Saya anggap ini acara penutup tahun 2019 kerana pada minggu hadapan ramai yang akan mula bercuti panjang dan terbang ke sana sini. Lalu majlis Hari Kualiti 2019 adalah tepat sekali dijalankan pada minggu ini di mana masih ramai yang bertugas. Alhamdulillah, sekali lagi saya diberi kepercayaan untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang namun yang bezanya pada tahun ini ada majlis rasmi untuk meraikan penerima anugerah. Terima kasih dan tahniah di atas inisiatif ini, khususnya buat Yg Berusaha Dr Effendi, Ketua Jaminan Kualiti yang menggerakkan usaha ini. Selain penyampaian anugerah untuk perkhidmatan cemerlang, majlis turut meraikan beberapa kategori lain melibatkan staf pelaksana dan staf akademik. Tiada pernah terfikir oleh saya untuk turut menerima Anugerah Amalan Berkualiti dan hal ini merupakan satu kejutan juga. Bingung juga memikirkan amalan apakah yang dipertaruhkan untuk mengungguli kategori ini? Rupanya, saya baru dimaklumkan bahawa pencalonan dilakukan oleh Ketua Pusat masing-masing dan diadili oleh juri yang dilantik dari institusi luar. Apapun, saya anggap in sebagai sebuah rezeki untuk disyukuri. Diri ini sememangnya tidak pernah sempurna namun pengiktirafan ini tentunya menyuntik rasa insaf serta qana'ah dengan segala nikmat daripada-Nya. Cepatnya masa berlalu, lagi beberapa minggu tahun baharu akan menjelma. To-do-list saya masih panjang! Jadi saya perlu pendekkan ocehan.
0 Comments
Kehadirannya ke fakulti menemui saya untuk mendapatkan input tentang bahan pembelajaran berasaskan Augmented Reality yang telah dihasilkan untuk projek Sarjananya. Pelajar manis bernama Iffa merupakan pelajar sarjana dari FTSM yang kini sedang gigih menyiapkan produk untuk penulisan tesisnya. Beliau menghasilkan satu bahan pembelajaran berasakan AR dan diintegrasikan dengan elemen Artificial Intelligence yang melibatkan pengecaman mimik muka dan suara. Idea yang menarik serta sesuai dengan isu dan keperluan yang diutarakan. Bahan yang dibangunkan melibatkan pelajar darjah tiga sebagai pengguna sasaran. Tingkah beliau, bahan yang dibangunkan boleh membantu meningkatkan kemahiran ekspresi wajah para pelajar di samping dapat meningkatkan kemahiran penyebutan dengan lebih jelas. Namun, sudah pasti ada beberapa aspek yang perlu ditambahbaik dari kacamata penilaian saya - agar bahan ini kelak dapat benar-benar digunakan secara lebih meluas dalam kalangan pelajar yang memerlukan. Selamat maju jaya Iffa! Floor Manager. Itulah amanah yang dipikul untuk acara peringkat kebangsaan ini. Sehari sebelum majlis rasmi, kami berkampung di DECTAR bersama Dato' Sheikh Muszaphar demi memastikan aturcara yang dirancang terlaksana dengan jayanya. Bukan mudah apabila ada saja isu teknikal serta persediaan yang tidak dapat disiapkan mengikut tarikh yang sepatutnya. Rehearsal penuh tidak dapat dilakukan pada petang 18hb kerana berkait rapat dengan pihak luar. Kami pulang dengan rasa sebu perut kerana kerisauan. Awal pagi 19hb, saya memasuki dada DECTAR dengan harapan satu raptai penuh dapat dilunasi sebelum acara perasmian sebenar, namun separuh dewan telah dipenuhi para pelajar menyebabkan hasrat itu terpaksa dikuburkan. Alhamdulillah, dalam debar yang bersenandung, acara perasmian berjalan lancar jua. Namun tugas berlarutan hingga ke petang. Paling penting adalah memastikan setiap acara dilangsungkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Syukur semua ahli jawatankuasa yang lain memberi kerjasama yang tidak berbelah bahagi. Tahniah buat semua! Acara ini merupakan sesuatu yang sangat bermakna khususnya buat para pelajar sekolah yang hadir membanjiri DECTAR. Dianggarkan 2000 hadirin memenuhi dewan pada tarikh itu. Saya kira bicara motivasi daripada Dato' Sheikh Muszaphar turut memberi impak kepada golongan ini. TIdak ketinggalan booth sekitar luar dan dalam DECTAR serta Mini Planetarium yang gah berdiri dan sentiasa penuh dengan pengunjung - sehingga kami pun tiada berkesempatan untuk menjengah masuk ke dalam perut planetarium lantaran kunjungan yang tidak putus daripada para peserta. Penat tetapi puas. Itulah perasaan kami apabila segala penat lelah membuahkan hasil yang memberangsangkan. Penghargaan juga buat rakan floor manager yang begitu berdedikasi - Dr Hazrati dan En Mohd Syazwan. Thumbs up to all of you :) Barangkali inilah penutup tirai 2019 buat saya menghadiri sebarang seminar atau simposium justeru jadual di sepanjang Disember nampaknya semakin padat. Undangan daripada pihak MCMC (Malaysian Communication and Multimedia Commission) saya penuhi kerana pengisiannya yang begitu menarik malah terkait juga dengan bidang kajian yang sedang saya jalankan iaitu Keselamatan Siber dan Digital Citizenship.
Tidak ramai wajah yang dikenali dalam kalangan mereka yang hadir. Namun, rezeki juga saya dapat bersua dengan sahabat dari UIA, Dr Rosemaliza dan rakan-rakan, selain bersama Syaida, pelajar PhD saya yang juga sedang menjalankan penyelidikan berkaitan kesedaran Keselamatan Siber. Pembentangan selari di sebelah petang turut menarik minat. Tahniah kepada semua penyelidik yang membentangkan hasil kajian mereka. Inilah yang saya gemari kala menghadiri majlis ilmu seperti ini kerana ia mampu meluaskan horizon pemikiran serta memberi ruang untuk networking serta penyelidikan! Tahun ini berkesempatan bersama-sama menghadiri majlis makan malam bersama para pelajar sarjana eksekutif Fakulti Pendidikan. Tempatnya tidaklah jauh .. di Hotel Puri Pujangga jua adanya :D Mencari kelibat pelajar-pelajar yang pernah saya kenali. Masih ada yang ingat kepada saya meskipun pertemuan kami hanya satu semester sahaja. Terima kasih di atas ingatan :) Di majlis ini juga berkesempatan meluangkan masa bersama tiga jejaka di atas ini antaranya perihal menyambung pembelajaran di peringkat PhD. Kagum saya dengan semangat mereka yang membara. Ayuh anak muda, ambillah peluang ini sementara momentum masih ada. Bersembang lebat, hingga alpa akan masa. Tau-tau, rakan sekereta sudah membimbit beg saya mahu diajak pulang!
All the best Fattah, Amizan dan Safuan! p/s: Terima kasih Fattah atas oleh-ole ingatan :) Ini acara fakulti. Saya sering diajar bahawa sebagai warga, adalah tanggungjawab setiap ahli untuk menjayakan apa jua aktiviti dan agenda fakulti yang dinaungi. Lalu dalam sesibuk manapun jadual peribadi, hal yang satu ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Sebahagian besar hadir dalam acara yang bertempat di Puri Pujangga ini. Kami terpecah kepada lima kumpulan kecil yang masing-masing bertanggungjawab menghasilkan pelan strategik bagi setiap aspek termasuklah Penerbitan, Akademik, Antarabangsa, Bakat dan Kewangan. Saya berada di kumpulan Penyelidikan dikepalai oleh Prof Kamisah bersama beberapa ahli yang lain. Perancangan hendaklah strategik, selain bersifat logik dan boleh ditangani. Mudah-mudahan apa yang dirancang bakal dilaksanakan dengan jaya :) Kiranya ini kali pertama TNC HEPI bertandang ke fakulti kami semenjak meneraju portfolio ini. Alhamdulillah kunjungan ini merupakan sesuatu yang bermakna buat semua dan saya tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyambut kedatangan Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad ke fakulti. Serentak dengan majlis Sepetang bersama TNC ini juga, pihak fakulti menyampaikan anugerah penerbitan artikel dan buku serta penerimaan geran luar kepada para ahli fakulti. Tidak pernah terlintas untuk saya tersenarai dalam 5 penerima Anugerah Penerbitan Tertinggi untuk tahun 2018. Alhamdulillah jua di atas ilham dan kudrat yang dikurniakan serta masa yang tidak ternilai harganya untuk menelaah penulisan sebelum berjaya diterbitkan. Kerana Geran daripada Telekom juga, saya turut menerima Anugerah Penerima Geran Luar daripada Yg Bhg Dato TNC. Nota: Mari tanamkan azam untuk menembusi jurnal Wos pula untuk 2020! Masa umpama belati. Barusan sahaja semester berlalu kini kami menyambut pelajar baharu pula! Tentunya teruja sekali untuk mengenali anak-anak didik baharu kerana itulah naluri pendidik tentunya. Selamat datang buat semua pelajar ke Fakulti Pendidikan UKM. Perjalanan anda baharu saja bermula. Namun segala semangat yang dikobarkan pada hari pertama ini haruslah dikekalkan hingga ke penghujung kembara. Susah payah menelusuri hidup sebagai pengejar ilmu tentu sekali lumrah yang harus ditelan meski pahit hingga ke perdu hati. Namun percayalah jika kemahuan dan usaha diseiringkan, disalut doa dan berkat guru serta ibu bapa, pasti kemanisannya akan dihirup juga! Saya turut menyampaikan taklimat kepada pelajar-pelajar PhD. Rasanya banyak amanat yang telah ditinggalkan. Jika ada yang berminat membaca ocehan hati saya silakan klik LINK INI tentang PhD: Siapa saingan kita? AKRI hadir lagi! Tahun ini merupakan kali kedua saya diberikan amanah untuk membarisi kumpulan juri dalam pemilihan finalis untuk Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Malaysia. Kisahnya ada saya catatkan DI SINI. Tahun ini acara pitching dan majlis kemuncak diadakan di Everly Hotel, sepelaung dari rumah sahaja. lalu inilah kesempatan untuk menghadiri sepenuhnya acara yang dijadualkan. Sekalung tahniah buat semua pemenang yang menunjukkan kesungguhan serta prestasi yang memberangsangkan. Namun yang lebih penting adalah bagaimana praktis yang di kongsikan ini dapat memberi inspirasi buat para pendidik lain untuk memperkasa pdpc mereka? Saya kira inilah intipati utama yang perlu dihayati bersama, bukan sekadar menobatkan siapa pemenang saban tahun. Syabas juga buat jawatankuasa penganjur dan tentunya peneraju utama AKRI - Pengarah Bahagian KecemerlanganAkademik JPT, KPM -PM Dr Wan Zuhainis yang saya anggap mentor saya sejak sekian lama. Perkenalan kami telah lama terjadi. Namun kenangan terindah bersama tentulah pada malam Anugerah Rekabentuk dan Pemikiran Semulan Pendidikan Tinggi 2017 di mana Dr Wan sebagai juara kategori Pembelajaran Imersif Maya manakala saya naib johannya :) Catatan ringkas DI SINI Berlangsung pada 19 Ogos yang lepas, acara Persidangan Meja Bulat ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang sememangnya dirancang dari awal lagi. Persidangan ini mengumpulkan pakar-pakar dari bidang yang pelbagai termasuklah Keusahawanan, Pendidikan, Perundangan, TVET, serta Industri yang dijemput untuk duduk semeja dan membahaskan isu-isu berkaitan kelestarian Pusat Internet di negara ini. Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi diucapkan buat penaja geran penyelidikan kami iaitu Telekom Malaysia Bhd kerana semenjak dari fasa pertama pengumpulan data sehinggalah ke peringkat penghasilan model kelestarian, seringkali memberikan komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Sekalung pernghargaan tidak terhingga buat En Anuar Mat Alim, Pengurus Besar TM yang sudi merasmi, membaca doa malah bertindak sebagai tunggak peting dalam perbincangan meja bulat ini. Tidak lupa juga buat pegawai-pegawai TM yang lain serta staf-staf MSD yang turut hadir. Tentu sekali tidak dilupakan para pakar yang sudi meluangkan masa, tenaga serta buah fikiran yang bernas. Output akhir daripada Persidangan Meja Bulat ini merupakan model kelestarian pusat internet yang kami rangka berdasarkan sorotan literatur dan diharmonikan dengan data temubual pada fasa pertama kajian. Penggunaan Interpretive Structural Model (ISM) saya kira amat praktikal di mana perisian ini membantu menganalisis input daripada proses voting yang dijalankan dan hasilnya setiap sub-elemen akhirnya disusun mengikut keutamaan berdasarkan voting yang dibuat. Credit untuk pelajar PhD saya Mazzlida yang membantu menguruskan penggunaan ISM ini. Duh, masa kian pantas berlarian sedangkan masih ada tugas yang berbaki yang perlu dilangsaikan untuk projek Geran Industri ini. Janji kami kepada TM, laporan akhir akan idserahkan dalam bulan Oktober 2019 ini. Mudah-mudahan kami diberikan kekuatan minda dan fizikal untuk meneruskan urusan yang berbaki ini. Di bawah ini adalah ahli-ahli penyelidik yang sentiasa komited dengan tugasan yang diberi. My heartfelt thanks to - Dr Azlin, Dr Diyana, Dr Sheerad, Dr Hazrati dan Dr Yusoff. Coming together is a beginning. Keeping together is progress. Working together is success!
Ini merupakan tahun ke-2 saya ditaklifkan sebagai juri untuk Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Malaysia (AKRI2019). Alhamdulillah tahun ini penyertaan keseluruhan semakin bertambah namun bagi beberapa kategori berlaku penurunan. Proses penjurian bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan akal dan budi. Meski rubrik pemarkahan ada di tangan, banyak fakotr yang perlu dipertimbangkan kerana jika silap memberikan markah, penyertaan tidak dapat mara sekiranya tidak mencapai titik ambang. Para finalis yang terpilih akan membuat persembahan pitching pula sebelum pemenang muktamad diumumkan. Apa yang menarik tentang anugerah ini adalah kesungguhan kreativiti serta ketelitian calon dalam mendokumentasi setiap aktiviti dan pembuktian. Bukan mudah, pastinya. Terkenang-kenang saat saya sendiri berteleku di meja untuk menyiapkan portfolio serta mengumpul segala bukti untuk dikemukakan bersama borang. Rasanya untuk kali ke-2 saya dah tak mampu untuk berbuat demikian! Justeru, apabila dilantik sebagai juri, saya tidak perlu berfikir panjang. Peluang harus diberikan juga kepada orang lain untuk merasa, tak gitu? Malahan, seronok sebenarnya bekerja sebagai juri ini. Selain dapat berkumpul dengan rakan-rakan daripada insitusi berbeza, proses ini menuntut kejituan dalam keputusan yang diberikan, sekaligus mencabar kewibawaan dan integriti diri. Banyak refleksi yang ada di dalam tempurung kepala, namun masa yang sering mengejar membuatkan susunannya sudah berterabur dan tak tersusun! Selamat maju jaya buat semua finalis! Tajuk entri ini mungkin bukan suatu fakta namun dianggap sebagai pemangkin semangat untuk merealisasikan penerbitan yang lebih berimpak dan lebih menjurus kepada jurnal-jurnal terindeks di bawah WoS. Wajah-wajah yang tertera pada layar (gambar di atas) merupakan warga fakulti yang dipilih untuk menyertai bengkel pertama di bawah inisiatif lonjakan penerbitan. Ia juga malah satu tunggungjawab yang besar untuk memastikan visi dan harapan fakulti dalam menambah bilangan penerbitan jurnal terindeks. Hmmm .. banyak yang dirancang dan dirangka. Namun masa seringkali merantai jua. Komitmen di sana sini sememangnya banyak memperlahankan proses penghasilan manuskrip :( namun ianya tidak boleh dianggap sebagai alasan mutlak untuk tidak menerbit. Apatah lagi dengan wujudnya sokongan daripada pakar-pakar luar yang dijemput khas oleh universiti untuk turut sama menggembeleng tenaga fizikal dan mental untuk tujuan ini. Datuk Paduka Kamaruzzaman Jusoff bukanlah insan yang asing bagi saya. Semenjak lapan tahun yang lalu, saya sudah pernah menghadiri bengkel penulisan beliau. Kami malah, pernah mengeteh di medan selera Presint 11 Putrajaya bersama rakan saya Sal dari UNIMAS. Pada kali ini, nampaknya ada peluang lagi untuk bertemu beliau. Masih segak, sihat dan energetik orangnya. Proses penulisan sememangnya tidak akan berlaku dalam masa sehari. Banyak proses yang perlu dilalui sebelum sesuatu artikel dapat ditulis dengan berkesan. Malah, pembacaan literatur merupakan ramuan penting sebelum penulisan artikel dapat disempurnakan!
Semoga tahun ini memberi ruang untuk pencapaian yang lebih baik dari aspek penerbitan inshaAllah! Setelah beberapa kali perbincangan bersemuka bersama pengurusan Telekom Malaysia dan vendornya MSD, saya diberi kepercayaan untuk mengepalai satu projek di bawah penajaan Telekom Malaysia. Alhamdulillah, satu lagi geran industri sebagai amanah dan taklif. Objektif penyelidikan ini antara lain adalah untuk mengenalpasti impak Pusat Internet di bawah pengendalian Telekom Malaysia (483 buat) daripada keseluruhan 800 lebih Pusat Internet di seluruh Malaysia. Output utama yang akan dijana adalah model pengoperasian yang menggambarkan keseluruhan modus operandi Pusat-pusat Internet ini selain daripada input untuk penambahbaikan dan kelestarian institusi ini buat masyarakat setempat. Ahli-ahli kumpulan kami tidaklah begitu ramai - kami hanya ber-enam namun saya memanjatkan setinggi kesyukuran kerana komitmen yang diberikan adalah sangat tinggi apatah lagi kami bertanggungjawab untuk mengendalikan sesi temubual bersama pengurus, penolong pengurus serta pengguna Pusat-pusat Internet secara langsung. Jarak sesebuah Pusat Internet yang dikunjungi juga agak berjauhan antara satu sama lain. Namun, kepuasan setelah mendengar dan menyelami isi hati para responden merupakan pulangan lumayan. Banyak persamaan malah variasi dalam respon yang diterima. Saya kira inilah antara kekuatan penyelidikan kualitatif yang menyajikan dimensi yang mendalam terhadap isu yang ingin dikupas. Apatah lagi dengan wujudnya 'kuasa' triangulasi daripada sumber data yang berbeza, menambahkan kekayaan dan perincian maklumat yang diperolehi. Sebelum Ramadhan yang lepas, kami berpeluang untuk meneliti data temubual dan menghasilkan beberapa konstruk utama untuk pengutipan data secara kuantatif pula. Untuk fasa ini, seramai 1500 responden akan terlibat. Namun, kemunculan Syawal menyebabkan perjalanan penyelidikan agak perlahan lantaran cuti umum (termasuk cuti peribadi!). Nah, sekarang waktu untuk kembali 'menyingsing lengan' justeru masih banyak tugas yang belum terlangsai. Setinggi-tinggi penghargaan buat Telekom Malaysia, khususnya Pengurus Besar, Encik Anuar Mat Halim, Tn Haji Jaffni, Encik Anuar serta tidak dilupakan orang-orang kuat MSD di atas sokongan padu demi melihat projek ini direalisasikan dengan jayanya. Kami juga dijemput untuk berkongsi tentang projek ini bersama En Azhar serta staf di Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia di Cyberjaya. The clock is ticking, it's time to keep going!
Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran buat-Nya jua di atas ilham dan kekuatan yang diberi untuk terus istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab serta amanah sebagai pendidik.
Perjalanan saya di UKM bermula pada tahun 2005, sebagai seorang tutor. Berbekalkan Ijazah Kelas Pertama dari Universiti Malaya, saya melangkah ke Fakulti Pendidikan sebagai tutor dalam bidang Teknologi Pendidikan. Ramai sahabat saya tercengang kerana keputusan yang saya ambil untuk melompat ke bidang teknologi pendidikan - kerana Ijazah Pertama saya adalah Pendidikan Islam dengan minor Bahasa Arab :) Namun bagi saya itu bukanlah satu masalah besar, justeru apa jua yang dilakukan biarlah diteraskan oleh minat dan niat. Menerima pengiktirafan ini bukan untuk sanjungan, jauh sekali sebagai lesen mendabik dada. Namun, sebaliknya ia sesuatu yang begitu menginsafkan - saya seringkali bertanya kepada diri sendiri - layakkah aku menerima anugerah ini? justeru diri sendiri amat tahu kelemahan yang ada, malah terlalu banyak lagi yang perlu dipelajari. Ianya seperti satu peringatan sehabis selesai pembelajaran PhD. Gelaran Dr. di pangkal nama bukanlah bermakna kita diiktiraf sebagai seorang yang serba tahu, sebaliknya, PhD adalah satu permulaan untuk kita mengenal dan meneroka diri - kapasiti dan potensi. Ala kulli hal, segala puji jua buat Azza wa Jalla yang membuka ruang untuk saya terus melangkah dalam dunia akademia, mengilhamkan idea untuk terus berkarya dan berinovasi. Terima kasih buat 'my significant others' yang menjadi tulang belakang dalam perjalanan saya dari dulu sehingga kini. Dan yang pasti, kelompok utama yang banyak memberi kekuatan tentulah para pelajar saya sendiri! Tanpa anda, saya tidak akan ke mana. Tanpa anda, saya tidak mampu merencana sesuatu pendekatan yang bermakna. Tahniah juga buat semua pemenang yang lain. Semoga Allah merahmati setiap langkah hidup kita, selagi niat masih di landasan-Nya. Ameen! AKRI atau nama penuhnya Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Malaysia merupakan kesinambungan daripada Anugerah Pemikiran Semula dan Rekabentuk Pengajaran (APRS) yang dimulakan pada tahun 2017. Alhamdulillah, kali ini, saya diberi peluang sebagai salah seorang juri yang bertanggungjawab menyaring pencalonan yang diterima daripada segenap pelosok insitusi pendidikan tinggi di Malaysia. Sebelum acara kemuncak, para juri telah 'berkampung' selama lebih kurang tiga hari dua malam untuk menyelesaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Bukan mudah untuk mencari finalis, justeru setiap skor yang diberi harus mengikut rubrik pemarkahan yang ditetapkan. Ehmm .. oh ya sebelum proses penyaringan, kami terlebih dahulu berkumpul di KPM untuk membangunkan rubrik mengikut kategori masing-masing untuk digunapakai dalam proses penyaringan. Acara kemuncak berlangsung pada 14 Disember 2018 di Hotel Movenpick. (Ye, betul dah lama ..!). Sehari sebelum acara kemuncak, telah berlangsung pertandingan pitching di mana para finalis membentangkan hasil projek/inisiatif mereka kepada para juri. Sayangnya saya tidak dapat turut serta pada sesi tersebut memandangkan kelas berderet dari pagi hingga malam pada hari yang sama. Namun alhamdulillah, diberi jua ruang untuk bersama-sama meraikan kejayaan rakan-rakan. Tahniah Dr Farah Dina, sahabat saya dari UM (Pengarah ADEC) yang telah berjaya dalam kategori Imersif Teradun. I know you will make it Dr Fara! :) Tahniah juga buat sahabat saya Encik Bayan Serit dan Mr Lim dari Taylor's University - di atas kejayaan anak-anak buah mereka menggondol lima anugerah! Satu pencapaian yang membanggakan! Saya kira, inisiatif ini merupakan satu ruang yang sangat perlu diberi sokongan dan diteruskan justeru ia merupakan ruang pengiktirafan buat para pendidik di insitusi pengajian tinggi yang menunjukkan sikap berinovatif dalam melahirkan aktiviti pembelajaran yang lebih berimpak serta ruang untuk meneroka kekuatan diri dan kapasiti sebagai penyelidik berfikiran reflektif.
Usik saya bersama rakan-rakan juri - 'Jumpa lagi tahun hadapan di pentas akhir' hahahaha! |
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |