Nvivo barangkali bukanlah sesuatu yang asing khususnya bagi penyelidik kualitatif kerana perisian ini merupakan satu aset penting yang dapat membantu penganalisisan data kualitatif secara efektif. Namun demikian, mungkin ramai yang menganggap bahawa perisian Nvivo hanya sesuai digunakan oleh para penyelidik yang menjalankan kajian melibatkan data kualitatif. Stigma ini adalah satu kerugian kerana hakikatnya NVivo bukan sekadar diperlukan untuk aktiviti pengekodan data kualitatif, sebaliknya dapat dimanfaatkan secara optimum untuk tujuan sorotan literatur atau penghasilan kertas konsep! Saya sudah beberapa kali berkongsi tentang hal ini bersama para pelajar di kelas saya khususnya pelajar Sarjana. Saya menunjukkan demo satu persatu bagaimana artikel-artikel yang dimuatturun daripada pangkalan data dalam talian dipindahkan ke dalam perisian NVivo dan kemudiannya melalu proses pengekodan. Tidak keterlaluan jika saya katakan yang para pelajar saya menunjukkan reaksi yang pelbagai apabila selesai ditunjukkan bagaimana menghasilkan penulisan secara sintesis hanya dengan beberapa minit. Ada yang ternganga - menggeleng kepala dan tidak kurang menunjukkan riak muka tidak percaya. Ini bukan exaggeration! Selama ini para penyelidik khususnya penyelidik novis seringkali tersangkut-sangkut dalam penulisan bab 2. Dan corak penulisan paling popular adalah berbentuk annotation. Misalnya, jika penyelidik tersebut merujuk tujuh artikel atau kajian lepas, mereka akan menghasilkan sekurang-kurangnya 7 paragraf berdasarkan penulis yang dirujuk. Hal ini terjadi demikian kerana penyelidik novis akan menulis satu paragraf untuk satu rujukan dan diikuti dengan rujukan seterusnya. Ini menjadikan penulisan berbentuk author-based. Sebaliknya, untuk menghasilkan penulisan yang bersifat sintesis, penyelidik seharusnya memilih dapatan atau fakta dan kemudian menyusunnya dalam bentuk fact-based. Manakala paragraf yang akan terhasil adalah berdasarkan isi-isi penting yang hendak dikemukakan, tetapi menggunakan sumber sitasi yang berbeza. Nah, di sinilah anda, anda, anda dan anda semua dapat menghasilkan penulisan yang ada nilai sintesis dengan mudah sekiranya anda menggunakan NVivo! Tak percaya? Kena cubalah!
0 Comments
Leave a Reply. |
Archives
November 2020
Do your search here:Categories
All
|