Jadual saya selepas naik cuti Aidil Fitri agak banyak diluangkan di bilik di fakulti. Dan saya memang berhajat untuk meneruskan jadual sebegini. Uzlah di bilik peribadi lebih menenangkan dan banyak perkara dapat dilangsaikan.
Alhamdulillah kata orang tetamu datang bersama rahmat dan barakah. Hari ini saya menerima kunjungan daripada beberapa rakan fakulti serta para pelajar. Kebetulan kerepek rayapun ada di balang lalu kami duduk-duduk sebentar sambil menyisip secangkir teh panas. Acara sebegini adalah sesuatu yang dirindui. We have missed this academic hang out sessions for so long! Mendoakan yang baik-baik buat semua :)
0 Comments
Pertemuan yang manis bersari.
Ini rakan-rakan semasa membesar di kampus Uni Malaya! Alhamdulillah di atas kesempatan untuk berjumpa meski dalam bilangan yang terhad. Kebetulan hari Isnin cuti umum lalu kami berkumpul di Cyberjaya. Terlalu banyak perkara yang hendak dibualkan sehingga makanan yang terhidangpun tidak mampu dihabiskan! Terasa seperti kembali ke zaman kampus dahulu kala. Ole-ole yang cantik dari Azlina tentunya cukup menggembirakan! Mengimbau kembali kisah-kisah lucu tentunya membuat semua tidak kering gusi. Terima kasih di atas persahabatan ini. Semoga Allah memberkati silaturahim kita. Jaga diri semua sahabatku! Acara menyambut Aidil Fitri pertama setelah kembali bertugas.
Terima kasih Dr Shahrul kerana sudi menerima kunjungan Geng Taro untuk beraya :) Kami tidak selalu berjumpa namun sesekali usik-mengusik juga di group WhatsApp. Semua geng orang-orang yang busy, saban hari mengejar kerja-kerja yang tidak pernah berakhir. Namun alhamdulillah perjumpaan ringkas berjaya juga direalisasikan. Rasanya, acara terjah sebeginilah yang selalunya menjadi .. sedangkan perjumpaan-perjumpaan lain yang dirancang dicanang sekian lama hamppir sama sekal itidak dapat dilaksanakan. Semoga ukhuwwah berpanjangan - Dr Shahrul, Dr Hasanah dan Dr Harwati :) Seperti biasa apabila semua dihambat jadual yang bertemali, acara yang dirancang lama baharulah terlaksana apabila Ramadhan menghampiri. Pertemuan ini seperti satu acara reunion melibatkan 'alumni'. Venue asal bukanlah di sini, namun kerana faktor yang tiba-tiba mendatang, lalu kami terpaksa melarikan diri ke sudut ini.
Terima kasih buat semua yang sudi hadir. Bukanlah acara makan menjadi objektif utama, namun lebih menjurus kepada self-healing serta acara bersantai-santai demi melekangkan sendat di dada serta penat mental dengan kerja seharian. Masa terlalu menghimpit. Barangkali kerana waktu pertemuan dibuat sebelum masuk waktu Zohor, menyebabkan semua terpaksa bertempiaran setelah acara selesai :D Mungkin di pertemuan lain waktu pertemuan perlu difikirkan semula agar tidak mengganggu waktu untuk beribadah wajib inshaAllah. Syukran ala kulli hal .. buat semua attendees :) Yang tidak mengenalinya akan menganggap dia seorang yang garang dan sukar didekati. Namun bila sudah mengenali, ternyata wanita ini tidak seperti yang difikirkan.
Acara santap bersama sudah banyak kali dirancang namun seringkali tertunda-tunda kerana pelbagai sebab (yang logik dan tak logik semua ada hahaha!). Pertemuan ini tidak lama sebelum dia terbang mengerjakan umrah di tanah suci. Tumpang gembira kerana dirimu dijemput sebagai tetamu Allah, sahabat. Dia juga merupakan baking queen. Tidak sesisa saya berdikir (meminjam frasanya) dan akhirnya puas hati dapat menjamah kek sarang lebah yang begitu enak sekali. Terima kasih Cik Jem di atas persahabatan ini. Semoga Allah merahmati :) Meski sering makan-makan bersama staf UKMShape, namun acara khas yang dirancang sebegini jarang-jarang berlaku. Alhamdulillah meski dalam keadaan penuh kesederhanaan, acara ini mengukuhkan lagi ukhuwwah antara semua.
Inilah wajah-wajah hero heroin saya yang menjadi tulang belakang kepada kebanyakan urusan di UKMShape. Mereka ini jugalah yang sama-sama telah memerah tenaga secara 'terkejut-terkejut' apabila wahyu tiba-tiba turun tanpa diduga. Tahniah dan syabas buat semua rakan-rakan saya di UKMShape yang telah berjaya menyiapkan kertas kerta Pewujudan Kampus Satelit di Johor dan akhirnya diterima pihak menteri kita YBM Dato Seri Noraini Ahmad. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita semua, dan mudah-mudahan kerja yang ikhlas ini diberi ganjaran kebaikan. Mohon dijauhkan kita semua daripada sifat mazmumah dalam pekerjaan ameen ... These are among the staffs, whom I consider as my colleagues from UKMShape. Muda-muda semua. Teruskan komitmen terhadap tugas dan amanah yang diberi. Mudah-mudahan Allah memelihara kita semua agar kekal di bawah lembayung rahmat dan redha-Nya jua :)
Kepulangannya dari Warwick sememangnya saya tunggu justeru Dr. Hazrati merupakan junior saya dalam bidang yang sama - Edutech. Banyak yang kami kongsi dan lalui bersama di sepanjang tahun-tahun yang sudah.
Terkini, beliau dilantik sebagai Penyelaras Program Teknologi Pendidikan untuk penawaran secara ODL dan beliau telah menyerlahkan kemahiran serta gerakerja yang efisyen - satu nilai yang amat perlu sebagai seorang penyelaras program. Syabas Haz di atas kerja keras yang diberikan! Banyak perancangan yang hendak dilaksanakan untuk modul kami namun kerana keahlian dalam modul ini tidaklah begitu ramai yang aktif memandangkan sebahagian ahli modul yang lain juga telah ada komitmen dari segi jawatan pengurusan di luar fakulti, lalu banyak juga perkara yang tertangguh sekian lama. Jadi kepada Haz lah tempat saya merujuk dan meminta bantuan. Haz, didoakan Haz terus cemerlang dan dipermudahkan segala urusan di fakulti ye. Mudah-mudahan segala jasa baik Haz akan diganjari pahala berlipat kali ganda daripada-Nya jua .. InshaAllah ada ruang kira kembara lagi bersama. Tentunya kenangan di Hong Kong akan sentiasa dalam kenangan :D Catatan tertangguh.
Semua pihak yang menyumbang kepada penjanaan universiti telah dijemput berkampung di Port Dickson untuk menyampaikan pembentangan masing-masing berkaitan strategi dan perancangan dalam menghasilkan penjanaan buat universiti watan tercinta. Antara SBU yang terlibat termasuklah UKMShape, UKM Holdings, UKM Pakarunding, UKM Kesihatan, UKM UNIPEQ, serta UKM-GSB. UKMShape atau Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional tidak terkecuali untuk memenuhi agenda. Malah kehadiran UKMShape tentulah merupakan sesuatu yang amat signifikan kerana SBU inilah yang saban tahun menyumbang kepada penjanaan pendapatan tertinggi untuk UKM. Agenda ini merupakan satu amanah yang berat dan perlu direalisasikan sebaiknya. Setiap SBU mempunyai peranan masing-masing serta skop yang tersendiri. Mendengar sendiri pembentangan daripada pihak lain banyak memberi insights kepada kefahaman saya sendiri tentang tanggungjawab dalam penjanaan ini. Saya juga mengutip beberapa mutiara berharga daripada pembentangan tersebut. Malah, setiap kelemahan dalam perincian dan strategi yang dikupas serta diberi komen untuk beberapa SBU lain menjadi satu sempadan yang perlu dielakkan. Lokasi bengkel juga menarik. Malangnya, keindahan tersebut tidak dapat dikongsi bersama keluarga. My other partner pada kala itu sedang sibuk berbengkel Pelan Strategik bersama pengarah-pengarah hospital universiti di Sabah. Begitulah. Masing-masing dengan komitmen sendiri. Semoga Allah permudahkan jua. Ameen. Kisah semalam. Dijemput ke Pengajaran UKM oleh orang kuatnya cik Jamilah a.k.a Cik Jem. Turut memeriahkan perbincangan adalah PM Dr Roziah - Pengarah PJK, Timbalan Pengarah Pembangunan Kurikulum yang baharu - PM Dr Zulkefli, Dr Laili dari GSB dan Pn Yanti, Project Manager untuk ODL UKM. Ada beberapa perkara yang diperhalusi dan cuba dihadam. Meski ada kesangsian tentang penggunaan istilah Semakan Kurikulum untuk program ODL (yang sepatutnya mengikut MQA adalah dianggap program baharu) kami sepakat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Seperti biasa bila group ini berkumpul, hal-hal lain lebih banyak daripada agenda utama! Namun slot petang semalam bagi saya adalah satu sesi yang bermakna buat semua PTj terlibat - UKMShape, Pengajaran UKM dan Pusat Jaminan Kualiti UKM. Alhamdulillah terima kasih semua, semoga apa yang kita kerjakan sebagai satu amanah diganjari dengan kebaikan dan redha-Nya jua. Setiap perkara yang hendak dilaksanakan perlulah dirancang dengan teratur dan berhemah. Sebagai persediaan awal sebelum pembentangan kepada Naib Canselor pada 12 & 13 Februari 2022, kami terlebih dahulu berbengkel seharian di Le Meridien IOI City bersama dengan semua Pengurus Projek bagi meneliti Pelan Strategik projek masing-masing di samping menyelaras bilangan unjuran pelajar serta pendapatan dapat dihasilkan secara sinergik.
Tahniah kepada semua pengurus projek yang jelas komited dalam tugas yang diberi. Terlalu banyak perkara yang hendak dilaksanakan. Too many thing yet too little time! Apapun, masa yang sempat diluangkan bersama rakan-rakan UKMShape tentunya memberi semangat yang lebih segar mudah-mudahan. Merenung kembali geran penyelidikan yang diperolehi masih belum digerakkan lagi sedangkan 2022 telah hampir mencecah bulan ke tiga! Semoga Allah permudahkan segala urusan kami ameen. Salmah a.k.a mate.
Itulah sahabat saya. Sahabat dalam kembara dunia akademia, malah kembara ke benua Eropah. Pertemuan kami bukanlah sesuatu yang diduga namun tentu sekali perancangan Allah itulah yang sebaiknya. Pertama kali kami bersua adalah pada tahun 2008 di sesi block Research Methods bersama Dr. Peter Gates di Chulan Tower - city campus untuk pelajar-pelajar Doktor Falsafah dari University of Nottingham berkampung sebelum meneruskan aktiviti penyelidikan bersama penyelia masing-masing. Dari kelas hingga ke makan tengahari, malah membawa kepada minum petang di KL Sentral. Acara kebersamaan ini cukup untuk saya mengerti betapa secocoknya kami! Dalam santai berbual, pelbagai cerita lama dikongsi. Begitulah chemistry yang wujud antara dia dan saya begitu membuai rasa. Keakraban semakin terjalin tatkala masing-masing mengambil keputusan untuk pergi sendiri-sendiri tanpa keluarga ke bumi Nottingham. Lalu bermulalah episod sebagai housemate - dan itulah yang membawa kepada gelaran 'mate' antara kami sehingga kini. Banyak ceritera yang kami kongsi. Ada suka ada duka. Rencamnya pelbagai. Terlalu banyak memori yang dicipta bersama untuk dikenang. Alhamdulillah setelah lebih sepuluh tahun bersahabat ukhuwwah tetap terjalin. Kebetulan dia turun ke KL untuk urusan kemasukan anaknya Dina ke UPM lalu peluang ini tidak dapat dilepaskan. Saya terus mencarinya di Conezion lalu memandunya ke IOI untuk acara makan malam meskipun perut ketika itu belum terasa lapar. Duduk-duduk selama beberapa jam sambil mengupas pelbagai isu itu ini, begitu begini, tidak terasa masa yang terlalu pantas beredar. Tau-tau malam sudah larut lalu kami terpaksa berpisah. Mate, Terima kasih di atas persahabatan yang dihulurkan. Tidak lupa di atas ihsanmu yang sudi mendengar setiap ocehanku dari dulu hingga kini! Banyak rahsiaku dalam poketmu mate! Semoga Allah memelihara persahabatan ini selagi hayat dikandung badan. Mudah-mudahan akan ada laig pertemuan antara kita. Di saat itu, aku berharap agar aku kelihatan lebih dewasa dan berwibawa di matamu :D Persahabatan kami bertaut sudah agak lama di bawah bumbung fakulti tentunya. Inilah geng jiwa lara yang sama-sama menyusur jalan berliku dalam perjalanan semasa masing-masing dalam tempoh cuti belajar untuk pengajian PhD.
Aida dan Faridah. Kami juga pernah menjadi penghuni blok bangunan Keris Mas. Acara bowling, makan siang, makan petang malah aktiviti ke panggung wayang menjadi sulaman kebahagiaan meski otak ketika itu sarat dengan tesis, tesis dan tesis. Begitulah. PhD itu perjalanan yang panjang dan sunyi namun jangan sesekali bergerak sendiri. Never walk alone, kata tokwan saya. Silaturahim itu tetap terpatri. Meski masa dan jarak membatasi. Tahu tahu salah seorang ingin pergi. Lalu pertemuan diatur secara adhoc. Banyak cerita yang tersimpan dibuka lembar demi lembar. Tidak sedar masa berputar, terasa baru setengah jam bertamu di situ. Rupanya sidah hampir 3 jam mendodoi kisah dan ceritera. Selamat berhijrah sahabatku Faridah. Semoga hijrahmu membawa ke satu dimensi yang lebih berwarna-warni. Kami mendoakan kebahagiaanmu di tempat baharu. Janji di akhir sesi. Pertemuan ini perlu diulang meski bukan selalu. Cukuplah untuk memupuk silaturahim agar tidak kering dan hancur ditelan waktu. Selamat meneruskan perjalanan. Juga buat sahabatku Aida. Best betul mendengar suara merdumu di corong radio! ^___^ Sungguh.
Hari ini minda agak kepenatan justeru sekian banyak perkara yang datang menuntut pemikiran serta tindakan. Rutin di pusat ini, setiap hari berhadapan dengan perkara yang memerlukan keputusan segera, malah tidak kurang yang menuntut siri perbincangan di sana sini. Kala mentari sudah agak condong ke barat, saya didatangi staf yang membawa sejambangan bunga putih dan beg kertas. Satu kejutan singgah di bilik. Bila diteliti, oh daripada IPG Ilmu Khas KL rupanya. Ingatan manis sempena ucaptama yang pernah saya sampaikan bersempena Seminar Penyelidikan Tindakan Kebangsaan 2021 yang berlangsung pada Disember nan lepas. Terima kasih. Saya tahu ini kerja Dr Hairul, orang kuat di sebalik TINDAK2021 yang juga merupakan bekas pelajar PhD saya yang begitu berdedikasi. Di sepanjang pengajian beliau telah menerbitkan enam makalah di jurnal-jurnal terindeks, serta memenangi tidak kurang dari tujuh anugerah penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; sekaligus mengesahkan kredibiliti beliau sebagai penyelidik dan pakar Kajian Tindakan tentunya! Syabas Dr Hairul! Proud of you! <3 Memang.
Kami kaki sushi. Jika mahukan makanan Jepun, dia (Dr Azlin) akan saya cari hehe.. Sayangnya gambar-gambar di restoran Jepun lain yang pernah kami jejaki tiada dalam simpanan - atau dengan erti kata lain - tiada rakamanpun! Gambar ini diambil ketika kami mengisi perut di Miyagi sambil rancak bercerita hal itu dan ini .. dan yang pasti penuh dengan pengajaran dan pembangunan profesional - bukan membawang ye :D Mungkin bukan semua orang menggemari makanan Jepun. Rata-rata yang menolak makanan Jepun seperti sushi mempunyai alasan yang tersendiri. Antara sebab utama mereka tidak menggemari sushi dan rakan-rakannya adalah kerana merasakan bahawa ianya sesuatu yang mentah dan hanyir. Oh oh .. jangan cepat melatah. Cubalah dahulu baru anda tahu enaknya makanan Jepun ini! Saya kongsikan sedikit maklumat berguna tentang khasiat sushi. Selain ia mengandungi kandungan mineral dan vitamin, sushi juga dikatakan dapat membekalkan asid omega, vitamin B, sebatian mineral dalam bentuk fosforus dan magnesium. Mana tidaknya, komponen utama dalam hidangan sushi adalah ikan misalnya tuna atau salmon. Sushi juga merupakan hidangan yang rendah kolesterol. Jadi bagi mereka yang mempunyai masalah kolesterol tinggi di dalam darah boleh mencuba sebagai alternatif hidangan. Namun jagan pula sushi diambil setiap hari. Setiap apapun, jika diambil berlebihan tentu akan membawa ketidakseimbangan pula kepada sistem tubuh badan :) |
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |