Asia-Europe Meeting (ASEM) tiba lagi dan kali ini bertempat di PWTC Kuala Lumpur. Saya dipinang oleh pihak KPM untuk bertugas sebagai rapporteur bersama beberapa rakan sejawat yang lain. Saya anggap itu sebagai satu penghormatan serta tanggungjawab yang perlu dilangsai sebaiknya, di samping peluang menimba pengalaman serta memperluas rangkaian kenalan dalam pelbagai bidang khususnya yang datang dari negara-negara lain. Harapan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap tugas merekod segala isi kandungan dalam bengkel, ucap utama serta sidang plenari jelas diketengahkan oleh wakil dari KPM yang bermesyuarat dengan kami. Jadi saya anggap ini bukan tugas main-main. Sejujurnya, sudah lama saya tidak berpergian meninggalkan keluarga untuk bertugas namun kali ini saya tiada pilihan lain kerana terpaksa bertugas sekali lagi pada awal pagi esoknya. Sementelah pula, saya perlu meraikan majlis makan malam bersama peserta dan petugas yang lain. Saya tertarik dengan beberapa sesi plenari dan bengkel berkaitan MOOC serta pembelajaran atas talian (online learning) di mana banyak kupasan sekitar isu bagaimana memperkasa strategi dan polisi berkaitan dua perkara ini. Pembentangan daripada Prof. Mie Buhl dari Aalborg University Denmark, Prof. Bowon Kim dari Korea National Open University serta Prof. Jan Pawlowski dari Ruhr West University of Applied Science Germany adalah antara yang menarik perhatian saya. Ramai juga yang mempersoal bagaimana sistem pembelajaran berasaskan Massive Open Online Courses (MOOCs) boleh dilaksanakan serta sejauh manakah kelangsungannya, justeru kerana konsepnya MOOCs adalah sangat terbuka, di mana pelajar yang mengikuti kursus-kursus MOOCs mempunyai kebebasan untuk menarik diri. Hal lain yang turut dibincangkan adalah bagaimana akreditasi untuk MOOC dapat diselaraskan, serta isu pensijilan bagi kursus-kursus yang ditawarkan. Menarik sekali apabila nama-nama besar dari pelosok dunia yang berbeza mengutarakan pandangan masing-masing. Dan seperti yang saya duga, isu budaya tidak terkecuali dari perdebatan. Meski agak keletihan kerana perlu menyiapkan laporan seusai sesi dijalankan, hati berasa puas dengan pengalaman ini. Horizon pemikiran perlu diliuk lentuk agar lebih bersifat fleksibel serta berani menerima pandangan asing. Ternyata, kita tidak boleh terlalu selesa dalam kotak dan zon kita. Dunia tanpa sempadan menyebabkan kita harus memangkas segala pagar dan kawat yang menyekat arus pemikiran. Namun itu tidaklah bermakna kita harus menerima segalanya bulat-bulat. Di sinilah nilai bestari dalam diri perlu digilap. Alangkah jauhnya lagi perjalanan. Alangkah banyaknya perkara yang harus saya pelajari!
0 Comments
Leave a Reply. |
Archives
December 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |