12 Oktober 2016. Telah beberapa hari berlalu namun baru saya temukan sedikit waktu untuk menulis tentangnya di sini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kali ini merupakan kali ke-4 Fakutli Pendidikan menjayakan Hari Inovasi sebagai acara tahunan. Namun majlis pada tahun ini agak istimewa kerana diadakan di lokasi luar fakulti - DTAMS .. err seberang jalan sahaja sebenarnya :) Selain pertandingan poster penyelidikan dan e-Inovasi, pengisian baharu pada tahun ini adalah Bicara Inovasi yang menampilkan 10 pakar fakulti yang berbicara tentang topik pelbagai. Alhamdulillah dengan masa yang terkejar-kejar saya sempat menghantar dua poster serta satu video multimedia. Tiga pelajar masters saya turut sama mengambil bahagian dengan menghantar poster masing-masing .. good job Ila, Fiqah dan Syaida! I am so proud of you! Alhamdulillah atas pulangan yang saya pasti datangnya daripada-Nya jua ..
2 Comments
Alhamdulillah ala kulli hal .. meski hidup berantakan mengejar hari dan tugasan, semua yang dirancang berhasil dilangsaikan meski masih ada cacat cela yang harus diperbaiki dari masa ke semasa. Namun, tanpa langkah kecil dan usaha awal, setiap impian tidak akan dapat direalisasikan. Alhamdulilah, setinggi-tinggi syukur dirafa'kan buat-Nya kerana memberi ruang dan kekuatan untuk sama-sama menyelesaikan impian pihak fakulti khususnya dan UKm amnya untuk melihat lebih banyak kursus ditawarkan dalam bentuk Massive Open Online Courses (MOOCs). Bermula sekitar May tahun ini, saya dipertanggungjawabkan mengepalai gerakerja penghasilan kursus MOOC dalam kalangan pensyarah di fakulti yang dilancarkan di bawah Jawatankuasa Global Online Learning atau PENDETA FPend di mana saya bertindak sebagai pengerusi. Melalui gerakerja ini, perancangan telah dibuat bersama beberapa rakan pensyarah lain yang turut sama menjadi orang kuat memberi sokongan teknikal kepada semua pensyarah terlibat. Beberapa siri bengkel dijalankan secara berkala, meskipun kehadiran tidak semuanya penuh kerana komitmen pensyarah yang pelbagai di sana-sini. Semalam adalah hari yang dinanti. Semalam merupakan hari di mana Majlis Menandatangani MOA antara UKM dan Open Learning Malaysia telah dijalankan di Bilik Senat Universiti. Serentak dengan itu juga, berlangsung acara penyampaian sijil kepada semua pembangun MOOC serta hadiah kepada tujuh kursus MOOC terbaik. Tempat Pertama, Kedua dan Ketiga, serta empat Saguhati. Masing-masing membawa pulang sijil serta wang tunai mengikut kadar tersendiri.
Sekalung tahniah diucapkan kepada kursus2 yang berjaya mendapat tempat pertama,kedua dan ketiga serta pemenang saguhati. Kursus Inovasi dan Teknologi dalam P&P hasil air tangan saya serta rakan-rakan: En Md Yusoff Daud, Mejar mohd Jasmy Abd Rahman dan Cik Mazalah terpilih antara salah satu penerima hadiah Saguhati .. alhamdulillah atas pengiktirafan ini :) Sokongan daripada pihak kedekanan serta dokongan daripada pihak PPTP pastinya juga tidak dilupakan .. semoga Allah memberi lebih nikmat dan kebahagiaan buat semua .. ameen ya rab! Jumaat nan mendung. Semenjak pagi langit menangis .. seperti tahu yang dunia akan kehilangan sebutir permata. Mesej-mesej tidak henti masuk ke group WhatsApp ahli DS memberi khabar terkini tentang keadaan kesihatan Tuan Guru kami Dato' Dr Haron Din. Berita pemergian beliau saya terima dengan seribu rasa. Tentunya hiba dan sendu sekali. K. An, sahabat dari UPM bertanya sama ada saya sudah maklum tentang berita pemergian itu. Saya membalas ringkas. Ahli-ahli yang lain mengajak agar setiap seorang menghadiahkan satu juzu' untuk disedekahkan kepada roh Tuan Guru.
Kenangan itu tiba-tiba datang menjelma. Sungguh saya rindu akan musim kuliah setiap Isnin yang pernah dilalui sepanjang setahun itu bila mana kami bergelar anak murid Tuan Guru. Hari bersejarah ketika ditauliahkan tentu sahaja menjadi kenangan paling berharga di sepanjang zaman. Jumaat penuh barakah menjemputnya kembali kepada Azza wa Jalla.. tenanglah dikau di sana wahai guruku .. tentu sahaja engkau sedang berbahagia di sana .. menemui Pencipta Rabbul Jalil .. Masa kita entah bila. Bekal kita sudah pasti jauh dari mencukupi. Pemergian ini begitu memberi erti. Membekas masuk ke sanubari. Al-Faatihah ... K-Novasi UKM kali ke dua telah selamat berlangsung pada 16-18 Februari 2016.
Saya hanya menghantar satu penyertaan poster penyelidikan di bawah tajuk CMS-4-CoP: Using a Content Management System to Facilitate the Development of A Community of Practice yang melibatkan penggunaan laman web Weebly saya ini untuk tujuan P&P melalui pendekatan Community of Practice. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat kedua juri yang percaya dengan produk dan usaha kecil ini sehingga layak dianugerahi pingat emas, alhamdulillah. Semoga Allah mempermudahkan pula urusan kedua-duanya di dunia dan akhirat, ameen ya rabb. Sebanyak 45 pingat emas dimenangi dan selebihnya pingat perak dan gangsa. Penyertaan pada tahun ini jauh lebih banyak berbanding tahun lepas. Ujar Prof Radha, Knovasi tahun hadapan pasti lebih menarik kerana penyertaan akan dibuka kepada universiti luar. Pasti lebih sengit saya kira. Apapun, alhamdulillah .. syukur jua kepada-Mu Ya Rabb di atas kenangan manis ini. Minggu yang agak padat. Demam urat pula melanda. Ya Syaafi .. ishfini shifa'an aajlian amen.. Kemaman, daerah kelahiran. Tempat membesar di zaman bocah. Sudah beberapa bulan tidak menjenguk ranah yang dirindu serta menatap wajah bonda yang kian dimamah usia. Syukur dalam kesempatan baru-baru ini saya kembali menjejak segala kenangan dan ingatan itu. Oh oh saya rindu sekali akan bau angin pantai timur yang berbaur hanyir ikan serta gemalai bayu yang menyapa. Sesekali pulang, saya bawa anak-anak bermesra dengan pasir dan pantai. Laut yang tidak bertepi, saya perhatikan sepuasnya seakan mencari titik pemisah antara garis laut dan langit yang membiru senada. Seakan tergambar di fikiran bagaimana saya dan rakan-rakan berlarian menyusur gigi pantai Chendor. Kamariah dan Azizawati - dua nama yang melekat di hati - kerana bersama merekalah saya turut sama menganggotai kumpulan BlackCat. Oh oh .. entah siapa pernah bilang bahawa bunyinya seperti kumpulan samseng! Haha! Namun itulah sebenarnya jolokan kepada persahabatan rapat kami bertiga di sekolah rendah dahulu. Sama-sama menjadi pengawas, seorang anak sulung, seorang anak tengah dan seorang lagi anak bongsu. Syukur alhamdulillah sehingga kini silaturahmi masih tetap utuh meski dipisah jarak dan masa. Benar, bilang orang bahawa sahabat di zaman sekolah tidakkan sama dengan sahabat yang baharu kita temui ditempat kerja atau lainnya. Justeru mungkin kerana zaman sekolah merupakan zaman membesar, zaman mencari identiti dan jatidiri lalu banyak sekali kenangan yang bejat yang sihat menjadi perhiasan memori! Saya tidak lupakan bagaimana kami menyusup ke kuari kilang batu-bata kala petang untuk melihat pemandangan pasir yang memutih .. atau kenangan berlarian ke petak sawah di Paman, sambil menghirup udara petang yang nyaman dengan tolakan angin semilir menyapu rambut bertocang panjang! Juga tidak ketinggalan pengalaman meloncat bas Thong Aik untuk ke pekan Chukai dengan duit bekalan di tangan tidak sampai sepuluh ringgit! Kemudian keberanian berganda pula untuk menjadi penumpang bas Sihat untuk ke pekan Kuantan! Semua itu gara-gara mencari kepuasan dan pengalaman baharu! Pantai, petak sawah dan kenangan masih di situ. Di manakah kan kutemui kenangan yang serupa di kota? Alhamdulillah .. thummalhamdulillah .. thummalhamdulillah
Itu rasa hati menyingkap rasa syukur yang tiada penghujungnya. Sebuah kembara ilmu bakal tiba di titik akhir, namun bisik hati, ini suatu permulaan! Tiada terfikir dalam kotak minda bahawa tempoh 12 bulan berjaya ditempuh dengan penuh keazaman dan bisik hati lagi ini semua tiada kan mampu digapai tanpa redha-Nya jua. Alhamdulillah .. thummalhamdulillah .. thummalhamdulillah! Pastinya ketibaan setiap Isnin bakal dirindui. Pertemuan mahabbah di 'rumah ilmu' pasti membungakan rindu yang tidak berpenghujung. Sendu mengiringi sebuah perpisahan namun bisik jiwa, ini hanya perpisahan jarak namun ukhuwwah fillah yang dijalin sepanjang 12 bulan kuliah ilmu pastikan kekal dalam bentuk yang utuh padu, mudah-mudahan. Ujar K. An yang kukenali di saf pertama "Pastikan selepas ini kita bertemu lagi di rumah ilmu ini .. mari kita tetapkan janji berkunjung lagi di sini, dan mudah-mudahan tuan guru kita kekal sihat untuk mengemudi tazkirah hati." Aku mengangguk pasti. InsyaAllah, jawab bibir namun ia datang dari hati. Allah .. Allah .. perjalanan itu penuh liku sesungguhnya. Aku menyaksikan beberapa taulan yang gugur di tengah jalan. Semua itu dugaan yang aku kira amat berat untuk ditelan. Namun sahabat, kekal cekallah .. kerana itu juga satu perjuangan. Jangan kerana kejatuhan ini kau berpaling pergi kerana rumpun nur Ilahi pasti menyinari sebuah kabad yang bersalut ikhlas nan tinggi. Pagi semalam, bertempat di Bilik Senat UKM, berlangsung majlis pelancaran MOOC, ORI (Original Resources Initivative) dan iTunes U. Saya turut diundang ke majlis ini oleh pihak PPTP. Meski jadual asalnya saya harus ke Seminar Majlis Dekan-dekan IPTA jam 7 pagi, saya tunda hasrat itu kerana memenuhi jemputan ini. Satu majlis yang menarik di mana Prof. Amin Pengarah PPTP berkongsi pencapaian beliau dalam MOOC yang dihasilkannya. Capaian jumlah yang tinggi daripada banyakb uah negara menunjukkan bahawa permintaan untuk pembelajaran bercirikan MOOC (Massice Open Online Course) ini sememangnya tinggi. Dato' VC UKM sendiri menzahirkan impian beliau untuk turut sama dalam 'liga' MOOC dan ini pastinya memberi suntikan kepada pensyarah-pensyarah lain untuk sama-sama berganding bahu menghasilkan inovasi baru dalam pengajaran subjek masing-masing. ORI pula merupakan satu usaha PPTP mengkompilasi bahan-bahan pembelajaran yang dibangunkan oleh para pensyarah agar dapat dimanfaatkan oleh khalayak ramai di luar sana. Capaian ORI UKM boleh dicapai DI SINI Seiring dengan pelancaran tersebut, dua kategori telah dipertandingkan iaitu Penyumbang ORI Terbanyak serta Bahan ORI Terbaik. Tidak pula saya sangka salah satu bahan saya mendapat tempat ketiga. Syukur alhamdulillah ... dan ASUS di bawah sebagai ole-olenya. Fakulti Pendidikan turut dianuegerahi sebuah trofi atas sumbangan bahan ORI paling tinggi berbanding fakulti-fakulti lain. Syabas FPEND! Usai di Canselori, bergegas pula ke UTTHM Batu Pahat untuk pembentangan di Seminar Majlis Dekan-dekan IPTA 2015. (Thanks to hubby to drive me there! <3). Sempatlah juga mendengan kertas institusi terakhir sebelum pembentangan selari. Terima kasih juga kepada Dr. Zanaton yang tolong mendaftar untuk saya :) Saya dijadualkan sebagai pembentang kedua untuk sesi petang itu. Meskipun pada awalnya ada masalah teknikal (LCD tidak dapat dipancarkan) berkat ketekunan dua orang juruteknik (rujuk gambar) akhirnya maslaah tersebut berjaya juga diselesaikan. Oleh kerana waktu pembentangan terlalu singkat sekitar 10 minit saya hanya menekankan isi-isi penting berkaitan kajian mini yang saya jalankan. Melainkan kepada pembentang pertama, tiada persoalan dilontarkan kepada pembentang-pembentang lain. Lalu sesi itu menjadi begtu sehala. Tiada perbahasan, perkongsian pengalaman untuk dihadam bersama. Hmm .. namun perkara sebegini seolah-olah menjadi fenomena biasa dalam mana-mana seminar yang saya hadiri. Menjelang petang, penglibatan peserta semakin kurang .. masing-masing asyik mengerling jam di tangan. Tiba di rumah, badan lesu dan mata seperti digam-gam.
Hari yang panjang tetapi penuh kenangan! Saya sempat bertamu ke negara matahari terbit beberapa bulan yang lalu, ketika musim luruh baru bertamu lalu tiadalah dapat saya menyapa dedaun yang kekuningan atau kemerahan karena ketibaan saya dan ahli penyelidikan dikatakan Shiho, juru bahasa kami 'ter'awal beberapa minggu, heh. Saya pada mulanya membayangkan akan suasana 'autumn in my heart' kerana pernah jua saya mencuri pandang foto-foto sekitar musim luruh di Nagoya yang melata dengan warna alam yang sukar dikecapi di bumi bertuah Malaya.
Namun, musim luruh itu kini kian jua pergi, penuh pasrah dan santun untuk memberi laluan kepada musim dingin salju yang bakal menyapa. Oh, mungkinkah kami 'ter'awal beberapa bulan? Soal hati. Sesekali teringin jua merasai gigilan tubuh disapa angin yang sejuk menyerbu tulang hitam; seperti mana gigilan rahang sehingga hantukan itu yang membuat Sal, sahabat rapat saya ketawa mengilai sewaktu kami pulang dari kedai runcit dengan kedua tangan membimbit barang belian untuk pulang ke Hartley Road, tika bermukim di bumi ratu suatu ketika dahulu. Begitu indah kitaran alam ciptaan Allah. Begitu, kita disaran agar berjalan di muka bumi ini, lalu dengan mata hati, perhatikanlah panorama mengusik kalbu dan kabad, sehingga terdetiknya rasa kerdil diri, dan dalam masa yang sama mengiyakan kekuasaan Pencipta al-Khalik ar-Raziq. Subhanallah. Gumpalan awan di atas sana penuh seni berarak pergi. Turun naik lengkok gunung dan bukit menyempurnakan seni horizon serta pelengkap membahagi antara langit dan bumi melata. Lalu nikmat Tuhan-Mu yang mana lagi hendak kamu dustakan? Hidup yang berkejaran mencari makna memaksa jua kaki ini melangkah. Pesan bonda, sentiasa ingat Dia, walau di mana bumi ini dipijak. Ingatan itu tidak harus putus karena dengan mengingati-Nya, hati menjadi bernyawa. Kaki terus juga melangkah pergi... Binjai, Kemaman. Tapi saya pernah tahu yang di Kelantan juga ada tempat bernama Binjai. Mungin di daerah-daerah lain juga ada yang bernama Binjai, namun tiada dalam lembar pengetahuan saya.
Binjai, daerah sepi. Mungkin kerana bila berpeluang kembali ke sana, tiada lagi dapat saya dengar hilai tawa anak-anak saudara yang bocah bermain basikal atau zero point di laman rumah, atau mungkin juga kerana tiada lagi suara-suara kecil memberi salam dari beranda rumah untuk menghadiri kelas mengaji al-Quran di rumah bonda. Sepi kerana hanya beberapa kali dalam setahun saya berpeluang kembali ke laman kenangan itu. Namun Binjai tetap di hati. Kerana di situ saya membesar, di kelilingi kasih sayang ibu, ayah dan kakak-kakak, serta tidak kurang pula rakan-rakan yang penuh asyik dengan pembelajaran, dan sukan malah. Ingatan kepada Binjai begitu membuak. Apatah lagi, seorang rakan baik saya dari daerah yang sama; Dr. Kamariah Kamarudin mempelawa saya menggeluti dunia penulisan dan paling mengesankan, beliau meminta saya menulis tentang zaman kanak-kanak serta remaja kami ketika ranah Binjai itu kami diami. Apa yang harus saya tulis?, soal saya bingung. Sementelah saya bukanlah terlahir dalam golongan penulis sastera moden seperti beliau. Lalu ungkapan itu merupakan persoalan yang wajar saya utarakan. "Kau tulis sahaja setiap yang terlintas di benak fikir." "Hatta hal-hal kecil tapi signifikan." "Aku cuba inshaAllah." Lalu kulit kepala yang tidak gatal tiba-tiba minta digaru. Heh! "Setiap impian, jika disusuli usaha, doa dan tawakkal pasti berbuahkan hasil." Suara bonda tiba-tiba singgah di bahu fikir. Teduh angin petang yang menyapu pipi terasa dingin dan selembut sentuhan bonda. "Binjai itu." Saya mula merangka-rangka. Aneh. Banyak sekali yang ingin saya perkatakan rupanya! |
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |