Langit menangis, meski tidaklah selebat mana namun cukuplah untuk membasahi tanah serta menghilangkan haus rumput-rumput yang telah mula kekuningan di halaman rumah. Perteduhan saya sememangnya begitu dekat dengan alam, maklum sekali, bersebelahan rumah ini penuh dengan deretan pokok yang melatari pundak bukit Taman Rimba Alam. Justeru, minum-minum kala petang di serambi, sambil menghadap hijau pepohon bersulam kicau sang burung peliharaan kami memang mengasyikkan. Saya perhatikan pohon-pohon itu kecil besar, dedauannya pula, berpanca warna, meski dikategorikan di bawah rona hijau, namun ton warnanya tidak seragam. Ada yang hijau pekat, hijau muda, kekuningan, kemerahan namun perbedaan itu anehnya membentuk keserasian nan harmoni pada mata yang melihat. Subhanallah, itu sudah cukup memberi tanda kebijaksaan Pencipta.
Kajian sains telah banyak dilakukan dalam tugas memahami ‘nature’ hidupan tumbuh-tumbuhan. Pelbagai sari warna hijau itu sendiri memberi kepelbagaian dari sudut khasiatnya kepada manusia. Jenis ranting, akar serta susunan dedaunan dan kelopak flora terlalu menarik jika didalami. Banyak benar rahsia di sebalik penciptaannya. Kepelbagaian ini juga bukanlah sesuatu yang kebetulan berlaku, sebaliknya ia dirancang dengan sempurna oleh Pencipta Yang Maha Khalik. Heterogeneity bukan sahaja maujud dalam seni kehidupan tumbuh-tumbuhan. Malah, cuba perhatikan diri kita sendiri. Antara kita dengan adik beradik, meski lahir daripada ibu dan bapa yang sama, tetap sekali bervariasi, apatah lagi jika kita bandingkan diri kita dengan mereka yang bukan siapa-siapa dalam salasilah keluarga. Perbezaan kita dengan orang lain juga bisa disingkap dalam pelbagai aspek penelitian. Rentak fizikal, kognitif atau IQ, cara berfikir, cara bertindak, tingkat keimanan, empati dan pelbagai lagi. Kita sememangnya berbeza! Walau kita produk daripada kuliah yang sama, pensyarah yang sama, universiti yang sama, kita tetap berbeza dengan sahabat kita dalam beberapa perkara. Setuju atau tidak? Jadi, apalah hendak dihairankan jika bila mana anda terjun ke ruang kelas-kelas di sekolah, anda lihat pelajar yang berbeza-beza – watak, perwatakan, cara belajar, stail penerimaan, kemahiran interaksi malah banyak lagi ruang perbezaan yang boleh disenaraikan. Namun, saya bukanlah hendak memberi fokus kepada aspek-aspek apa yang membuatkan mereka berbeda. Tetapi, lebih penting daripada itu, BAGAIMANA kita berhadapan dengan kepelbagaian tersebut secara bijaksana. “Tak adil betul! Kawan saya mengajar kelas pandai! Saya pula diberi kelas tercorot!” “Kalau dia dapat A, saya tak hairanlah .. sebab pelajar kelas dia pelajar bijak .. kelas saya ni jangan harap nak dengar kata!” “Saya pasti takkan dapat A dalam praktikal sebab pelajar saya memang lemah, tak dapat nak tangkap apa yang saya ajar.. malang betul!” Itu mungkin antara dialog atau monolog dalaman sesetengah anda? Guru praktikal atau disebut guru novice seringkala berasa terperangkap apabila berhadapan dengan para pelajar yang disifatkan sebagai kurang cemerlang. Tungkas mereka, kerana pelajar-pelajar itu kurang cemerlang, atau sukar menghadam penerangan guru, lalu menyebabkan rancangan pengajaran tidak dapat dicapai. Adakah adil jika keadaan seumpama itu disandarkan sepenuhnya kepada faktor pelajar? Tidak ada seorang pun yang tidak mahu cemerlang, dan tidak ada seorangpun yang mahu menjadi dungu. Ingatlah bahawa seindah-indah ciptaan Allah adalah kita, manusia. Bukan semata-mata kerana kita ini diciptakan dengan bentuk fizikal sebegini rupa, akan tetapi kerana anugerah akal yang menjadi aset teragung manusia. Manusia juga disebut sebagai ‘hayawanun naatiq’ yang bermaksud makhluk yang bisa berkata-kata. Setiap perkataan yang kita utarakan lahir daripada proses dalaman otak kita yang menterjemahkan segala perasaan, maklumat dan perkara sehingga percakapan kita menjadi sesuatu yang bermakna. Jadi, tidaklah adil jika kita menghukum akan manusia lain kerana alasan mereka itu kurang cemerlang. Setiap insan ada potensinya tersendiri. Batu yang keras, jika dititis air lama-lama pastikan lekuk juga. Jadi poinnya di sini, bagaimana kita sebagai seorang (bakal) pendidik menerima kepelbagaian pelajar dengan hati terbuka, dengan minda yang positif bahawa setiap insan itu bisa saja dibina potensinya. Oeh kerana itulah, janganlah kiranya kita merungut jika tiba-tiba kita ditaklifkan untuk mendidik pelajar di kelas belakang, kerana tunggak utama kejayaan seorang pendidik itu bukanlah semata-mata kerana berjaya menghabiskan sukatan pelajaran, atau memberi impak kepada pencapaian pelajar untuk mendapat A, akan tetapi percayalah, kejayaan hakiki seorang pendidik itu adalah sejauh mana seseorang itu mampu membantu para pelajarnya membina jati diri, kepercayaan serta rasa hormat kepada ilmu dan guru. Tempoh 16 minggu bukanlah masa yang cukup untuk melihat satu perubahan drastik berlaku. Rasionallah dalam bertindak dan berfikir. Satu perkara penting yang perlu kita faham dan laksanakan adalah untuk memahami siapa pelajar kita. Hatta, jika anda masih ingat akan model ASSURE, ADDIE misalnya, kesemuanya memberi fokus kepada pemahaman terhadap siapa pelajar kita. Masih ingatkah anda? Kenapa kita perlu sangat mengenali pelajar kita? Tak kenal maka tak cinta. Kenal yang macamana pula? Saya pernah memberi kejutan kepada pelajar saya kala masih bertugas di sekolah dahulu. Sebelum memasuki kelas buat kali pertama, saya yang kala itu bertugas sebagai guru kelas telah terlebih dahulu meneliti fail setiap pelajar saya yang disertakan foto mereka. Saya mengambil sedikit masa untuk mengenalpasti nama pelajar serta wajahnya. Latihan itu saya ulang beberapa kali sebelum melangkah ke kelas. Saya menyebut nama mereka satu persatu tanpa meminta mereka memperkenalkan diri. Ternyata itu satu kejutan dan dapat saya perhatikan wajah-wajah mereka yang begitu ‘surprised’ apabila saya mampu menyebut nama mereka tanpa teragak-agak. Itulah permulaan hubungan saya dengan pelajar saya di kelas Empat Mekanikal Tiga (4M3) di Teknik KL. Namun ini bukanlah contoh paling tepat dalam konteks seseorang guru mengenali pelajarnya, kerana selain daripada nama, adalah afdal jika seorang guru tahu latar belakang pelajar, khususnya aspek kekeluargaan. Banyak kes melalui pengalaman saya, sikap, pencapaian serta sakhsiah seseorang pelajar itu dipengaruhi isu keluarga. Jadi dalam konteks praktikal yang hanya berlangsung selama 16 minggu ini, bagaimana agaknya anda mampu mengenali pelajar anda? Sebagai langkah singkat, molek kiranya anda mengambil inisiatif untuk berbicara dengan guru pembimbing (guru ini juga yang ‘melepaskan’ pelajar mereka kepada anda bukan?) kerana mereka lebih lama bersama pelajar, atau sekurang-kurangnya mempunyai sumber yang boleh dirujuk tentang latar belakang pelajar serta pencapaian lepas mereka. Satu perkara lagi, yang tidak kurang pentingnya ialah, tanggungjawab guru untuk mengenalpasti objektif pengajarannya. Jika kita tahu tahap pelajar kita, ini akan memudahkan kita merangka apa expected outcome yang kita mahu mereka capai. Janganlah meletakkan objektif yang terlalu tinggi sehingga tidak dapat dilaksanakan pelajar. Itu satu ketidakadilan bagi mereka. Malah lebih parah jika guru yang meletakkan sesuatu objektif, menyalahkan pelajar seratus peratus apabila objektif tidak tercapai. Buatlah refleksi kendiri. Renung semula apa yang telah anda laksanakan di dalam kelas. Dapatkah anda perhatikan reaksi dan ekspresi wajah pelajar anda? Apa yang anda dapat? Adakah anda telah berjaya ‘menawan’ hati mereka? Percayalah bahawa, minda pelajar akan terbuka setelah hatinya kita sentuh. Selain itu, janganlah berhenti berdoa, agar hati-hati itu menjadi lembut dan teduh dengan kehadiran anda. Bukankah Allah jua pemilik setiap keping hati kita? Note: Entri ini dan sebelumnya pernah disiarkan dalam blog lama saya. Sekadar perkongsian semula (^__^)
0 Comments
Masa terus berputar, dan tempoh praktikum kembali lagi. Para pelajar fakulti di tahun akhir semuanya ghaib dari ruang fakulti. Masing-masing terlontar sana-sini. Ada yang dekat, ada yang sayup nun di hujung sempadan. Setiap pelajar, ditaklifkan seorang pensyarah sebagai penyelia yang bertanggungjawab memantau perjalanan praktikum serta tahap kemahiran dalam mengaplikasi segala teori yang pernah dipelajari dalam kuliah-kuliah terdahulu, termasuklah sedikit pengalaman mock-teaching ketika menghadiri kelas Kurikulum dan Pedagogi. Cukupkah pengalaman dalam pengajaran mikro? Sejauh manakah teori-teori pembelajaran serta pendekatan yang pernah diperhalusi dan diperdebatkan semasa kuliah dan tutorial dalam menjamin kejayaan para pelajar dalam sesi praktikal mereka yang berlangsung selama 16 minggu itu? Apakah hasil akhirnya kelak? Mampukah mereka melakar satu kenangan serta arca pengalaman yang menarik serta bermakna sebagai persiapan sebelum menerima ‘lesen besar’ apabila ditempatkan di mana-mana sekolah kelak? Apakah harapan fakulti? Atau harapan pelajar itu sendiri? Segala persoalan ini seringkali bermain di fikiran, jika tidak semua pensyarah, yang pastinya benak fikiran saya. Pengalaman saya sendiri melalui dua sesi mengajar ketika menjalani ijazah pertama di kampus Lembah Pantai, UM banyak memberi warna dalam perjalanan karier. Sejujurnya, sesi praktikum bukanlah pengalaman pertama saya berhadapan dengan para pelajar yang berpanca warna, kerana semenjak di tahun pertama universiti, setiap kali cuti semester yang panjang, saya akan meluangkan masa untuk ‘mengisi’ kekosongan sebagai guru ganti di sekolah-sekolah rendah di sekitar tanah kelahiran, Kemaman. Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, malah muzik antara subjek yang pernah saya ajari. Kehadiran saya di kelas-kelas itu tanpa bekalan ilmu yang khusus tentang pengajaran pembelajaran, jauh sekali psikologi, pedagogi dan sebagainya saya anggap sebagai satu ‘eksperimen’. Sebagai manusia, kita sememangnya dianugerahi deria tersediri yang boleh menghidu sama ada kehadiran kita ‘diterima’ oleh para pelajar. Melalui reaksi muka, bahasa badan dan gaya percakapan, kita mampu mengukur secara umum sejauh mana pelajar itu menyukai gaya pengajaran kita. Dan tidak keterlaluan, boleh saya katakan bilangan hadiah yang diterima pada hari terakhir seseorang guru di sekolah juga boleh menjadi kayu ukur! Saya ingat akan pengalaman di mana meja saya di bilik guru penuh dengan hadiah kecil besar daripada para pelajar. Ketika itu saya sebagai guru ganti di sekolah Rendah Sultan Ismail Kemaman, saya sebagai guru Bahasa Inggeris untuk tahun enam, kemudian saya menyambung lagi sebagai guru Muzik di sekolah yang sama dan kali itu saya mengajar pelajar tahun Dua sesi petang. Kebetulan juga, hari guru jatuh pada hari kedua terakhir saya di sekolah itu. Wajah-wajah comel datang ke bilik guru menghulur bingkisan kecil .. malah ada juga yang menghulurkannya selepas pengajaran. Memang terharu. Sesungguhnya, hadiah itu meski kecil, bukanlah ukuran sebenar. Yang paling utama, saya mendapat mesej bahawa kehadiran saya di situ diterima mereka. Alhamdulillah. Praktikum saya yang pertama berlangsung di Sekolah Menengah St Mary, Bukit Bintang. Tidak banyak yang saya ketahui tentang sekolah ini, selain namanya yang mudah diingati. Para pelajar saya merupakan pelajar tingkatan dua. Satu ciri yang paling saya gemar tentang para pelajar di St Mary adalah sikap mereka yang begitu menghormati para guru. Mungkin kerana itulah hasil didikan yang mereka terima semenjak di tingkatan satu (atau juga hasil tarbiyah di peringkat sekolah rendah?). Pantang berselisih dengan guru, mereka bukan sahaja tidak lokek memberi senyuman dan ucapan salam, malah mereka akan melenggokkan badan serta menunduk, atau tidak kurang yang membengkok lutut sambil menjinjit birai pinnafore dengan penuh hormat dan santun. Saya terpesona sekali. Saya di situ bersama seorang rakan baik, Nor. Kami diberi meja paling tersudut di bilik guru, malah terpaksa berkongsi satu meja berdua kerana kekurangan tempat di bilik guru yang agak sempit itu. Apatah lagi, meja itu turut digunakan guru yang mengajar sewaktu sesi pagi. Bolehkah anda bayangkan satu meja dikongsi bertiga? Dengan timbunan buku serta peralatan, belum lagi dicampur dengan bahan-bahan bertulis yang lain. Namun, menyedari diri di tempat orang, serta kehadiran saya di situ sebagai novice yang asih memegang Lesen L dalam pengajaran, tidak banyak yang boleh saya pinta, melainkan belajar untuk redha. Hubungan dengan para guru sedia ada juga tidaklah semesra mana. Saya kira, kami berdua hanya rapat dengan guru pembimbing sahaja. Jarang kami berkesempatan berbual-bual dengan guru yang lain di bilik guru, dan faktor utamanya adalah masa. Masing-masing berkejaran ke kelas, dan apabila seorang sudah kembali ke bilik guru, rakan di sebelah pula ke kelas lain. Jadi, kurang pertindanan masa untuk sama-sama berada di tempat yang sama serentak. Namun itu tidaklah bermakna kami bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali bermasam muka. Ketika acara sukan sekolah misalnya, kerjasama antara kami guru praktikal dengan guru-guru sekolah ternyata serasi. Acara balapan di padang, berlangsung di bawah terik mentari di kepala. Saya masih ingat, kami ditugaskan untuk menjaga garisan, memastikan semua peserta acara berlari di petak masing-masing. Kemudian berlarian pula membawa markah ke meja pengadil. Meski agak semput, saya terima semua itu sebagai apa yang dikatakan pertambahan pengalaman baru yang harus saya depani dengan perasaan positif dan minda terbuka. Penyelia saya, datang kali pertama menaiki bas dari UM. Kedatangan beliau tidak mengejutkan saya, kerana saya diajar untuk sentiasa bersedia terutama dalam penulisan rancangan pengajaran. Malang bagi rakan saya, beliau sedikitcareless atau mungkin juga kurang ‘cakne’ terhadap rancangan pengajarannya. Beberapa hari sebelum itu, kelas tertunda kerana ada mesyuarat yang wajib dihadiri semua guru, lalu rakan saya itu menggunakan rancangan pengajaran yang sama untuk hari berikutnya tanpa menulis yang baru. Menambah kepada impak negatif, beliau tidak pula mengubah tarikh serta masa pengajaran yang baru mengikut jadual hari tersebut. Penyelia yang datang berjaya menghidu perbuatannya. Saya turut merasai kesannya bila mana beliau memberi syarahan panjang bukan kepada rakan saya sahaja, malah saya turut diajak mendengar sama. Hati saya berdebar-debar. Perkara yang saya takuti berlaku kepada rakan akrab saya sendiri. Duh. Bukankah itu pengalaman yang begitu tidak nyaman untuk dikenang? Di akhir semester, saya melihat huruf A pada slip keputusan, syukur alhamdulillah .. manakala rakan saya, mendapat keputusan yang sama sekali berbeza. Bolehkah anda menebak apa hasilnya? Praktikum kali kedua, saya ditempatkan di Sek Men Pasir Panjang, Sekinchan, bersama seorang lagi rakan sekelas. Kami menyewa di sebuah rumah berhadapan sekolah yang jaraknya hanya dipisahkan sebatang jalan berturap yang kecil. Pada satu hari, saya terlihat kelibat penyelia saya di tingkat atas, menuju ke bilik guru, lalu tahulah saya bahawa pada hari itu saya bakal dipantau. Sepantas kilas, saya terfikirkan sesuatu yang lebih menarik untuk pengajaran saya. Meski pada awalnya saya hanya bercadang menggunakan lakaran gelas dan sudu, saya sebaliknya berlari ke dapur rumah sewa untuk membawa kedua bahan realia tersebut. Hasilnya, penyelia saya berpuashati dengan aktiviti pengajaran, ditambah pula nasib saya agak baik kerana pelajar di kelas tersebut merupakan pelajar yang aktif bertanya serta tidak malu mencuba. Dua minggu kemudian, saya dikunjungi pula oleh penyelaras praktikum, Ustaz Hasan Basri Mat Dahan (sekarang Prof. Dr.). Beliau memberitahu saya yang kedatangannya adalah di atas jemputan penyelia saya, dan tujuan kedatangannya adalah untuk ‘mengesahkan’ sama ada saya layak untuk mendapat A sebagai mana saranan penyelia saya. Sekali lagi, A menjadi milik saya. Kenapa saya mencatat kisah-kisah ini? Demi Tuhan, ia bukanlah untuk bermegah-megah, jauh sekali menuntut pujian. Di sebalik pengalaman ini, ada beberapa perkara pokok yang ingin saya kongsikan sebagai pedoman untuk mereka yang sedang berada di alam praktikum mengajar. Seiring dengan label yang kita bawa sebagai guru pelatih, matlamat anda adalah untuk mendapatkan latihan dan bentuk latihan yang dihasratkan agar anda capai bukanlah semata-mata kemahiran dalam mengendalikan aktiviti di dalam kelas, namun lebih luas lagi ia merangkumi aspek kemahiran dalam pengurusan masa serta disiplin. Di sinilah, anda diberi ruang dan peluang untuk bereksperimen dengan setiap ilmu yang anda perolehi di sepanjang pengajian di fakulti, jadi gunakalah kesempatan ini untuk mencubapakai seberapa banyak pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran (tetapi haruslah disesuaikan dengan keadaan kelas, level of performance pelajar dsb). Janganlah jadi guru pelatih yang jumud, yang hanya bergantung kepada satu atau dua kaedah tertentu sahaja di sepanjang 16 minggu yang ada. Be a risk taker, dare to fail and reflect on what went wrong. Kita bukan hanya belajar daripada kejayaan lepas, tetapi kita sebenarnya lebih banyak belajar daripada kesilapan lalu! Latihan mengajar juga adalah platform untuk mengasah bakat inter-personal serta komunikasi dengan rakan sejawat (guru-guru tetap di sekolah anda menjalani latihan mengajar). Aspek ini amat penting kerana ini memberi gambaran awal terhadap kapasiti anda sebagai guru novice serta potensi yang ada untuk anda terus maju. Jika diberi apa juga tugas, terutamanya secara ad-hoc, maka terimalah segalanya dengan niat untuk belajar. Jangan sesekali menarik muka empat belas bila mana nama anda seringkali ‘naik’ untuk sesuatu tugas. Praktisnya memang begitu, semenjak dulu. Guru pelatih seringkali mengadu mereka ‘didera’. Mereka berasakan bahawa pihak sekolah sengaja memilih mereka dengan niat untuk membuli, atau mengambil kesempatan. Mungkin itu yang kita rasa, namun hakikatnya mungkin tidak benar. Pihak pentadbir sekolah juga seorang guru, dan pernah menjadi guru pelatih. Justeru, mereka faham keperluan pihak sekolah untuk memberi sebanyak mungkin pendedahan kepada para pelatih dalam setiap bidang apabila ada ruang yang sesuai. Jadi, minda anda haruslah dibasuh. Bersihkan ia, dari sebarang sangkaan buruk begitu, kerana jika anda bersangka buruk, hati kecil tidak akan berbunga redha. Tanpa kerelaan, setiap perbuatan tentu sekali tidak akan diberi ganjaran pahala, malahan dosa bakal hinggap di kepala. Jadi, poinnya di sini, bermurah hatilah untuk membantu apa sahaja. Pengalaman saya berbual dengan beberapa pentadbir sekolah, pelajar praktikal yang banyak berjasa kepada sekolah namanya akan sentiasa meniti di bibir mereka. Dengan bangganya mereka akan menyebut nama sekian sekian dari universiti sekian sekian. Bukankah itu satu penghargaan, malah doa juga buat kita? MasyaAllah! Sikap merendah diri itu satu senjata kejayaan. Saya amat yakin dengan perkara ini. Tidak rugi satu sen pun jika anda merendah diri dan dalam masa yang sama tidak memandang rendah kepada orang lain. Malah, ilmu kehidupan mengesahkan bahawa mereka yang merendah diri akan dihormati sepanjang masa, mereka yang meninggi diri bakal dihina dan dicerca. Pernah seorang pengetua di sebuah sekolah menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan dua pelajar praktikum dari sebuah universiti ke sekolahnya. Beliau terserempak dengan pelajar-pelajar tersebut kala menapak menuju kantin sekolah untuk makan pagi. Melihat kelibat sang pengetua di hadapan mata, pelajar-pelajar ini terus menyuakan surat penempatan praktikum sebagai tanda mereka melapor diri pada hari tersebut. Pengetua tadi terpinga-pinga kerana usai memperkenalkan diri dan nama institusi , mereka terus berlalu bergitu sahaja. Bukankah janggal lagi pelik? Tambahan pula, di mana adab kita sebagai orang yang mahu menumpang teduh apatah lagi ingin mengutip ‘mutiara’ pengalaman daripada mereka. Kisah kedua, seorang pengetua lain pula. Katanya, pernah sekali seorang pelajar dengan tegas menyebut, “Saya harap pihak sekolah memberi kerjasama sepenuhnya kepada kami.” Kepala yang tidak gatal tiba-tiba pinta digaru! Duh! Apa yang terlintas di hati anda sebagai reaksi kepada dua contoh sebenar ini? Kadangkala kita terlupa tentang gaya bahasa. Itu tidak banyak disisipkan dalam bab mana-mana buku, sebaliknya ia dikaut melalui ilmu kehidupan. Saya beberapa kali terserempak dengan kes sebegini. Misalnya, seorang pelajar ingin mendapatkan bantuan dari segi idea, dan berhasrat untuk bertemu muka, lalu dihantar satu pesanan ringkas yang bunyinya lebih kurang begini: “Saya nak jumpa esok jam 3 petang di fakulti.” atau “Maklumkan kepada saya bila free, saya nak jumpa.” Sekali lagi, apakah lintasan dalam hati anda apabila melihat dua potong ayat ini? Mengikut kaca mata ilmu kehidupan, mereka yang menggunakan gaya bahasa begini belum mencapai ‘kehalusan’ dalam muamalat atau gaya berinteraksi. Saya berharap agar tiada ada seorangpun yang tidak merasakan apa-apa yang sumbang di situ kerana bila kita punya nilai budi yang halus, sensitiviti hati kita akan menyanggah. Jadi, poinnya di sini juga, peliharalah bahasa kita kerana bahasa melambangkan peribadi. Ia berkait rapat dengan ungkapan awal saya tadi bahawa sikap merendah diri itu senjata kejayaan. Jadi, buangkanlah segala ego dan rasa hebat kita, kerana tempoh praktikal adalah tempoh kritikal untuk anda mendalami makna keguruan yang sebenarnya. Seorang pelajar pernah mengeluh kepada saya, “Saya dapat pelajar lemah, bodoh. Sukar saya mengikut rancangan pengajaran.” Mungkin ada yang berhadapan dengan isu yang sama bukan? lalu bagaimana anda menyelesaikan hal ini? InsyaAllah, jika berkesempatan, saya kupas isu ini kelak. Mohon permisi untuk ke kuliah :) Screencast-o-matic merupakan aplikasi web berasaskan Java yang boleh digunakan untuk menghasilkan ‘screen-cast’. Apa itu ‘screen-cast’? Secara ringkasnya boleh dikatakan bahawa ‘screen-cast’ merujuk kepada video pendek yang dirakam bersama suara pengguna atau individu yang menghasilkan bahan tersebut dan dalam masa yang sama memaparkan segala pergerakan pada skrin monitor. Kebiasaannya penggunaan ‘screen-cast’ sangat sesuai untuk menunjukkan sesuatu proses seperti penggunaan formula-formula dalam Excel, pembangunan blog atau cara-cara penghasilan video. Walau bagaimanapun, ia tidaklah terhad kepada tujuan itu sahaja kerana dengan menggunakan teknik ‘screen-cast’, para guru atau pensyarah boleh menghasilkan syarahan atau penerangan lisan berdasarkan bahan yang disediakan. Salah satu aplikasi yang mudah (dan percuma) serta tidak memerlukan proses muatturun (‘downloading’ dan ‘installing’) ialah Screen-cast-o-matic. Saya secara peribadi menggunakan aplikasi ini untuk kursus-kursus berkaitan penggunaan komputer serta Web 2.0. Berikut adalah contoh tutorial yang boleh dijadikan panduan: Namun persoalannya, kenapa perlu menghasilkan bahan ‘screen-cast’ jika guru boleh menerangkan kepada pelajar di dalam kelas? Kelebihan utama penghasilan bahan seperti ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar untuk belajar sesuatu perkara tanpa kuliah bersemuka (secara tidak langsung meningkatkan kebolehan meneroka dalam diri pelajar), tetapi ia mampu memberi peneguhan serta memantapkan kefahaman pelajar kerana bahan video dapat diulang-ulang oleh pelajar sehingga mereka benar-benar mampu menguasai konsep atau kemahiran yang diperlukan.
Selamat mencuba! :) |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |