31 Oktober 2017. Tarikh keramat bagi para graduan Sarjana dan Prasiswazah Fakulti Pendidikan yang menaiki pentas meraikan pengakhiran sebuah perjuangan mencari ilmu. Saban tahun, saya percaya para pensyarah yang menghadiri majlis ini pasti melalui rasa yang pelbagai - gembira, bangga, terharu malah. Apa tidaknya, melihat anak-anak didik mendaki tangga di hadapan mata merupakan satu pengalaman dan kepuasan yang tidak dapat diperigambarkan. Saya percaya juga, inilah sebenarnya kapsul semangat dan motivasi paling mujarab dalam kelangsungan profession seorang pendidik. Sekalung tahniah buat semua yang telah bergraduasi! Senyuman manis yang terukir di wajah anda semua cukup menggambarkan betapa indahnya pengalaman tersebut, di sebalik setiap jerih perih yang telah diharungi. Inilah hadiahnya! Dan anda bukan sahaja meraikan kejayaan ini bersama rakan-rakan yang duduk sebaris, malah ahli keluarga anda juga adalah kelompok yang paling gembira pastinya! Jangan dilupa juga barisan pensyarah di kerusi hadapan yang telah anda hadiahkan 'tunduk hormat' pada akhir sidang konvokesyen. Pengajaran: Kejayaan kita dalam hidup ini tidak dicapai secara mutlaknya kerana usaha kita semata-mata. Jangan dilupa doa yang sering dikirim ibu dan bapa tercinta dari kejauhan, malah berkat dalam menuntut ilmu serta keredhaan mereka yang mendidik juga tidak kurang signifikannya. Dan yang paling utama, setiap pencapaian kita tidak akan menjadi kenyataan tanpa rahmat dan kasih sayangNya. Lalu, jadilah manusia yang tahu bersyukur dengan setiap apa yang diterima. Mudah-mudahan segenap ruang dalam hidup kita akan sentiasa diiringi rahmat dan barakah. Semoga setiap ilmu yang dikumpul bisa dimanfaatkan oleh orang lain jua. Nota: Saya ingin merakamkan ucapan tahniah secara peribadi buat enam supervisees saya: Syaida, Rohaila, Firdaus dan Aimi serta Maryam dan NurSyamimi!! Ketemu lagi pada Konvokesyen 2018 - inshaAllah! ^____^
0 Comments
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Saya pernah menulis tentang permohonan menjalankan kajian di institusi di bawah KPM tahun yang lalu dan melalui entri tersebut saya menerima pelbagai persoalan daripada para penyelidik di seluruh Malaysia. Untuk makluman bersama, terdapat perubahan baharu berkaitan perkara ini yang saya terima melalui emel dan ingin saya kongsikan: 1. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertanggungjawab mengeluarkan surat kebenaran menjalankan kajian melibatkan sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi, institut pendidikan guru, pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri dan bahagian di bawah KPM. 2. Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, BPPDP akan menggunakan Sistem eRAS 2.0 mulai 1 Disember 2017 untuk menerima permohonan dan mengeluarkan surat keputusan permohonan kebenaran menjalankan kajian. Sistem ini boleh dicapai melalui http://eras.moe.gov.my. Walau bagaimanapun Bahagian masih menerima permohonan melalui borang BPPDP 1.2 dan mengeluarkan surat secara manual sehingga 28 Februari 2018. 3. Untuk makluman, mulai 1 Mac 2018, semua urusan permohonan kebenaran menjalankan kajian hanya boleh dibuat melalui sistem eRAS 2.0 sahaja. Permohonan melalui borang BPPDP 1.2 tidak akan diterima lagi selepas tarikh tersebut. 4. Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, sila hubungi En. Selvarajah Manikam melalui tailan 03-88846457 ([email protected]). Semoga maklumat in bermanfaat ^__^ |
Archives
December 2023
Do your search here:Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |