Ramadhan yang begitu pantas berlalu. Sepantas masa bak belati membelah hari. Minggu ini juga merupakan minggu terakhir para pelajar tahun akhir fakulti bergelar pelajar praktikum di sekolah. Khamis baru-baru ini saya berkunjung lagi ke sekolah di mana saya bertugas sebagai penyelia. Sempat berbicara panjang dengan dua orang guru pembimbing tentang banyak perkara - pencapaian, kesungguhan, kreativiti, komitmen serta tidak ketinggalan tentang kehalusan budi.
Kami sempat mengimbau kenangan lalu ketika masing-masing bergelar guru praktikum. Keutamaan banyak diberikan untuk menghasilkan bahan pengajaran agar aktiviti P&P menjadi 'hidup' dan menonjolkan kreativiti. Zaman saya dahulu, penyelia tidak pernah memaklumkan terlebih dahulu hari dan masa lawatan, lalu tiada istilah bersedia bila perlu. Setiap hari rasanya ingin menyediakan yang terbaik. Zaman saya dahulu juga tiada guru pembimbing yang dilantik, lalu pandai-pandailah mencari sumber rujukan muktabar - seringkali yang menjadi mangsa kami pelajar praktikum menempel adalah ketua panitia! Ke mana sahaja kami disuruh pergi, atau disuruh buat, semua diikut dengan hati terbuka. Seiring dengan perkembangan zaman, kata salah seorang guru pembimbing yang saya temui, guru-guru seharusnya mampu melaksanakan P&P yang berlandaskan kemahiran abad ke 21. Apatah lagi pelajar universiti/pelajar praktikum yang seharusnya tahu dan sedar akan keperluan ini. Beliau banyak bercerita tentang kisah pelajar-pelajar praktikum yang datang dan pergi di sekolah beliau. Amat sedih bilangnya bila masih ada guru praktikum yang memegang buku teks dan meminta para pelajar membaca dari buku teks seperti gaya pembelajaran tahun 70, 80an. Beliau turut mempersoalkan kebolehan pelajar universiti sekarang dalam menghasilkan bahan pengajaran serta memikirkan aktiviti secara kreatif. Sedikit sebanyak, sebagai seorang pensyarah yang bertugas melahirkan bakal guru, hati saya tersentap. Barangkali masih banyak yang harus diperbaiki dalam mutu kandungan serta pelaksanaan penilaian terhadap kemahiran pedagogi para bakal guru. Malah saya juga mendapat maklumat tentang bagaimana ada sesetengah guru praktikum yang menulis rancangan pengajaran hanya sebanyak 1 muka surat (bukan pelajar UKM katanya!). Hasil perbincangan hangat itu membuat saya berfikir dan berteleku. Pratikum hanya sekadar selembar benang daripada jutaan benang untuk menyulam profesion perguruan yang lengkap. Buat semua pelajar yang baharu melepasi fasa praktikum, teruskanlah mengejar ilmu. Tempoh praktikum di sekolah begitu singkat dan tidak mampu memberi banyak input kepada kehidupan sebenar seorang guru. Kala melangkah di dunia sebenar perguruan, baharulah pembelajaran sebenar berlaku. Kala itu, bukan hanya sekadar penguasaan ilmu dan kemahiran pedagogi yang tercabar, malah emosi dan keimanan pasti akan tersinggung pasti. Lalu bersiap sedialah kalian dengan hati yang terbuka, ikhlas dan padu untuk menebar jasa sebagai murabbi, bukan sekadar memuntahkan apa yang ada dalam sukatan pelajaran. Tahniah buat semua yang telah melengkapkan penulisan ilmiah di samping melunaskan tanggungjawab sebagai guru praktikum .. mudah-mudahan cepat dapat posting ye! Bagi yang berfikir-fikir tentang melanjutkan pelajaran, jangan segan dan malu untuk mendaftar sebagai pelajar sarjana di Fakulti Pendidikan .. dan pilihlah program Sumber dan Teknologi Maklumat! :)
0 Comments
|
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |