Masa terus berputar, dan tempoh praktikum kembali lagi. Para pelajar fakulti di tahun akhir semuanya ghaib dari ruang fakulti. Masing-masing terlontar sana-sini. Ada yang dekat, ada yang sayup nun di hujung sempadan. Setiap pelajar, ditaklifkan seorang pensyarah sebagai penyelia yang bertanggungjawab memantau perjalanan praktikum serta tahap kemahiran dalam mengaplikasi segala teori yang pernah dipelajari dalam kuliah-kuliah terdahulu, termasuklah sedikit pengalaman mock-teaching ketika menghadiri kelas Kurikulum dan Pedagogi. Cukupkah pengalaman dalam pengajaran mikro? Sejauh manakah teori-teori pembelajaran serta pendekatan yang pernah diperhalusi dan diperdebatkan semasa kuliah dan tutorial dalam menjamin kejayaan para pelajar dalam sesi praktikal mereka yang berlangsung selama 16 minggu itu? Apakah hasil akhirnya kelak? Mampukah mereka melakar satu kenangan serta arca pengalaman yang menarik serta bermakna sebagai persiapan sebelum menerima ‘lesen besar’ apabila ditempatkan di mana-mana sekolah kelak? Apakah harapan fakulti? Atau harapan pelajar itu sendiri? Segala persoalan ini seringkali bermain di fikiran, jika tidak semua pensyarah, yang pastinya benak fikiran saya. Pengalaman saya sendiri melalui dua sesi mengajar ketika menjalani ijazah pertama di kampus Lembah Pantai, UM banyak memberi warna dalam perjalanan karier. Sejujurnya, sesi praktikum bukanlah pengalaman pertama saya berhadapan dengan para pelajar yang berpanca warna, kerana semenjak di tahun pertama universiti, setiap kali cuti semester yang panjang, saya akan meluangkan masa untuk ‘mengisi’ kekosongan sebagai guru ganti di sekolah-sekolah rendah di sekitar tanah kelahiran, Kemaman. Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, malah muzik antara subjek yang pernah saya ajari. Kehadiran saya di kelas-kelas itu tanpa bekalan ilmu yang khusus tentang pengajaran pembelajaran, jauh sekali psikologi, pedagogi dan sebagainya saya anggap sebagai satu ‘eksperimen’. Sebagai manusia, kita sememangnya dianugerahi deria tersediri yang boleh menghidu sama ada kehadiran kita ‘diterima’ oleh para pelajar. Melalui reaksi muka, bahasa badan dan gaya percakapan, kita mampu mengukur secara umum sejauh mana pelajar itu menyukai gaya pengajaran kita. Dan tidak keterlaluan, boleh saya katakan bilangan hadiah yang diterima pada hari terakhir seseorang guru di sekolah juga boleh menjadi kayu ukur! Saya ingat akan pengalaman di mana meja saya di bilik guru penuh dengan hadiah kecil besar daripada para pelajar. Ketika itu saya sebagai guru ganti di sekolah Rendah Sultan Ismail Kemaman, saya sebagai guru Bahasa Inggeris untuk tahun enam, kemudian saya menyambung lagi sebagai guru Muzik di sekolah yang sama dan kali itu saya mengajar pelajar tahun Dua sesi petang. Kebetulan juga, hari guru jatuh pada hari kedua terakhir saya di sekolah itu. Wajah-wajah comel datang ke bilik guru menghulur bingkisan kecil .. malah ada juga yang menghulurkannya selepas pengajaran. Memang terharu. Sesungguhnya, hadiah itu meski kecil, bukanlah ukuran sebenar. Yang paling utama, saya mendapat mesej bahawa kehadiran saya di situ diterima mereka. Alhamdulillah. Praktikum saya yang pertama berlangsung di Sekolah Menengah St Mary, Bukit Bintang. Tidak banyak yang saya ketahui tentang sekolah ini, selain namanya yang mudah diingati. Para pelajar saya merupakan pelajar tingkatan dua. Satu ciri yang paling saya gemar tentang para pelajar di St Mary adalah sikap mereka yang begitu menghormati para guru. Mungkin kerana itulah hasil didikan yang mereka terima semenjak di tingkatan satu (atau juga hasil tarbiyah di peringkat sekolah rendah?). Pantang berselisih dengan guru, mereka bukan sahaja tidak lokek memberi senyuman dan ucapan salam, malah mereka akan melenggokkan badan serta menunduk, atau tidak kurang yang membengkok lutut sambil menjinjit birai pinnafore dengan penuh hormat dan santun. Saya terpesona sekali. Saya di situ bersama seorang rakan baik, Nor. Kami diberi meja paling tersudut di bilik guru, malah terpaksa berkongsi satu meja berdua kerana kekurangan tempat di bilik guru yang agak sempit itu. Apatah lagi, meja itu turut digunakan guru yang mengajar sewaktu sesi pagi. Bolehkah anda bayangkan satu meja dikongsi bertiga? Dengan timbunan buku serta peralatan, belum lagi dicampur dengan bahan-bahan bertulis yang lain. Namun, menyedari diri di tempat orang, serta kehadiran saya di situ sebagai novice yang asih memegang Lesen L dalam pengajaran, tidak banyak yang boleh saya pinta, melainkan belajar untuk redha. Hubungan dengan para guru sedia ada juga tidaklah semesra mana. Saya kira, kami berdua hanya rapat dengan guru pembimbing sahaja. Jarang kami berkesempatan berbual-bual dengan guru yang lain di bilik guru, dan faktor utamanya adalah masa. Masing-masing berkejaran ke kelas, dan apabila seorang sudah kembali ke bilik guru, rakan di sebelah pula ke kelas lain. Jadi, kurang pertindanan masa untuk sama-sama berada di tempat yang sama serentak. Namun itu tidaklah bermakna kami bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali bermasam muka. Ketika acara sukan sekolah misalnya, kerjasama antara kami guru praktikal dengan guru-guru sekolah ternyata serasi. Acara balapan di padang, berlangsung di bawah terik mentari di kepala. Saya masih ingat, kami ditugaskan untuk menjaga garisan, memastikan semua peserta acara berlari di petak masing-masing. Kemudian berlarian pula membawa markah ke meja pengadil. Meski agak semput, saya terima semua itu sebagai apa yang dikatakan pertambahan pengalaman baru yang harus saya depani dengan perasaan positif dan minda terbuka. Penyelia saya, datang kali pertama menaiki bas dari UM. Kedatangan beliau tidak mengejutkan saya, kerana saya diajar untuk sentiasa bersedia terutama dalam penulisan rancangan pengajaran. Malang bagi rakan saya, beliau sedikitcareless atau mungkin juga kurang ‘cakne’ terhadap rancangan pengajarannya. Beberapa hari sebelum itu, kelas tertunda kerana ada mesyuarat yang wajib dihadiri semua guru, lalu rakan saya itu menggunakan rancangan pengajaran yang sama untuk hari berikutnya tanpa menulis yang baru. Menambah kepada impak negatif, beliau tidak pula mengubah tarikh serta masa pengajaran yang baru mengikut jadual hari tersebut. Penyelia yang datang berjaya menghidu perbuatannya. Saya turut merasai kesannya bila mana beliau memberi syarahan panjang bukan kepada rakan saya sahaja, malah saya turut diajak mendengar sama. Hati saya berdebar-debar. Perkara yang saya takuti berlaku kepada rakan akrab saya sendiri. Duh. Bukankah itu pengalaman yang begitu tidak nyaman untuk dikenang? Di akhir semester, saya melihat huruf A pada slip keputusan, syukur alhamdulillah .. manakala rakan saya, mendapat keputusan yang sama sekali berbeza. Bolehkah anda menebak apa hasilnya? Praktikum kali kedua, saya ditempatkan di Sek Men Pasir Panjang, Sekinchan, bersama seorang lagi rakan sekelas. Kami menyewa di sebuah rumah berhadapan sekolah yang jaraknya hanya dipisahkan sebatang jalan berturap yang kecil. Pada satu hari, saya terlihat kelibat penyelia saya di tingkat atas, menuju ke bilik guru, lalu tahulah saya bahawa pada hari itu saya bakal dipantau. Sepantas kilas, saya terfikirkan sesuatu yang lebih menarik untuk pengajaran saya. Meski pada awalnya saya hanya bercadang menggunakan lakaran gelas dan sudu, saya sebaliknya berlari ke dapur rumah sewa untuk membawa kedua bahan realia tersebut. Hasilnya, penyelia saya berpuashati dengan aktiviti pengajaran, ditambah pula nasib saya agak baik kerana pelajar di kelas tersebut merupakan pelajar yang aktif bertanya serta tidak malu mencuba. Dua minggu kemudian, saya dikunjungi pula oleh penyelaras praktikum, Ustaz Hasan Basri Mat Dahan (sekarang Prof. Dr.). Beliau memberitahu saya yang kedatangannya adalah di atas jemputan penyelia saya, dan tujuan kedatangannya adalah untuk ‘mengesahkan’ sama ada saya layak untuk mendapat A sebagai mana saranan penyelia saya. Sekali lagi, A menjadi milik saya. Kenapa saya mencatat kisah-kisah ini? Demi Tuhan, ia bukanlah untuk bermegah-megah, jauh sekali menuntut pujian. Di sebalik pengalaman ini, ada beberapa perkara pokok yang ingin saya kongsikan sebagai pedoman untuk mereka yang sedang berada di alam praktikum mengajar. Seiring dengan label yang kita bawa sebagai guru pelatih, matlamat anda adalah untuk mendapatkan latihan dan bentuk latihan yang dihasratkan agar anda capai bukanlah semata-mata kemahiran dalam mengendalikan aktiviti di dalam kelas, namun lebih luas lagi ia merangkumi aspek kemahiran dalam pengurusan masa serta disiplin. Di sinilah, anda diberi ruang dan peluang untuk bereksperimen dengan setiap ilmu yang anda perolehi di sepanjang pengajian di fakulti, jadi gunakalah kesempatan ini untuk mencubapakai seberapa banyak pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran (tetapi haruslah disesuaikan dengan keadaan kelas, level of performance pelajar dsb). Janganlah jadi guru pelatih yang jumud, yang hanya bergantung kepada satu atau dua kaedah tertentu sahaja di sepanjang 16 minggu yang ada. Be a risk taker, dare to fail and reflect on what went wrong. Kita bukan hanya belajar daripada kejayaan lepas, tetapi kita sebenarnya lebih banyak belajar daripada kesilapan lalu! Latihan mengajar juga adalah platform untuk mengasah bakat inter-personal serta komunikasi dengan rakan sejawat (guru-guru tetap di sekolah anda menjalani latihan mengajar). Aspek ini amat penting kerana ini memberi gambaran awal terhadap kapasiti anda sebagai guru novice serta potensi yang ada untuk anda terus maju. Jika diberi apa juga tugas, terutamanya secara ad-hoc, maka terimalah segalanya dengan niat untuk belajar. Jangan sesekali menarik muka empat belas bila mana nama anda seringkali ‘naik’ untuk sesuatu tugas. Praktisnya memang begitu, semenjak dulu. Guru pelatih seringkali mengadu mereka ‘didera’. Mereka berasakan bahawa pihak sekolah sengaja memilih mereka dengan niat untuk membuli, atau mengambil kesempatan. Mungkin itu yang kita rasa, namun hakikatnya mungkin tidak benar. Pihak pentadbir sekolah juga seorang guru, dan pernah menjadi guru pelatih. Justeru, mereka faham keperluan pihak sekolah untuk memberi sebanyak mungkin pendedahan kepada para pelatih dalam setiap bidang apabila ada ruang yang sesuai. Jadi, minda anda haruslah dibasuh. Bersihkan ia, dari sebarang sangkaan buruk begitu, kerana jika anda bersangka buruk, hati kecil tidak akan berbunga redha. Tanpa kerelaan, setiap perbuatan tentu sekali tidak akan diberi ganjaran pahala, malahan dosa bakal hinggap di kepala. Jadi, poinnya di sini, bermurah hatilah untuk membantu apa sahaja. Pengalaman saya berbual dengan beberapa pentadbir sekolah, pelajar praktikal yang banyak berjasa kepada sekolah namanya akan sentiasa meniti di bibir mereka. Dengan bangganya mereka akan menyebut nama sekian sekian dari universiti sekian sekian. Bukankah itu satu penghargaan, malah doa juga buat kita? MasyaAllah! Sikap merendah diri itu satu senjata kejayaan. Saya amat yakin dengan perkara ini. Tidak rugi satu sen pun jika anda merendah diri dan dalam masa yang sama tidak memandang rendah kepada orang lain. Malah, ilmu kehidupan mengesahkan bahawa mereka yang merendah diri akan dihormati sepanjang masa, mereka yang meninggi diri bakal dihina dan dicerca. Pernah seorang pengetua di sebuah sekolah menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan dua pelajar praktikum dari sebuah universiti ke sekolahnya. Beliau terserempak dengan pelajar-pelajar tersebut kala menapak menuju kantin sekolah untuk makan pagi. Melihat kelibat sang pengetua di hadapan mata, pelajar-pelajar ini terus menyuakan surat penempatan praktikum sebagai tanda mereka melapor diri pada hari tersebut. Pengetua tadi terpinga-pinga kerana usai memperkenalkan diri dan nama institusi , mereka terus berlalu bergitu sahaja. Bukankah janggal lagi pelik? Tambahan pula, di mana adab kita sebagai orang yang mahu menumpang teduh apatah lagi ingin mengutip ‘mutiara’ pengalaman daripada mereka. Kisah kedua, seorang pengetua lain pula. Katanya, pernah sekali seorang pelajar dengan tegas menyebut, “Saya harap pihak sekolah memberi kerjasama sepenuhnya kepada kami.” Kepala yang tidak gatal tiba-tiba pinta digaru! Duh! Apa yang terlintas di hati anda sebagai reaksi kepada dua contoh sebenar ini? Kadangkala kita terlupa tentang gaya bahasa. Itu tidak banyak disisipkan dalam bab mana-mana buku, sebaliknya ia dikaut melalui ilmu kehidupan. Saya beberapa kali terserempak dengan kes sebegini. Misalnya, seorang pelajar ingin mendapatkan bantuan dari segi idea, dan berhasrat untuk bertemu muka, lalu dihantar satu pesanan ringkas yang bunyinya lebih kurang begini: “Saya nak jumpa esok jam 3 petang di fakulti.” atau “Maklumkan kepada saya bila free, saya nak jumpa.” Sekali lagi, apakah lintasan dalam hati anda apabila melihat dua potong ayat ini? Mengikut kaca mata ilmu kehidupan, mereka yang menggunakan gaya bahasa begini belum mencapai ‘kehalusan’ dalam muamalat atau gaya berinteraksi. Saya berharap agar tiada ada seorangpun yang tidak merasakan apa-apa yang sumbang di situ kerana bila kita punya nilai budi yang halus, sensitiviti hati kita akan menyanggah. Jadi, poinnya di sini juga, peliharalah bahasa kita kerana bahasa melambangkan peribadi. Ia berkait rapat dengan ungkapan awal saya tadi bahawa sikap merendah diri itu senjata kejayaan. Jadi, buangkanlah segala ego dan rasa hebat kita, kerana tempoh praktikal adalah tempoh kritikal untuk anda mendalami makna keguruan yang sebenarnya. Seorang pelajar pernah mengeluh kepada saya, “Saya dapat pelajar lemah, bodoh. Sukar saya mengikut rancangan pengajaran.” Mungkin ada yang berhadapan dengan isu yang sama bukan? lalu bagaimana anda menyelesaikan hal ini? InsyaAllah, jika berkesempatan, saya kupas isu ini kelak. Mohon permisi untuk ke kuliah :)
1 Comment
norasyikin
6/27/2018 07:34:15 am
assalamualaikum. jika tidak keberatan penulis boleh share kupasan seterusnya. terima kasih
Reply
Leave a Reply. |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |