Pekasam jika dijeruk lama, rasanya lebih sedap. Begitu juga dengan budu atau kimchi. Jadi, jangan marahkan saya kerana menjeruk coretan ini sekian lama :P Duh, masa sememangnya kejam. Atau itu salah saya yang tidak tahu mencari ruang? Apapun, niat untuk mencoret perlu diteruskan! Tahun ini, acara konvokesyen dilangsungkan lebih lewat dari biasa. Jika tahun-tahun sebelum ini musim konvo jatuh pada bulan Oktober, tahun 2018 menyaksikan perubahan di mana agenda diganjakkan ke bulan November. Namun demikian, kemeriahan acara konvo tetap meriah dan memutikkan adrenaline gembira! Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan jutaan tahniah buat semua pelajar khususnya pelajar-pelajar sarjana di bawah penyeliaan saya: Shahfiezul, Lee, Nadhirah dan Farhana serta pelajar prasiswazah - Hazeem dan Ezyan. Tidak dilupakan semua pelajar yang pernah berada di kelas kendalian saya baik di peringkat pra sis mahupun sarjana! Berakhirnya sebuah perjuangan tidak bermakna ternoktahnya perjalanan, sebaliknya itulah permulaan sebenar.
Selang beberapa hari selepas acara konvokesyen, saya bertembung dengan satu pasangan - kedua-duanya bekas pelajar fakulti yang kini telah memiliki seorang cahaya mata yang comel. Lewat perbualan yang agak panjang itu, saya mendapat tahu yang si suami menjual buah-buahan di pasar manakala si isteri menjaga bayi sebagai sumber pendapatan. Inilah semangat perjuangan dalam sebuah kehidupan. Saya kagum melihat betapa gigih pasangan ini membina kehidupan tambahan pula dengan kehadiran seorang putera, pasti keperluan perbelanjaan lebih dirasakan. Namun riak muka mereka begitu tenang, malah meyakinkan bahawa rezeki itu di mana-mana pasti ada - yang penting adalah usaha dan doa pastinya. Saya juga pasti masih ramai yang senasib dengan pasangan ini - masih mencari ruang untuk membina kehidupan yang lebih selesa. Sementelah, tiada lagi jaminan untuk dihantar bertugas tetap di sekolah, kehidupan pasca konvokesyen boleh menjadi satu mimpi ngeri jika sekiranya anda, anda, anda dan anda menjumudkan diri di satu titik. Ayuh, anak2 didikku - di tangan andalah keajaiban akan bermula. Jangan terlalu taksub dengan impian bergelar guru, meski itulah cita-cita utamamu. Dalam keadaan yang penuh ketidakpastian seperti sekarang, kalian harus berani mencari 'lubuk' tesendiri. Saya mendoakan yang baik-baik sahaja buat semua. Doakan juga kami di fakulti terus dalam limpah dan rahmat Ilahi, dapat terus berbakti dan memberi makna dalam kehidupan pelajar-pelajar kami. Selamat menyelak halaman kehidupan yang sebenar. Di kiri kanan, pasti kan kau temui makna terluka dan tercalar. Namun di hujung-hujungnya kelak pasti kau temui ramuan mujarab untuk menampal luka dan hiba. Salam sayang, Dr. F
0 Comments
Waktu kini kian menghampiri musim konvokesyen, lalu anak-anak siswazah dan prasiswazah sudah mula melangsaikan 'hutang' mereka. Hasil jerih-perih mencatat, menganalisis dan menulis keseluruhan proses dan dapatan penyelidikan masing-masing tentunya menghambat rutin seharian namun itulah resmi hidup sebagai pelajar di IPT. Penyelidikan, tesis dan penyelia tidak dapat dipisahkan! Minggu ini saya menerima kunjungan Hazeem, Ezyan serta Shah yang masing-masing datang berbekalkan tesis berjilid keras sebagai tanda sempurna sudah sebuah karya empirikal yang menuntut ketabahan yang bukan sedikit. Mabruk semua! Tahniah yang berbanggalah dengan hasil kerja anda semua sebagai mana bangganya saya menerima naskhah tersebut! Oh, terima kasih jua atas ole-ole ingatan! Di penghujung minggu juga saya dikunjungi Syaida, pelajar PhD saya (mantan pelajar sarjana saya juga) di bilik. Terima kasih Syaida atas ingatan pada tarikh hari lahir saya yang sememangnya tidak mahu saya warwarkan di sosial media atau kepada anak-anak didik kerana bimbang menyusahkan atau terasa semaca ada keperluan mencari hadiah sempena tarikh itu. Namun, Syaida antara yang mengingatinya. Tahun nan sudah, Syaida jugalah yang hadir ke bilik bersama kek yang enak - dinikmati bersama Hazeem dan Ezyan. What a coincidence! Hehehe
Semoga Allah membalas budi baik kalian semua atas kenangan indah ini ^___^ Assalamualaikum para penyelidik sekalian! Semoga masih dalam momentum dan semangat untuk meneruskan kajian meski pelbagai ujian melanda. Tiada yang mudah untuk berjaya bukan! Ramai juga yang menghubungi saya melalui blog ini atau emel khususnya yang bertanyakan prosedur mendapatkan statistik yang dikehendaki daripada pihak EPRD KPM. Untuk makluman semua, pihak EPRD sebenarnya juga telah berkongsi banyak statistik asas yang amat berguna untuk penyelidik khususnya yang melibatkan bidang pendidikan di Malaysia. Kadangkala statistik asas ini amat diperlukan untuk pemilihan saiz sampel bagi yang menjalankan kajian secara survey malah diperlukan juga sebagai asas dalam penyataan masalah atau penulisan latar belakang kajian. Nah, di sini saya kongsikan Quick Facts daripada EPRD KPM sebagai ole-ole. Boleh muatturun di bawah ye.
Merit kepada EPRD KPM yang telah bermurah hati menghasilkan risalah yang amat berguna ini. Semoga dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Regards, Dr. F My visit to Sarawak was actually to collect research data from two secondary schools in Kuching. [My heartfelt thanks to Dr Salmah, a friend of mine who is currently working in UNIMAS for helping me out with the overall process. Without her, it will be almost impossible for me to get an access to the schools. It was a great opportunity since the two schools that we visited gave a full cooperation to make my intention fulfilled]. I also took this opportunity to share my little knowledge on systematic data analysis in Case Study through which the emphasise was given on meta-matrix and causal network. I thank all the attendees for coming to the sharing session! We were having a good time together .. and the questions asked were challenging too! I am grateful when I looked at their enthusiasm. Faces with a full concentration and eagerness to listen to every sentence I uttered. Wishing you all the best in your research journey! Sebagai sebahagian daripada usaha membantu para pelajar PhD untuk melepasi syarat bergraduasi dari sudut penerbitan, pihak Jurnal Pendidikan Malaysia (MJE) telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan keluaran khas yang memuatkan 20 artikel hasil penulisan para pelajar Doktor Falsafah. Saya bersama PM Dr Hamidah telah dilantik sebagai Guest Editor yang bertanggungjawab memastikan proses penulisan jurnal berjalan lancar sehingga selesai penerbitan.
Banyak input berguna yang diperolehi daripada bengkel yang turut dihadiri oleh Ketua Editor MJE, Prof Kamisah ini. Pelajar berpeluang melihat elemen-elemen penilaian jurnal serta senarai semak yang dikongsi boleh digunakan untuk membuat pra-penilaian terhadap artikel sendiri. Kemahiran penulisan ini sesungguhnya bukan satu proses yang boleh dikuasai dalam masa sehari dua tetapi memerlukan proses yang panjang. Saya sendiri mengambil kesempatan ini untuk menambah kefahaman dan ilmu dalam penghasilan artikel yang baik. Syabas semua yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan bersikap positif di sepanjang proses ini. Semoga usaha ini membuahkan hasilnya Disember nanti InshaAllah. InshaAllah sekali lagi saya akan berkongsi maklumat berkaitan kajian kes bersama para pelajar siswazah. Jemput datang bagi yang berkeperluan dan berkelapangan :) Slaid berkaitan boleh dimuat turun pada link di bawah:
Alhamdulillah thummalahmdulillah. Itulah sebaik-baik ucapan utuk hari penuh bersejarah ini. Sekalung tahniah buat pelajar Sarjana saya Mohd Shahfiezul Shahaimi yang telah lulus peperiksaan lisan (viva) dengan pembetulan minor! Sememangnnya perjalanan itu agak panjang - terlalu banyak tribulasi yang mendatang, lepas satu, satu. Namun ujian itu daripadaNya jua untuk menguji ketabahan serta ketekalan hati hamba-Nya. Janji Allah tidak pernah sia-sia, kerana di sebalik jerih perih satu kembara berliku itu sudah dijanjikan sinar bahagia di hujung laluan. Refleksi saya: Tiada yang mustahil dalam hidup ini. Paling utama, usaha tidak boleh putus, doa biar terus menerus. Sekalung penghargaan buat sahabat pembaca Dr Mohd Khalid serta Prof Lilia (Pengerusi Viva), Dr Haryanti (Wakil Ketua Jabatan) serta En Jamal (wakil dekan) di atas setiap cadangan penambahbaikan. Banyak juga yang saya pelajari daripada perbincangan serta cadangan yang diberikan. Kita memang tidak pernah sempurna, itulah hakikatnya. Sebagai penyelia, hati turut berbunga bilamana pengerusi mengakui bahawa tahap penyelidikan yang dijalankan adalah bersifat komprehensif, merangkumi tiga perspektif utama yang menjadikan penyelidikan tersebut memberi sumbangan kepada body of literature. Buat semua pelajar saya yang masih menunggu, serta pelajar-pelajar lain juga, kemanisan setelah melepasi garis penamat sememangnya tidak dapat digambarkan, sehinggalah anda merasainya sendiri. Di saat itu, biarpun airmata berjatuhan di pipi, semuanya kerana aura bahagia. InshaAllah, giliran anda akan tiba jua ^_____^ Minggu ini menyaksikan segerombolan lagi pelajar baharu datang ke fakulti samada di peringkat pengajian masters mahupun PhD. Di mata masing-masing terpancar seribu harapan, azam yang menggunung dan tidak kurang juga teruja dengan cabaran yang menanti di hadapan sana! Masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan selamat datang buat semua ke FPend tercinta. Maka secara rasminya, kaki anda sudah menaiki kapal yang bakal berlayar menuju destinasi tersendiri. Semakin lama anda belayar semakin banyak pula gelombang uji yang menanti di kiri kanan. Pulau destinasi masih jauh dari pandangan, tetapi bagi mereka yang konsisten mengayuh, pasti lambat-laun anda akan dapat mendapat rentak bagaimana mengemudi kapal untuk membelah samudera yang maha luas. Bagi yang masih ragu-ragu dengan ombak membadai, pasti agak lambat meninggalkan pelabuhan. Mungkin kata hati mereka - 'kita tengok kapal lain dahulu .. bagaimana laluan yang mereka ambil. Apa tips untuk menghunjam ombak ganas di hadapan. Namun percayalah, laluan setiap pelayar tidak akan sama! Begitu banyak faktor yang akan mempengaruhi perjalanan pelayaran anda!
Percaya atau tidak, penyelia anda memainkan peranan yang besar dalam kejayaan seseorang. Malah, rakan-rakan di sekeliling turut menyumbang kepada jatuh bangun individu. Namun, tanpa faktor yang satu ini, meskipun anda direzekikan untuk mendapat penyelia yang sangat membantu, rakan-rakan yang sangat mendokong antara satu sama lain, tanpa kehendak diri, anda tidak akan ke mana-mana. Justeru, semangat, keyakinan serta tekad dan azam untuk melepasi setiap tangga ujian yang menanti merupakan ramuan paling utama jika anda ingin berjaya melepasi tempoh pembelajaran ini. Kehidupan dalam tahun-tahun menjalani kembara PhD adalah satu lorong masa yang sangat sunyi. PhD is a lonely journey. Bukan sekali saya mendengar ujaran ini. Malah, pengalaman sendiri turut menyaksikan kebenaran itu. Meski di kiri kanan wujud sahabat handai yang menemani perjalanan itu, akhirnya ia kembali kepada diri sendiri juga. Tanpa semangat untuk menulis secara tekal setiap hari, tesis anda tidak akan berganjak halamannya. Tanpa inisiatif sendiri untuk memperdalami kemahiran menganalisis data misalnya, data berlambak tidak akan tersusun dengan sendiri untuk memberi makna kepada dapatan kajian. Tanpa disiplin diri untuk mencabar diri mencapai satu-satu tahap dalam perbatuan kerja, maka jadual yang indah tersusun tidak akan bermakna juga pada akhirnya. Sakit. Memang sakit. Kadangkala otak kita bisa menjadikan kita 'kegilaan'. (Bukan gila ye). Kata orang PhD means Permanent Head Damage. Itu lelucon biasa dalam pengajian PhD. Kita ketawa seketika sebagai mengubat rawan dan duka. Malah di waktu pengajian PhD, personaliti kita kadangkala berubah 180 darjah. Yang peramah bisa jadi bisu. Yang murah senyuman bisa berwajah zombie. Kita kadangkala mungkin akan berbicara sendiri sewaktu memandu kereta. Atau di kala mata baru hendak terlelap, jangan terperanjat jika tiba-tiba otak 'bangun' lalu ligat mencetus idea sana-sini. Lalu kita akan bingkas menuju komputer untuk mencatuk-catuk seketika. Kemudian scroll up, scroll down .. tiba-tiba idea tadi hilang semula! Itu biasa. Dan itu sememangnya menyeksakan! Malah itu memang asam garam dalam hari-hari PhD kita yang panjang! Jadi bagi mereka yang baharu mendaftar, bersedialah secara mental akan perubahan dan kegilaan yang bakal anda lalui beberapa tahun ini. Tetapi, jangan risau, meskipun ini kelihatan 'gila' namun ia adalah sesuatu yang normal! Jadi jika suatu masa nanti anda melalui simptom-simptom sebegini, tepuklah belakang sendiri kerana itu bermakna anda benar-benar menyelami kehidupan pelajar PhD! Sehingga para ini, saya kira anda memikirkan yang saya cuba menakut-nakutkan anda dengan kisah kegilaan? Bukan itu maksud utama saya. Beberapa pelajar yang bukan berada di bawah penyeliaan saya pernah datang ke bilik untuk bersembang secara santai serta mengharapkan tips untuk kekal dalam momentum, teguh dan cekal jiwa raga, serta mampu menyempurnakan penulisan tesis mereka sehingga ke akhirnya. Hmm .. rasanya tidak pernah saya menulis secara harfiah begini tentang pengalaman saya semasa melalui proses pengajian PhD, meskipun secara lisannya saya pernah berkongsi dengan para pelajar saya tentang pahit maung saya semasa bergelar pelajar PhD di University of Nottingham. Penyelia utama saya bernama Gordon Joyes manakala penyelia kedua pula bernama Linda Ellison. Kedua-duanya berbangsa Inggeris, berambut perang, serta memilik sepasang mata berwarna biru yang mempesona! Seingat saya, di tahun pertama pengajian, penyelia saya banyak memberikan penekanan terhadap apa yang saya telaah dan baca. Setiap kali penyeliaan, saya diminta untuk mengupas apa hasil pembacaan yang telah saya lakukan. Malahan, penyelia akan menetapkan satu tarikh untuk sesi penyeliaan seterusnya. Setiap kali selesai sesi perbincangan, saya diminta menulis satu laporan ringkas tentang agenda yang dibincangkan dan paling penting, apa yang perlu dilakukan sebelum sesi penyeliaan yang akan datang. Percaya atau tidak, saya mula-mula menyiapkan bab 2 terlebih dahulu sebelum menghasilkan bab 1. Oleh kerana penulisan tesis saya perlu dipersembahkan dalam Bahasa Inggeris, saya merasakan bahawa proses penulisan itu sesuatu yang agak sukar pada mulanya. Maklumlah saya bukanlah pelajar TESL, sebaliknya lebih banyak bergelumang dengan Bahasa Arab berbanding Bahasa Inggeris pada pengajian ijazah pertama :) Namun kerana Gordon dan Linda sentiasa mengatakan bahawa penulisan saya sebagai 'understandable', 'acceptable' dan seringkali mereka mengucapkan syabas lalu self-esteem saya mula meninggi. Saya redah sahaja meskipun saya tahu masih banyak ruang untuk penambahbaikan tetapi oleh kerana mendapat maklumbalas yang 'memberangsangkan' jadi saya tidak putus asa. Saya mula mengutip data secara temubual pada semester kedua pengajian. Dan ia berlangsung sehingga akhir tahun kedua. Percaya atau tidak, pada tahun ketiga saya masih mengutip data - data baharu daripada satu lagi kumpulan responden yang tiba-tiba muncul secara snowball. Saya masih ingat kata Gordon seusai saya menceritakan 'penemuan' saya terhadap satu lagi komuniti dalam talian yang aktif dalam kalangan guru di SBP - 'Fariza, you should go for it!' . Lalu tanpa berfikir dua kali, saya terus menghubungi mereka dan hasilnya saya mempunyai segunung data temubual yang dikutip daripada tiga fasa, dan bagi setiap responden tidak kurang dari 3 kali temubual dijalankan. Selesai proses pengumpulan data, saya mula kegilaan. Data yang terlalu banyak, berselirat, berterabur dan belum di'anyam' menjadi dapatan yang bermakna membuat saya lemas dalam lautan dan timbunan data. NVivo sekalipun tidak mampu menyelamatkan emosi saya yang sarat dengan tandatanya. Bagaimana mungkin saya mempersembahkan data yang terlalu banyak ini? TIdak dinafikan saya 'masak' dengan setiap dapatan sehingga saya bisa mengingati jawapan itu datangnya daripada siapa dan di fasa mana. Namun, kedua penyelia saya turut mengakui bahawa mereka sendiri tidak dapat membantu untuk merungkai kekusutan itu. Bayangkan talian hayat sudah tidak boleh digunakan. Kepada siapa anda hendak mengadu? Bagi kita, hamba Allah yang percaya kepada hakikat yang tiada yang mustahil dalam ilmu Allah, maka di saat-saat begini, jika kita tidak kembali kepadaNya, adalah satu hal yang tidak boleh diterima akal. Memang, saya akui pada ketika itu, bagai tersedar akan kealpaan, kelekaan dalam kegilaan mengorek menggali data, bahawa Dia ada dan Dialah sebaik-baik pemberi petunjuk. Saya tidak segan mengatakan bahawa pada saat itu, pergantungan kepada Maha Pencipta berada di tahap paling tinggi. Allah .. Allah .. ilham itu datangNya daripada Dia. Suatu hari, saya membelek semula satu buku dan entah bagaimana, saya mula tertarik untuk menggunakan teknik menganalisis data yang dikemukakan. Saya mencuba dan mencuba selama berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan 'makna' daripada segala data yang ada. Dan akhir beberapa purnama yang panjang akhirnya saya berjaya menyiapkan bab 6 (bab dapatan). Gordon ternyata gembira dengan teknik tersebut lalu meminta saya menyiapkan bab 7. Dalam tempoh itu, entah berapa kali draf penulisan saya bertukar tangan. Seringkali menerima catatan balas, pasti saya termenung kosong. Ada sahaja perkara yang tidak langsai. Kerap kali Gordon menulis ' You are not being critical enough Fariza!' Luluh hati saya. Air mata yang gugur tak usahlah disukat. Barangkali bercawan-cawan atau berbaldi! Saudara-saudari, tempoh itu satu tempoh yang menyiksakan. Ia umpama telur di hujung tanduk. jika tidak kuat isitqamah, pasti ada yang syahid. Justeru, suka saya tegaskan bahawa setiap yang melangkah ke alam PhD, tidak semuanya akan selamat tiba di destinasi kerana pasti akan ada yang gugur di tengah jalan, kerana perjalanannya memang panjang, menyakitkan malah boleh menukar siapa diri kita. Namun sekali lagi, saya bukanlah hendak menakut-nakutkan anda. Kerana saya percaya, dalam perjalanan PhD ini, kita sebenarnya bukan bersaing dengan orang lain. Sebaliknya, persaingan sebenar adalah diri kita sendiri! Kejapkan azam, perbetulkan niat dan jangan lupa berusaha serta paling penting, tadahlah doa dan mohonlah daripada Yang Maha Mendengar agar setiap langkah dalam perjalanan ini dipermudahkan. Janganlah terlalu taksub untuk graduate on time, sebaliknya, carigalilah hikmah (wisdom) daripada keseluruhan proses pembelajaran tersebut, kerana sekali anda melepasinya garis penamatnya, tiada kata-kata yang boleh melambangkan perasaan sebenar akan manisnya sebuah perjuangan. Kerana kesakitan itu jugalah, mudah-mudahan akan mencipta nilai diri kita yang empati serta menghargai susah payah dalam pencarian ilmu. Meski PhD dalam genggaman, kita ini bukanlah mahaguru. Ilmu yang ada hanyalah setitis daripada lautan ilmuNya. Jadi janganlah berbangga diri berjalan menongkat langit kerana PhD adalah satu permulaan, bukannya pengakhiran. Ingatlah pesanan Imam As-Syafi'i: "Jika Kamu tidak dapat menahan lelahnya belajar, maka kamu harus sanggup menahan perihnya Kebodohan." Selamat Maju Jaya semua! ^___^ Much has been discussed on how Augmented Reality (AR) can help motivate students and help them to gain more meaningful learning. AR is also listed in the trends in e-learning for year 2018, which indicates the relevance and significance of studies on AR. Currently I have 4 students (two master and two undergraduate) who are in the midst of doing a research on AR. Congrats on your presentations - Farhaha, Nadhira, Hazeem and Izyan! Looking forward to hearing a good result from the AR stuff your are developing! |
Archives
April 2023
Do your search here:Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |