Saya menerima satu pesanan ringkas tapi penuh signifikan.
Pesanan istimewa yang membawa peringatan buat mengubat hati yang terlupa. Bilik saya di fakulti semalam dimasuki 'seseorang' lalu dia membawa pergi mesin pencetak Laser Jet HP saya sebagai ole-ole percuma. Masuknya tetamu tidak diundang melalui tingkap (yang sekian lama tidak bisa dirapatkan lalu jika dilihat dari luar akan kelihatan rongga semuat jari kelingking). Mangga dipecahkan lalu dibawa entah ke mana .. melompat dia ke atas karpet merah belang tempat bersolat setiap hari. Entah berapa lama dia di dalam bilik sederhana saya .. menyelongkar segenap laci namun mungkin tiada yang bernilai ditemui selain mesin pencetak yang menjangkau usia dua tahun itu. Begitulah. Saya kehairanan sendiri bagaimana pintu bilik saya tidak terkunci kala mula-mula menjejak kaki ke pintu. Beberapa ketika cuba 'membaca' petanda yang ada fahamlah saya ada 'tetamu' semalamnya di situ. Sementelah pula kunci pendua pintu bilik saya tinggalkan di atas rak berhampiran pintu lalu tidak perlulah dia bersusah payah memanjat tingkap lagi untuk keluar pergi bersama ole-ole tadi. 'Bersyukur Saat Diuji' karya Prof Kamil kiranya menjadi penawar hati. Saya tiba-tiba membandingkan ujian yang pernah dialami penulis jauh lebih berat daripada apa yang saya lalui. Lalu, bersyukurlah saat diuji - kerana di sebalik ujian saya menerima satu pesanan untuk kembali dan membersih hati. Ampunilah diri ini Allahku, jika di sebalik mencari dunia diri ini alpa tentang perhambaan kepada-Mu. Diri ini mengakui bahawa nikmat-Mu terlalu agung untuk dibayar dengan nilai amalku yang sekelumit cuma. AstaghfiruLlahal adzim .. mungkin juga kerana doa ini sudah lama tidak dibaca .....
0 Comments
Leave a Reply. |
Archives
December 2020
Blogs that I follow:Edutopia
Center for Teaching Educators Technology Jendela Kamila Tinta Seorang Wanita PhD Blog Patter The Thesis Whisperer James Hayton e-Learning Acupunture Mendeley Blog Let's View my Blog Google Drive Blog SuperWebsiteBuilder e-learning learning Brain Rules Peter Pappas Classroom 2.0 Scoop.it Categories
All
|