31 Oktober 2017. Tarikh keramat bagi para graduan Sarjana dan Prasiswazah Fakulti Pendidikan yang menaiki pentas meraikan pengakhiran sebuah perjuangan mencari ilmu. Saban tahun, saya percaya para pensyarah yang menghadiri majlis ini pasti melalui rasa yang pelbagai - gembira, bangga, terharu malah. Apa tidaknya, melihat anak-anak didik mendaki tangga di hadapan mata merupakan satu pengalaman dan kepuasan yang tidak dapat diperigambarkan. Saya percaya juga, inilah sebenarnya kapsul semangat dan motivasi paling mujarab dalam kelangsungan profession seorang pendidik. Sekalung tahniah buat semua yang telah bergraduasi! Senyuman manis yang terukir di wajah anda semua cukup menggambarkan betapa indahnya pengalaman tersebut, di sebalik setiap jerih perih yang telah diharungi. Inilah hadiahnya! Dan anda bukan sahaja meraikan kejayaan ini bersama rakan-rakan yang duduk sebaris, malah ahli keluarga anda juga adalah kelompok yang paling gembira pastinya! Jangan dilupa juga barisan pensyarah di kerusi hadapan yang telah anda hadiahkan 'tunduk hormat' pada akhir sidang konvokesyen. Pengajaran: Kejayaan kita dalam hidup ini tidak dicapai secara mutlaknya kerana usaha kita semata-mata. Jangan dilupa doa yang sering dikirim ibu dan bapa tercinta dari kejauhan, malah berkat dalam menuntut ilmu serta keredhaan mereka yang mendidik juga tidak kurang signifikannya. Dan yang paling utama, setiap pencapaian kita tidak akan menjadi kenyataan tanpa rahmat dan kasih sayangNya. Lalu, jadilah manusia yang tahu bersyukur dengan setiap apa yang diterima. Mudah-mudahan segenap ruang dalam hidup kita akan sentiasa diiringi rahmat dan barakah. Semoga setiap ilmu yang dikumpul bisa dimanfaatkan oleh orang lain jua. Nota: Saya ingin merakamkan ucapan tahniah secara peribadi buat enam supervisees saya: Syaida, Rohaila, Firdaus dan Aimi serta Maryam dan NurSyamimi!! Ketemu lagi pada Konvokesyen 2018 - inshaAllah! ^____^
0 Comments
Leave a Reply. |
Archives
November 2020
Do your search here:Categories
All
|