Kemaman, daerah kelahiran. Tempat membesar di zaman bocah. Sudah beberapa bulan tidak menjenguk ranah yang dirindu serta menatap wajah bonda yang kian dimamah usia. Syukur dalam kesempatan baru-baru ini saya kembali menjejak segala kenangan dan ingatan itu. Oh oh saya rindu sekali akan bau angin pantai timur yang berbaur hanyir ikan serta gemalai bayu yang menyapa. Sesekali pulang, saya bawa anak-anak bermesra dengan pasir dan pantai. Laut yang tidak bertepi, saya perhatikan sepuasnya seakan mencari titik pemisah antara garis laut dan langit yang membiru senada. Seakan tergambar di fikiran bagaimana saya dan rakan-rakan berlarian menyusur gigi pantai Chendor. Kamariah dan Azizawati - dua nama yang melekat di hati - kerana bersama merekalah saya turut sama menganggotai kumpulan BlackCat. Oh oh .. entah siapa pernah bilang bahawa bunyinya seperti kumpulan samseng! Haha! Namun itulah sebenarnya jolokan kepada persahabatan rapat kami bertiga di sekolah rendah dahulu. Sama-sama menjadi pengawas, seorang anak sulung, seorang anak tengah dan seorang lagi anak bongsu. Syukur alhamdulillah sehingga kini silaturahmi masih tetap utuh meski dipisah jarak dan masa. Benar, bilang orang bahawa sahabat di zaman sekolah tidakkan sama dengan sahabat yang baharu kita temui ditempat kerja atau lainnya. Justeru mungkin kerana zaman sekolah merupakan zaman membesar, zaman mencari identiti dan jatidiri lalu banyak sekali kenangan yang bejat yang sihat menjadi perhiasan memori! Saya tidak lupakan bagaimana kami menyusup ke kuari kilang batu-bata kala petang untuk melihat pemandangan pasir yang memutih .. atau kenangan berlarian ke petak sawah di Paman, sambil menghirup udara petang yang nyaman dengan tolakan angin semilir menyapu rambut bertocang panjang! Juga tidak ketinggalan pengalaman meloncat bas Thong Aik untuk ke pekan Chukai dengan duit bekalan di tangan tidak sampai sepuluh ringgit! Kemudian keberanian berganda pula untuk menjadi penumpang bas Sihat untuk ke pekan Kuantan! Semua itu gara-gara mencari kepuasan dan pengalaman baharu! Pantai, petak sawah dan kenangan masih di situ. Di manakah kan kutemui kenangan yang serupa di kota?
2 Comments
2/13/2016 03:05:50 am
Sahabat, enaknya bermain pantai. Aku senang sekali dengan bicaramu; pantai, petak sawah, masihkah ditemui di dada kota?
Reply
Fariza
2/22/2016 04:52:20 pm
Sahabatku Kay,
Reply
Leave a Reply. |
MeI write whatever comes to my mind. I do write in English but most of the time I prefer to express my thought in Bahasa; just because I am Anak Malaysia :)
Archives
February 2019
Blogs that I follow:Edutopia
Center for Teaching Educators Technology Jendela Kamila Tinta Seorang Wanita PhD Blog Patter The Thesis Whisperer James Hayton e-Learning Acupunture Mendeley Blog Let's View my Blog Google Drive Blog SuperWebsiteBuilder e-learning learning Brain Rules Peter Pappas Classroom 2.0 Scoop.it Categories
All
|