap rukunnya! Selamat meneruskan usaha penulisan untuk semua.
0 Comments
Leave a Reply. |
Archives
December 2020
Blogs that I follow:Edutopia
Center for Teaching Educators Technology Jendela Kamila Tinta Seorang Wanita PhD Blog Patter The Thesis Whisperer James Hayton e-Learning Acupunture Mendeley Blog Let's View my Blog Google Drive Blog SuperWebsiteBuilder e-learning learning Brain Rules Peter Pappas Classroom 2.0 Scoop.it Categories
All
|