Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti bengkel coaching yang dikendalikan oleh saudara Shanmugam seorang coach berpengalaman yang sudi datang ke fakulti. Meski banyak tugas lain menanti, saya memilih untuk hadir kerana saya tahu ada sesuatu yang bakal saya perolehi lewat pertemuan ini.
'Coaching' merupakan satu perkataan yang tidak asing bagi kita, namun anehnya begitu sukar untuk mencari perkataan dalam Bahasa Melayu yang mampu menggambarkan maksud sebenar 'coaching'. Jika ada yang mengatakan 'jurulatih', ia masih tidak tepat kerana jika ditelusuri konsep 'coaching' itu sendiri, wujud perbezaan ketara dengan konsep 'kejurulatihan'. Oh, kasihan bahasaku! Secara umumnya, pendekatan 'coaching' memberi tumpuan kepada proses pencapaian matlamat serta objketif di mana seorang 'coach' perlu bertindak untuk menyoal, mendengar serta memberi cabaran kepada coachee ke arah pencapaian matlamat tersebut. Dalam hal ini, 'coaching' berbeza dengan 'consultation' yang lebih bersifat seorang pakar memberikan idea bagaimana mencapai sesuatu objektif mengikut pengalaman dan kepakarannya. Amat penting juga, dalam 'coaching', seorang 'coach' tidak boleh bercakap lebih banyak daripada 'coachee'. Ini bermakna, coachee perlu bertindak aktif dalam menyoal dirinya, bagaimana, kenapa, bila dan apa yang perlu dibuat untuk mencapai objektifnya itu. 'Coach' berintdak sebagai pendengar namun sesekali menyoal kembali tindakan atau perancangan anak buahnya untuk memastikan kelangsungan dalam tindakan. Walaupun ditekankan bahawa 'coach' tidak perlu bercakap lebih banyak, namun hal yang penting dalam proses ini juga adalah komunikasi dua hala yang harus wujud. Saya tertanya-tanya juga apakah perbezaannya dengan konsep 'mentoring'? Mungkin secara ringkas boleh saya simpulkan bahawa, dalam 'mentoring', seseorang mentor lebih banyak berkongsi pengalaman yang pernah dilalui atau mungkin juga 'the best practice' yang boleh dilaksanakan oleh mentee untuk mencapai kesan atau objektif yang sama. Mentor juga bagi saya berkonsepkan 'penasihat' dan 'mentee' menerima dan mendengar nasihat tersebut. Dalam 'mentoring' juga saya melihat konsep 'role model' - sesuatu yang belum tentu ada dalam 'coaching'. Saya juga tertarik dengan strategi yang dikognsi beliau iaitu yang melibatkan 'Will and Skill Matrix'. Pokok pangkalnya di sini, dua faktor utama adalah kesediaan (will) dan kemahiran (skill). Terima kasih kepada En Shanmugam atas perkongsian tersebut. Quite interesting and inspiring too. I started to reflect on my own style of supervision - am I currently coaching my students? So much more to learn - that's my conclusion :) Masa berlalu, usia bertambah, tanggunjawab juga berganda. Di Fakulti, tanggungjawab tertumpu kepada pengajaran, penyelidikan, penerbitan serta segala macam 'deadlines' yang memburu. Pulang ke rumah, lain pula ceritanya. Karenah anak-anak, keperluan rumah, menu harian etc etc .. perlu diberi perhatian setiap hari. Ada yang berkata wanita itu 'superwoman' kerana banyak kerja dilakukan secara 'multitasking' .. sambil memandu kepala ligat memikirkan menu hidangan makan malam, sambil menyiapkan hidangan, sempat pula memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh sambil mengelap pinggan di rak. Usai makan malam, memantau kerja rumah si anak, sambil tangan ligat melipat kain-kain yang dibasuh. Mata tidak akan lena selagi anak-anak tidak beradu. Kadangkala, sebelum tidur sempat pula membuka komputer riba mempersiap bahan untuk tugas keesokan hari!
Saya sesekali, lewat pertemuan dengan sahabat-sahabat rapat, berbincang tentang peranan kita sebagai ibu dan pendidik. dalam kesibukan membentuk anak bangsa, kadangkala, ada yang terlupa akan tanggunjawab membentuk anak sendiri :( Dalam riuh memperkata kebejatan sosial anak orang, kita lupa apa yang berlaku dalam diri anak sendiri. Dalam kesibukan mencari salah anak orang, kita buta tentang kesilapan anak kita di mata gurunya. Duh .. perasaan itu menyentap jiwa. Sesekali, muhasabah itulah yang perlu. Jangan mudah mencari khilaf orang, sebaliknya cermin diri, perbetulkan peribadi. Sesungguhnya anak itu amanah lalu tunaikanlah haknya sebaik yang mampu. Allahku, tunjuki kami jalan yang benar, kekuatan yang padu untuk membina keluarga jannah amin ... Minggu ke-2 semester yang baru bertamu. Sekali lagi saya menyelaras Kursus Komputer dalam Pendidikan. Kursus ini merupakan kursus wajib bagi pelajar tahun pertama di fakulti. Seperti semester nan lepas juga, saya mengendalikan kumpulan pelajar TESL. Hari ini, saya bertemu muka dengan pelajar-pelajar baru ini. Datangnya mereka dari pelbagai pelosok tanahair, membawa latar belakang berpanca warna, menggendong personaliti serta gaya pembelajaran nan berbeza. Namun tujuannya satu. Mudah-mudahan ilmu yang digali melalui proses ekplorasi kendiri serta kolboratif ini akan menjadi bekal dan pedoman untuk mereka terus maju. Apatah lagi dalam dunia kini yang pantas peralihan teknologinya. Mudah-mudahan juga mereka yang bergelar Generasi Z ini mampu menampan segala godaan serta lambaian pelbagai aplikasi teknologi yang boleh menyebabkan berlakunya 'proscrastination' yang berlebihan, serta bijak pula memilih yang mana perlu dan yang mana tidak. Berikut antara sebahagian 'greetings' yang saya terima daripada mereka untuk aktiviti email ethics :) Self-reminder:
Menyahut jemputan daripada Pusat Siswazah minggu nan lepas, saya menghadiri satu majlis ilmu yang menyentuh tentang 'adab' sebagai pengguna Internet. Saudara Aaron dari CyberSecurity memberi contoh yang sangat menarik tentang bagaimana keterujaan kita atau kegilaan pengguna alam siber khususnya Facebook dalam berkongsi segala kisah hidup kepada dunia tanpa memikirkan implikasi di luar jangka - jenayah siber.
Tahukah kita bahawa pengguna Internet di seluruh Malaysia kini mencecah 25.3 juta orang. Jumlah ini yang merupakan 89% daripada keseluruhan penduduk di negara ini (28.4 juta). Pengguna di Malaysia melayari laman sosial sebanyak 14 billion kali setiap minggu, menghabiskan masa selama 20 jam seminggu melayari Internet. Pengguna Facebook di Malaysia adalah seramai 13 million (87.9% pengguna Internet secara keseluruhan di negara ini). Adab didefinisikan sebagai : “using the right knowledge in the right situation” (menggunakan pengetahuan yang tepat pada situasi yang tepat). Empat perkara dalam adab yang disarankan: a. Kenali peralatan - Kekuatan, kelemahan peralatan - Firewall? Antivirus? Password protection? b. Pastikan keselamatan jaringan (connection) - Kata laluan yang kukuh atau selamat - Kenalpasti sumber Internet c. Fahami platform yang digunakan - Kenalpasti tahap keselamatan platform yang digunakan - Talian peribadi vs talian terbuka (public) d. Berhati-hati dengan apa yang kita kata atau kongsi - Fikir sebelum berkongsi sesuatu (idea, buah fikiran, gambar dll) – apakah reaksi pembaca? - Jangan menulis sesuatu dalam keadaan beremosi - Pastikan gambar yang dikongsi tidak memberi sebarang ‘clue’ untuk penjenayah mengambil kesempatan - “Seringkali apa yang hendak disampaikan disalah tafsir oleh orang lain” Saranan untuk memelihara maklumat peribadi: a. Setiap kata laluan hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 10 aksara. b. Jangan sesekali menggunakan nama sendiri, nombor IC nama anak, pasangan, kereta, tempat kerja dan lain-lain dalam kata laluan. c. Jangan gunakan kata laluan yang sama untuk lebih daripada satu akaun. d. Gunakan emel yang berbeza untuk kerja dan peribadi atau sosial. e. Jangan melayari akaun perbankan menggunakan talian percuma atau wifi. f. Kawal maklumat peribadi (nombor telefon, kad pengenalan, alamat rumah, keluarga dll). g. Ubah kata laluan setiap sebulan untuk keselamatan. h. ‘Search’ nama sendiri di Google setiap bulan dan lihat apa hasilnya. i. Jika ingin berkongsi maklumat penting seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun, atau alamat rumah, hantarkan melalui SMS dan bukannya emel atau Whatsapp. j. Namakan folder penting dalam Dropbox, atau lain-lain penstoran menggunakan nama seperti makanan, haiwan dll untuk mengelakkanjenayah cyber. Elakkan nama seperti: Maklumat Penting, Akaun Peribadi, Top Secret dll. Semoga perkongsian ini ada manfaatnya untuk semua .. Ramadhan Kareem :) Ramadhan bertamu lagi. Menitip pesan dari Syaaban yang telah pergi .. mengingatkan diri akan Syawal yang bakal ditempuhi, apakah madrasah Ramadhan memberi impak pada paksi diri sebagai abdi-Llah ... memperteguh nilai istiqamah dalam pengabdian ... mudah2an Ya Rabb Ya Rahmaan .. perjalanan yang baru sehari ditempuhi ini menjadi permulaan kepada hijrah nan abadi dalam diri .. ameen...
Semalam, barangkali tarikhnya begitu kena dengan kedatangan Ramadhan, lalu syukurlah kepada Yang Esa kerana memberi ruang untuk kami mendapat pengisian minda dan rohani. Kedatangan Dato' Dr. Afifi al-Akiti ke majlis ilmu U-Wise anjuran Universiti Islam Malaysia (UIM) bagitu bermakna. Hampir tiga jam menadah telinga dan membuka dada, setiap maklumat dan penerangan seperti lancarnya air sungai mengalir ke dalam takungan minda. Begitu hebat nikmat yang Allah Azza wa Jalla kurniakan kepada anak Melayu yang membawa nama Malaysia ke persada dunia. Ah, terasa rugi kerana saya tidak berkesempatan menjejak kaki ke Oxford University kala bertamu di bumi ratu dahulu :( Begitu menarik kupasan beliau tentang maksud 'hikmah' atau wisdom. Benarlah, hikmah itu seperti satu barang berharga yang hilang daripada kita, lalu wajarlah usaha untuk mencarinya dilakukan secara tekal, dengan niat yang padu dan azam beribu. Ditekankan juga bahawa 'hikmah' itu tidak akan dapat dirasai oleh mana-mana individu, kecuali setelah sesuatu ilmu itu diamalkan atau diaplikasi dalam bentuk yang bermakna. Saya misalnya, begitu tertarik dengan apa yang disampaikan daripada Imam al-Ghazali tentnag peri pentingnnya keseimbangan dalam elemen aqli dan naqli dalam membentuk kehidupan yang menjamin pahala di sisi-Nya. Jelas bahawa Islam bukanlah hanya semata-mata agama di tikar sembahyang, namun sebaliknya, penekanan terhadap ilmu dunia tidak pernah diabaikan dalam tradisi Islam kita. Justeru, lewat doa seusai solat yang sering kita lafazkan - "Rabbana aatina fid dunya hasanah, wa fil aakhirati hasanah, waqinaa azaaban naar.." - Bukankah dalam doa ini kita memohon kebaikan hidup di dunia dan juga di akhirat? Bicara semalam memujuk minda, membujuk jiwa. Lalu menghantar keinsafan apabila ditatang neraca kehidupan selama ini .. seimbangkah dunia dan akhirat kita? Hati luluh. Terasa diri ini memang alpa. Sehari sebelum itu pula, temuduga kemasukan pelajar baru berlangsung di fakulti. Pelbagai ragam dan rasa dihidangkan para calon yang datang. Selamat datang ke UKM buat yang berjaya, manakala yang tidak, saya mendoakan jalan lebih baik buat semua :) Bila direflek kembali, betapa lamanya saya tidak menulis. Bukan kerana tiada perkara yang hendak dikongsi tetapi seringkali kaki tangan bagai digari masa. Pantasnya waktu berlari, sedar-sedar semester sudah tiba ke penghujung. Saya menerima beberapa pesanan ringkas melalui Whatsapp dan emel daripada beberapa pelajar bertanyakan tips untuk soalan peperiksaan yang selang beberapa hari sahaja lagi. "What do you expect?" terjah saya dalam hati. Adakah begini budaya pelajar sekarang? Menghubungi pensyarah semata-mata untuk mencari tips soalan agar kerja belajar dipermudahkan? Beberapa minggu sudah, saya menghadiri Simposium Kesarjanaan dalam Pengajaran dan Pembelaajran; Inovasi dalam P&P sebagai memenuhi undangan untuk membentangkan hasil penyelidikan daripada geran PTS (Program Tindakan Strategik). Saya lalu memilih satu topik berkaitan pemikiran reflektif. Pemikiran reflektif merupakan satu istilah umum yang merujuk kepada aktivti intelek dan afektif di mana individu terbabit meneroka pengalaman sendiri yang akhirnya membawa kepada pemahaman serta apresiari baru tentang sesuatu konsep. Kemahiran pemikiran reflektif ini secara amnya melibatkan kebolehan seseorang individu itu berfikir pada aras tinggi. Satu trend yang saya kenalpasti berlaku dalam pengajian di univeristi, para pelajar sering sahaja diminta untuk menulis refleksi (sesetengah orang menggelarnya refleksi metakognitif). Namun, persoalannya, berapa ramaikah pensyarah yang membuat penilaian secara sistematik ke atas penulisan refleksi ini? Seringkali penulisan refleksi pelajar dikira dalam pemarkahan hanya berdasarkan ada atau tiadanya penulisan. Seringkalu juga, tugasan ini hanya dipandang pelajar sebagai tugasan untuk menulis kembali apa yang mereka lalui dalam setiap aktiviti berkaitan, tanpa menyedari akan hakikat pemikiran reflektif bukanlah sesuatu yang spontan, atau hanya sebagai laporan tentang apa yang berlaku. Ia harus merangkumi kesedaran mental pelajar tentang apa yang telah dipelajari, apa kelemahan yang hendak diperbaiki malah cara untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Hasil analisis yang dijalankan, saya mendapati peratus data untuk penulisan yang berbentuk non-reflective jauh lebih tinggi daripada penulisan di bawah kategori reflektif. Hal ini memberi satu gambaran tentang bagaimana pelajar kini berfikir - atau bagaimana mereka melihat proses pembelajaran secara 'sedar'. Bukan mudah kiranya membina dan memupuk pemikiran reflektif ini kerana ia bukan sahaja melibatkan daya berfikir dan kemahuan untuk memperbaiki potensi diri, malah ia menuntut keterbukaan diri (self-disclosure) daripada individu terbabit. Lalu fahamlah saya bahawa banyak lagi perkara yang perlu saya fikirkan untuk aktiviti P&P akan datang demi memperluas peluang untuk para pelajar saya membina kemahiran reflektif ini! Afterall, it is what being a reflective practitioner is all about, I must say! Meneliti hakikat kehidupan ini, refleksi bukanlah sesuatu yang asing. Dalam istilah Bahasa Arabnya - muhasabah diri, merupakan paksi utama untuk seorang Muslim menganjak diri kepada tingkat yang lebih baik di sisi maha Khalik. Lalu, hal ini memberi peringatan pada diri bahawa nikmat akal diberi untuk berfikir, dan menilai. Lalu jika nikmat akal ini tidak mahu (baca: malas) digunakan pada cara yang sepatutnya, haruslah kita kekal pada takuk yang lama. Ramadhan al-Mubarak is just around the corner .. Selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan senitasalah membuat refleksi diri ... :) P/S: Buat para pelajar yang dikasihi .. SELAMAT BERJUANG DI DEWAN PEPERIKSAAN ..MOGA KEJAYAAN MENJADI MILIK ANDA SEMUA! Alhamdulillah, untuk segala-galanya wahai Allah.. untuk udara segar yang masih bisa dihela, untuk segala rezeki yang dikurniakan, untuk segaris keriangan yang menghiasi hari-hariku .. dan tidak terkecuali untuk puing-puing kesedihan yang kadangkala meranap kekuatan jiwaku di sepanjang kembara di dunia.. Alhamdulillah!
Segala cerita dalam hidup, bisa saja saya ringkaskan bahawa hidup kita memang tidak boleh bersendiri-sendiri, kerana lingkungan hidup dan perhubungan kita dengan manusia sejagat sememangnya terlarut dalam fitrah kehidupan itu sendiri. Kerana itu disebutkan bahawa kewajipan manusia bukan setakat menjaga 'hablum minalLah' (hubungan dengan Allah) semata-mata, malah merupakan tanggunjawab kita juga sebagai makhluk di dunia untuk memelihara 'hablum minannaas' (hubungan dengan manusia). Beberapa ketika dahulu saya pernah berbicara dengan beberapa orang rakan tentang apa yang disebut sebagai rangkaian doa dan keajaibannya. Betapa pentingnya kita saling mendoakan, dan doa itu haruslah untuk kebaikan dan perkara-perkara yang positif sahaja. Justeru, kerana kita ini manusia lemah, lalu, kita membutuhkan doa daripada orang lain untuk kita. Namun, kata seorang teman - tiada kuasanya untuk mendoakan manusia yang berbuat dajal pada dirinya, dan alangkah bagus jika didoakan manusia keji itu mati dengan cepat. Allah .. Allah .. Allah .. saya terkesima mendengar ujaran lantang itu. Lalu seusai pertemuan, saya cuba teduhkan jiwa .. ampunkanlah Allah .. segala perbuatan, perkataan mahupun lintasan dalam hatiku andai aku juga pernah mendoakan perkara-perkara bejat buat orang lain ... mohon dijauhkanlah ya Allah daripada lintasan yang tidak baik .. luaskanlah ya Allah unsur pemaaf dalam diriku .. perkayakanlah ya Allah, akan kesucian peribadi, hati dan jiwaku agar berputik dari situ nur keimanan yang bakal membawa kesejahteraan buat diriku dan manusia-manusia dalam lingkungan hidupku - keluargaku, sahabat handaiku, pelajar-pelajarku .. Alhamdulillah, syukurku tidak pernah bertepi. Kerana langit rahmat-Mu terlalu luas, laut Rahim-Mu tidak pernah mampu kuselami hingga ke dasarnya. Masa terus berputar, dan tempoh praktikum kembali lagi. Para pelajar fakulti di tahun akhir semuanya ghaib dari ruang fakulti. Masing-masing terlontar sana-sini. Ada yang dekat, ada yang sayup nun di hujung sempadan. Setiap pelajar, ditaklifkan seorang pensyarah sebagai penyelia yang bertanggungjawab memantau perjalanan praktikum serta tahap kemahiran dalam mengaplikasi segala teori yang pernah dipelajari dalam kuliah-kuliah terdahulu, termasuklah sedikit pengalaman mock-teaching ketika menghadiri kelas Kurikulum dan Pedagogi. Cukupkah pengalaman dalam pengajaran mikro? Sejauh manakah teori-teori pembelajaran serta pendekatan yang pernah diperhalusi dan diperdebatkan semasa kuliah dan tutorial dalam menjamin kejayaan para pelajar dalam sesi praktikal mereka yang berlangsung selama 16 minggu itu? Apakah hasil akhirnya kelak? Mampukah mereka melakar satu kenangan serta arca pengalaman yang menarik serta bermakna sebagai persiapan sebelum menerima ‘lesen besar’ apabila ditempatkan di mana-mana sekolah kelak? Apakah harapan fakulti? Atau harapan pelajar itu sendiri? Segala persoalan ini seringkali bermain di fikiran, jika tidak semua pensyarah, yang pastinya benak fikiran saya. Pengalaman saya sendiri melalui dua sesi mengajar ketika menjalani ijazah pertama di kampus Lembah Pantai, UM banyak memberi warna dalam perjalanan karier. Sejujurnya, sesi praktikum bukanlah pengalaman pertama saya berhadapan dengan para pelajar yang berpanca warna, kerana semenjak di tahun pertama universiti, setiap kali cuti semester yang panjang, saya akan meluangkan masa untuk ‘mengisi’ kekosongan sebagai guru ganti di sekolah-sekolah rendah di sekitar tanah kelahiran, Kemaman. Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, malah muzik antara subjek yang pernah saya ajari. Kehadiran saya di kelas-kelas itu tanpa bekalan ilmu yang khusus tentang pengajaran pembelajaran, jauh sekali psikologi, pedagogi dan sebagainya saya anggap sebagai satu ‘eksperimen’. Sebagai manusia, kita sememangnya dianugerahi deria tersediri yang boleh menghidu sama ada kehadiran kita ‘diterima’ oleh para pelajar. Melalui reaksi muka, bahasa badan dan gaya percakapan, kita mampu mengukur secara umum sejauh mana pelajar itu menyukai gaya pengajaran kita. Dan tidak keterlaluan, boleh saya katakan bilangan hadiah yang diterima pada hari terakhir seseorang guru di sekolah juga boleh menjadi kayu ukur! Saya ingat akan pengalaman di mana meja saya di bilik guru penuh dengan hadiah kecil besar daripada para pelajar. Ketika itu saya sebagai guru ganti di sekolah Rendah Sultan Ismail Kemaman, saya sebagai guru Bahasa Inggeris untuk tahun enam, kemudian saya menyambung lagi sebagai guru Muzik di sekolah yang sama dan kali itu saya mengajar pelajar tahun Dua sesi petang. Kebetulan juga, hari guru jatuh pada hari kedua terakhir saya di sekolah itu. Wajah-wajah comel datang ke bilik guru menghulur bingkisan kecil .. malah ada juga yang menghulurkannya selepas pengajaran. Memang terharu. Sesungguhnya, hadiah itu meski kecil, bukanlah ukuran sebenar. Yang paling utama, saya mendapat mesej bahawa kehadiran saya di situ diterima mereka. Alhamdulillah. Praktikum saya yang pertama berlangsung di Sekolah Menengah St Mary, Bukit Bintang. Tidak banyak yang saya ketahui tentang sekolah ini, selain namanya yang mudah diingati. Para pelajar saya merupakan pelajar tingkatan dua. Satu ciri yang paling saya gemar tentang para pelajar di St Mary adalah sikap mereka yang begitu menghormati para guru. Mungkin kerana itulah hasil didikan yang mereka terima semenjak di tingkatan satu (atau juga hasil tarbiyah di peringkat sekolah rendah?). Pantang berselisih dengan guru, mereka bukan sahaja tidak lokek memberi senyuman dan ucapan salam, malah mereka akan melenggokkan badan serta menunduk, atau tidak kurang yang membengkok lutut sambil menjinjit birai pinnafore dengan penuh hormat dan santun. Saya terpesona sekali. Saya di situ bersama seorang rakan baik, Nor. Kami diberi meja paling tersudut di bilik guru, malah terpaksa berkongsi satu meja berdua kerana kekurangan tempat di bilik guru yang agak sempit itu. Apatah lagi, meja itu turut digunakan guru yang mengajar sewaktu sesi pagi. Bolehkah anda bayangkan satu meja dikongsi bertiga? Dengan timbunan buku serta peralatan, belum lagi dicampur dengan bahan-bahan bertulis yang lain. Namun, menyedari diri di tempat orang, serta kehadiran saya di situ sebagai novice yang asih memegang Lesen L dalam pengajaran, tidak banyak yang boleh saya pinta, melainkan belajar untuk redha. Hubungan dengan para guru sedia ada juga tidaklah semesra mana. Saya kira, kami berdua hanya rapat dengan guru pembimbing sahaja. Jarang kami berkesempatan berbual-bual dengan guru yang lain di bilik guru, dan faktor utamanya adalah masa. Masing-masing berkejaran ke kelas, dan apabila seorang sudah kembali ke bilik guru, rakan di sebelah pula ke kelas lain. Jadi, kurang pertindanan masa untuk sama-sama berada di tempat yang sama serentak. Namun itu tidaklah bermakna kami bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali bermasam muka. Ketika acara sukan sekolah misalnya, kerjasama antara kami guru praktikal dengan guru-guru sekolah ternyata serasi. Acara balapan di padang, berlangsung di bawah terik mentari di kepala. Saya masih ingat, kami ditugaskan untuk menjaga garisan, memastikan semua peserta acara berlari di petak masing-masing. Kemudian berlarian pula membawa markah ke meja pengadil. Meski agak semput, saya terima semua itu sebagai apa yang dikatakan pertambahan pengalaman baru yang harus saya depani dengan perasaan positif dan minda terbuka. Penyelia saya, datang kali pertama menaiki bas dari UM. Kedatangan beliau tidak mengejutkan saya, kerana saya diajar untuk sentiasa bersedia terutama dalam penulisan rancangan pengajaran. Malang bagi rakan saya, beliau sedikitcareless atau mungkin juga kurang ‘cakne’ terhadap rancangan pengajarannya. Beberapa hari sebelum itu, kelas tertunda kerana ada mesyuarat yang wajib dihadiri semua guru, lalu rakan saya itu menggunakan rancangan pengajaran yang sama untuk hari berikutnya tanpa menulis yang baru. Menambah kepada impak negatif, beliau tidak pula mengubah tarikh serta masa pengajaran yang baru mengikut jadual hari tersebut. Penyelia yang datang berjaya menghidu perbuatannya. Saya turut merasai kesannya bila mana beliau memberi syarahan panjang bukan kepada rakan saya sahaja, malah saya turut diajak mendengar sama. Hati saya berdebar-debar. Perkara yang saya takuti berlaku kepada rakan akrab saya sendiri. Duh. Bukankah itu pengalaman yang begitu tidak nyaman untuk dikenang? Di akhir semester, saya melihat huruf A pada slip keputusan, syukur alhamdulillah .. manakala rakan saya, mendapat keputusan yang sama sekali berbeza. Bolehkah anda menebak apa hasilnya? Praktikum kali kedua, saya ditempatkan di Sek Men Pasir Panjang, Sekinchan, bersama seorang lagi rakan sekelas. Kami menyewa di sebuah rumah berhadapan sekolah yang jaraknya hanya dipisahkan sebatang jalan berturap yang kecil. Pada satu hari, saya terlihat kelibat penyelia saya di tingkat atas, menuju ke bilik guru, lalu tahulah saya bahawa pada hari itu saya bakal dipantau. Sepantas kilas, saya terfikirkan sesuatu yang lebih menarik untuk pengajaran saya. Meski pada awalnya saya hanya bercadang menggunakan lakaran gelas dan sudu, saya sebaliknya berlari ke dapur rumah sewa untuk membawa kedua bahan realia tersebut. Hasilnya, penyelia saya berpuashati dengan aktiviti pengajaran, ditambah pula nasib saya agak baik kerana pelajar di kelas tersebut merupakan pelajar yang aktif bertanya serta tidak malu mencuba. Dua minggu kemudian, saya dikunjungi pula oleh penyelaras praktikum, Ustaz Hasan Basri Mat Dahan (sekarang Prof. Dr.). Beliau memberitahu saya yang kedatangannya adalah di atas jemputan penyelia saya, dan tujuan kedatangannya adalah untuk ‘mengesahkan’ sama ada saya layak untuk mendapat A sebagai mana saranan penyelia saya. Sekali lagi, A menjadi milik saya. Kenapa saya mencatat kisah-kisah ini? Demi Tuhan, ia bukanlah untuk bermegah-megah, jauh sekali menuntut pujian. Di sebalik pengalaman ini, ada beberapa perkara pokok yang ingin saya kongsikan sebagai pedoman untuk mereka yang sedang berada di alam praktikum mengajar. Seiring dengan label yang kita bawa sebagai guru pelatih, matlamat anda adalah untuk mendapatkan latihan dan bentuk latihan yang dihasratkan agar anda capai bukanlah semata-mata kemahiran dalam mengendalikan aktiviti di dalam kelas, namun lebih luas lagi ia merangkumi aspek kemahiran dalam pengurusan masa serta disiplin. Di sinilah, anda diberi ruang dan peluang untuk bereksperimen dengan setiap ilmu yang anda perolehi di sepanjang pengajian di fakulti, jadi gunakalah kesempatan ini untuk mencubapakai seberapa banyak pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran (tetapi haruslah disesuaikan dengan keadaan kelas, level of performance pelajar dsb). Janganlah jadi guru pelatih yang jumud, yang hanya bergantung kepada satu atau dua kaedah tertentu sahaja di sepanjang 16 minggu yang ada. Be a risk taker, dare to fail and reflect on what went wrong. Kita bukan hanya belajar daripada kejayaan lepas, tetapi kita sebenarnya lebih banyak belajar daripada kesilapan lalu! Latihan mengajar juga adalah platform untuk mengasah bakat inter-personal serta komunikasi dengan rakan sejawat (guru-guru tetap di sekolah anda menjalani latihan mengajar). Aspek ini amat penting kerana ini memberi gambaran awal terhadap kapasiti anda sebagai guru novice serta potensi yang ada untuk anda terus maju. Jika diberi apa juga tugas, terutamanya secara ad-hoc, maka terimalah segalanya dengan niat untuk belajar. Jangan sesekali menarik muka empat belas bila mana nama anda seringkali ‘naik’ untuk sesuatu tugas. Praktisnya memang begitu, semenjak dulu. Guru pelatih seringkali mengadu mereka ‘didera’. Mereka berasakan bahawa pihak sekolah sengaja memilih mereka dengan niat untuk membuli, atau mengambil kesempatan. Mungkin itu yang kita rasa, namun hakikatnya mungkin tidak benar. Pihak pentadbir sekolah juga seorang guru, dan pernah menjadi guru pelatih. Justeru, mereka faham keperluan pihak sekolah untuk memberi sebanyak mungkin pendedahan kepada para pelatih dalam setiap bidang apabila ada ruang yang sesuai. Jadi, minda anda haruslah dibasuh. Bersihkan ia, dari sebarang sangkaan buruk begitu, kerana jika anda bersangka buruk, hati kecil tidak akan berbunga redha. Tanpa kerelaan, setiap perbuatan tentu sekali tidak akan diberi ganjaran pahala, malahan dosa bakal hinggap di kepala. Jadi, poinnya di sini, bermurah hatilah untuk membantu apa sahaja. Pengalaman saya berbual dengan beberapa pentadbir sekolah, pelajar praktikal yang banyak berjasa kepada sekolah namanya akan sentiasa meniti di bibir mereka. Dengan bangganya mereka akan menyebut nama sekian sekian dari universiti sekian sekian. Bukankah itu satu penghargaan, malah doa juga buat kita? MasyaAllah! Sikap merendah diri itu satu senjata kejayaan. Saya amat yakin dengan perkara ini. Tidak rugi satu sen pun jika anda merendah diri dan dalam masa yang sama tidak memandang rendah kepada orang lain. Malah, ilmu kehidupan mengesahkan bahawa mereka yang merendah diri akan dihormati sepanjang masa, mereka yang meninggi diri bakal dihina dan dicerca. Pernah seorang pengetua di sebuah sekolah menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan dua pelajar praktikum dari sebuah universiti ke sekolahnya. Beliau terserempak dengan pelajar-pelajar tersebut kala menapak menuju kantin sekolah untuk makan pagi. Melihat kelibat sang pengetua di hadapan mata, pelajar-pelajar ini terus menyuakan surat penempatan praktikum sebagai tanda mereka melapor diri pada hari tersebut. Pengetua tadi terpinga-pinga kerana usai memperkenalkan diri dan nama institusi , mereka terus berlalu bergitu sahaja. Bukankah janggal lagi pelik? Tambahan pula, di mana adab kita sebagai orang yang mahu menumpang teduh apatah lagi ingin mengutip ‘mutiara’ pengalaman daripada mereka. Kisah kedua, seorang pengetua lain pula. Katanya, pernah sekali seorang pelajar dengan tegas menyebut, “Saya harap pihak sekolah memberi kerjasama sepenuhnya kepada kami.” Kepala yang tidak gatal tiba-tiba pinta digaru! Duh! Apa yang terlintas di hati anda sebagai reaksi kepada dua contoh sebenar ini? Kadangkala kita terlupa tentang gaya bahasa. Itu tidak banyak disisipkan dalam bab mana-mana buku, sebaliknya ia dikaut melalui ilmu kehidupan. Saya beberapa kali terserempak dengan kes sebegini. Misalnya, seorang pelajar ingin mendapatkan bantuan dari segi idea, dan berhasrat untuk bertemu muka, lalu dihantar satu pesanan ringkas yang bunyinya lebih kurang begini: “Saya nak jumpa esok jam 3 petang di fakulti.” atau “Maklumkan kepada saya bila free, saya nak jumpa.” Sekali lagi, apakah lintasan dalam hati anda apabila melihat dua potong ayat ini? Mengikut kaca mata ilmu kehidupan, mereka yang menggunakan gaya bahasa begini belum mencapai ‘kehalusan’ dalam muamalat atau gaya berinteraksi. Saya berharap agar tiada ada seorangpun yang tidak merasakan apa-apa yang sumbang di situ kerana bila kita punya nilai budi yang halus, sensitiviti hati kita akan menyanggah. Jadi, poinnya di sini juga, peliharalah bahasa kita kerana bahasa melambangkan peribadi. Ia berkait rapat dengan ungkapan awal saya tadi bahawa sikap merendah diri itu senjata kejayaan. Jadi, buangkanlah segala ego dan rasa hebat kita, kerana tempoh praktikal adalah tempoh kritikal untuk anda mendalami makna keguruan yang sebenarnya. Seorang pelajar pernah mengeluh kepada saya, “Saya dapat pelajar lemah, bodoh. Sukar saya mengikut rancangan pengajaran.” Mungkin ada yang berhadapan dengan isu yang sama bukan? lalu bagaimana anda menyelesaikan hal ini? InsyaAllah, jika berkesempatan, saya kupas isu ini kelak. Mohon permisi untuk ke kuliah :) Musim menuai. Bukan padi mahupun gandum tetapi markah prestasi tahunan. Kerana itu saya menyebut musim menuai kerana kini sedang berlangsung proses penilaian di pentas penghakiman para ketua jabatan.
Ianya merupakan markah sebagai ganjaran kepada usaha dan prestasi yang dipamerkan sepanjang tahun lepas. Lalu apabila 'haul'nya sudah cukup, maka berusaha keraslah para KJ untuk menilai, menimbang dan menyukat mahsul setiap pekerja bawahan. Seorang rakan akrab saya, Dr. Kamariah pernah menulis tentang KPI dalam cerpen beliau yang disiarkan dalam Antologi Cerpennya - Catatan Cinta Anakanda Bonda. Ironinya, beliau bukanlah merujuk KPI dalam maksud Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators - sebaliknya mengaitkan KPI dengan Kehidupan Penghayatan Islam. Beliau begitu bijak menampilkan beberapa watak dalam menghidup dan menggerakkan perjalanan cerpen tersebut. Secara halus, ada mesej tersirat yang sampai ke hati. Ada niat murni yang hendak ditebarkan kepada masyarakat awam agar lebih membuka mata, meluaskan minda serta jangan terlalu taksub dengan KPI yang sedang hangat dilangsungkan penilaiannya sekarang. Tuan Guru saya dengan nada tenang memberi keyakinan kepada anak-anak muridnya yang datang menadah kitab lima jilid itu saban minggu - bahawa setiap sesuatu yang dilakukan kerana Allah sahaja akan memberi nikmat kepuasan dalam diri mereka yang mahu mengerti. Pendeknya, janganlah kita melakukan sesuatu perkara hanya kerana ingin mencuri perhatian manusia. Janganlah hendaknya kita meletakkan redha manusia melebihi redha-Nya. Nauzubillahi min zalik ...! Allahku, ya Aziz ya Jabbar ya Aliy ya Hayy! Kami berlindung daripada wujudnya rasa sebegitu. Moga hendaknya setiap langkah kami hanya khusus untuk mencari maghfirah dan mardhiah-Mu!! Coretan ringkas ini mengingatkan saya kepada kisah si tukang rumah yang diupah majikannya untuk membina sebuah perteduhan. Lalu dibinanya rumah itu tanpa ketelitian serta pemilihan bahan diambilnya daripada bahan-bahan yang rendah kualitinya hanya kerana dia berfikir "INI BUKAN RUMAH MILIKKU .. JADI TIDAK PERLULAH BUAT YANG TERBAIK". Tatkala siap binaan rumah tersebut, maka mengadaplah tuan rumah itu di hadapan majikannya. Majikannya dengan wajah berseri-seri lalu berkata: "SEBENARNYA RUMAH INI AKU HADIAHKAN KEPADAMU. DUDUKLAH DI SINI DENGAN GEMBIRA." Bayangkanlah perasaan tukang rumah itu .. lalu hati kecilnya menjerit: "KALAU KUTAHU ITU BAKAN MENJADI MILIKKU PASTI AKAN KULAKUKAN YANG TERBAIK!!!!". Adakah kita mahu menerima nasib sebegini juga? Usung mindamu, lalu muhasib! Semoga kisah nan secebis ini memberi makna dan berkata-kata buat diri kita semua. Kepada semua, selamat berKPI .. jom cari redha Allah, bukan redha manusia :) Para penyelidik yang punya paradigma interpretivist tentunya tidak lari dari keperluan menangani data yang panjang atau transkrip yang berjela-jela. Setiap baris ayat dari trasnkrip pula memerlukan proses 'coding' yang sistematik serta 'consistent'. Pengalaman pertama saya bergelumang dengan data dari temubual bermula pada tahun pertama saya menjalani pengajian PhD. Data diambil daripada 20 responden, yang setiap satunya mengandungi tidak kurang dari 8-10 mukasurat. Saya memulakan analisis data secara manual. Setiap 'coding' saya tandakan dengan pen berwarna dan setiap jawapan perlu diceraikan (saya perlu menggunting bahagian-bahagian tertentu daripada data tersebut untuk dikategorikan mengikut tema yang telah saya kenalpasti. Hasilnya, lantai di bilik kerja saya penuh dengan ceraian-ceraian kertas hitam putih. Itu baru data pusingan pertama, yang tempoh temubual hanya memakan masa sekitar 10 minit. Saya termenung. Bingung serta terasa beratnya beban di bahu. Lalu apabila saya mula memasuki fasa kedua, ketiga dan keempat temubual, saya tiada pilihan selain meminta bantuan daripada perisian yang ada. Di waktu itu, saya diperkenalkan dengan Nvivo 8. Nvivo seumpama mesin ajaib. Kerja-kerja renyah untuk pengkategorian tidak lagi perlu dilalui secara fizikal. Namun jangan salah faham. Nvivo hanya mesin yang mendengar kata. Kitalah nahkoda sebenar. Seperti juga SPSS yang terkenal dalam kalangan penyelidik positivist. Masukkan apa juga arahan biarpun yang salah, pasti SPSS akan berjaya memberikan hasil pengiraannya! Jadi begitu, penggunaan Nvivo memerlukan ketelitian dari pihak penyelidik itu sendiri serta bagaimana sistem penaakulan dalam kognitif kita divisualisasikan dalam bentuk 'nodes' dan 'tree nodes'. Pagi tadi, saya berkesempatan menjenguk sebentar Nvivo 10 yang telah lama saya masukkan ke komputer di pejabat. Beberapa tahun berlalu, rupanya banyak perkembangan positif dalam Nvivo versi 10 ini. Saya begitu tertarik dengan adanya kemudahan membawa masuk data dari format selain words dan PDF, atau video. Misalnya, kini pengguna boleh terus membawa masuk data dari web pages, social media serta YouTube. Malah data juga boleh dikutip melalui penggunaan alat mobile (beserta penggunaan Evernote). Jika anda mempunyai data demografi, kin menggunakan Nvivo, anda boleh juga menghasilkan carta pai dan lain-lain sebagai bahan visual yang menyokong dapatan tersebut. Sesuatu yang tidak dapat saya lakukan ketika menggunakan Nvivo 8. Malah pembinaan model juga boleh dilakukan dalam Nvivo! Saya kira, saya harus kembali semula kepada penggunaan Nvivo setelah sekian lama saya meninggalkannya. Ye, saya kini punya data projek yang bertingkat-tingkat untuk dianalisis. Nvivo, mu tunggu aku maghi! |
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |