Musim menuai. Bukan padi mahupun gandum tetapi markah prestasi tahunan. Kerana itu saya menyebut musim menuai kerana kini sedang berlangsung proses penilaian di pentas penghakiman para ketua jabatan.
Ianya merupakan markah sebagai ganjaran kepada usaha dan prestasi yang dipamerkan sepanjang tahun lepas. Lalu apabila 'haul'nya sudah cukup, maka berusaha keraslah para KJ untuk menilai, menimbang dan menyukat mahsul setiap pekerja bawahan. Seorang rakan akrab saya, Dr. Kamariah pernah menulis tentang KPI dalam cerpen beliau yang disiarkan dalam Antologi Cerpennya - Catatan Cinta Anakanda Bonda. Ironinya, beliau bukanlah merujuk KPI dalam maksud Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators - sebaliknya mengaitkan KPI dengan Kehidupan Penghayatan Islam. Beliau begitu bijak menampilkan beberapa watak dalam menghidup dan menggerakkan perjalanan cerpen tersebut. Secara halus, ada mesej tersirat yang sampai ke hati. Ada niat murni yang hendak ditebarkan kepada masyarakat awam agar lebih membuka mata, meluaskan minda serta jangan terlalu taksub dengan KPI yang sedang hangat dilangsungkan penilaiannya sekarang. Tuan Guru saya dengan nada tenang memberi keyakinan kepada anak-anak muridnya yang datang menadah kitab lima jilid itu saban minggu - bahawa setiap sesuatu yang dilakukan kerana Allah sahaja akan memberi nikmat kepuasan dalam diri mereka yang mahu mengerti. Pendeknya, janganlah kita melakukan sesuatu perkara hanya kerana ingin mencuri perhatian manusia. Janganlah hendaknya kita meletakkan redha manusia melebihi redha-Nya. Nauzubillahi min zalik ...! Allahku, ya Aziz ya Jabbar ya Aliy ya Hayy! Kami berlindung daripada wujudnya rasa sebegitu. Moga hendaknya setiap langkah kami hanya khusus untuk mencari maghfirah dan mardhiah-Mu!! Coretan ringkas ini mengingatkan saya kepada kisah si tukang rumah yang diupah majikannya untuk membina sebuah perteduhan. Lalu dibinanya rumah itu tanpa ketelitian serta pemilihan bahan diambilnya daripada bahan-bahan yang rendah kualitinya hanya kerana dia berfikir "INI BUKAN RUMAH MILIKKU .. JADI TIDAK PERLULAH BUAT YANG TERBAIK". Tatkala siap binaan rumah tersebut, maka mengadaplah tuan rumah itu di hadapan majikannya. Majikannya dengan wajah berseri-seri lalu berkata: "SEBENARNYA RUMAH INI AKU HADIAHKAN KEPADAMU. DUDUKLAH DI SINI DENGAN GEMBIRA." Bayangkanlah perasaan tukang rumah itu .. lalu hati kecilnya menjerit: "KALAU KUTAHU ITU BAKAN MENJADI MILIKKU PASTI AKAN KULAKUKAN YANG TERBAIK!!!!". Adakah kita mahu menerima nasib sebegini juga? Usung mindamu, lalu muhasib! Semoga kisah nan secebis ini memberi makna dan berkata-kata buat diri kita semua. Kepada semua, selamat berKPI .. jom cari redha Allah, bukan redha manusia :)
0 Comments
Musim konvokesyen sudah lama berlalu. Saya tahu, entri ini mungkin agak ketinggalan dan sudah 'tidak panas' lagi untuk dibentangkan. Namun, kerana sempitnya waktu, membuat hal itu tertunda-tunda. Sekalung tahniah buat semua yang bergelar graduan 2014. Saya melihat satu batch dari fakulti yang ada sebahagiannya bersama saya semenjak di tahun pertama sehingga ke tahun akhir. Wajah-wajah puas dengan kejayaan jelas sekali dapat saya tatap pada hari tersebut. Begitu, di sebalik jerih-perih pasti ada janji Allah buat mereka yang tidak putus berusaha dan berdoa. Ada keluhan yang saya dengar daripada pelajar-pelajar sarjana, mengatakan rasa kebimbangan mereka terhadap kapasiti diri untuk menamatkan pengajian. Namun, sering saya ulangi bahawa tiada resepi mujarab untuk berjaya melainkan diri sendiri. Usaha harus datang dari hati yang teguh, yang ditunjangi keyakinan terhadap pertolongan dan kurniaan ilham daripada Yang Maha Pencipta. Selebihnya, jagalah muamalah dengan penyelia, rakan-rakan serta insan-insan di sekeliling.
Ianya tidak sukar, namun tidak pula terlalu mudah! Berapa banyak air matanya yang mengalir tanpa sedar, kala melihat kekejaman segerombolan manusia hina yang memperlaku golongan lain seperti sampah tiada bernilai. Di sisi yang lain, dia melihat ramai bersorak riang gembira melihat sebiji bola yang bulat ditendang dikejar di tengah padang. Dia melihat manusia banyak di pusat membeli-belah sambil memimpin tangan anak-anak mencari pakaian baru untuk lebaran. Ada senyum tawa di wajah-wajah itu, meski perit untuk menunggu giliran di kaunter. Dia merenung ke langit. Di mana erti kebahagiaan dalam hidup ini? Di sudut manakah kegembiraan bisa muncul?
Di sudut belakang sebuah masjid gah di Putrajaya, dia melihat ramai anak muda lelaki perempuan bertugas di kaunter khidmat. Mereka menagih bantuan wang ringgit dari khalayak jemaah terawih untuk rakyat Palestine yang tertindas. Dia melihat seorang perempuan sebayanya, membuka beg duit lalu mengeluarkan dua keping not Rm50 lalu dimasukkan ke dalam tabung lut sinar itu. Adakah di situ dia menemui makna bahagia? Jom muhasabah :) Pagi. Saya sedang memandu perlahan kerana berkira-kira mahu membelok ke kanan. Saya melihat ada tangan-tangan yang melambai lalu saya turunkan cermin sisi kenderaan.
"Dr., selamat bercuti!' jerit seorang daripada dua gadis comel itu. "Cuti?" saya melongo. "Saya tak cuti, kamu yang cuti!", balas saya. "Oh hahaha! Ye lah .. lupa!" Dia menyeringai. Masih comel. "Kamu dah nak balik kampung?", seperti sudah gaharu cendana pula saya. Masakan mahu ke kuliah lagi jika mengusung beg pakaian sebesar beg abang Bangla mahu pulang negeri :P "Ye! Exam dah habis!", kedua-duanya riang sekali. "Okay, selamat bercuti untuk kamu. Jangan lupa tolong ibu di dapur!'. usik saya. Hasilnya, bunga tawa melayang-layang di udara. Perasaan itu. Bukan tidak pernah saya rasa. Malah, kehidupan di kampus di sepanjang ijazah pertama sememangnya banyak melakar momen indah. Kenangan merempit motor Honda Cup berplat TP7734 ke perpustakaan besar atau sesekali ke perpustakaan undang-undang sepanjang hari hingga suntuk ke malam tidak mudah dikikis. Masuk pagi, keluar sebentar mengisi perut di kala tengahari kemudian menyambung 'uzlah' di penjuru yang sama setiap hari bukanlah satu rutin yang mudah dilaksanakan. Tanpa 'internal driver' saya kira tidak akan memberi kekuatan sebegitu. Lalu tidak hairanlah di musim peperiksaan tiba, kami seperti tidak kenal satu sama lain kerana masing-masing khusyuk mengelek buku dan nota sendiri. Mungkin kebanyakan sahabat saya kala itu mempunyai stail pembelajaran yang sama - kami banyak belajar sendiri; sehingga sudah terisi minda dengna maklumat asas, baharulah berani membuka mulut untuk perbincangan. Kelemahan saya pula, pantang jika ada perkara yang disebut oleh sahabat lain yang tiada dalam simpanan memori dan taakulan saya, saya akan cepat panik dan terancam. Dahulu, zaman saya di kampus Uni Malaya tidak ada sebarang Facebook groups! Tiada bekalan nota dimuat naik oleh pensyarah malah masih ramai pensyarah menggunakan Over Head Projektor semasa kuliah! Sumber rujukan utama untuk peperiksaan adalah nota kuliah dan contengan-contengan pada buku nota lewat tutorial. Jika banyak yang disalin dan dinotakan, banyaklah bekalan. Tempoh beberapa minggu membekam rasa, penuh khusyuk pula menadah doa agar usaha itu tidak sia-sia. Empat tahun di ijazah pertama sungguh mengusik kalbu. Di situ kehidupan dan cita-cita tumbuh, di situ manis masam kehidupan dan persahabatan benar-benar dirasai. Kemuncaknya, Ijazah Kelas Pertama dalam transkrip tentunya memberi makna dan pulangan lumayan. Alhamdulillah di atas segala kesusahan dan onak duri itu kerana tanpa keperitan kejayaan tidak akan menjadi semanis itu. Cuti semester panjang juga seringkali terisi dengan aktiviti tetap - mengajar sementara sebagai guru ganti. Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, malah Muzik antara subjek yang pernah saya ajar. Rupanya pengalaman ringkas tapi signifikan di sekolah-sekolah itu menghidupkan semangat guru dalam diri. Mungkin kerana itu saya mahu kekal dalam profesion ini. Nasihat saya, meskipun peperiksaan sudah tamat, jangan anggap cuti ini sebagai ruang melepas penat dan lelah dengan hanya acara santai-santai. Usia muda hanya sekali. Jangan nanti kita disapa kekesalan kerana tidak memanfaatkan 'muda sebelum tua'. SELAMAT BERCUTI SEMUA :) Siang dan malam. Ia datang dan pergi. Kita melalui rutin itu setiap hari. Ada kalanya, berlaku pertukaran rutin kerana perkara-perkara tertentu. Ada kalanya kita berlari mengejar sesuatu yang harus diberesi dalam kerangka masa tertentu. Ada kalanya kita berasa agak lapang kerana urusan yang sudah terlangsai seadanya.
Alhamdulillah. Hidup ini masih berputar dan bernyawa buat kita. Seperti siang dan malam. Ia masih datang dan pergi. Namun seperkara yang tidak kembali adalah masa dan usia. Sedang dunia semakin hampir ke penghujung, kita seakan-akan leka; hakikatnya memang begitu, kerana kita ini manusia - manusia yang sering terlupa. Di mana erti hidup yang bermakna? Seringkali kita mahu kehidupan yang memberi kepuasan, kegembiraan malah kebahagiaan. Tidak mustahil itu impian semua orang. Namun kekadang kita terlupa bahawa dalam erti hidup yang bermakna juga terselit nilai 'memberi' kepada yang perlu. Kita sering mahukan sesuatu, tetapi jarang sekali mahu memberi. Memberi bukan setakat bersandar kepada wang ringgit, tetapi bantuan fizikal, masa serta buah fikiran. Minggu ini agak suntuk buat saya. Banyak perkara perlu dilangsai bersama deretan mesyuarat yang silih berganti, serta hal-hal keluarga yang tidak boleh diabaikan. Namun, saya selalu ingat pesan seorang rakan baik, katanya 'Jangan lokek memberi, kerana Allah pasti akan mempermudah segala urusan kita; jika tidak hari ini, esok, jika tidak esok, lusa dan seterusnya.' Saya kagum dalam diam. Dan saya mahu belajar dan beramal. Jadi, memberi juga melibatkan komitmen hati. Biar masa kita terasa sempit menghimpit, belajarlah untuk meluangkan sedikit untuk mereka yang memerlukan. Mudah-mudahan dengan niat memberi dan membantu, segala kerengsaan dalam lorong dan lohong hidup kita akan disinari cahaya penyudah yang diimpikan :) Assalam. Bila. Satu kata tanya. Dalam komunikasi seharian, perkataan ini terlalu banyak kita gunakan sehingga rasanya tidak terkira bilangannya hatta dalam satu hari, setidak-tidaknya walau sekali kita akan mengungkap persoalan dengan menggunakan perkataan 'bila'. Tidak salah untuk bertanya, malah malu bertanya sesat jalan barangkali. Bila sesat, malah sukar pula mencari jalan pulang! Namun bukan isu sesat yang hendak saya utarakan di sini. Saya berminat kepada perkataan 'bila' itu. Tadi, saya terserempak dengan seseorang yang saya pernah kenali. Ibu muda ini merupakan pelajar PhD di salah sebuah universiti tempatan. Itu maklumat yang sudah lama saya ketahui. Lalu, setelah bertahun lamanya tiada bersua, kesempatan berselisih bahu itu saya ambil untuk bertanya khabar serba sedikit, seperti mana dia jua mengajukan soalan-soalan kepada saya. "Oh, bagaimana dengan pembelajaran saudari ... Sudah tamatkah?" soal saya. "Saya masih di peringkat penulisan lagi," jawabnya lirih. Dia melarikan pandangan mata ke arah lain. "Oh..", hanya sepatah yang keluar dari mulut saya. Tetapi kemudian saya menyambung, "Jangan risau, teruskan apa yang masih berbaki, kerana di saat begini momentumlah senjata utama. Insha-Allah, Allah tidak akan mensia-siakan usaha saudari." Dia tersenyum dan mengangguk-angguk. "Mujurlah saya tidak ditanya BILA hendak 'submit'", balasnya namun kelihatan berseloroh dan ketawa kecil. "Saya mengerti." "Hah?" "Saya mengerti apa perasaan saudari kerana saya pernah duduk di tempat yang sama. Soalan BILA merupakan racun yang boleh merengsakan hati, menumpulkan fokus serta menjatuhkan nilai motivasi. Namun, ramai pula yang tidak sensitif dengan perkara ini. Mereka bilang, apa salahnya bertanya, sekadar memberi perangsang. Namun saya memang mengerti perasaan bila ditanya dengan soalan keramat itu. Jadi sebab itu, saya tidak bertanya." "Oh .." "Ye .. kadangkala kita perlu belajar dari pengalaman diri, untuk mewujudkan nilai empati, bukan setakat simpati." "Terima kasih. Saya kira saudari seorang yang memahami." Anak matanya bulat memandang saya. "Itulah lumrah kehidupan. Bila terumbang-ambing, hanya kita sendiri yang menanggung. Bila senang, ramai pula datang meneman. Teruskanlah usaha. Kejapkan doa. Bersihkan jiwa dan luruskan niat. Sesuatu yang payah untuk digapai, akan terasa begitu manis bila sudah digenggaman." "Ya, saya ingat itu." "Benar, sebelum orang bertanya BILA, persiapkanlah diri dengan jawapannya, maksudnya rancang tarikh paling tepat dan munasabah dengan keadaan kita untuk menyerahkan tugasan tesis; perkemaskan jadual kerja, teguhkan hati dan teruslah pandang ke hadapan. Ianya tidak jauh lagi, mungkin hanya tinggal sejengkal. Usah terjatuh hanya kerana pertanyaan daripada orang lain. Mereka tidak tahu apa yang kita lalui. Hanya kita sendiri yang tahu, justeru kitalah yang harus menguasai diri kita." "Hey .. saya rasa bersemangat!" "Alhamdulillah, semoga Allah mempermudah urusanmu." :) Nota: Tanpa jatuh dan sakit, kejayaan itu tidak akan lengkap rukunnya! Selamat meneruskan usaha penulisan untuk semua. |
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |