ALhamdulillah Isaya telah diberi ruang untuk berkongsi sedikit pengetahuan yang ada tentang Bicara Tuntas bersama para pelajar serta pensyarah IPG Kampus Teknik Nilai.
Berikut adalah slaid untuk rujukan bersama:
0 Comments
Bagi pelajar siswazah, menyambung pelajaran di peringkat Sarjana mahupun Phd memberi maksud tersendiri kerana pada tahap ini, pelajar perlu bersikap mandiri serta tidak bergantung sepenuhnya kepada pensyarah. Dalam kebanyakan keadaan, ia menuntut individu pelajar untuk memikul tanggungjawab yang lebih berat terhadap penyelidikan mereka – bermula daripada penyataan masalah, pemilihan konteks dan sampel kajian, sehinggalah pengutipan data, analisis dan seterusnya penulisan setiap bab sehingga sempurna. Namun demikian, kehidupan sebagai pelajar pasca siswazah tidaklah dibiarkan begitu sahaja. Meskipun di hadapan mereka ada lautan yang luas terbentang untuk diteroka, namun para pelajar turut dibekalkan pelampung yang berkhidmat memastikan mereka tidak langsung hanyut dibawa arus deras, atau barangkali juga tenggelam ke dasar lautan jaga. Dalam konteks ini, pelampung merujuk kepada penyelia. Atau saya lebih gemarkan analogi penyeliaan ini seperti seorang yang pemain layang-layang manakala layang-layang itu adalah pelajar di bawah penyeliaan. Bayangkan ketika sebelum layang-layang itu boleh terbang di udara bebas, pemain mempunyai tugas berat untuk memastikan ‘kesediaan’ layang-layang untuk terbang. Faktor angin, ruang, saiz, bentuk serta panjangnnya tali layang-layang menjadi sebahagian daripada aspek pertimbangan. Ketika layang-layang sudah terbang, pemain tidak sesekali melepaskan tali begitu sahaja, jika tidak pastilah layang-layang akan terbang jauh dan akhirnya terhempas ke tanah dalam keadaan yang tidak diingini. Pemain yang baik akan memastikan kepanjangan tali memadai untuk membolehkan layang-layang itu terbang dalam kadar yang seharusnya. Di sinilah, dikatakan bahawa meskipun kemahiran penyeliaan boleh diajar dan dibentuk, namun tidak seperti kemahiran yang lain, penyeliaan menuntut pembelajaran berasaskan ‘proses’ yang membutuhkan gabungan pengetahuan dan pengalaman. Dalam erti kata lain, untuk seseorang pensyarah menjadi penyelia yang berkesan mereka perlu melalui sendiri proses untuk menjadi seorang pelajar yang diselia. Tanggungjawab seorang penyelia banyak bertumpu kepada pembinaan persekitaran yang selesa dan selamat untuk para pelajarnya merentas setiap cabaran dan rintangan dlaam proses penyelidikan, membina motivasi kendiri, autonomi serta kesedaran untuk terus berganjak dari satu tahap ke tahap yang seterusnya. Penyeliaan yang berkesan akan mampu membangunkan nilai keyakinan diri yang tinggi dalam kalangan pelajar yang diselia tentang kemampuan mereka untuk melengkapkan tugasan yang diperlukan dalam menyempurnakan penyelidikan. Hal ini ternyata tidak mudah dicapai kerana kejayaan sesuatu proses penyeliaan menuntut kemahiran dan kelenturan (flexibility) kedua-dua belah pihak (penyelia dan pelajar seliaan) untuk berunding dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk melangsaikan setiap fasa dalam penyelidikan yang perlu dilalui, di samping bentuk halangan yang berbeza yang menanti di sana-sini.
Saya sendiri secara peribadi bukanlah seorang yang banyak pengalaman dalam aspek penyeliaan. Saya malah tidak pernah melalui proses pembelajaran yang formal dalam aspek penyeliaan. Saya hampir pasti yang cara penyeliaan saya banyak dipengaruhi oleh cara saya diselia ketika menjalankan penyelidikan di peringkat Master dan Doktor Falsafah. Secara jujur, saya bangga dengan kesemua penyelia saya yang pernah menyumbang bakti dalam membantu saya sehingga terlangsainya penyelidikan yang dirancang dan didambakan. Untuk rakan-rakan seperjuangan serta peringatan buat diri saya sendiri juga, saya kongsikan 10 kunci penyeliaan yang berkesan: Pertama – Sediakan ruang untuk pembangunan profesional para palajar seliaan termasuklah perancangan kerjaya dll Kedua – Sentiasa bersama-sama dengan pelajar seliaan apabila diperlukan. Ini merujuk juga kepada apa yang dinamakan sebagai ‘Open Door Policy’ serta kekerapan dalam pertemuan secara bersemuka dengan pelajar. Ketiga – Berikan pujian kepada pelajar yang menunjukkan komitmen serta daya usaha yang tinggi – sama ada secara informal atau secara formal. Keempat – Letakkan satu jangkaan yang mencerminkan mutu kecemerlangan tersendiri – hal ini boleh dilaksanakan melalui maklum balas terhadap penulisan, hasil dapatan serta perancangan jangka masa panjang seperti aspek penerbitan dan kerjaya. Kelima – Tingkatkan atau wujudkan akauntabiliti – melalui penghasilan budaya kerja yang sistematik, berkala serta melibatkan komitmen daripada kedua-dua belah pihak. Keenam – Bincangkan potensi pelajar serta wujudkan atmosfera yang membangunkan keyakinan diri serta peluang untuk meraih kejayaan. Ketujuh – Biasakan sikap tidak bergantung sepenuhnya kepada penyelia melalui perbincangan serta menggalakkan agar pelajar berani mencuba dan berani menerima risiko. Kelapan – Perkongsian secara tekal antara penyelia dan pelajar seliaan serta meningkatkan kemahiran mendengar secara aktif and bersikap telus. Kesembilan – tingkatkan rasa pemilikan (ownership) dengan memberi ruang yang lebih luas kepada pelajar untuk membangunkan potensi diri mereka – misalnya dalam menghasilkan bukan hanya satu artikel yang menjadi syarat graduasi sebaliknya mereka mampu menghasilkan lebih daripada itu. Dan yang terakhir, kesepuluh – perkukuhkan hubungan baik antara penyelia dan pelajar seliaan melalui proses perkongsian dan sikap ambil berat antara satu sama lain, serta memahami faktor yang mampu memotivasi pelajar. Secara kesimpulannya, daripada kesepuluh tips di atas, bolehlah disimpulkan bahawa proses penyeliaan tidaklah sepenuhnya merujuk kepada proses pengajaran atau penilaian, tetapi lebih kepada proses memberi galakan membina untuk kelangsungan pembentukan kemahiran dan motivasi seseorang pelajar untuk meneruskan tugasnya sehingga ke titik terakhir. Hmm.. tidak mudah juga untuk merasai pengalaman penyeliaan yang menyeronokkan sehingga ia menjadi kenangan terindah dalam hidup bukan? Namun, saya berpegang kepada prinsip bahawa – hidup ini jangan dirumitkan, sebaliknya bersikap optimis serta jangan terlalu formal dalam urusan penyeliaan. Justeru penyeliaan melibatkan dua pihak yang mempunyai hati, perasaan serta kehidupan yang berpanca warna. Hidupkan rasa gembira, bersyukur dan terbuka. Pasti yang susah menjadi mudah inshaAllah. Di kala saya menulis ini, fikiran saya terbayang-bayang akan wajah pelajar seliaan saya .. dan terfikir juga di fikiran – apakah reaksi mereka dengan cara saya menyelia? Tentu banyak yang perlu dipinda! Rujukan: Pierce, R. A, & Rowell. J. S. (2005). The 10 Keys to Effective Supervision. |
Archives
December 2023
Do your search here:Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |