Ini suatu amanah yang berat dan saya sendiri masih sangsi samada saya mampu menggalas tanggungjawab ini sebaiknya. Namun saya percaya sesuatu itu berlaku pasti ada hikmah dan pengajarannya. Lalu saya cuba tenangkan hati dan pujuk minda untuk melihat sisi yang positif daripada pelantikan ini. Tugas 'core' saya yang diamanahkan adalah untuk start up program berbentuk Distance Open Learning (ODL). Hasrat UKM adalah untuk menjadikan menara gading ini sebagai satu hub pembelajaran dalam talian yang mampu menarik lebih ramai pelajar daripada latar belakang serta geografi yang berbeza. Namun, untuk menjadikannya sebagai ODL yang benar-benar menepati ciri-ciri ODL yang sepatutnya, banyak tugas yang perlu dilangsaikan. Semuanya bersarang di dalam zihni saya dan saya memerlukan kapasiti minda yang tenang dan rasional untuk articulate setiap satu sub-tugas agar dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan yang sistematik dan efektif. Kepada Allah Azza wa Jalla saya memohon rahmat dan rahim-Nya agar dikurniakan kekuatan fizikal dan mental untuk melunasi amanah ini dan impian untuk melihat 10 program ditawarkan secara ODL menjelang semester awal tahun 2021 menjadi satu kenyataan. Allahul Musta'aan ...
1 Comment
Saya anggap ini acara penutup tahun 2019 kerana pada minggu hadapan ramai yang akan mula bercuti panjang dan terbang ke sana sini. Lalu majlis Hari Kualiti 2019 adalah tepat sekali dijalankan pada minggu ini di mana masih ramai yang bertugas. Alhamdulillah, sekali lagi saya diberi kepercayaan untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang namun yang bezanya pada tahun ini ada majlis rasmi untuk meraikan penerima anugerah. Terima kasih dan tahniah di atas inisiatif ini, khususnya buat Yg Berusaha Dr Effendi, Ketua Jaminan Kualiti yang menggerakkan usaha ini. Selain penyampaian anugerah untuk perkhidmatan cemerlang, majlis turut meraikan beberapa kategori lain melibatkan staf pelaksana dan staf akademik. Tiada pernah terfikir oleh saya untuk turut menerima Anugerah Amalan Berkualiti dan hal ini merupakan satu kejutan juga. Bingung juga memikirkan amalan apakah yang dipertaruhkan untuk mengungguli kategori ini? Rupanya, saya baru dimaklumkan bahawa pencalonan dilakukan oleh Ketua Pusat masing-masing dan diadili oleh juri yang dilantik dari institusi luar. Apapun, saya anggap in sebagai sebuah rezeki untuk disyukuri. Diri ini sememangnya tidak pernah sempurna namun pengiktirafan ini tentunya menyuntik rasa insaf serta qana'ah dengan segala nikmat daripada-Nya. Cepatnya masa berlalu, lagi beberapa minggu tahun baharu akan menjelma. To-do-list saya masih panjang! Jadi saya perlu pendekkan ocehan. Sudah terlalu lama rasanya saya tidak menghadiri mana-mana persidangan antarabangsa yang khusus seputar bidang Teknologi Pendidikan atau Educational Technology. Kebanyakan seminar yang sering dihadiri adalah umum kepada Sains Sosial. Kesempatan ini saya ambil sementelah dilamar menjadi committee member yang antara lain bertangugngjawab melaksanakan tugas sebagai pewasit serta mempengerusikan sesi pembentangan selari. Syukur, Dr Hazrati turut bersama-sama saya menghadiri ICEDUTECH ini. Jadi perjalanan dan agenda tiga hari tidaklah terasa sunyi kerana ada teman mengembara. Seminar berlangsung di Lingnan University. Letaknya di Tuen Mun - hentian terakhir untuk tren MTR. Fuhhh .. memang agak di hujung tanjung (hmmm ... mengingatkan saya akan kembara beberapa tahun lalu di Paris bersama pakar kaunseling dari Unimas, Dr Salmah. Hotel kami juga letaknya di hentian terakhir tren. Puas menunggu untuk tiba. Namun yang penting hotel ratenya murah hehe! Ok tinggalkan cerita Paris .. sambung cerita Hong Kong pula). Antara yang menarik adalah beberapa pembentangan ucaptama yang menyentuh topik Cybersecurity (Prof Hui dari Hong Kong University of Science and Technology), Digital transformation of K-12: From digitized curriculum to deeply-digital curriculum (Prof Chatie & Prof Elliot dari USA) serta demonstrasi bagaimana mudahnya maklumat peribadi 'ditawan' oleh robot Zenbo - Using companion robot for research and education (Prof Hung dari Ontario Institute of Technology Canada). Tidak kurang menariknya adalah topik-topik pembentangan selari di sepanjang tiga hari yang penuh bermanfaat itu. Benarlah pesan para sifu, jika mahu mendalami kefahaman dalam bidang sendiri, hadirlah ke seminar yang khusus untuk bidang itu sahaja kerana di situ bukan sahaja pembentangan semuanya ada kaitan dengan bidang kita, malah peluang untuk duduk bersama dengan pakar-pakar bidang dari luar negara tentu sekali kesempatan yang tidak boleh dilepaskan. Kami memang kesuntukan masa untuk bersiar-siar di sekitar Tuen Mun lantaran sehari-hari memang dihabiskan di Lingnan University. (Memang niat dipasang untuk hadir penuh ke seminar ini) syukurlah perjalanan dari hotel tempat kami menginap hanya mengambil masa sekitar 15 minit menaiki bas. Namun pengalaman mencari stesen bas serta nombor bas untuk ke Lingnan University agak menyeronokkan (walaupun agak letih sebenarnya kerana terpaksa menapak ke stesen tren yang terletak sekitar 500 meter dari Penta Hotel). Kebanyakan rakyat di sana juga boleh berbahasa Inggeris meskipun tidak begitu fasih namun boleh membantu misalnya menunjuk arah. Sementelah, semenjak di bangku sekolah dahulu saya sememangnya 'hantu' drama dan filem Kantonis, jadi beberapa perkataan dalam Kantonis masih boleh diingati. Seronok dapat berbual bersama pemandu teksi yang kami tumpangi pada hari kedua dan ketiga untuk pulang semula ke hotel. Ternyata mereka teruja apabila melihat orang asing boleh menggunakan beberapa patah perkataan dalam konteks yang tepat hahaha. Terima kasih Andy Lau, Simon Young, Anita Mui dan tidak ketinggalan Jackie Chan! :P Melalui keseluruhan perjalanan di seminar ini beberapa refleksi untuk renungan: 1. Jangan underestimate international conference seperti ini. Pastikan topik yang dipilih untuk dibentangkan merupakan topik yang signifikan dengan bidang serta memperlihatkan sumbangan dalam kajian. 2. Tidak salah untuk membentangkan sesuatu projek yang bersifat 'on-going' kerana melalui platform ini, akan ada sahaja idea dikongsi oleh para audiens. 3. Pastikan slide ringkas dan yang paling penting, bersedia dengan latihan atau rehearsal agar tidak gugup dan hilang kata-kata di hadapan para penonton yang datang dari pelbagai pelosok negara. 4. Jangan berkumpul dengan ahli rombongan senegara sahaja. Pastikan berbual dan perkenalkan diri kepada mereka. Lebih baik sediakan kartu nama anda dan masukkan maklumat untuk dihubungi. Boleh juga senaraikan bidang penyelidikan bagi memudahkan orang lain mengetahui larat belakang (mana tahu jika ada rezeki untuk kolaborasi di masa akan datang!). 5. Mereka yang bermata biru berambut blonde kadang-kadang agak segan apabila melihat wanita jelita bertudung. Jadi jangan teragak-agak menegur dahulu. Tunjukkan keterbukaan kita. Kita tidak tahu persepsi apa yang ada dalam diri mereka. Namun percayalah, apabila kita menunjukkan kemesraan, mereka tidak teragak-agak untuk membalas dengan kemesraan juga. 6. Jika ke negara yang bukan negara Islam, makanan halal mungkin tidak mudah didapatkan. Jadi pastikan memilih pilihan makanan vegetarian untuk mengelakkan kita berputih mata. Alhamdulillah, lunch kami begitu enak sekali malah portionnya agak besar sehingga tidak mampu dihabisi! Sesekali meninggalkan ayam, daging atau ikan tiada masalahnya. Namun jika tiada pilihan makanan di luar, pastikan bekal maggi dan biskut atau roti secukupnya dibawa. (Kami meninggalkan 6 peket maggi di meja sebelum pulang. Kami anggap ia sebagai ole-ole untuk petugas hotel .. tak larat pula nak bawa balik semula!) 7. Rancang penginapan serta kenalpasti kemudahan pengangkutan yang ada sebelum bertolak dari negara kita. Dapatkan maklumat lain seperti ramalan cuaca misalnya kerana ia akan membantu kita memilih pakaian yang sesuai sebelum keluar. Oh oh Hong Kong pada ketika ini sebenarnya dalam mode musim sejuk namun suhunya tidaklah begitu sejuk. Malah ini musim sejuk yang paling 'panas' di Hong Kong berbanding tahun-tahun sebelum ini. Hmm .. agak panjang entri kali ini. Jumpa lagi. ^____^ Begitu lama, sungguh lama. Terpisah pula oleh jarak dan masa. Namun yang jauh itu masih dalam ingatan jua. Syukur jua dengan kesempatan yang diberi. Pemergian saya ke Kuching adalah atas tuntutan penyelidikan namun masa yang terluang tidak disia-siakan. Terima kasih Kak Bib dan Kak Edot yang sudi meluangkan masa untuk menemani saya makan lewat petang di Matang tadi. Kedua-duanya rakan sekuliah sewaktu di Universiti Malaya dahulu. Alangkah pantasnya masa meninggalkan kita .. tidak terasa bahawa zaman ijazah pertama telah terlalu lama dilewati. Dalam usia sebegini, banyak perkara yang menjadi kenangan. Perjalanan hidup dalam tahun-tahun yang panjang membina satu kefahaman tentang makna hidup yang tidak selalunya cerah. Namun, kerana rencah dan rasa yang pebagai itulah telah membentuk landskap warna-warni kehidupan. Penuh suka dan hiba. Sarat rasa yang berselirat. Hanya pergantungan kepadaNya jua menjadi penawar dan kapsul yang membekalkan tenaga buat jiwa. Mudah-mudahan sahaja silaturahim ini terus kukuh dan padu. Barangkali ada yang tidak pernah mendengar nama Latvia, sebuah negara cantik yang terletak di Timur Eropah ini. 'Apa?' itu reaksi yang beberapa kali saya dengar apabila nama Latvia disebut. Syukur, kedatangan Professor Andrejs Geske ke fakulti atas kapasiti Profesor Pelawat memberi banyak input bermakna, bukan sahaja untuk pelajar siswazah di FPend, malah turut memberi maklumat kepada kami, warga pensyarah. Perkongsian beliau tentang program PhD di Universiti Latvia juga agak menarik. Selaku Ketua Program PhD fakulti, saya dijemput oleh Prof Dr Saemah untuk turut sama mendengar perkongsian tersebut. Satu perkara yang menarik hati tentang pakar berbangsa Latvia ini adalah kesederhanaannya dalam segenap hal. Tutur katanya yang bersopan, tersusun malah senyuman yang tidak lekang di bibir membuat sesiapapun menjadi senang untuk berdampingan dan berguru dengannya. SIkap ini seharusnya menjadi suri teladan buat kita semua. Semakin banyak ilmu dan pengalaman, semakin merendah rendah. Janganlah hendaknya kita berasa puas dan angkuh dengan apa yang kita ada, kerana ilmu di dada walau sebanyak manapun, ia tetap hanyalah setitis daripada selautan imu Allah. Keserakanan atau collegiality merupakan salah satu elemen penting dalam kelestarian sesebuah organisasi di mana ia menghubungkan aspek inter-personal ahli-ahli sehingga akhirnya membawa kepada pencapaian dan penghasilan produktiviti yang mampan secara secara kolektif.
Konsep Communitiy of Practice sendiri banyak menekankan aspek pembelajaran dan pembangunan seseorang secara profesional melalui interaksi, perkongsian serta menuntut daripada ahli yang lebih pakar. Inilah yang dikatakan sebagai Legitimate Peripheral Participation karangan Lave & Wenger (1998). Kedudukan seseorang dalam sesebuah komuniti adalah bersifat dinamis dan sentiasa berubah. Bermula dengan peripheral participation, individu akan bergerak menuju ke titik hardcore/active members setelah melalaui proses pembelajaran daripada mereka yang lebih pakar melalui proses - observasi, soal jawab sehinggalah pelaksanaan tugas-tugas dari yang asas kepada yang lebih kompleks. Saya melihat diri saya begitu. Masih hijau dalam akademia. maka pertunjuk dan nasihat daripada pakar tentunya maajun mujarab dalam memperkasa profesionalisme diri. Setinggi-tinggi penghargaan buat Prof Dr Kamisah yang telah menjemput saya turut serta dalam projek Buku Perancangan Strategik KPT 2017-2018 bersama-sama tiga lagi pakar yang saya segani - Prof Dr Lilia, Prof Dr Saemah dan Prof Dr Ruhizan. Mudah-mudahan pengalaman ini memberi makna yang membekas. Sesungguhnya saya sememangnya bukan manusia yang layak memperkatakan tentang ini. Namun perkongsian ini saya anggap sebagai peringatan buat diri sendiri tentang suatu elemen penting dalam kehidupan - IKHLAS. Saya mohon kekuatan Ya Allah agar Kau tuntun hati ini untuk berbicara sesuatu yang bisa memberi manfaatnya kepada semua.
Jumaat nan mendung. Semenjak pagi langit menangis .. seperti tahu yang dunia akan kehilangan sebutir permata. Mesej-mesej tidak henti masuk ke group WhatsApp ahli DS memberi khabar terkini tentang keadaan kesihatan Tuan Guru kami Dato' Dr Haron Din. Berita pemergian beliau saya terima dengan seribu rasa. Tentunya hiba dan sendu sekali. K. An, sahabat dari UPM bertanya sama ada saya sudah maklum tentang berita pemergian itu. Saya membalas ringkas. Ahli-ahli yang lain mengajak agar setiap seorang menghadiahkan satu juzu' untuk disedekahkan kepada roh Tuan Guru.
Kenangan itu tiba-tiba datang menjelma. Sungguh saya rindu akan musim kuliah setiap Isnin yang pernah dilalui sepanjang setahun itu bila mana kami bergelar anak murid Tuan Guru. Hari bersejarah ketika ditauliahkan tentu sahaja menjadi kenangan paling berharga di sepanjang zaman. Jumaat penuh barakah menjemputnya kembali kepada Azza wa Jalla.. tenanglah dikau di sana wahai guruku .. tentu sahaja engkau sedang berbahagia di sana .. menemui Pencipta Rabbul Jalil .. Masa kita entah bila. Bekal kita sudah pasti jauh dari mencukupi. Pemergian ini begitu memberi erti. Membekas masuk ke sanubari. Al-Faatihah ... Ramadhan yang begitu pantas berlalu. Sepantas masa bak belati membelah hari. Minggu ini juga merupakan minggu terakhir para pelajar tahun akhir fakulti bergelar pelajar praktikum di sekolah. Khamis baru-baru ini saya berkunjung lagi ke sekolah di mana saya bertugas sebagai penyelia. Sempat berbicara panjang dengan dua orang guru pembimbing tentang banyak perkara - pencapaian, kesungguhan, kreativiti, komitmen serta tidak ketinggalan tentang kehalusan budi.
Kami sempat mengimbau kenangan lalu ketika masing-masing bergelar guru praktikum. Keutamaan banyak diberikan untuk menghasilkan bahan pengajaran agar aktiviti P&P menjadi 'hidup' dan menonjolkan kreativiti. Zaman saya dahulu, penyelia tidak pernah memaklumkan terlebih dahulu hari dan masa lawatan, lalu tiada istilah bersedia bila perlu. Setiap hari rasanya ingin menyediakan yang terbaik. Zaman saya dahulu juga tiada guru pembimbing yang dilantik, lalu pandai-pandailah mencari sumber rujukan muktabar - seringkali yang menjadi mangsa kami pelajar praktikum menempel adalah ketua panitia! Ke mana sahaja kami disuruh pergi, atau disuruh buat, semua diikut dengan hati terbuka. Seiring dengan perkembangan zaman, kata salah seorang guru pembimbing yang saya temui, guru-guru seharusnya mampu melaksanakan P&P yang berlandaskan kemahiran abad ke 21. Apatah lagi pelajar universiti/pelajar praktikum yang seharusnya tahu dan sedar akan keperluan ini. Beliau banyak bercerita tentang kisah pelajar-pelajar praktikum yang datang dan pergi di sekolah beliau. Amat sedih bilangnya bila masih ada guru praktikum yang memegang buku teks dan meminta para pelajar membaca dari buku teks seperti gaya pembelajaran tahun 70, 80an. Beliau turut mempersoalkan kebolehan pelajar universiti sekarang dalam menghasilkan bahan pengajaran serta memikirkan aktiviti secara kreatif. Sedikit sebanyak, sebagai seorang pensyarah yang bertugas melahirkan bakal guru, hati saya tersentap. Barangkali masih banyak yang harus diperbaiki dalam mutu kandungan serta pelaksanaan penilaian terhadap kemahiran pedagogi para bakal guru. Malah saya juga mendapat maklumat tentang bagaimana ada sesetengah guru praktikum yang menulis rancangan pengajaran hanya sebanyak 1 muka surat (bukan pelajar UKM katanya!). Hasil perbincangan hangat itu membuat saya berfikir dan berteleku. Pratikum hanya sekadar selembar benang daripada jutaan benang untuk menyulam profesion perguruan yang lengkap. Buat semua pelajar yang baharu melepasi fasa praktikum, teruskanlah mengejar ilmu. Tempoh praktikum di sekolah begitu singkat dan tidak mampu memberi banyak input kepada kehidupan sebenar seorang guru. Kala melangkah di dunia sebenar perguruan, baharulah pembelajaran sebenar berlaku. Kala itu, bukan hanya sekadar penguasaan ilmu dan kemahiran pedagogi yang tercabar, malah emosi dan keimanan pasti akan tersinggung pasti. Lalu bersiap sedialah kalian dengan hati yang terbuka, ikhlas dan padu untuk menebar jasa sebagai murabbi, bukan sekadar memuntahkan apa yang ada dalam sukatan pelajaran. Tahniah buat semua yang telah melengkapkan penulisan ilmiah di samping melunaskan tanggungjawab sebagai guru praktikum .. mudah-mudahan cepat dapat posting ye! Bagi yang berfikir-fikir tentang melanjutkan pelajaran, jangan segan dan malu untuk mendaftar sebagai pelajar sarjana di Fakulti Pendidikan .. dan pilihlah program Sumber dan Teknologi Maklumat! :) Alhamdulillah, atas segala kurnia dan rahmat daripada-Nya. Syukur ya Allah di atas usia yang masih bersisa, udara yang masih dihirup dan hayat nadi yang masih berdenyut.
Sahabat yang saya hormati dan sanjungi - Dr Faizah telah sudi menjemput saya sebagai sebahagian daripada ahli penyelidikan untuk mengembara ke bumi Hoi Ann dan Danang di Vietnam. Kami terbang ke sana seramai lima orang. Tujuan asas lawatan kali ini adalah untuk meninjau sektor pelancongan di dua tempat ini serta sekaligus cuba memahami gaya hidup rakyat di sana. Bertindak sebagai etnographers, banyak yang perlu diperhatikan - adat budaya, cara hidup, persekitaran, bahasa malah cara pergaulan. Kembara ini turut memberi ruang untuk saya menikmati syurga dunia alam ciptaan Tuhan. Meski kepenatan diheret perjalanan nan panjang. namun kala melihat indahnya langit senja di sana, hati tiba-tiba jauh mengembara. Terasa benar akan kerdilnya kita sebagai hamba yang menumpang di satu sudut paling kecil dalam dunia nan luas terbentang ini! Saya menerima satu pesanan ringkas tapi penuh signifikan.
Pesanan istimewa yang membawa peringatan buat mengubat hati yang terlupa. Bilik saya di fakulti semalam dimasuki 'seseorang' lalu dia membawa pergi mesin pencetak Laser Jet HP saya sebagai ole-ole percuma. Masuknya tetamu tidak diundang melalui tingkap (yang sekian lama tidak bisa dirapatkan lalu jika dilihat dari luar akan kelihatan rongga semuat jari kelingking). Mangga dipecahkan lalu dibawa entah ke mana .. melompat dia ke atas karpet merah belang tempat bersolat setiap hari. Entah berapa lama dia di dalam bilik sederhana saya .. menyelongkar segenap laci namun mungkin tiada yang bernilai ditemui selain mesin pencetak yang menjangkau usia dua tahun itu. Begitulah. Saya kehairanan sendiri bagaimana pintu bilik saya tidak terkunci kala mula-mula menjejak kaki ke pintu. Beberapa ketika cuba 'membaca' petanda yang ada fahamlah saya ada 'tetamu' semalamnya di situ. Sementelah pula kunci pendua pintu bilik saya tinggalkan di atas rak berhampiran pintu lalu tidak perlulah dia bersusah payah memanjat tingkap lagi untuk keluar pergi bersama ole-ole tadi. 'Bersyukur Saat Diuji' karya Prof Kamil kiranya menjadi penawar hati. Saya tiba-tiba membandingkan ujian yang pernah dialami penulis jauh lebih berat daripada apa yang saya lalui. Lalu, bersyukurlah saat diuji - kerana di sebalik ujian saya menerima satu pesanan untuk kembali dan membersih hati. Ampunilah diri ini Allahku, jika di sebalik mencari dunia diri ini alpa tentang perhambaan kepada-Mu. Diri ini mengakui bahawa nikmat-Mu terlalu agung untuk dibayar dengan nilai amalku yang sekelumit cuma. AstaghfiruLlahal adzim .. mungkin juga kerana doa ini sudah lama tidak dibaca ..... Saya bukanlah penggemar coklat yang tegar meskipun saya gemar membeli cokelat bar jika ke pasaraya namun kebanyakan waktu, cokelat tersebut akan dihabiskan oleh orang lain (suami dan anak!). Sesekali jika datang 'mood' saya juga gemar membakar kek coklat sendiri di rumah. Secara amnya, pengambilan coklat dalam kadar yang tidak berlebihan boleh memberi manfaat kepada tubuh badan kerana kandungan coklat itu sendiri boleh bertindak sebagai penyahoksidan, malah 'dark chocolate' dikatakan mampu merendahkan kadar kolesterol dalam badan dan membantu memperbaik tekanan darah! Di Jerman, satu kajian telah dijalankan di Germany’s Heinrich Heine University di mana peserta kajian dibahagikan kepada dua kumpulan; kumpulan yang diberi makan coklat dan sekumpulan lagi tidak. Kedua-dua kumpulan didedahkan kepada sinaran ultraviolet dan setelah enam minggu, data menunjukkan kumpulan yang diberi makan coklat menunjukkan kulit yang kurang kemerahan akibat pendedahan kepada ultraviolet tadi iaitu sebanyak 15%. Setelah 12 minggu pula, kulit ahli kumpulan kulit pemakan coklat didapati lebih lembap berbanding kumpulan yang tidak memakan coklat. Kesimpulannya, coklat juga baik untuk kulit! Walla!
Fakta di atas mungkin tidak cukup kuat untuk mendokong aktiviti memakan coklat namun bolehlah digunapakai untuk menyedapkan hati untuk meratah coklat, apatah lagi jika ia percuma hehe .. terima kasih Lee! :) Barang yang lepas jangan dikenang. Begitu kata orang namun kebiasaannya ujaran ini disebut bagi merujuk perkara ralat yang jika dikenang tiada gunanya, serta tidak mengubah apa-apa ketentuan yang telah terjadi. Sebaiknya dalam keadaan sedemikian, seseorang perlu terus memandang ke hadapan, menggendong bekal resolusi terbaik untuk mencapai sesuatu yang lebih baik serta melupakan ralat yang terjadi. Namun yang dikenang ini sesuatu yang manis, malah bisa membakar semangat untuk terus produktif dengan redha-Nya jua. Nucel2015Bermula 14-15 Disember 2015, jadual tersusun padat. National University Carnival on e-Learning (NUCEL 2015) pada tahun ini berlangsung di UPSI. Saya membawa tiga pelajar Sarjana sebagai pendedahan terhadap karnival tahunan ini. Kebetulan, kesemuanya dalam bidang Sumber dan Teknologi Maklumat dan berada di bawah penyeliaan saya sendiri. Shafiezul, Nadirah dan Afiqah. Saya menghantar satu poster ringkas tentang profil penggunaan komuniti atas talian yang sedang dalam proses pilot untuk Geran Galakan Penyelidik Muda. Mereka diberi peluang bersoal jawab dengan juri tentang kajian tersebut ketika saya sibuk menjuri penyertaan di booth lain. Alhamdulillah, pingat perak mejadi milik kami. Tahniah buat semua! (^_____^) Syukur juga kerana di penghujung majlis penutup nama saya diumumkan sebagai penerima Anugerah e-Pembelajaran Kebangsaan untuk kategori edublog/wiki e-Pembelajaran Terbaik. Tidak pernah saya sangka akan terpilih sebagai pemenang kerana saya hanya sekadar mengisi borang penyertaan yang telah dinamakan oleh pihak PPTP UKM. Alhamdulillah ala kulli hal .. SkepenPulang dari UPSI, 16-17 Disember pula merupakan tarikh Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara. Mujur lokasinya tidak jauh - AKEPT. Sebagai Ahli Jawatankuasa Pelaksana, saya perlu hadir di sana selama seminar dijalankan. Tambahan pula, ingin memberi sokongan moral buat pelajar-pelajar saya yang turut membentangkan kertas kerja mereka. Paling menyeronokkan, semua pelajar dari kursus Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat hadir ke seminar ini sebagai sebahagian pengisian kursus. |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |