Pekasam jika dijeruk lama, rasanya lebih sedap. Begitu juga dengan budu atau kimchi. Jadi, jangan marahkan saya kerana menjeruk coretan ini sekian lama :P Duh, masa sememangnya kejam. Atau itu salah saya yang tidak tahu mencari ruang? Apapun, niat untuk mencoret perlu diteruskan! Tahun ini, acara konvokesyen dilangsungkan lebih lewat dari biasa. Jika tahun-tahun sebelum ini musim konvo jatuh pada bulan Oktober, tahun 2018 menyaksikan perubahan di mana agenda diganjakkan ke bulan November. Namun demikian, kemeriahan acara konvo tetap meriah dan memutikkan adrenaline gembira! Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan jutaan tahniah buat semua pelajar khususnya pelajar-pelajar sarjana di bawah penyeliaan saya: Shahfiezul, Lee, Nadhirah dan Farhana serta pelajar prasiswazah - Hazeem dan Ezyan. Tidak dilupakan semua pelajar yang pernah berada di kelas kendalian saya baik di peringkat pra sis mahupun sarjana! Berakhirnya sebuah perjuangan tidak bermakna ternoktahnya perjalanan, sebaliknya itulah permulaan sebenar.
Selang beberapa hari selepas acara konvokesyen, saya bertembung dengan satu pasangan - kedua-duanya bekas pelajar fakulti yang kini telah memiliki seorang cahaya mata yang comel. Lewat perbualan yang agak panjang itu, saya mendapat tahu yang si suami menjual buah-buahan di pasar manakala si isteri menjaga bayi sebagai sumber pendapatan. Inilah semangat perjuangan dalam sebuah kehidupan. Saya kagum melihat betapa gigih pasangan ini membina kehidupan tambahan pula dengan kehadiran seorang putera, pasti keperluan perbelanjaan lebih dirasakan. Namun riak muka mereka begitu tenang, malah meyakinkan bahawa rezeki itu di mana-mana pasti ada - yang penting adalah usaha dan doa pastinya. Saya juga pasti masih ramai yang senasib dengan pasangan ini - masih mencari ruang untuk membina kehidupan yang lebih selesa. Sementelah, tiada lagi jaminan untuk dihantar bertugas tetap di sekolah, kehidupan pasca konvokesyen boleh menjadi satu mimpi ngeri jika sekiranya anda, anda, anda dan anda menjumudkan diri di satu titik. Ayuh, anak2 didikku - di tangan andalah keajaiban akan bermula. Jangan terlalu taksub dengan impian bergelar guru, meski itulah cita-cita utamamu. Dalam keadaan yang penuh ketidakpastian seperti sekarang, kalian harus berani mencari 'lubuk' tesendiri. Saya mendoakan yang baik-baik sahaja buat semua. Doakan juga kami di fakulti terus dalam limpah dan rahmat Ilahi, dapat terus berbakti dan memberi makna dalam kehidupan pelajar-pelajar kami. Selamat menyelak halaman kehidupan yang sebenar. Di kiri kanan, pasti kan kau temui makna terluka dan tercalar. Namun di hujung-hujungnya kelak pasti kau temui ramuan mujarab untuk menampal luka dan hiba. Salam sayang, Dr. F
0 Comments
Waktu kini kian menghampiri musim konvokesyen, lalu anak-anak siswazah dan prasiswazah sudah mula melangsaikan 'hutang' mereka. Hasil jerih-perih mencatat, menganalisis dan menulis keseluruhan proses dan dapatan penyelidikan masing-masing tentunya menghambat rutin seharian namun itulah resmi hidup sebagai pelajar di IPT. Penyelidikan, tesis dan penyelia tidak dapat dipisahkan! Minggu ini saya menerima kunjungan Hazeem, Ezyan serta Shah yang masing-masing datang berbekalkan tesis berjilid keras sebagai tanda sempurna sudah sebuah karya empirikal yang menuntut ketabahan yang bukan sedikit. Mabruk semua! Tahniah yang berbanggalah dengan hasil kerja anda semua sebagai mana bangganya saya menerima naskhah tersebut! Oh, terima kasih jua atas ole-ole ingatan! Di penghujung minggu juga saya dikunjungi Syaida, pelajar PhD saya (mantan pelajar sarjana saya juga) di bilik. Terima kasih Syaida atas ingatan pada tarikh hari lahir saya yang sememangnya tidak mahu saya warwarkan di sosial media atau kepada anak-anak didik kerana bimbang menyusahkan atau terasa semaca ada keperluan mencari hadiah sempena tarikh itu. Namun, Syaida antara yang mengingatinya. Tahun nan sudah, Syaida jugalah yang hadir ke bilik bersama kek yang enak - dinikmati bersama Hazeem dan Ezyan. What a coincidence! Hehehe
Semoga Allah membalas budi baik kalian semua atas kenangan indah ini ^___^ |
Archives
December 2023
Do your search here:Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |