1 haribulan. Seluruh negara bercuti umum sempena Hari Kemerdekaan namun tidak bagi kami semua. 1 haribulan menyaksikan UKM menerima pelajar-pelajar baru pelbagai jurusan mendaftar di seluruh kampus dan fakulti. Saya tidak menyangka bahawa pendaftaran pelajar baru yang datang berbondong-bondong diiringi ahli keluarga mengakibatkan kesesakan jalan yang teruk sekali. Hampir setengah jam saya tersekat di jalan, simpang ke fakulti hanya dipisahkan beberapa buah kenderaan di hadapan saya namun tiada ruang untuk mencelah. Akhirnya saya terpaksa akur dengan membuat pusingan U lalu mengambil keputusan untuk memarkir kereta di PPBL lalu menapak laju ke Dewan Budiman untuk bersama-sama TNC HEP mengalu-alukan anak-anak baru bersama keluarga ke fakulti. Saya terlewat sepuluh minit.
Meski tidak ramai yang hadir (mungkin kerana masih ramai yang belum langsai pendaftaran di kolej), kehadiran ibu bapa bersama anak-anak cukup mengharukan. Di wajah-wajah tua itu tersimpan sejuta harapan yang menggunung tinggi, segaring mentari. Dari jauh saya mendoakan agar mereka kelak bakal menghadiahkan kecemerlangan buat kedua ibu bapa, serta nilai khuluk yang mulia sebagai seorang terpelajar pastinya. Oh oh .. kemasukan pelajar baru bermakna cuti semester sudah kian tiba ke garis penamatnya. Duh .. kembali merutini hari-hari sebagai pensyarah, bergelut dengan kuliah, tutorial dan pelajar dan tidak lama lagi menggulati kertas peperiksaan pula. Alangkah singkatnya masa! Kitaran kehidupan begitu pantas dioleng roda waktu. Ayuh anak-anak kampus! Perkemaskan diri dengan azam memuncak, teruskan usaha untuk kecemerlangan diri, sahsiah dan peribadi. Semoga Allah memberkati setiap perjalanan kita.
0 Comments
Leave a Reply. |
Archives
June 2022
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |