Ini merupakan tahun ke-2 saya ditaklifkan sebagai juri untuk Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Malaysia (AKRI2019). Alhamdulillah tahun ini penyertaan keseluruhan semakin bertambah namun bagi beberapa kategori berlaku penurunan. Proses penjurian bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan akal dan budi. Meski rubrik pemarkahan ada di tangan, banyak fakotr yang perlu dipertimbangkan kerana jika silap memberikan markah, penyertaan tidak dapat mara sekiranya tidak mencapai titik ambang. Para finalis yang terpilih akan membuat persembahan pitching pula sebelum pemenang muktamad diumumkan. Apa yang menarik tentang anugerah ini adalah kesungguhan kreativiti serta ketelitian calon dalam mendokumentasi setiap aktiviti dan pembuktian. Bukan mudah, pastinya. Terkenang-kenang saat saya sendiri berteleku di meja untuk menyiapkan portfolio serta mengumpul segala bukti untuk dikemukakan bersama borang. Rasanya untuk kali ke-2 saya dah tak mampu untuk berbuat demikian! Justeru, apabila dilantik sebagai juri, saya tidak perlu berfikir panjang. Peluang harus diberikan juga kepada orang lain untuk merasa, tak gitu? Malahan, seronok sebenarnya bekerja sebagai juri ini. Selain dapat berkumpul dengan rakan-rakan daripada insitusi berbeza, proses ini menuntut kejituan dalam keputusan yang diberikan, sekaligus mencabar kewibawaan dan integriti diri. Banyak refleksi yang ada di dalam tempurung kepala, namun masa yang sering mengejar membuatkan susunannya sudah berterabur dan tak tersusun! Selamat maju jaya buat semua finalis!
0 Comments
A late update! Di pertengahan Ramadhan baru-baru ini, saya dijemput oleh ketua projek untuk menghadiri bengkel bersama kesemua sub-projek di bawah geran LRGS selaku salah seorang ahli penyelidik bersama. Projek ini melibatkan sekelompok komuniti B40 dan antara peranan projek ini tentulah berkaitan usaha ke arah peningkatan taraf hidup (kesihatan, pendidikan dll) komuniti terbabit. Ia satu tanggungjawab yang serius yang perlu dilihat secara tuntas. Meskipun sebelum ini kumpulan kami (Pendidikan) sudah bersidang untuk mencapai kata sepakat tentang isu-isu yang hendak dikupas agar selari dengan objektif dan konteks kajian, bengkel pada kali ini melibatkan keseluruhan lima sub-projek untuk geran mega ini. Namun, suatu hal yang menarik adalah hakikat bahawa kami semua menuju satu destinasi dan matlamat yang sama. Pengalaman untuk duduk di majlis ilmu bersama pada profesor yang pakar dalam bidang masing-masing serta kaya dengan pengalaman banyak memberi pengajaran buat saya tentang erti hikmah dalam ilmu, berhemah dalam berkomunikasi, malah penaakulan yang tinggi dalam mengambil satu-satu keputusan. TIdak dilupa, musyawarah serta suara para ahli tidak boleh dipandang sepi jika permuafakatan hendak dicapai.
Saya salute dengan kewibawaan Prof Ishak, selaku ketua projek. Beliau begitu tenang, namun jelas sekali kematangan dalam berfikir serta kemahiran dalam mengendalikan perbedaan pendapat antara ahli. Syukur alhamdulillah kerana peluang yang diberi ini. Thanks again Prof Ruhi :) Tajuk entri ini mungkin bukan suatu fakta namun dianggap sebagai pemangkin semangat untuk merealisasikan penerbitan yang lebih berimpak dan lebih menjurus kepada jurnal-jurnal terindeks di bawah WoS. Wajah-wajah yang tertera pada layar (gambar di atas) merupakan warga fakulti yang dipilih untuk menyertai bengkel pertama di bawah inisiatif lonjakan penerbitan. Ia juga malah satu tunggungjawab yang besar untuk memastikan visi dan harapan fakulti dalam menambah bilangan penerbitan jurnal terindeks. Hmmm .. banyak yang dirancang dan dirangka. Namun masa seringkali merantai jua. Komitmen di sana sini sememangnya banyak memperlahankan proses penghasilan manuskrip :( namun ianya tidak boleh dianggap sebagai alasan mutlak untuk tidak menerbit. Apatah lagi dengan wujudnya sokongan daripada pakar-pakar luar yang dijemput khas oleh universiti untuk turut sama menggembeleng tenaga fizikal dan mental untuk tujuan ini. Datuk Paduka Kamaruzzaman Jusoff bukanlah insan yang asing bagi saya. Semenjak lapan tahun yang lalu, saya sudah pernah menghadiri bengkel penulisan beliau. Kami malah, pernah mengeteh di medan selera Presint 11 Putrajaya bersama rakan saya Sal dari UNIMAS. Pada kali ini, nampaknya ada peluang lagi untuk bertemu beliau. Masih segak, sihat dan energetik orangnya. Proses penulisan sememangnya tidak akan berlaku dalam masa sehari. Banyak proses yang perlu dilalui sebelum sesuatu artikel dapat ditulis dengan berkesan. Malah, pembacaan literatur merupakan ramuan penting sebelum penulisan artikel dapat disempurnakan!
Semoga tahun ini memberi ruang untuk pencapaian yang lebih baik dari aspek penerbitan inshaAllah! Oh oh! Pantasnya masa berkejaran! Tau-tau Anugerah AKRI sudah masuk tahun kedua (atau tahun ketiga jika mengambilkira Anugerah Pemikiran Semula dan Rekabentuk Pendidikan Tinggi - APRS yang mula-mula diperkenalkan pada tahun 2017). Mulai tahun 2018, anugerah ini diberi nama Anugerah Khas YAB Menteri Pendidikan Malaysia (AKRI) dan pada tahun ini, namanya masih dikekalkan. Sekali lagi saya diberi amanah untuk terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih. Dan kami berkampung lagi untuk sama-sama menelaah rubrik pemarkahan yang melalui evolusi dan penambahbaikan. Pakar-pakar dalam jawatan kuasa pemilih ini ternyata benar-benar memerah pemikiran serta rasional demi menghasilkan set penilaian yang lebih menyeluruh serta terbukti kesahannya insyaAllah. Anugerah ini terbuka kepada semua pensyarah dan institusi pengajian tinggi Malaysia yang merangkumi empat kategori utama iaitu: a) Kurikulum Program Pengajian Inovatif b) Pengajaran Transformatif c) Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya, Teradun dan Bersemuka) d) Pentaksiran Alternatif Rasanya tidak sabar-sabar lagi untuk melihat apa pula kreativiti dan impak positif yang bakal diketengahkan oleh calon-calon pada tahun ini. Selamat maju jaya buat semua ... ^__^ Setelah beberapa kali perbincangan bersemuka bersama pengurusan Telekom Malaysia dan vendornya MSD, saya diberi kepercayaan untuk mengepalai satu projek di bawah penajaan Telekom Malaysia. Alhamdulillah, satu lagi geran industri sebagai amanah dan taklif. Objektif penyelidikan ini antara lain adalah untuk mengenalpasti impak Pusat Internet di bawah pengendalian Telekom Malaysia (483 buat) daripada keseluruhan 800 lebih Pusat Internet di seluruh Malaysia. Output utama yang akan dijana adalah model pengoperasian yang menggambarkan keseluruhan modus operandi Pusat-pusat Internet ini selain daripada input untuk penambahbaikan dan kelestarian institusi ini buat masyarakat setempat. Ahli-ahli kumpulan kami tidaklah begitu ramai - kami hanya ber-enam namun saya memanjatkan setinggi kesyukuran kerana komitmen yang diberikan adalah sangat tinggi apatah lagi kami bertanggungjawab untuk mengendalikan sesi temubual bersama pengurus, penolong pengurus serta pengguna Pusat-pusat Internet secara langsung. Jarak sesebuah Pusat Internet yang dikunjungi juga agak berjauhan antara satu sama lain. Namun, kepuasan setelah mendengar dan menyelami isi hati para responden merupakan pulangan lumayan. Banyak persamaan malah variasi dalam respon yang diterima. Saya kira inilah antara kekuatan penyelidikan kualitatif yang menyajikan dimensi yang mendalam terhadap isu yang ingin dikupas. Apatah lagi dengan wujudnya 'kuasa' triangulasi daripada sumber data yang berbeza, menambahkan kekayaan dan perincian maklumat yang diperolehi. Sebelum Ramadhan yang lepas, kami berpeluang untuk meneliti data temubual dan menghasilkan beberapa konstruk utama untuk pengutipan data secara kuantatif pula. Untuk fasa ini, seramai 1500 responden akan terlibat. Namun, kemunculan Syawal menyebabkan perjalanan penyelidikan agak perlahan lantaran cuti umum (termasuk cuti peribadi!). Nah, sekarang waktu untuk kembali 'menyingsing lengan' justeru masih banyak tugas yang belum terlangsai. Setinggi-tinggi penghargaan buat Telekom Malaysia, khususnya Pengurus Besar, Encik Anuar Mat Halim, Tn Haji Jaffni, Encik Anuar serta tidak dilupakan orang-orang kuat MSD di atas sokongan padu demi melihat projek ini direalisasikan dengan jayanya. Kami juga dijemput untuk berkongsi tentang projek ini bersama En Azhar serta staf di Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia di Cyberjaya. The clock is ticking, it's time to keep going!
Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran buat-Nya jua di atas ilham dan kekuatan yang diberi untuk terus istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab serta amanah sebagai pendidik.
Perjalanan saya di UKM bermula pada tahun 2005, sebagai seorang tutor. Berbekalkan Ijazah Kelas Pertama dari Universiti Malaya, saya melangkah ke Fakulti Pendidikan sebagai tutor dalam bidang Teknologi Pendidikan. Ramai sahabat saya tercengang kerana keputusan yang saya ambil untuk melompat ke bidang teknologi pendidikan - kerana Ijazah Pertama saya adalah Pendidikan Islam dengan minor Bahasa Arab :) Namun bagi saya itu bukanlah satu masalah besar, justeru apa jua yang dilakukan biarlah diteraskan oleh minat dan niat. Menerima pengiktirafan ini bukan untuk sanjungan, jauh sekali sebagai lesen mendabik dada. Namun, sebaliknya ia sesuatu yang begitu menginsafkan - saya seringkali bertanya kepada diri sendiri - layakkah aku menerima anugerah ini? justeru diri sendiri amat tahu kelemahan yang ada, malah terlalu banyak lagi yang perlu dipelajari. Ianya seperti satu peringatan sehabis selesai pembelajaran PhD. Gelaran Dr. di pangkal nama bukanlah bermakna kita diiktiraf sebagai seorang yang serba tahu, sebaliknya, PhD adalah satu permulaan untuk kita mengenal dan meneroka diri - kapasiti dan potensi. Ala kulli hal, segala puji jua buat Azza wa Jalla yang membuka ruang untuk saya terus melangkah dalam dunia akademia, mengilhamkan idea untuk terus berkarya dan berinovasi. Terima kasih buat 'my significant others' yang menjadi tulang belakang dalam perjalanan saya dari dulu sehingga kini. Dan yang pasti, kelompok utama yang banyak memberi kekuatan tentulah para pelajar saya sendiri! Tanpa anda, saya tidak akan ke mana. Tanpa anda, saya tidak mampu merencana sesuatu pendekatan yang bermakna. Tahniah juga buat semua pemenang yang lain. Semoga Allah merahmati setiap langkah hidup kita, selagi niat masih di landasan-Nya. Ameen! AKRI atau nama penuhnya Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Malaysia merupakan kesinambungan daripada Anugerah Pemikiran Semula dan Rekabentuk Pengajaran (APRS) yang dimulakan pada tahun 2017. Alhamdulillah, kali ini, saya diberi peluang sebagai salah seorang juri yang bertanggungjawab menyaring pencalonan yang diterima daripada segenap pelosok insitusi pendidikan tinggi di Malaysia. Sebelum acara kemuncak, para juri telah 'berkampung' selama lebih kurang tiga hari dua malam untuk menyelesaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Bukan mudah untuk mencari finalis, justeru setiap skor yang diberi harus mengikut rubrik pemarkahan yang ditetapkan. Ehmm .. oh ya sebelum proses penyaringan, kami terlebih dahulu berkumpul di KPM untuk membangunkan rubrik mengikut kategori masing-masing untuk digunapakai dalam proses penyaringan. Acara kemuncak berlangsung pada 14 Disember 2018 di Hotel Movenpick. (Ye, betul dah lama ..!). Sehari sebelum acara kemuncak, telah berlangsung pertandingan pitching di mana para finalis membentangkan hasil projek/inisiatif mereka kepada para juri. Sayangnya saya tidak dapat turut serta pada sesi tersebut memandangkan kelas berderet dari pagi hingga malam pada hari yang sama. Namun alhamdulillah, diberi jua ruang untuk bersama-sama meraikan kejayaan rakan-rakan. Tahniah Dr Farah Dina, sahabat saya dari UM (Pengarah ADEC) yang telah berjaya dalam kategori Imersif Teradun. I know you will make it Dr Fara! :) Tahniah juga buat sahabat saya Encik Bayan Serit dan Mr Lim dari Taylor's University - di atas kejayaan anak-anak buah mereka menggondol lima anugerah! Satu pencapaian yang membanggakan! Saya kira, inisiatif ini merupakan satu ruang yang sangat perlu diberi sokongan dan diteruskan justeru ia merupakan ruang pengiktirafan buat para pendidik di insitusi pengajian tinggi yang menunjukkan sikap berinovatif dalam melahirkan aktiviti pembelajaran yang lebih berimpak serta ruang untuk meneroka kekuatan diri dan kapasiti sebagai penyelidik berfikiran reflektif.
Usik saya bersama rakan-rakan juri - 'Jumpa lagi tahun hadapan di pentas akhir' hahahaha! Jemputan ke seminar ini saya terima sehari sebelum berlangsungnya acara ini. Oleh kerana jemputan dihantar secara personal, jadi tidak manis rasanya mengatakan tidak meskipun sebenarnya saya agak putar-alam dengan jadual komitmen yang telah dipersetujui lebih awal. Untuk menolak juga terasa rugi pula kerana input yang dihidangkan jarang-jarang diperolehi, tambahan pakar-pakar dari universiti terkemuka seperti US (Harvard, Indiana), UK (Edinburgh), Kanada (Victoria), Qatar dan pelbagai lagi turut sama berkongsi. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapat mendengar isu-isu berkaitan penggunaan teknologi dalam dunia latihan dan amalan perubatan dan kesihatan - memberi satu 'insight' yang segar kerana latar belakang saya yang berbeza. Sememangnya teknologi itu ada manfaatnya, namun kebitaraan manusialah yang menentukan bagaimana ia digunapakai untuk menghasilkan impak yang sewajarnya. Teknologi bukan segala-galanya. Sentuhan kemanusiaan serta konsep berguru secara 'talaqqi' atau face-to-face tidak boleh dipinggirkan secara total. Menarik sekali apabila ada bicara yang menyinggung isu data raya (big data) dan peranan artificial intelligence (AI) dalam bidang kesihatan. Duduk bersama pengamal perubatan serta penyelidik dalam bidang ini membuat saya merasa diri terlalu kecil. Melihat sumbangan mereka kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat turut membugarkan rasa kagum dan bangga. Alhamdulillah atas pengalaman ini. Alhamdulillah atas ilmu dan kesedaran ini - ilmu Allah itu terlalu luas untuk seorang manusia kerdil menguasai segalanya! Mungkin kerana telah ditetapkan rezeki saya untuk menyelidik hal ini, justeru permohonan geran FRGS saya berjalan lancar dan diluluskan setelah mencubanya buat pertama kali. Alhamdulillah thummalhamdulillah! Idea untuk menjalankan kajian tentang kesedaran siber ini muncul setelah saya mendengar ceramah daripada Brother Aaron yang ketika itu masih bertugas di Cyber Security Malaysia. Beliau dijemput ke UKM untuk memperkatakan tentang bahaya siber serta risikonya andai pengguna tidak tahu mekasnisme pertahanan diri. Sudah ramai menjadi mangsa. Tidak sedikit pula yang dipersia. Semua itu membuatkan saya mula celik mata. Betapa membarahkah keadaan ini? Sejauh mana ketagihankah anak remaja kita kepada media sosial serta komunikasi dalam talian? Tidak adakah mekanisme pertahanan diri? Apakah mereka akan merujuk ibu bapa, guru atau teman kiranya sesuautu kejadian tidak diingini menimpa diri? Itu antara perkara yang melingkari pemikiran saya kala menulis proposal kajian. Lalu apabila permohonan saya diluluskan, dan mendapat remark daripada penilai bahawa ini kajian yang sangat kontemporari dan diperlukan dalam keadaan semasa, saya menghela nafas lega. Namun cemas pula apabila memikirkan ini satu tugas yang berat dan panjang yang harus dipikul sebaiknya. Alhamdulillah, setelah proses pembangunan item dilaksanakan beserta pilot test yang menghasilkan Alpha Cronbach yang memuaskan, penyelidikan saya kini melangkah setapak lagi - iaitu pengutipan data sebenar. Negeri pertama tempat saya singgah adalah Sarawak Bumi Kenyalang. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih buat sahabat rapat saya Dr. Salmah yang telah sudi meluangkan masa dan tenaga untuk sama-sama mengharungi dua hari penuh makna itu. Saya membawa pulang lebih 200 soal selidik yang lengkap ditanda (berkilo-kilo beratnya!). Orang Sarawak memang hebat lagi penyantun. Hospitalitynya tip top. Di kesempatan ini juga ingin saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat pengetua di dua buah sekolah yang telah memberikan kebenaran untuk saya meluangkan masa bersama para pelajar. Jamuan makan tengahari yang enak pasti juga tidak dilupakan! Malah di salah sebuah sekolah yang kami lawati, menyediakan ruang masa yang begitu panjang sehingga sempat pula saya dan Dr Salmah menjalankan sesi ceramah tentang Kesedaran Siber. Semoga anak-anak yang bersama dalam sesi tersebut mendapat sedikit sebanyak maklumat tentang bahaya yang menunggu dalam talian kiranya tiada waspada. Di sebelah petang hari pertama juga sempat singgah ke UNIMAS untuk perkongsian kecil tentang CONDUCTING RESEARCH AND SYSTEMATIC DATA ANALYSIS IN CASE STUDY
Warga UNIMAS juga begitu peramah menjadikan saya lebih selesa bergurau senda. Oh oh -- tidak ketinggalan ketemu pula dengan senior di UM dahulu - Pn Samsiah Jayos. Tidak dilupakan perkenalan penuh makna bersama Pn Nora .. sehingga terjebak saya dengan satu jenis obsesi hehe (rahsia). Salmah sahabatku Susuk yang kukenali di zaman bergelar pelajar PhD. Ternyata persahabatan ini masih terpatri dengan kukuh. Banyak susur galur hidup kita lalui bersama mate, dan semua itu kukenang dalam sangkar memori jua. Mate, masih banyak perkara yang hendak kita lakukan. Mohon titiskan doamu dari kejauhan. Mudah-mudahan segala perancangan dapat dilunaskan dengan redha Ilahi jua. TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA MATE! Secebis kenangan di Nottingham dan Paris ^___^ Program Rampai Penyelidik ini merupakan kali keenam seumpamanya di UKM. Alhamdulillah untuk kali ini, pihak Fakullti Pendidikan diberi kepercayaan untuk menerajui penganjuran Rampai Penyelidik ke-6 bertempat di DTAMS UKM. Pelbagai hasil penyelidikan berteraskan STEM dipamerkan sempena pameran sehari itu. Paling menggembirkan, sekumpulan pelajar dari SM Teknik Kuala Lumpur turut hadir untuk berkongsi cerita kejayaan mereka yang menonjolkan rekacipta yang menarik. Tahniah buat anak-anak SMTKL. Meski tidak lagi bertugas di sana, saya tetap berasa bangga. Ini kali kedua saya bertugas sebagai Floor Manager dan masih setia bergandingan dengan Dr Hazrati .. mungkin ini jawatan tetap dan berpencen barangkali. Tetapi saya tidak kisah kerana tugas ini meskipun mencabar namun menyeronokkan. Hmm .. melihat hasil-hasil inovasi yang dipamerkan membuat saya menggaru kepala. Apa lagi perkara baru yang boleh dihasilkan untuk inovasi tahun ini? #neuronmati Acara telah lama berlangsung namun seperti biasa, saya akan memeram cerita sehingga menjadi pekasam yang enak dimakan hehehe .. duh, masa terlalu memburu meski banyak hal ingin diceriterakan. Namun, kerana ada hal yang menuntut prioriti, maka usaha mencatat di laman kecil ini seringkali ditolak tepi. Baru-baru ini, tepatnya pada 21-22 Julai nan lalu, saya dijemput bertugas di booth UKM sempena Graduan Aspire 2018 bertempat di Convention Centre [KLCC]. Alhamdulillah, pengunjung ke booth UKM tidak putus-putus. Bermacam pertanyaan diajukan - dari peluang pekerjaan sebagai Research Assistant, tutor dan pensyarah sehinggalah peluang melanjutkan pelajaran di peringkat pra dan pasca siswazah. Tidak terasa masa berlalu. Seharian di booth meskipun memenatkan tetapi boleh jadi juga sebagai terapi minda. Seronok berjumpa dengan pelbagai latar belakang anak muda. Oh oh terasa benar bahawa diri ini sudah meniti usia! Melihat wajah-wajh bersemangat di hadapan mata mengingatkan saya kepada kenangan lalu di zaman prasiswazah. Satu tempoh yang mengujakan walau penuh siksa dan kenangan heh! Kepada mereka yang benar-benar ingin menjadikan impian mereka untuk menjejak kaki ke UKM, saya doakan impian tersebut dikabulkan. Siapa tahu. kita bertemu lagi di kampus Bangi :) Barangkali ada yang tidak pernah mendengar nama Latvia, sebuah negara cantik yang terletak di Timur Eropah ini. 'Apa?' itu reaksi yang beberapa kali saya dengar apabila nama Latvia disebut. Syukur, kedatangan Professor Andrejs Geske ke fakulti atas kapasiti Profesor Pelawat memberi banyak input bermakna, bukan sahaja untuk pelajar siswazah di FPend, malah turut memberi maklumat kepada kami, warga pensyarah. Perkongsian beliau tentang program PhD di Universiti Latvia juga agak menarik. Selaku Ketua Program PhD fakulti, saya dijemput oleh Prof Dr Saemah untuk turut sama mendengar perkongsian tersebut. Satu perkara yang menarik hati tentang pakar berbangsa Latvia ini adalah kesederhanaannya dalam segenap hal. Tutur katanya yang bersopan, tersusun malah senyuman yang tidak lekang di bibir membuat sesiapapun menjadi senang untuk berdampingan dan berguru dengannya. SIkap ini seharusnya menjadi suri teladan buat kita semua. Semakin banyak ilmu dan pengalaman, semakin merendah rendah. Janganlah hendaknya kita berasa puas dan angkuh dengan apa yang kita ada, kerana ilmu di dada walau sebanyak manapun, ia tetap hanyalah setitis daripada selautan imu Allah. Alhamdulillah, bersempena dengan MEA 2018, UKM telah terpilih sebagai finalis. Justeru, beberapa PTJ diamanahkan untuk membentangkan serta membuktikan kepada juri akan kemampuan UKM dalam memenuhi kriteria MEA pada 18 April yang lepas. Fakulti Pendidikan pula diamanahkan untuk memperlihatkan pembelajaran yang menggunapakai acuan 4th industrial revolution serta mendokong penggunaan teknologi terkini dalam memacu minat dan seterusnya menggandakan hasil pembelajaran pelajar. Pihak kedekanan meminta saya mengendalikan satu sesi P&P yang menonjolkan ciri-ciri tersebut. Alhamdulillah, berkat kerjasama para pelajar yang sudi meluangkan masa seharian di Hub Inovasi Pelajar, aktiviti pembelajaran yang berteraskan penggunaan Augmented Reality telah berjaya dilangsungkan. Ternyata, Augmented Reality bukan sahaja menarik minat anak muda, malah para juri turut 'tertawan' dengan magis yang ada pada sekeping kad AR! Aktiviti pembelajaran yang sepatutnya dilangsungkan terus menerus selama 15 minit akhirnya terputus di tengah jalan apabila para juri mula bertanya soalan kepada para pelajar tentang AR. Akhirnya, masa berlalu begitu pantas. Segmen kedua pembelajaran tidak dapat diteruskan :D Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih buat semua pelajar saya yang sudi bersama-sama menjayakan agenda universiti ini. You are awesome!! Apapun hasil dan keputusannya, kita tunggu Julai nanti, yang penting kita telah memberikan yang terbaik untuk UKM :) Malam Apresiasi Graduan. Acara yang saya pastikan untuk hadir setiap tahun. Bukan kerana santapan malam di meja, tetapi kerana ingin bertemu semula dengan bekas-bekas pelajar. Tahun ini, berlangsung lagi MAG buat kesekian kalinya. Dan saya menyaksikan wajah-wajah pelajar yang pernah bersama saya dalam kuliah mahupun tutorial bakal melangkah keluar sebagai seorang graduan Fakulti Pendidikan. Tahniah buat semua dan teruskan peruangan yang bersisa. Bagi pelajar tahun akhir yang sedang berpraktikum di sekolah, jangan menyerah kalah dengan tuntutan kerja yang berganda. Kejapkan azam, bahagi masa dengan bijaksana agar penulisan latihan lmiah dapat dilangsaikan dengan jaya inshaAllah. Suatu ketika dahulu, kampus ini menjadi saksi tahun-tahun saya di ijazah pertama. Masih kejap di zihni, kenangan berkejar-kejar ke kuliah dan tutorial setiap hari. Kolej Bestari menjadi tempat kediaman yang menyimpan seribu kenangan pahit manis. UM. Kampus yang sudah agak lama ditinggalkan namun sesekali apabila kembali ke sini, banyak memori silam tercipta mekar bugar kembali dalam ingatan. Saya menerima jemputan daripada ADEC UM sebagai juri bagi pembentangan hasil penyelidikan sempena Learning Improvement and Teaching Enhancement Research Conference 2018. Para pembentang adalah kebanyakannya penerima geran Learning Improvement and Teaching Enhancement (LITeR) yang memaparkan hasil penyelidikan masing-masing mengikut disiplin tersendiri. Jika di UKM, LITeR mungkin boleh disamakan dengan Geran Projek Tindakan Strategik (PTS) yang memfokuskan kepada penyelidikan berkaitan aktiviti serta pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Manakala Seminar LITeR ini pula sama seperti Scholarship of Teaching and Learning Symposium yang diadakan saban tahun di UKM. Agak menarik untuk mendengar dan meneliti hasil penyelidikan yang dikongsi pada seminar ini. Sedikit sebanyak ia memacu pemikiran yang lebih inovatif dan reflektif serta mengelakkan kejumudan dalam praktis semasa. Terima kasih Dr Farrah dan Dr Zahir di atas jemputan ini! |
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |