Musim konvokesyen sudah lama berlalu. Saya tahu, entri ini mungkin agak ketinggalan dan sudah 'tidak panas' lagi untuk dibentangkan. Namun, kerana sempitnya waktu, membuat hal itu tertunda-tunda. Sekalung tahniah buat semua yang bergelar graduan 2014. Saya melihat satu batch dari fakulti yang ada sebahagiannya bersama saya semenjak di tahun pertama sehingga ke tahun akhir. Wajah-wajah puas dengan kejayaan jelas sekali dapat saya tatap pada hari tersebut. Begitu, di sebalik jerih-perih pasti ada janji Allah buat mereka yang tidak putus berusaha dan berdoa. Ada keluhan yang saya dengar daripada pelajar-pelajar sarjana, mengatakan rasa kebimbangan mereka terhadap kapasiti diri untuk menamatkan pengajian. Namun, sering saya ulangi bahawa tiada resepi mujarab untuk berjaya melainkan diri sendiri. Usaha harus datang dari hati yang teguh, yang ditunjangi keyakinan terhadap pertolongan dan kurniaan ilham daripada Yang Maha Pencipta. Selebihnya, jagalah muamalah dengan penyelia, rakan-rakan serta insan-insan di sekeliling.
Ianya tidak sukar, namun tidak pula terlalu mudah!
0 Comments
Berputar mengejar. Masa memang tidak pernah dirasakan cukup jika kita asyik mengejar dan mengejar, tanpa kita peduli kepada apa yang ada di sekeliling kita, serta insan-insan yang datang dan pergi yang mewarnai kanvas hidup yang berkitar ini. Semester ini sememangnya menyesakkan dada hingga sesekali hampir jua tersungkur. Namun syukur ke hadrat-Nya Yang Maha Rahman dan Rahim kerana masih diberi runag bernafas sebagai hamba. Kenangan manis ketika menyertai National University Carnival on e-Learning (NUCEL) di Shah Alam baru-baru ini bila mana penyertaan saya yang tidak seberapa diberi ganjaran jua. Hmm .. banyak yang dipelajari hasil penglibatan dalam aktiviti sebegini. Lalu menghadirkan rasa sedar akan terlalu banyak perkara yang belum diketahui, justeru jangan sesekali merasa diri kita hebat. Kita hanya menumpang setitis dari ilmu Allah! Karnival ini juga memberi ruang saya bertemu sahabat-sahabat lama! November juga bulan kelahiran. Tiada yang harus lebih disyukuri selain atas nikmat kehidupan kurniaan Azza wa Jalla. Alhamdulillah ya Allah kerana memberi peluang untuk aku meneruskan langkah-langkah meski sesekali sumbang rentaknya, tergelincir di liku-liku yang berduri. Ampunilah ya Ghafiir .. atas segala khilafku, justeru hamba-Mu ini insan penuh dosa dan alpa.
Family and friends: I love you all <3 Duh, September seperti belati, laju membelah hari sehingga kayaknya tiada sempat untuk mengulit mimpi ketika lena beradu. Saya kira September ini kemuncak aturcara. Datang dan pergi, silih berganti. Sementelah pula minggu-minggu kuliah sudah bermula, lalu agenda harian menjadi sendat dan padat sekali. Minggu nan sudah, Seminar ICELD telah berlangsung dengan jayanya. Syukur alhamdulillah kerana setiap jerih-perih para ahli jawatankuasa pelaksana terbayar dengan rasa puas. Melihat jumlah penyertaan yang begitu ramai sekali, khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar Sarjana dan PhD dari Fakulti Pendidikan UKM serta institusi-institusi lain termasuk peserta dari luar negara, saya kira kami mampu menghela nafas lega. Tidak sia-sia iklan dan promosi yang dijalankan. Tidak dilupakan betapa kerapnya maklumat tentang tarikh akhir serta info lain terpaksa dikemaskini pada brosur dan website! Namun saya anggap itu semua sebagai asam garam dalam tugas. Dua pelajar Sarjana saya turut sama membentang. Saya bangga dengan kedua-duanya kerana semangat jitu yang dipamerkan meski ada yang seram sejuk tangan sebelum tiba giliran membentang. Good job! Saya mengikuti keseluruhan sidang selari dengan penuh minat serta cuba melibatkan diri dalam perbincangan seusai setiap pembentangan. Saya lihat, ramai yang masih selesa dalam kepompong serta rela menjadi pemerhati bisu, sedang orang lain meriah berkomentar. Budaya ringan mulut nampaknya masih belum mendarah daging daging dalam individu pelajar-pelajar kita. Saya kira, hal ini perlu perhatian serius. Perbincangan dalam kumpulan kecil seperti ini seharusnya digarap dengan padu untuk menjana pemikiran serta membangunkan nilai dan keyakinan diri dalam lagak ahli akademik. Jika kita masih gemar bersikap tutup mulut, saya kira itu satu keputusan yang merugikan. Ayuh, mari ubah dan jana pemikiran. Buang rasa malu dan segan, pasakkan dalam diri bahawa kita sapa seperti orang lain. Jika kita rasa diri kita kurang hebat, orang lain juga berprasangka begitu sebenarnya namun yang memisahkan kita dengan mereka adalah keberanian untuk memecah tembok dalam diri. Cubalah! Sekali anda melontarkan persoalan, dan terlibat dalam perbincangan kecil seumpama itu, anda akan rasakan 'kemanisan'nya! September masih lagi berbaki beberapa hari. Di peringkat Fakulti, Hari Inovasi juga dijalankan selang beberapa hari setelah tamatnya ICELD. Seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini, sebagai AJK untuk acara Hari Inovasi ini, saya mengambil kesempatan untuk menyertai pertandingan poster. Peringkat awalnya, hanya itu yang saya kira sempat saya sediakan. Sedangkan, sempena hari tersebut, terdapat dua acara yang dipertandingkan, iaitu Poster dan Pitching. Entah dari mana datangnya ilham, dua hari sebelum tiba harinya, saya membuat keputusan untuk menyertai pertandingan Pitching. Niat asal saya bukanlah untuk menang, tetapi semata-mata sebagai wakil pensyarah baru. Saya memilih tajuk ringkas 'Google Drive kan ada?!'. Dan tajuk itu menggambarkan isi pitching saya. Cuma saya menekankan aspek penyeliaan menggunakan aplikasi Googel Drive. Persembahan saya amat sederhana, namun saya pastikan ia jelas dan terus menuju matlamat. Siapa sangka, rezeki di tangan-Nya jua. Pitching saya tentang Google Drive mendapat tempat kedua dan melayakkan saya menerima wang tunai RM1000 :) Alhamdulillah! Mungkin ini berkat bisikan hati kecil saya yang sudah agak lama bermimpikan mini Ipad baru hehe ... manakala poster saya yang penuh kesederhanaan itu diberi ganjaran pingat perak. Oklah tu kan! Jom layan beberapa gambar: September yang padat, namun memberi kenangan manis :)
Alhamdulillah. Kepada-Nya jua harus kita memulangkan segala sesuatu kerana daripada-Nya jualah ia datang! Saya mengenalinya ketika beliau di semester ketiga, sekaligus mengambil alih tugas sebagai penyelia di kala beliau sudahpun menyiapkan Penulisan Akademik 1 (Bab 1,2, dan 3 proposal kajian). Ketika pertama kali beliau datang bertemu saya, jelas wajahnya tidak keruan kerana perihal pertukaran penyelia kerana sebab yang tidak dapat dielak itu. Saya dengan tangan terbuka menerima kedatangannya untuk perincian lanjut tentang kajian masternya. Dia jelas tidak berpuas hati dengan proposal yang telah disiapkan sebelum ini. Lalu saya cuba mengorek apa sebenarnya minat beliau untuk dijadikan subjek kajian. Masanya agak suntuk lalu saya terpaksa menggunakan pendekatan yang lebih proaktif untuk memastikan penulisannya berjalan lancar. Ternyata, tidak mudah kerana kekangan di tempat kerja serta komitmen keluarga banyak mempengaruhi kelancaran kajian. Saya akur dan sangat mengerti kerana itulah hakikat apabila berhadapan dengan pelajar separuh masa. Namun, saya menebalkan muka. Hampir setiap bulan, saya tidak lupa menghantar pesanan mesra kepada beliau serta beberapa pelajar sarjana di bawah seliaan. Mungkin ada yang 'rimas' apabila menerima mesej ringkas tapi membekas itu. Saya kira hubungan inter personal penyelia-pelajar boleh menjadi pemangkin positif atau negatif kepada tahap ketahanan mental serta produktiviti mereka. Sesekali saya mengajak anak-anak buah di bawah penyeliaan untuk bertemu di tempat selain dari pejabat di kampus. Sambil minum-minum, banyak yang dikongsi, termasuklah isu-isu akademik dan non akademik. Beberapa kali saya menyaksikan airmatanya tumpah; membuat saya rindu akan zaman saya bergelumang dengan penulisan tesis PhD dahulu. Bukan sedikit air mata yang mengalir, bukan sedikit hati yang hancur berderai. Namun, doa, usaha dan redha Ilahi pasti memberi jalan luas nan terbentang. Kita cuma perlu ada keyakinan. Minggu lepas, saya dikunjungi beliau. Senyuman melebar setelah akhirnya tamat jua perjalanan yang penuh liku. Saya mengucapkan syabas kepadanya. Saya bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan. Saya gembira dengan azamnya yang tidak pernah luntur. InsyaAllah, awal November ini beliau bakal menaiki pentas konvokesyen. Tahniah Ummu. Semoga Allah mempermudah segala urusanmu. p/s: Terima kasih di atas bingkisan ini. Ia sungguh bermakna. NOTA: SEKALUNG TAHNIAH JUGA BUAT SEMUA PELAJAR FAKULTI PENDIDIKAN YANG BAKAL BERJUBAH OREN NOVEMBER NANTI! :)
1 haribulan. Seluruh negara bercuti umum sempena Hari Kemerdekaan namun tidak bagi kami semua. 1 haribulan menyaksikan UKM menerima pelajar-pelajar baru pelbagai jurusan mendaftar di seluruh kampus dan fakulti. Saya tidak menyangka bahawa pendaftaran pelajar baru yang datang berbondong-bondong diiringi ahli keluarga mengakibatkan kesesakan jalan yang teruk sekali. Hampir setengah jam saya tersekat di jalan, simpang ke fakulti hanya dipisahkan beberapa buah kenderaan di hadapan saya namun tiada ruang untuk mencelah. Akhirnya saya terpaksa akur dengan membuat pusingan U lalu mengambil keputusan untuk memarkir kereta di PPBL lalu menapak laju ke Dewan Budiman untuk bersama-sama TNC HEP mengalu-alukan anak-anak baru bersama keluarga ke fakulti. Saya terlewat sepuluh minit.
Meski tidak ramai yang hadir (mungkin kerana masih ramai yang belum langsai pendaftaran di kolej), kehadiran ibu bapa bersama anak-anak cukup mengharukan. Di wajah-wajah tua itu tersimpan sejuta harapan yang menggunung tinggi, segaring mentari. Dari jauh saya mendoakan agar mereka kelak bakal menghadiahkan kecemerlangan buat kedua ibu bapa, serta nilai khuluk yang mulia sebagai seorang terpelajar pastinya. Oh oh .. kemasukan pelajar baru bermakna cuti semester sudah kian tiba ke garis penamatnya. Duh .. kembali merutini hari-hari sebagai pensyarah, bergelut dengan kuliah, tutorial dan pelajar dan tidak lama lagi menggulati kertas peperiksaan pula. Alangkah singkatnya masa! Kitaran kehidupan begitu pantas dioleng roda waktu. Ayuh anak-anak kampus! Perkemaskan diri dengan azam memuncak, teruskan usaha untuk kecemerlangan diri, sahsiah dan peribadi. Semoga Allah memberkati setiap perjalanan kita. Bilang seorang rakan fakulti; minggu-minggu sebelum kehadiran pelajar untuk semester baru seharusnya diisi sebaiknya untuk aktiviti individu dan lebih peribadi sifatnya, namun banyak pula perkara sampingan yang harus didahulukan justeru semua itu merupakan tugas hakiki serta tanggungjawab terhadap profesion. Saya bersetuju, benar-benar bersetuju. Jumaat yang lepas, saya berbengkel di Puri Pujangga untuk kumpulan penyelidikan Media Alternatif, pun terpaksa berlarian ke fakulti kerana ada dua mesyuarat yang harus dihadiri - pagi , Seminar ICELD dan petang pulang untuk perbincangan hasil projek IRIS bersama wakil dari Lembaga Zakat Selangor (LZS). Hari ini, saya berkampung pula di Danau Golf Resort bersama ahli kumpulan penyelidikan Inovasi P&P pula. Semenjak pagi, kami memerah otak untuk menghasilkan bab dalam buku yang bakal diterbitkan pada tahun 2015. Saya sendiri, meski sudah punya bahan untuk dicanai dalam penulisan, masih tidak berkesempatan untuk berjinak-jinak dengan intro bab! Syukurlah, kesempatan berbengkel ini kami gunakan sebaiknya untuk proses penulisan secara lebih produktif . Dalam sibuk menggeluti penulisan, saya tersedar ada satu emel masuk: panggilan untuk menghadiri taklimat geran Sumitomo pula di Fakulti Sains Teknologi. Saya, bersama seorang lagi rakan dari ahli kumpulan yang berbengkel hari ini berbisik. Petang ini, harus ke sana kerana ini panggilan daripada ketua geran penyelidikan kami. Lalu, bengkel yang harusnya langsai sehingga petang terpaksa dihadiri separuh hari sahaja. Saya baru tersedar, kala telefon disenyapkan kerana berada dalam bengkel, ada panggilan masuk daripada rakan sejawat yang lain. Tentang geran Penyelidik Muda pula. Saya mohon maaf kepadanya kerana belum sempat melihat emel yang dihantar kerana perlu berada di luar pejabat. Duh. Saya menjeling jam. Sudah petang. Bab dalam buku belum juga langsai sepenuhnya. Pindaan peruntukan perbelanjaan untuk geran baru juga belum diberesi. "Banyak sangat dalam kepala saya ni! Nak fikir itu, fikir ini!" luahan hati ini saya dengar berkali-kali daripada beberapa individu berbeza. Bermakna, bukan saya seorang sahaja yang berhadapan dengan dilema ini. Saya mendongak ke langit, namun, langit di atas sana kelihatan seperti mengejek saya. Semua manusia punya 24 jam sehari. Akal fikiran yang dikurniakan Allah itu, gunakanlah sebaiknya. Jangan kerana terlalu berkisahkan urusan dunia, engkau lupa tanggungjawab paling utama - buat Tuhan-Mu. Sekonyong-konyong saya tertunduk malu :( Saya mengikuti perkembangan di Palestine saban hari dengan pelbagai perasaan yang mendalam. Kadangkala sebak lalu berair mata mengenangkan kekejaman terhadap saudara seagama di sana. Apatah lagi kala lagu-lagu jihad dikumandangkan, begitu menggegar nurani. Betapa dekatnya mereka dengan semangat mati kerana Allah, berbanding kita yang hidup bersenang-lenang di bumi bertuah ini. Peristiwa berdarah ini turut membuat saya terkenangkan kenalan saya Brother Dr. Musa dan keluarganya yang berasal dari tanah Palestine.
Mereka saya kenali ketika bermukim di Nottingham dahulu. Musa seorang yang sentiasa tenang, begitu menjaga solatnya. Sering kali, saya lihat beliau tanpa sangsi mendirikan solat di atas lantai di bilik kerja kami C12. Malahan, penghuni lain yang bukan Muslim sepertinya sudah lali serta tidak hairan dengan situasi begitu. Satu lagi sikap mereka yang membekas di hati adalah nilai 'takreemud dhuyuf' (menghormati tetamu) yang bersangatan. Pernah kami mengunjungi rumah beliau dan isterinya Rana, dua hari setelah mereka menerima cahaya mata baru, bernama Bana. Saya tidak percaya bahawa Rana yang baru beberapa melahirkan begitu gigih di dapur mempersiap juadah untuk kami. Beliau kelihatan kuat seperti bukan di dalam pantang. Kami pula yang 'seriau' melihat kelasakan Rana sehingga kami menariknya supaya duduk di kerusi. Pernah juga saya tanyakan keadaan di bumi Palestine. Balas Musa, mereka tidak pernah gentar, dan setelah tamat pengajian PhD beliau dengan pasti akan pulang ke Palestine untuk berkhidmat di salah sebuah universiti di sana. Tidak pula saya pastikan universiti yang mana satu. Lalu, setelah menerima khabar bahawa pihak tentera Zionis sudah mula mensasarkan sekolah serta institusi pengajian di sana, hati saya tiba-tiba terjentik. Allah, Allah .. Kau selamatkan mereka dan ahli keluarga di sana! Andai mereka terkorban, bariskanlah mereka dalam kalangan syuhada' ..ameen ya rabb! NOTA: Nikmatnya kita hidup di bumi bertuah ini. Jika tiada rasa syukur, maka apalah ertinya segalanya ... :( Minggu yang padat.
Lepas satu, datang lagi satu. Ada suara mengatakan bahawa, apabila kita berhadapan dengan terlalu banyak pilihan, maka tanyalah akal; mana satu yang perlu didahulukan, mana satu yang perlu? Jika jawab akal - ambil semuanya! Lalu jangan lupa menjeling neraca iman. Yang mana satu? Yang mana perlu; yang mana mampu; yang mana memberi faedah dan ganjaran dari segi ilmu dan paling penting jangan sampai kau lupa kepada tugasmu sebagai hamba-Nya. Kata iman, jangan gelojoh mengaut kesemua peluang. Biar tidak banyak, namun padat manfaat. Biar sedikit, tetapi bererti. Allah .. Allah .. |
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |