Ianya sudah dijanjikan agak lama. Hasrat Dr Norshafrin adalah untuk pengesahan pakar untuk aplikasi mudahalih yang telah dibangunkan di bawah projek PRGSnya.
Satu mobile apps yang sangat menarik yang boleh digunakan oleh kaunselor dan klien secara lebih diperibadikan. Semoga sedikit cadangan yang diberikan akan dapat membantu meningkatkan kualiti dan kebolehgunaan mobile apps tersebut. Maaflah, hanya keropok lekor Rara yang sempat dihidangkan bersama teh bujang :)
0 Comments
Agak lama tidak mengendalikan bengkel latihan, sementelah dalam keadaan negara masih berjaga-jaga dengan wabak Covid 19. Apapun, perihal kerja sendiri juga banyak membataskan keaktifan dalam sesi perkongsian akademik bersama rakan-rakan di luar sana.
Namun alhamdulillah, semalam dan hari ini berkesempatan meluangkan masa untuk berbincang tentang Scholarship of Teaching and Learning bersama rakan-rakan pensyarah dari Fakulti Perubatan UKM. Terima kasih di atas perhatian dan komitmen disepanjang 2 hari bengkel berlangsung. Slot saya - berbincang tentang bagaimana mengendalikan SoTL dalam konteks P&P menggunakan kerangka model ADDIE serta bagaimana menggarap keperluan dari sudtu teori pembelajaran, pendekatan pembelajaran, metodologi serta pelaksanaan penilaian untuk disesuaikan dengan keperluan P&P dan dalam masa yang sama mengendalikan satu kajian empirikal. Usai sesi perkongsian, kami dipecahkan pula kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk membantu penyediaan proposal kajian. Saya dan Dr Azlina bertanggungjawab membantu kajian yang berhasrat membangunkan satu Virtual Clerkship untuk pelajar-pelajar Farmasi. Banyak input yang diberi, serta cadangan bagi membolehkan proposal lengkap dapat dihasilkan dan selari dengan perspektif pendidikan. All the best semua .. hope to see a complete proposal on the 22nd! Sekalung budi buat Fakulti Perubatan di atas jemputan ini. Tidak dilupakan Prof Lilia dan Prof Kamisah yang telah menjemput saya menjadi sebahagian daripada ahli pasukan :) Semoga ada manfaat daripada keseluruhan pembentangan dan perkongsian yang telah diberikan. Allahul musta'an .. ! #SoTL #training #medicukm #fpendukm AKRI atau nama penuhnya Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Malaysia merupakan kesinambungan daripada Anugerah Pemikiran Semula dan Rekabentuk Pengajaran (APRS) yang dimulakan pada tahun 2017. Alhamdulillah, kali ini, saya diberi peluang sebagai salah seorang juri yang bertanggungjawab menyaring pencalonan yang diterima daripada segenap pelosok insitusi pendidikan tinggi di Malaysia. Sebelum acara kemuncak, para juri telah 'berkampung' selama lebih kurang tiga hari dua malam untuk menyelesaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Bukan mudah untuk mencari finalis, justeru setiap skor yang diberi harus mengikut rubrik pemarkahan yang ditetapkan. Ehmm .. oh ya sebelum proses penyaringan, kami terlebih dahulu berkumpul di KPM untuk membangunkan rubrik mengikut kategori masing-masing untuk digunapakai dalam proses penyaringan. Acara kemuncak berlangsung pada 14 Disember 2018 di Hotel Movenpick. (Ye, betul dah lama ..!). Sehari sebelum acara kemuncak, telah berlangsung pertandingan pitching di mana para finalis membentangkan hasil projek/inisiatif mereka kepada para juri. Sayangnya saya tidak dapat turut serta pada sesi tersebut memandangkan kelas berderet dari pagi hingga malam pada hari yang sama. Namun alhamdulillah, diberi jua ruang untuk bersama-sama meraikan kejayaan rakan-rakan. Tahniah Dr Farah Dina, sahabat saya dari UM (Pengarah ADEC) yang telah berjaya dalam kategori Imersif Teradun. I know you will make it Dr Fara! :) Tahniah juga buat sahabat saya Encik Bayan Serit dan Mr Lim dari Taylor's University - di atas kejayaan anak-anak buah mereka menggondol lima anugerah! Satu pencapaian yang membanggakan! Saya kira, inisiatif ini merupakan satu ruang yang sangat perlu diberi sokongan dan diteruskan justeru ia merupakan ruang pengiktirafan buat para pendidik di insitusi pengajian tinggi yang menunjukkan sikap berinovatif dalam melahirkan aktiviti pembelajaran yang lebih berimpak serta ruang untuk meneroka kekuatan diri dan kapasiti sebagai penyelidik berfikiran reflektif.
Usik saya bersama rakan-rakan juri - 'Jumpa lagi tahun hadapan di pentas akhir' hahahaha! Jemputan ke seminar ini saya terima sehari sebelum berlangsungnya acara ini. Oleh kerana jemputan dihantar secara personal, jadi tidak manis rasanya mengatakan tidak meskipun sebenarnya saya agak putar-alam dengan jadual komitmen yang telah dipersetujui lebih awal. Untuk menolak juga terasa rugi pula kerana input yang dihidangkan jarang-jarang diperolehi, tambahan pakar-pakar dari universiti terkemuka seperti US (Harvard, Indiana), UK (Edinburgh), Kanada (Victoria), Qatar dan pelbagai lagi turut sama berkongsi. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapat mendengar isu-isu berkaitan penggunaan teknologi dalam dunia latihan dan amalan perubatan dan kesihatan - memberi satu 'insight' yang segar kerana latar belakang saya yang berbeza. Sememangnya teknologi itu ada manfaatnya, namun kebitaraan manusialah yang menentukan bagaimana ia digunapakai untuk menghasilkan impak yang sewajarnya. Teknologi bukan segala-galanya. Sentuhan kemanusiaan serta konsep berguru secara 'talaqqi' atau face-to-face tidak boleh dipinggirkan secara total. Menarik sekali apabila ada bicara yang menyinggung isu data raya (big data) dan peranan artificial intelligence (AI) dalam bidang kesihatan. Duduk bersama pengamal perubatan serta penyelidik dalam bidang ini membuat saya merasa diri terlalu kecil. Melihat sumbangan mereka kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat turut membugarkan rasa kagum dan bangga. Alhamdulillah atas pengalaman ini. Alhamdulillah atas ilmu dan kesedaran ini - ilmu Allah itu terlalu luas untuk seorang manusia kerdil menguasai segalanya! Program Rampai Penyelidik ini merupakan kali keenam seumpamanya di UKM. Alhamdulillah untuk kali ini, pihak Fakullti Pendidikan diberi kepercayaan untuk menerajui penganjuran Rampai Penyelidik ke-6 bertempat di DTAMS UKM. Pelbagai hasil penyelidikan berteraskan STEM dipamerkan sempena pameran sehari itu. Paling menggembirkan, sekumpulan pelajar dari SM Teknik Kuala Lumpur turut hadir untuk berkongsi cerita kejayaan mereka yang menonjolkan rekacipta yang menarik. Tahniah buat anak-anak SMTKL. Meski tidak lagi bertugas di sana, saya tetap berasa bangga. Ini kali kedua saya bertugas sebagai Floor Manager dan masih setia bergandingan dengan Dr Hazrati .. mungkin ini jawatan tetap dan berpencen barangkali. Tetapi saya tidak kisah kerana tugas ini meskipun mencabar namun menyeronokkan. Hmm .. melihat hasil-hasil inovasi yang dipamerkan membuat saya menggaru kepala. Apa lagi perkara baru yang boleh dihasilkan untuk inovasi tahun ini? #neuronmati Suatu ketika dahulu, kampus ini menjadi saksi tahun-tahun saya di ijazah pertama. Masih kejap di zihni, kenangan berkejar-kejar ke kuliah dan tutorial setiap hari. Kolej Bestari menjadi tempat kediaman yang menyimpan seribu kenangan pahit manis. UM. Kampus yang sudah agak lama ditinggalkan namun sesekali apabila kembali ke sini, banyak memori silam tercipta mekar bugar kembali dalam ingatan. Saya menerima jemputan daripada ADEC UM sebagai juri bagi pembentangan hasil penyelidikan sempena Learning Improvement and Teaching Enhancement Research Conference 2018. Para pembentang adalah kebanyakannya penerima geran Learning Improvement and Teaching Enhancement (LITeR) yang memaparkan hasil penyelidikan masing-masing mengikut disiplin tersendiri. Jika di UKM, LITeR mungkin boleh disamakan dengan Geran Projek Tindakan Strategik (PTS) yang memfokuskan kepada penyelidikan berkaitan aktiviti serta pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Manakala Seminar LITeR ini pula sama seperti Scholarship of Teaching and Learning Symposium yang diadakan saban tahun di UKM. Agak menarik untuk mendengar dan meneliti hasil penyelidikan yang dikongsi pada seminar ini. Sedikit sebanyak ia memacu pemikiran yang lebih inovatif dan reflektif serta mengelakkan kejumudan dalam praktis semasa. Terima kasih Dr Farrah dan Dr Zahir di atas jemputan ini! Anugerah Pemikiran & Rekabentuk Semula Pendidikan Tinggi Malaysia 2017 (APRS) merupakan satu agenda nasional di bawah anjuran KPT yang antara lain berhasrat untuk mengetengahkan perkongsian dan amalan terbaik pendidikan Tinggi Malaysia selari dengan perkembangan Revolusi Industri ke-4 yang menuntut pemikiran dan reka bentuk semula pengajian tinggi terutamanya dalam cara para pensyarah mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat tiga kategori yang ditawarkan: 1. Kurikulum Program Pengajian Inovatif Anugerah ini bertujuan mengenal pasti program-program pendidikan tinggi (di semua peringkat) yang telah dirombak dan dijenamakan semula secara inovatif sehingga berjaya menghasilkan kumpulan graduan yang mempunyai kebolehpasaran dan daya saing yang tinggi. 2. Pengajaran Transformatif Anugerah ini terbahagi kepada 2 sub-kategori iaitu: Pengajaran Transformatif Tanpa Syarahan Pengajaran Transformatif Syarahan Secara Interaktif 3. Pengalaman Pembelajaran Imersif Anugerah ini terbahagi kepada 3 sub-kategori iaitu:
Alhamdulillah, program ini telah selamat berlangsung dan saya telah menghantar satu penyertaan bagi kategori ketiga iaitu Pengalaman Pembelajaran Imersif Maya. Ini merupakan pengalaman pertama mengisi borang penyertaan yang agak panjang lebar kerana setiap elemen dalam soalan yang dikemukakan memerlukan pembuktian yang kukuh serta autentik. Penghantaran borang serta portfolio juga perlu dipersembahkan dalam bentuk yang kemas dan professional. Terima kasih Puan Salini daripada Pengaran UKM yang membantu dalam menyediakan bahan untuk dijurikan pada pusingan pertama. Tidak juga saya duga bahawa penyertaan tersebut disenaraikan dalam lima finalis. Semua finalis dikehendaki mempersembahkan bicara tuntas di hadapan juri selama 10 minit serta perlu menjawab soalan-soalan secara spontan. Pitching tersebut diadakan pada 20 November 2017 di Hotel Istana Kuala Lumpur. Syukur jua kerana direzekikan tempat nombor dua dengan hadiah Geran Penyelidikan sebanyak RM15K. Alhamdulillah. Sepagi di Cyberjaya berbicara tentang isu Computational Thnking & Science Computer Education bersama pihak MDEC dan wakil-wakil beberapa universiti tanahair. Kemahiran yang menjadi 'rebutan' seiring perkembangan teknologi apatah lagi dengan wujudnya gelombang 4IR sudah pastinya setiap yang terlibat harus memikirkan ramuan mujarab untuk merealisasikan segala polisi dan target dalam dunia pendidikan khususnya yang berpaksikan aspirasi kebangsaan.
Kami di sana membincangkan potensi untuk mewujudkan Hub CPD untuk pada guru dalam radius setempat sebagai satu model alternatif seiring dengan kegawatan ekonomi yang melihat peruntukan kewangan yang semakin mengecil - sedangkan keperluan untuk menguasai setia kemahiran ini dalam kalangan para guru amatlah mendesak. Saya berkesempatan juga menjenguk bilik Digital Maker Hub tadi ditemani en Johan dan Dr Tan kenalan baharu saya dari UMK. Menarik dan penuh inspirasi. Oh oh .. anak bujang saya si Irfan yang berumur 9 tahun akan memasuki pertandingan robotics kebangsaan pada Ahad ini. Melihat Digital Maker Hub di situ membuat saya terfikir - apakah masa hadapan anak-anak sekarang apabila mereka graduat kelak? Saya menerima tugas sebagai Pengerusi Hari Inovasi dengan perasaan bercampur-baur: gerun dan tidak pasti. Hari Inovasi merupakan tradisi tahunan Fakulti kami yang telah empat tahun dijayakan di peringkat dalaman. Namun Hari inovasi 2017 membawa kelainan di mana penyertaan dibuka kepada peserta-peserta dari luar FPend. Rasionalnya adalah untuk membuka persaingan yang lebih meluas di samping melebarkan sayap jaringan serta silaturahim sesama ahli akademik. Selain itu, harapan kami adlaah untuk meluaskan horizon pemikiran tentang bagaimana sesuatu idea inovatif dapat diterjemahkan.
Menarik juga pada kali ini kerana julung-julung kalinya kami memperkenalkan Kategori Prasiswazah. Idea ini saya perolehi ketika dijemput mengadili pertandingan inovasi di IPG Teknik di Bandar Enstek. Lalu saya berfikir 'why not?'. Meskipun pada awalnya ada segelintir yang ragu tentang jumlah penyertaan untuk kategori ini, kami tetap dengan pendirian. ALhamdulillah 33 penyertaan datang daripada pelbagai institusi. Namun saya ingin merakamkan tahniah kepada IPG kerana mendominasi penyertaan khusus IPG Sultan Mizan Besut yang menghantar sekitar 12 penyertaan! Persediaan awal H-Inovasi memakan masa sekitar 5 bulan lebih. Memang terlalu banyak rencah rasa di sepanjang proses itu. Namun saya bersyukur kepada Allah kerana barisan jawatankuasa yang dilantik begitu komited dalam menjalankan tugas masing-masing sehingga ke akhirnya. Tiada kata yang mampu saya ucapkan melainkan doa bertemali agar mereka dikurniai rahmat dan redha Allah .. mudah2an sahaja segala urusan mereka yang secara tekun membantu akan dibalas dengna seribu kebaikan jua! Terima kasih sahabat-sahabatku semua! Menjelang beberapa hari terakhir tentunya tidur malam saya asyik terganggu. Otak ligat memikirkan satu-persatu - apa lagi yang belum selesai? Apa lagi yang perlu diuruskan? Banyak jenis kebimbangan melanda! Hari tetap berlalu dan tarikh 11 Oktober tiba jua. Bismillah ...! Bermula dengan majlis perasmian oleh YBhg Prof. Dato' Ir. Dr. Mohd. Marzuki bin Mustafa, Pro Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat UKM) sehinggalah kepada penjurian, bengkel selari dan seterusnya perasmian penutup, hati tidak berhenti-henti berdoa. ALhamdulillah thumalhamdulillah .. setinggi-tinggi syukur kerana selesai juga H-Inovasi 2017. Meskipun dalam kesederhanaan dan penuh kekurangan, saya pasti ada sesuatu yang manis untuk dikenang oleh semua. Tahun ini merupakan kali ketiga Knovasi peringkat UKM dijalankan dan saya tidak pernah melepaskan peluang untuk turut sama memeriahkan acara tahunan universiti ini. Karnival pada tahun ini lebih menarik kerana penyertaan turut dibuka kepada para peserta dari luar UKM, berbanding pada tahun-tahun sebelum ini. Lokasinya juga berbeza. Jika sebelum ini K-Novasi dijalankan di DECTAR, pada kali ini kami beramai-ramai menyerbu Dewan Gemilang pula. Alhamdulillah, dalam mengejar hari-hari yang padat saya sempat menyediakan satu poster ringkas tentang bagaimana mengintegrasikan Augmented Reality dalam menyuntik motivasi pelajar menggunakan kerangka ARCS. Terima kasih kepada semua rakan fakulti yang sudi singgah di booth saya dan tidak terkecuali- Azura, kenalan dari FTSM semenjak tahun 2006 lagi, Dr Hasanah dari Citra, Prof Madya Dr Raihanah Mydin - Pengajaran UKM serta para pelajar saya yang pernah terlibat dengan proses pembelajaran menggunakan bahan AR - meskipun tiada kesempatan bertemu mata.
Acara pada tahun ini juga saya diberi peluang untuk berkongsi sedikit sebanyak tentang penggunaan Trello yang saya khususkan kepada aspek penyeliaan pelajar pascasiswazah bersama para peserta K-Novasi melalui Bengkel Nano. Tambah istimewa kerana saya berpeluang bertemu lagi dengan PM Dr Wan Zuhainis Saad dari UPM yang sememangnya amat saya hormati dari sudut kreativiti serta jiwa pendidiknya yang menjadi suri teladan buat semua. Thanks Dr Wan for the knowledge shared! :) Alhamdulillah thummalhamdulillah kerana semuanya berjalan dengan lancar, pingat emas juga dalam genggaman. Tidaklahi iham itu datang kerana kebijikasanaan manusia, sebaliknya kerana rahmat dan kurnia-Nya jua. Masa berlari seperti belati. Terasa masih baharu saya dijemput memperketakan tentang strategi Bicara Tuntas di hadapan para pelajar di IPG Teknik Nilai, tiba-tiba hari Inovasi yang ditunggu mampir sekelip mata. Duh, memang kita manusia yang senantiasa berlari mengejar masa. Khamis nan lepas, saya seperti lipas kudung berlarian semenjak pagi. Selesai menghantar Irfan ke sekolah, kereta terus dipandu ke IPG Teknik kerana janji untuk tiba di sana sekitar jam 8.30 pagi untuk taklimat para hakim Pertandingan Bicara Tuntas. Syukur aliran trafik tidak begitu teruk, hanya terpaksa 'mendap' 15 minit di simpang Salak Tinggi. Para peserta hari tersebut merupakan para pelajar dari pelbagai semester dan bidang. Sebanyak 13 kumpulan berentap untuk memburu gelaran juara. Secara jujur, saya terhibur sekali dengan persembahan, idea serta lagak gaya para pembentang. Penuh seni, kreativiti, keyakinan serta mempunyai ciri-ciri pembahas yang baik. Namun tidak dinafikan di sana sini pasti ada ruang untuk penambahbaikan. Namun demikian, pujian harus diberikan kepada para pelajar yang megambil bahagian kerana berjaya menghasilkan 'tangible product' hasil proses pemikiran mereka secara kreatif dan inovatif. Sesuatu yang tidak dapat saya temui di Fakulti Pendidikan - di mana kebanyakan produk bukan berbentuk 'tangible' sebaliknya lebih kepada model/konstruk dan lain-lain. Syabas sekali lagi! Saya kira usaha mengetengahkan pertandingan Bicara Tuntas dan dalam masa yang sama menggalakkan pemikiran inovatif perlu dilaksanakan bukan lagi di peringkat mikro tetapi perlu dikembangluaskan. Pendedahan terhadap penyelsaian masalah dan penghasilan proses kerja yang lebih efisyen tentunya akan membangkitkan pemikiran dan rasa kebertanggunjawaban para pelajar secara lebih efektif dan bermakna. Misalnya, produk Jabakus yang dihasilkan misalnya mampu membantu mempermudah pembelajaran Kimia atau I-Think Map On membanut mengurangkan beban tugas guru untuk membina peta i-Think kerana penggunaannya yang mudah dan tidak memakan masa yang panjang. Generasi Abad ke-21 mampu berdiri sebagai tulang belakang dalam dunia perguruan. Dengan adanya kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah secata tuntas, pastinya akan memberi nilai tambah kepada bakal guru dalam mendepani arena perguruan dengan lebih berkesan dan menyeronokkan. Sesuai dengan temanya 'Guru Inovatif Artikek Penyelidikan', pastinya pengalaman berinovasi memberi manfaat yang bukan sedikit kepada mereka. |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |