Alhamdulillah. Kepada-Nya jua harus kita memulangkan segala sesuatu kerana daripada-Nya jualah ia datang! Saya mengenalinya ketika beliau di semester ketiga, sekaligus mengambil alih tugas sebagai penyelia di kala beliau sudahpun menyiapkan Penulisan Akademik 1 (Bab 1,2, dan 3 proposal kajian). Ketika pertama kali beliau datang bertemu saya, jelas wajahnya tidak keruan kerana perihal pertukaran penyelia kerana sebab yang tidak dapat dielak itu. Saya dengan tangan terbuka menerima kedatangannya untuk perincian lanjut tentang kajian masternya. Dia jelas tidak berpuas hati dengan proposal yang telah disiapkan sebelum ini. Lalu saya cuba mengorek apa sebenarnya minat beliau untuk dijadikan subjek kajian. Masanya agak suntuk lalu saya terpaksa menggunakan pendekatan yang lebih proaktif untuk memastikan penulisannya berjalan lancar. Ternyata, tidak mudah kerana kekangan di tempat kerja serta komitmen keluarga banyak mempengaruhi kelancaran kajian. Saya akur dan sangat mengerti kerana itulah hakikat apabila berhadapan dengan pelajar separuh masa. Namun, saya menebalkan muka. Hampir setiap bulan, saya tidak lupa menghantar pesanan mesra kepada beliau serta beberapa pelajar sarjana di bawah seliaan. Mungkin ada yang 'rimas' apabila menerima mesej ringkas tapi membekas itu. Saya kira hubungan inter personal penyelia-pelajar boleh menjadi pemangkin positif atau negatif kepada tahap ketahanan mental serta produktiviti mereka. Sesekali saya mengajak anak-anak buah di bawah penyeliaan untuk bertemu di tempat selain dari pejabat di kampus. Sambil minum-minum, banyak yang dikongsi, termasuklah isu-isu akademik dan non akademik. Beberapa kali saya menyaksikan airmatanya tumpah; membuat saya rindu akan zaman saya bergelumang dengan penulisan tesis PhD dahulu. Bukan sedikit air mata yang mengalir, bukan sedikit hati yang hancur berderai. Namun, doa, usaha dan redha Ilahi pasti memberi jalan luas nan terbentang. Kita cuma perlu ada keyakinan. Minggu lepas, saya dikunjungi beliau. Senyuman melebar setelah akhirnya tamat jua perjalanan yang penuh liku. Saya mengucapkan syabas kepadanya. Saya bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan. Saya gembira dengan azamnya yang tidak pernah luntur. InsyaAllah, awal November ini beliau bakal menaiki pentas konvokesyen. Tahniah Ummu. Semoga Allah mempermudah segala urusanmu. p/s: Terima kasih di atas bingkisan ini. Ia sungguh bermakna. NOTA: SEKALUNG TAHNIAH JUGA BUAT SEMUA PELAJAR FAKULTI PENDIDIKAN YANG BAKAL BERJUBAH OREN NOVEMBER NANTI! :)
0 Comments
Leave a Reply. |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |