Barangkali ada yang menganggap bahawa kerjaya sebagai ahli akademik, khususnya yang bertugas di menara gading sebagai satu tugas yang elit, serta bukan dapat dicapai oleh orang-orang biasa. Mungkin kerana syarat asas seseorang ahli akademik adalah pencapaian yang baik serta memiliki Ijazah Kedoktoran, maka golongan ahli akademik di pandang tinggi.
Namun, apalah erti gelaran sebagai pensyarah jika nilai dan pekerti tidak setanding gelaran kerjayanya? Memasuki dunia ahli akademik merupakan satu langkah besar, justeru tanggungjawab yang bakal dipikul dengan jawatan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Seorang pensyarah tugasnya justeru untuk mendidik, memacu kecemerlangan para pelajar, menjadi tempat rujukan para penyelidik lain malah sekali gus menjadi suri teladan dalam setiap aspek yang positif. Cara berfikir, cara bertindak, malah cara menangani para pelajar yang pelbagai rencam, meraih geran serta menjalankan penyelidikan berimpak, malah tidak dilupakan tanggungjawab sosial melalui kerja-kerja khidmat komuniti - merupakan antara elemen yang perlu dihadam serta perlu 'dihidupkan' dalam diri seseorang ahli akademik. Kewibawaan seseorang ahli akademik pula diraih berdasarkan 'acknowledgement' orang lain dan bukannya boleh dibeli dengan wang ringgit atau acara kipas-mengipas. Justeru, sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki dalam dunia akademik, harus dan wajib merenung semula niat kenapa kita memilih untuk menjadi pensyarah. Jika yang diangan-angankan adalah kenaikan pangkat dengan jalan pintas, atau sanjungan tinggi kerana faktor kebaikan yang ditonjol-tonjol secara bermotif (walau pada hakikatnya tidaklah ubah seperti sebuah tong deram yang kosong) - maka di saat itu wajiblah kita melalui proses muhasabah diri serta purifikasi, yakni penjernihan diri dari sampah-sampah pemikiran berstatus lantai. Masuk ke dunia akademik juga mengajar kita tentang erti adab. Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Amat sayang dan rugi sekali kepada mana-mana pensyarah yang terlalu terburu-buru untuk menjadi 'core member' dalam lingkungan ahli akademik. Lebih sedih jika hasrat tersebut ingin dicapai dengan jalan ringkas - memijak kepala orang atau menikam dari belakang. Atau, barangkali manusia sebegini begitu senang dengan cara memburuk-burukkan orang lain dengan mengadakan cerita yang tidak benar, dengan harapan imej seseorang itu tercalar serta dipandang negatif - di kala itu, tentu sekali harapan yang bersarang di dadanya agar orang lain terus mengiktiraf dirinya sebagai manusia sempurna yang dihantar ke bumi, maksumnya mengalahkan nabi, cekap dan taatnya mengalahkan malaikat. Ingatlah, manusia-manusia yang bersikap dan berfikir begini, bahawa Allah itu ada. Hari ini, anda senang menumbuk lumat kredibiliti orang lain dengan nista dan kesumat, namun jangan lupa setiap perbuatan itu pasti Allah tahu. Kita ini manusia biasa yang punya hati dan pedal. Kita juga dianugerahi perasaan yang halus - cuma yang membezakan kita adalah cara kita bekerja dan bermuamalah. Jika ada manusia yang resamnya hanya tahu membodek, ditambah perencah fitnah seenak rasa, maka hiduplah mereka dalam cara sebegitu dengan bahagianya. Namun, kita jangan lupa. Hidup kita ini, adakah hanya untuk bahagia di dunia?
1 Comment
cik yam
12/10/2018 09:27:55 am
Allahu akbar.betul tu...saya suka penulisan Dr.Fariza. Terima kasih Dr. perkongsian dalam blog ni sangat bermanfaat.
Reply
Leave a Reply. |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |