Jemputan ke seminar ini saya terima sehari sebelum berlangsungnya acara ini. Oleh kerana jemputan dihantar secara personal, jadi tidak manis rasanya mengatakan tidak meskipun sebenarnya saya agak putar-alam dengan jadual komitmen yang telah dipersetujui lebih awal. Untuk menolak juga terasa rugi pula kerana input yang dihidangkan jarang-jarang diperolehi, tambahan pakar-pakar dari universiti terkemuka seperti US (Harvard, Indiana), UK (Edinburgh), Kanada (Victoria), Qatar dan pelbagai lagi turut sama berkongsi. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapat mendengar isu-isu berkaitan penggunaan teknologi dalam dunia latihan dan amalan perubatan dan kesihatan - memberi satu 'insight' yang segar kerana latar belakang saya yang berbeza. Sememangnya teknologi itu ada manfaatnya, namun kebitaraan manusialah yang menentukan bagaimana ia digunapakai untuk menghasilkan impak yang sewajarnya. Teknologi bukan segala-galanya. Sentuhan kemanusiaan serta konsep berguru secara 'talaqqi' atau face-to-face tidak boleh dipinggirkan secara total. Menarik sekali apabila ada bicara yang menyinggung isu data raya (big data) dan peranan artificial intelligence (AI) dalam bidang kesihatan. Duduk bersama pengamal perubatan serta penyelidik dalam bidang ini membuat saya merasa diri terlalu kecil. Melihat sumbangan mereka kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat turut membugarkan rasa kagum dan bangga. Alhamdulillah atas pengalaman ini. Alhamdulillah atas ilmu dan kesedaran ini - ilmu Allah itu terlalu luas untuk seorang manusia kerdil menguasai segalanya!
0 Comments
Mungkin kerana telah ditetapkan rezeki saya untuk menyelidik hal ini, justeru permohonan geran FRGS saya berjalan lancar dan diluluskan setelah mencubanya buat pertama kali. Alhamdulillah thummalhamdulillah! Idea untuk menjalankan kajian tentang kesedaran siber ini muncul setelah saya mendengar ceramah daripada Brother Aaron yang ketika itu masih bertugas di Cyber Security Malaysia. Beliau dijemput ke UKM untuk memperkatakan tentang bahaya siber serta risikonya andai pengguna tidak tahu mekasnisme pertahanan diri. Sudah ramai menjadi mangsa. Tidak sedikit pula yang dipersia. Semua itu membuatkan saya mula celik mata. Betapa membarahkah keadaan ini? Sejauh mana ketagihankah anak remaja kita kepada media sosial serta komunikasi dalam talian? Tidak adakah mekanisme pertahanan diri? Apakah mereka akan merujuk ibu bapa, guru atau teman kiranya sesuautu kejadian tidak diingini menimpa diri? Itu antara perkara yang melingkari pemikiran saya kala menulis proposal kajian. Lalu apabila permohonan saya diluluskan, dan mendapat remark daripada penilai bahawa ini kajian yang sangat kontemporari dan diperlukan dalam keadaan semasa, saya menghela nafas lega. Namun cemas pula apabila memikirkan ini satu tugas yang berat dan panjang yang harus dipikul sebaiknya. Alhamdulillah, setelah proses pembangunan item dilaksanakan beserta pilot test yang menghasilkan Alpha Cronbach yang memuaskan, penyelidikan saya kini melangkah setapak lagi - iaitu pengutipan data sebenar. Negeri pertama tempat saya singgah adalah Sarawak Bumi Kenyalang. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih buat sahabat rapat saya Dr. Salmah yang telah sudi meluangkan masa dan tenaga untuk sama-sama mengharungi dua hari penuh makna itu. Saya membawa pulang lebih 200 soal selidik yang lengkap ditanda (berkilo-kilo beratnya!). Orang Sarawak memang hebat lagi penyantun. Hospitalitynya tip top. Di kesempatan ini juga ingin saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat pengetua di dua buah sekolah yang telah memberikan kebenaran untuk saya meluangkan masa bersama para pelajar. Jamuan makan tengahari yang enak pasti juga tidak dilupakan! Malah di salah sebuah sekolah yang kami lawati, menyediakan ruang masa yang begitu panjang sehingga sempat pula saya dan Dr Salmah menjalankan sesi ceramah tentang Kesedaran Siber. Semoga anak-anak yang bersama dalam sesi tersebut mendapat sedikit sebanyak maklumat tentang bahaya yang menunggu dalam talian kiranya tiada waspada. Di sebelah petang hari pertama juga sempat singgah ke UNIMAS untuk perkongsian kecil tentang CONDUCTING RESEARCH AND SYSTEMATIC DATA ANALYSIS IN CASE STUDY
Warga UNIMAS juga begitu peramah menjadikan saya lebih selesa bergurau senda. Oh oh -- tidak ketinggalan ketemu pula dengan senior di UM dahulu - Pn Samsiah Jayos. Tidak dilupakan perkenalan penuh makna bersama Pn Nora .. sehingga terjebak saya dengan satu jenis obsesi hehe (rahsia). Salmah sahabatku Susuk yang kukenali di zaman bergelar pelajar PhD. Ternyata persahabatan ini masih terpatri dengan kukuh. Banyak susur galur hidup kita lalui bersama mate, dan semua itu kukenang dalam sangkar memori jua. Mate, masih banyak perkara yang hendak kita lakukan. Mohon titiskan doamu dari kejauhan. Mudah-mudahan segala perancangan dapat dilunaskan dengan redha Ilahi jua. TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA MATE! Secebis kenangan di Nottingham dan Paris ^___^ Program Rampai Penyelidik ini merupakan kali keenam seumpamanya di UKM. Alhamdulillah untuk kali ini, pihak Fakullti Pendidikan diberi kepercayaan untuk menerajui penganjuran Rampai Penyelidik ke-6 bertempat di DTAMS UKM. Pelbagai hasil penyelidikan berteraskan STEM dipamerkan sempena pameran sehari itu. Paling menggembirkan, sekumpulan pelajar dari SM Teknik Kuala Lumpur turut hadir untuk berkongsi cerita kejayaan mereka yang menonjolkan rekacipta yang menarik. Tahniah buat anak-anak SMTKL. Meski tidak lagi bertugas di sana, saya tetap berasa bangga. Ini kali kedua saya bertugas sebagai Floor Manager dan masih setia bergandingan dengan Dr Hazrati .. mungkin ini jawatan tetap dan berpencen barangkali. Tetapi saya tidak kisah kerana tugas ini meskipun mencabar namun menyeronokkan. Hmm .. melihat hasil-hasil inovasi yang dipamerkan membuat saya menggaru kepala. Apa lagi perkara baru yang boleh dihasilkan untuk inovasi tahun ini? #neuronmati Acara telah lama berlangsung namun seperti biasa, saya akan memeram cerita sehingga menjadi pekasam yang enak dimakan hehehe .. duh, masa terlalu memburu meski banyak hal ingin diceriterakan. Namun, kerana ada hal yang menuntut prioriti, maka usaha mencatat di laman kecil ini seringkali ditolak tepi. Baru-baru ini, tepatnya pada 21-22 Julai nan lalu, saya dijemput bertugas di booth UKM sempena Graduan Aspire 2018 bertempat di Convention Centre [KLCC]. Alhamdulillah, pengunjung ke booth UKM tidak putus-putus. Bermacam pertanyaan diajukan - dari peluang pekerjaan sebagai Research Assistant, tutor dan pensyarah sehinggalah peluang melanjutkan pelajaran di peringkat pra dan pasca siswazah. Tidak terasa masa berlalu. Seharian di booth meskipun memenatkan tetapi boleh jadi juga sebagai terapi minda. Seronok berjumpa dengan pelbagai latar belakang anak muda. Oh oh terasa benar bahawa diri ini sudah meniti usia! Melihat wajah-wajh bersemangat di hadapan mata mengingatkan saya kepada kenangan lalu di zaman prasiswazah. Satu tempoh yang mengujakan walau penuh siksa dan kenangan heh! Kepada mereka yang benar-benar ingin menjadikan impian mereka untuk menjejak kaki ke UKM, saya doakan impian tersebut dikabulkan. Siapa tahu. kita bertemu lagi di kampus Bangi :) Aktiviti sebegiini bukan selalu saya ikuti. Lalu peluang yang ada untuk bersama-sama beberapa pelajar dari SMK Kg Dangar Pasir Mas ini tidak mahu saya lepaskan.
Meski sudah berlangsung hampir sebulan yang lalu. baru hari inilah jemari mampu mengetuk aksara. Masa terlalu renyah untuk tugas-tugas 'housekeeping' blog ini hingga bersawang sudah di sana sini! Berlangsung selama 3 hari di Pantai Penarik, Setiu Terengganu, banyak pengisian yang diberikan. Saya bersama 6 lagi rakan pensyarah Fakulti Pendidikan menyusun aktiviti bersama. Daripada pengisian berbentuk kerohanian, hinggalah kepada kerjaya, kepimpinan, jati diri dan komunikasi. Literasi komputer juga tidak dilupakan. Di akhir sesi, anak-anak terpilih ini melahirkan rasa syukur di atas apa yang diterima sepanjang kem ini. Semoga ia membekas di dalam jiwa dan kelak menjadi bekal untuk kehidupan seterusnya. Rasanya banyak yang hendak saya coret sebagai refleksi namun minda bagai terkunci. Mungkin kerana terlalu lama membeku tanpa menulis. Ala-ala otak beku barangkali :P Mohon permisi. SM Teknik Kuala Lumpur - antara premis kerja yang sentiasa dekat di hati, ampuh dalam ingatan. Bukan hanya kerana persahabatan yang indah bersama rakan-rakan setugas, malah hubungan harmoni bersama pelajar tentu sekali menjadi penyebab kenapa SMTKL tempatnya begitu dekat dengan jiwa. Paling utama, di sinilah saya membentuk profesionalisme diri sebagai seorang pendidik sejati. Budaya kerja di sini begitu asing buat saya pada mulanya. Namun semakin lama, semakin banyak cara pemikiran dan kerja yang saya serap dengan bimbingan rakan-rakan senior. Pulang jam 6 petang bukanlah perkara pelik sewaktu kami bertugas di sini. Tiada istilah 'berkira' dengan jam kerja. Yang menjadi keutamaan adalah kepuasan diri dengan apa yang dicurahkan buat sekolah, anak didik pastinya. Di sini juga saya mempunyai ramai 'suri teladan' - Datin Hjh Jaminah Hj Hashim antaranya yang begitu memberi inspirasi dari sudut kekemasan kerja, disiplin serta kepimpinan. Datin Sharifah Asmah selaku Ketua Bidang, Datin Siti Hajar dan Puan Khatmi selaku ketua panitia, antara yang memberi banyak kesan kepada cara saya melihat diri saya sebagai seorang guru. Tidak dilupakan Kak Haslawati, Kak Roy yang sama-sama menjadi ahli panitia yang banyak memberi contoh yang begitu positif buat saya. Terima kasih semuanya - rakan-rakan yang tidak tersebut namanya di sini. Empat tahun di sini merupakan satu tempoh yang singkat namun begitu membekas di hati. Dan apabila Cikgu Yati Sidek menghubungi saya untuk bersama-sama menyertai pertemuan semula bekas-bekas guru SMTKL pada Syawal nan lalu saya tidak berfikir dua kali dan terus mengatakan "YES". Kenangan indah ini kusimpan jua. Terima kasih atas persahabatan dan nilai murni yang menjadi nadi dalam silaturhim kita :) Barangkali ada yang tidak pernah mendengar nama Latvia, sebuah negara cantik yang terletak di Timur Eropah ini. 'Apa?' itu reaksi yang beberapa kali saya dengar apabila nama Latvia disebut. Syukur, kedatangan Professor Andrejs Geske ke fakulti atas kapasiti Profesor Pelawat memberi banyak input bermakna, bukan sahaja untuk pelajar siswazah di FPend, malah turut memberi maklumat kepada kami, warga pensyarah. Perkongsian beliau tentang program PhD di Universiti Latvia juga agak menarik. Selaku Ketua Program PhD fakulti, saya dijemput oleh Prof Dr Saemah untuk turut sama mendengar perkongsian tersebut. Satu perkara yang menarik hati tentang pakar berbangsa Latvia ini adalah kesederhanaannya dalam segenap hal. Tutur katanya yang bersopan, tersusun malah senyuman yang tidak lekang di bibir membuat sesiapapun menjadi senang untuk berdampingan dan berguru dengannya. SIkap ini seharusnya menjadi suri teladan buat kita semua. Semakin banyak ilmu dan pengalaman, semakin merendah rendah. Janganlah hendaknya kita berasa puas dan angkuh dengan apa yang kita ada, kerana ilmu di dada walau sebanyak manapun, ia tetap hanyalah setitis daripada selautan imu Allah. Terlibat sebagai salah seorang master trainers untuk projek Educator 4.0 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang bertanggunjawab melatih pensyarah-pensyarah IPTA, politeknik serta kolej komuniti di seluruh Malaysia. Justeru merasakan diri ini bukanlah orang yang penuh berilmu dan selayaknya untuk memikul tugas ini, namun amanah yang diberi harus digalas dengan penuh dedikasi. Alhamdulillah platform ini juga merupakan ruang untuk saya belajar dan memperbaiki kelemahan diri. Terima kasih sifu Prof Amin di atas kepercayaan yang diberi. Tahun baharu, azam baharu, visi baharu dan semangat yang baharu! Maka 2018 disambut dengan rasa pelbagai, azam berwarna-warni. Selari dengan kedatangan tahun baharu ini juga, Dato' Seri Idris Jusoh, Menteri KPT turut mengambil peluang untuk bersama-sama mengongsikan amanat beliau kepada semua warga kerja KPT agar setiap visi dan misi dapat dicapai seoptimanya. Saya menerima jemputan rasmi daripada JPT untuk menghadiri majlis yang penting lagi signifikan ini sebagai satu penghormatan terhadap diri saya selaku seorang penjawat awam di bawah naungan KPT. Soaring Upwards! Bertempat di PICC, majlis tersebut dihadiri oleh ramai sekali tetamu. Dewan penuh dari bawah hingga ke atas! Selama hampir 2 jam dengan asyiknya mendengar celoteh beliau, yang jelas, bersahaja tetapi pernuh inspirasi. Sesekali mengangkat telefon bimbit untuk merakam momen penting khususnya paparan slide yang dirasakan perlu untuk rujukan semula. Seperti dijangka, isu 4IR merupakan intipati penting dalam amanat Dato's Seri. Saya turut mengambil kesempatan untuk berkumpul bersama tiga wanita hebat dari tiga institusi berbeza: PM Dr Azidah (USM), PM Dr Wan Zuhainis (UPM) dan Dr Rosemaliza (UIA). Alhamdulillah, silaturahim yang terjalin beberapa tahun sebelum ini akhirnya melahirkan satu kesepakatan untuk sama-sama menjayakan satu projek merentas institusi. Beberapa minggu nan sudah, kami sempat ber Zoom.us untuk perbincangan lanjut tentang projek bersama ini.
Apabila dikelilingi tokoh-tokoh hebat ini, aura positifnya memang terasa. Benarlah hikmahnya pesan Rasulullah agar kita berdampingan dengan mereka yang baik dan positif kerana tempiasnya pasti ada! Dr Azi, Dr Wan, Dr Rose - terima kasih atas persahabatan ini :) Alhamdulillah NC4IR akhirnya berjaya dilangsungkan dengan jayanya! Syabas buat kesemua ahli jawatankuasa kerja yang begitu komited dengan portfolio masing-masing. Ini kali pertama saya ditugaskan sebagai Floor Manager dan sesungguhnya sebelum acara berlangsung saya agak risau jika tidak dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya. Maklumlah peranan Floor Manager amat berat kerana perjalanan keseluruhan majlis bergantung kepada lampu hijau kami! Syukur, keseluruhan aktiviti dapat dilangsungkan mengikut jadual yang ditetapkan kecuali untuk agenda forum - atas sebab-sebab teknikal namun berjaya dihabiskan mengikut waktu jua. Seharian memegang walkie talkie ke sana ke mari sememangnya agak memenatkan namun apabila acara tiba ke garis penamat, semacam perasaan menyelinap. Alhamdulillah di atas kelancaran segalanya. Terima kasih Hazrati yang turut sama bertugas sebagai Floor Manager bersama saya dan tidak dilupakan Izwan yang berperanan sebagai JK Protokol yang sama-sama berganding bahu dalam memastikan segalanya berjalan mengikut tentatif. Oh oh .. saya mula sukakan tugas ini! Mungkin sudah agak bosan dengan tugas-tugas multimedia, rekabentuk serta buku program yang seringkali diberikan untuk seminar-seminar sebelum ini! Jika diberi peluang lagi untuk bertugas sebagai Floor Manager mungkin saya tidak akan menolak! Apapun, pengisian di sepanjang program sehari ini amat signifikan serta dibutuhkan semua. Lensa kefahaman tentang 4IR serta implikasinya kepada pembangunan kemahiran sumber manusia serta kepentingannya dalam kelangsungan perkembangan ekonomi serta bidang sosial dan kemanusiaan menjadi semakin meluas dan mendalam. Alhamdulillah di atas kesempatan yang diberi untuk menceduk maklumat serta menghadamkannya mengikut kapasiti serta bidang tersendiri. Syabas FPEND! anSiaran tertunda! Hampir sebulan lamanya MyHEF berlangsung tetapi apakan daya saya seringkali tewas dengan masa yang merantai dan mengheret sehingga banyak catatan terpaksa diketepikan. Saya menerima undangan daripada pejabat menteri MOHE untuk menghadiri forum yang bertemakan Redesigning Education for Industry 4.0. Tema yang sangat relevan dengan keperluan semasa serta perlu dihadamkan oleh semua khususnya akademik yang bertugas di institusi pengajian tinggi. Gelombang 4IR bukanlah sesuatu tersangat baharu justeru telah banyak penulisan dihasilkan yang mengupas bagaimana perubahan dan anjakan berlaku serta impaknya kepada ekonomi, malah sosial dan cara hidup manusia. Namun, sejauhmana gelombang 4IR ini dapat diserap dan diterjemahkan dalam bidang pendidikan sehingga outputnya kelak akan dapat sama-sama menyumbang kepada perkembangan industri? Isu ini amat penting untuk sama-sama dibincangkan agar setiap pendidik akan mendapat jawapan yang jelas tentang potensinya dalam pendidikan serta yakin dengan tindakan yang bakal diambil demi melihat elemen-elemen 4IR diintegrasikan dalam proses pembelajaran pelajar. Sekalung tahniah KPT kerana inisiatif ini yang saya kira sememangnya membuka mata tentang isu-isu sekitar 4IR kepada semua yang hadir. Seornok juga bila dapat ketemu kenalan lama yang jarang bersua dan pastinya maklumat yang diterima bisa menjadi bekal untuk terus berkarya dalam pendidikan ^___^ Anugerah Pemikiran & Rekabentuk Semula Pendidikan Tinggi Malaysia 2017 (APRS) merupakan satu agenda nasional di bawah anjuran KPT yang antara lain berhasrat untuk mengetengahkan perkongsian dan amalan terbaik pendidikan Tinggi Malaysia selari dengan perkembangan Revolusi Industri ke-4 yang menuntut pemikiran dan reka bentuk semula pengajian tinggi terutamanya dalam cara para pensyarah mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat tiga kategori yang ditawarkan: 1. Kurikulum Program Pengajian Inovatif Anugerah ini bertujuan mengenal pasti program-program pendidikan tinggi (di semua peringkat) yang telah dirombak dan dijenamakan semula secara inovatif sehingga berjaya menghasilkan kumpulan graduan yang mempunyai kebolehpasaran dan daya saing yang tinggi. 2. Pengajaran Transformatif Anugerah ini terbahagi kepada 2 sub-kategori iaitu: Pengajaran Transformatif Tanpa Syarahan Pengajaran Transformatif Syarahan Secara Interaktif 3. Pengalaman Pembelajaran Imersif Anugerah ini terbahagi kepada 3 sub-kategori iaitu:
Alhamdulillah, program ini telah selamat berlangsung dan saya telah menghantar satu penyertaan bagi kategori ketiga iaitu Pengalaman Pembelajaran Imersif Maya. Ini merupakan pengalaman pertama mengisi borang penyertaan yang agak panjang lebar kerana setiap elemen dalam soalan yang dikemukakan memerlukan pembuktian yang kukuh serta autentik. Penghantaran borang serta portfolio juga perlu dipersembahkan dalam bentuk yang kemas dan professional. Terima kasih Puan Salini daripada Pengaran UKM yang membantu dalam menyediakan bahan untuk dijurikan pada pusingan pertama. Tidak juga saya duga bahawa penyertaan tersebut disenaraikan dalam lima finalis. Semua finalis dikehendaki mempersembahkan bicara tuntas di hadapan juri selama 10 minit serta perlu menjawab soalan-soalan secara spontan. Pitching tersebut diadakan pada 20 November 2017 di Hotel Istana Kuala Lumpur. Syukur jua kerana direzekikan tempat nombor dua dengan hadiah Geran Penyelidikan sebanyak RM15K. Alhamdulillah. Alhamdulillah meskipun dijemput bukan atas kapasiti pemenang (hahaha .. memang tidak pernah bermimpipun untuk mengisi borang pencalonan!) namun aura dan bahangnya tetap dirasakan. Bertempat di Hotel Mariott Putrajaya, acara gilang gemilang ini sememangnya memberi impak tersendiri kepada hadirin, apatah lagi buat pememang-pemenang yang merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam akademia! Sekalung tahniah diucapkan buat semua khususnya buat idola saya PM Dr Azidah Abu Ziden dari USM yang turut merangkul gelaran AAN bagi kategori Pengajaran. Saya mengenali beliau beberapa tahun yang lalu apabila kami sama-sama menghadiri module e-Learning di AKEPT. Meskipun perkenalan kami begitu singkat, namun saya sentiasa mengingati Dr Azidah sebagai seorang yang berdedikasi serta satu contoh yang perlu dijadikan role model. I am so proud of you !! Yeayy!! Bersama-sama saya pada malam itu juga adalah para pelajar yang terlibat dalam showcase e-portfolio mereka kepada YBhg Dato Seri Idris ketika pelancanra e-portfolio pada 26 Oktober di UPM baru-baru ini. Terima kasih semua! Tidak terkecuali, di majlis ini berkesempatan juga bertemu rakan akademia yang jarang-jarang sekali dapat bersua! Terima kasih atas kenangan indah!
Keserakanan atau collegiality merupakan salah satu elemen penting dalam kelestarian sesebuah organisasi di mana ia menghubungkan aspek inter-personal ahli-ahli sehingga akhirnya membawa kepada pencapaian dan penghasilan produktiviti yang mampan secara secara kolektif.
Konsep Communitiy of Practice sendiri banyak menekankan aspek pembelajaran dan pembangunan seseorang secara profesional melalui interaksi, perkongsian serta menuntut daripada ahli yang lebih pakar. Inilah yang dikatakan sebagai Legitimate Peripheral Participation karangan Lave & Wenger (1998). Kedudukan seseorang dalam sesebuah komuniti adalah bersifat dinamis dan sentiasa berubah. Bermula dengan peripheral participation, individu akan bergerak menuju ke titik hardcore/active members setelah melalaui proses pembelajaran daripada mereka yang lebih pakar melalui proses - observasi, soal jawab sehinggalah pelaksanaan tugas-tugas dari yang asas kepada yang lebih kompleks. Saya melihat diri saya begitu. Masih hijau dalam akademia. maka pertunjuk dan nasihat daripada pakar tentunya maajun mujarab dalam memperkasa profesionalisme diri. Setinggi-tinggi penghargaan buat Prof Dr Kamisah yang telah menjemput saya turut serta dalam projek Buku Perancangan Strategik KPT 2017-2018 bersama-sama tiga lagi pakar yang saya segani - Prof Dr Lilia, Prof Dr Saemah dan Prof Dr Ruhizan. Mudah-mudahan pengalaman ini memberi makna yang membekas. Para penerima Geran FRGS Fasa 1 2017 dikehendaki memilih satu daripada tujuh Cabaran Perdana yang berkaitan dengan bidang penyelidikan yang berkaitan. Sudah beberapa kali juga saya mendengar Cabaran Perdana tetapi kesemuanya seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Lalu untuk rujukan bersama, saya bina satu infografik yang memuatkan tujuh cabaran tersebut. Mungkin bagi pensyarah-pensyarah muda yang bakal menghadiri temuduga pelantikan, perkara ini perlu dijadikan 'bekalan'. Zaman saya dahulu, enam KRA UKM perlu dihafal dan dibahaskan :) |
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |