Kelas Master Eksekutif Mod Cuti Sekolah baharu saja bermula. Selari dengan namanya. lalu semua kuliah diadakan pada musim cuti sekolah sahaja dalam jangkamasa yang lebih singkat berbanding kelas-kelas master aliran perdana. Bermula pada 19-21 Mac, saya mengendalikan kuliah Kaedah Penyelidikan 1 selama 16 jam dalam tempoh tersebut. Selesai kuliah di Bangi pada jam 12.30 tghr, petangnya terbang pula ke Kuching untuk kuliah di Sarawak dan pulang kembali ke Putrajaya pada 23 Mac. Meski suara sudah mulai hilang dan serak-serak basah, syukur alhamdulillah saya masih bisa bangun dan berjalan. Beberapa rakan sudah mulai demam dan lesu. Manakan tidak, kelas yang berlangsung seperti acara marathon sememangnya memakan tenaga yang bukan sedikit. Banyak perdebatan tentang kelas yang dimampatkan ini. Namun saya tidak berminat untuk membicarakannya di sini, sekadar mahu berkongsi rasa bahawa saya kagum sekali dengan semangat jitu yang ditunjukkan semua pelajar! Syabas dan tahniah!!
0 Comments
Masa berlari seperti belati. Terasa masih baharu saya dijemput memperketakan tentang strategi Bicara Tuntas di hadapan para pelajar di IPG Teknik Nilai, tiba-tiba hari Inovasi yang ditunggu mampir sekelip mata. Duh, memang kita manusia yang senantiasa berlari mengejar masa. Khamis nan lepas, saya seperti lipas kudung berlarian semenjak pagi. Selesai menghantar Irfan ke sekolah, kereta terus dipandu ke IPG Teknik kerana janji untuk tiba di sana sekitar jam 8.30 pagi untuk taklimat para hakim Pertandingan Bicara Tuntas. Syukur aliran trafik tidak begitu teruk, hanya terpaksa 'mendap' 15 minit di simpang Salak Tinggi. Para peserta hari tersebut merupakan para pelajar dari pelbagai semester dan bidang. Sebanyak 13 kumpulan berentap untuk memburu gelaran juara. Secara jujur, saya terhibur sekali dengan persembahan, idea serta lagak gaya para pembentang. Penuh seni, kreativiti, keyakinan serta mempunyai ciri-ciri pembahas yang baik. Namun tidak dinafikan di sana sini pasti ada ruang untuk penambahbaikan. Namun demikian, pujian harus diberikan kepada para pelajar yang megambil bahagian kerana berjaya menghasilkan 'tangible product' hasil proses pemikiran mereka secara kreatif dan inovatif. Sesuatu yang tidak dapat saya temui di Fakulti Pendidikan - di mana kebanyakan produk bukan berbentuk 'tangible' sebaliknya lebih kepada model/konstruk dan lain-lain. Syabas sekali lagi! Saya kira usaha mengetengahkan pertandingan Bicara Tuntas dan dalam masa yang sama menggalakkan pemikiran inovatif perlu dilaksanakan bukan lagi di peringkat mikro tetapi perlu dikembangluaskan. Pendedahan terhadap penyelsaian masalah dan penghasilan proses kerja yang lebih efisyen tentunya akan membangkitkan pemikiran dan rasa kebertanggunjawaban para pelajar secara lebih efektif dan bermakna. Misalnya, produk Jabakus yang dihasilkan misalnya mampu membantu mempermudah pembelajaran Kimia atau I-Think Map On membanut mengurangkan beban tugas guru untuk membina peta i-Think kerana penggunaannya yang mudah dan tidak memakan masa yang panjang. Generasi Abad ke-21 mampu berdiri sebagai tulang belakang dalam dunia perguruan. Dengan adanya kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah secata tuntas, pastinya akan memberi nilai tambah kepada bakal guru dalam mendepani arena perguruan dengan lebih berkesan dan menyeronokkan. Sesuai dengan temanya 'Guru Inovatif Artikek Penyelidikan', pastinya pengalaman berinovasi memberi manfaat yang bukan sedikit kepada mereka. Alhamdulillah, atas segala kurnia dan rahmat daripada-Nya. Syukur ya Allah di atas usia yang masih bersisa, udara yang masih dihirup dan hayat nadi yang masih berdenyut.
Sahabat yang saya hormati dan sanjungi - Dr Faizah telah sudi menjemput saya sebagai sebahagian daripada ahli penyelidikan untuk mengembara ke bumi Hoi Ann dan Danang di Vietnam. Kami terbang ke sana seramai lima orang. Tujuan asas lawatan kali ini adalah untuk meninjau sektor pelancongan di dua tempat ini serta sekaligus cuba memahami gaya hidup rakyat di sana. Bertindak sebagai etnographers, banyak yang perlu diperhatikan - adat budaya, cara hidup, persekitaran, bahasa malah cara pergaulan. Kembara ini turut memberi ruang untuk saya menikmati syurga dunia alam ciptaan Tuhan. Meski kepenatan diheret perjalanan nan panjang. namun kala melihat indahnya langit senja di sana, hati tiba-tiba jauh mengembara. Terasa benar akan kerdilnya kita sebagai hamba yang menumpang di satu sudut paling kecil dalam dunia nan luas terbentang ini! Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti bengkel coaching yang dikendalikan oleh saudara Shanmugam seorang coach berpengalaman yang sudi datang ke fakulti. Meski banyak tugas lain menanti, saya memilih untuk hadir kerana saya tahu ada sesuatu yang bakal saya perolehi lewat pertemuan ini.
'Coaching' merupakan satu perkataan yang tidak asing bagi kita, namun anehnya begitu sukar untuk mencari perkataan dalam Bahasa Melayu yang mampu menggambarkan maksud sebenar 'coaching'. Jika ada yang mengatakan 'jurulatih', ia masih tidak tepat kerana jika ditelusuri konsep 'coaching' itu sendiri, wujud perbezaan ketara dengan konsep 'kejurulatihan'. Oh, kasihan bahasaku! Secara umumnya, pendekatan 'coaching' memberi tumpuan kepada proses pencapaian matlamat serta objketif di mana seorang 'coach' perlu bertindak untuk menyoal, mendengar serta memberi cabaran kepada coachee ke arah pencapaian matlamat tersebut. Dalam hal ini, 'coaching' berbeza dengan 'consultation' yang lebih bersifat seorang pakar memberikan idea bagaimana mencapai sesuatu objektif mengikut pengalaman dan kepakarannya. Amat penting juga, dalam 'coaching', seorang 'coach' tidak boleh bercakap lebih banyak daripada 'coachee'. Ini bermakna, coachee perlu bertindak aktif dalam menyoal dirinya, bagaimana, kenapa, bila dan apa yang perlu dibuat untuk mencapai objektifnya itu. 'Coach' berintdak sebagai pendengar namun sesekali menyoal kembali tindakan atau perancangan anak buahnya untuk memastikan kelangsungan dalam tindakan. Walaupun ditekankan bahawa 'coach' tidak perlu bercakap lebih banyak, namun hal yang penting dalam proses ini juga adalah komunikasi dua hala yang harus wujud. Saya tertanya-tanya juga apakah perbezaannya dengan konsep 'mentoring'? Mungkin secara ringkas boleh saya simpulkan bahawa, dalam 'mentoring', seseorang mentor lebih banyak berkongsi pengalaman yang pernah dilalui atau mungkin juga 'the best practice' yang boleh dilaksanakan oleh mentee untuk mencapai kesan atau objektif yang sama. Mentor juga bagi saya berkonsepkan 'penasihat' dan 'mentee' menerima dan mendengar nasihat tersebut. Dalam 'mentoring' juga saya melihat konsep 'role model' - sesuatu yang belum tentu ada dalam 'coaching'. Saya juga tertarik dengan strategi yang dikognsi beliau iaitu yang melibatkan 'Will and Skill Matrix'. Pokok pangkalnya di sini, dua faktor utama adalah kesediaan (will) dan kemahiran (skill). Terima kasih kepada En Shanmugam atas perkongsian tersebut. Quite interesting and inspiring too. I started to reflect on my own style of supervision - am I currently coaching my students? So much more to learn - that's my conclusion :) Oh MYRA !!
Bunyi nama macam sweet kan .. gadis manakah itu .. tapi ini bukan sebarang gadis. MYRA yang ini bisa bikin sakit perut dan senak ulu hati. MYRA - merupakan kependekan daripada MALAYSIA RESEARCH ASSESSMENT INSTRUMENT dan kini MYRA II telah diperkenalkan. Mungkin ada yang belum biasa dengan instrumen ini, MYRA sebenarnya mengukur beberapa aspek termasuklah salah satunya kualiti penyelidikan ahli-ahli setiap fakulti. Antara perincian dalam aspek penilaian termasuklah jumlah penerbitan dalam jurnal-jurnal terindeks serta faktor impak kumulatif bagi semua penerbitan di dalam citation-indexed journals (ISI) bagi tahun berkaitan. Selain itu, penulisan bab dalam buku atau buku juga diambil kira sebagai pemberat. Saya dijemput untuk memberi taklimat ringkas tentang Google Scholar Citation kepada peserta bengkel. Tidak banyak yang saya kongsikan, hanya menunjuk cara bagaimana mencipta akaun Google Scholar Citation serta memastikannya dalam paparan 'public'. Manakala penerangan lebih lanjut tentang strategi meningkatkan citation dilaksanakan oleh PM Dr. Melur, salah seorang sarjana yang mempunyai nilai citation yang tinggi. Bayan kyang dipelajari daripada perkongsian ini. Namun persoalan paling penting adalah - berapa banyak hasil penerbitan yang mampu dihasilkan? #chayuk #determination_is_the_key_to_success
Hujung September yang padat. Bertalu-talu dengan tugas yang datang dan pergi. Pun, cuba memberikan yang terbaik, di samping merafa'kan doa kehadrat-Nya agar dikurniai kesihatan yang baik untuk mengharungi segala macam agenda silih berganti.
Tidur malam pula menjadi terlalu lena dek keletihan yang memanjat diri pada siang hari. Syukurlah segala perancangan berjalan lancar. Terima kasih Ya Allah atas keizinan-Mu untuk hamba melalui hari-hari dengan penuh qana'ah dan rasa syukur atas segala kurnia-Mu jua. Rabu nan lepas, Hari Inovasi peringkat fakulti sekali lagi diadakan. Kali ini format pertandingan agak berbeza berbanding tahun nan sudah. Sesi 'pitching' kali ini digantikan dengan e-inovasi yang mengkehendaki peserta mempersiap bahan dalam bentuk digital untuk dihakimi. Saya cuba-cuba nasib dengan menghantar satu penyertaan - tentang bagaimana virtual learning community diwujudkan dalam kalangan pelajar tahun pertama di fakulti. Saya memilih Powtoon sebagai aplikasi untuk menghasilkan bahan kerana ia sangat mudah digunakan - saya hanya menghabiskan beberapa jam untuk menyiapkan bahan yang hasilnya seperti di bawah. Penuh sederhana sungguh. Lalu tiada niat untuk sekali lagi menggondol apa-apa anugerah. Just for sake of taking part .. afteralll .. the more the merrier, right?!
Petang, sehari sebelum Hari Inovasi, saya dihubungi urusetia mengatakan bahan saya tersenarai pendek dalam tiga finalists yang akan berentap pada keesokan harinya. Menyesal pun ada juga kerana 'gatal' menghantar penyertaan .. hati sedikit gentar kerana dimaklumkan akan ada soal jawab lisan bersama pengadil yang dijemput dari luar .. di Dewan Besar, di kelilingi hadirin. Fuhh .. But life has to go on! Dengan muka sebal, hari esok harus didepani jua :P
Selain kategori e-inovasi, pertandingan poster turut diadakan. Penyertaan terbuka kepada semua pensyarah fakulti. Lalu saya lihat ramai juga yang mengambil bahagian. Seronoknya tahun ini, pembentangan poster dilakukan dalam dewan - lebih sejuk dengan penyaman udara, lebih meriah kerana semua orang berkumpul setempat. Syabas untuk semua ahli jawatankuasa pelaksana tahun ini! Thumbs up! Syukur dan sykur alhamdulillah .. tanpa diduga penyertaan sederhana saya itu akhirnya dinobatkan sebagai juara (juara kampung barangkali heh!)
Selesai Hari Inovasi, bergelumang pula dengan penghasilan Buku Program untuk Persidangan ACERN. Tugas menyusun jadual pembentangan selari tidak semudah diduga. Lalu saya dan rakan Dr. Masla berkampung di fakulti beberapa petang untuk menyiapkan susunan pembentangan sesi selari. Tambahan dan pembetulan sana sini sentiasa ada. Namun, berakhirnya tugas ini apabila akhirnya segala bahan tersusun kemas dan siap untuk dicetak. Alhamdulillah!
Esok bakal berlangsung hari pertama persidangan ACERN. Saya mendap di bilik pagi ini untuk menyiapkan baan pembentangan seperti di bawah. Kali ini saya menggunakan Prezi.
Semalam pula berlangsung bengkel penulisan artikel di mana saya turut dijemput. Malangnya kerana masa yang terlalu mengejar, saya tidak sempat menyempurnakan makalah yang dirancang. Masih tinggal 40% lalu saya hadir dengan tangan kosong :(
Sebelah petang pula, taklimat kenaikan pangkat berlangsung di DTAMS. Sebagai pensyarah yang belum naik pangkat, kami diarahkan hadir. Kriterianya? Agak menyesakkan dagu ... lupakanlah buat seketika. Fokus kepada apa yang ada di hadapan mata, bekerja kerana Allah, mudah-mudahan diganjari dalam bentuk lain pula :)
Nota: Dunia jika dikejar semakin lari ... namun akhirat bila dicari semakin menghampiri - peringatan buat diri.
Alhamdulillah, semester telah berlalu, kini musim menanda kertas bermula. Ada yang tenggelam dalam keasyikan bersama timbunan kertas-kertas jawapan pelajar. Bagi saya pula, ruang senggang ini merupakan saat terbaik untuk kembali menyambung e-Learning Support Series setelah beberapa bulan tiada berkesempatan untuk mencuri masa mengadakan bengkel.
In shaa Allah, Khamis ini bertempat di Makmal Komputer di fakulti, satu bengkel Prezi akan dijalankan. Kursus ini terbuka kepada semua staff akademik dan sokongan di Fakulti Pendidikan. Semoga majlis ringkas ini dapat dimanfaatkan oleh semua yang hadir. Ramadhan sudah beberapa hari dilalui. Sudah banyakkah lembar mashaf suci kita taakuli? Satu muhasabah dan peringatan buat diri sendiri .. Salam Ramadhan Kareem :) Bila direflek kembali, betapa lamanya saya tidak menulis. Bukan kerana tiada perkara yang hendak dikongsi tetapi seringkali kaki tangan bagai digari masa. Pantasnya waktu berlari, sedar-sedar semester sudah tiba ke penghujung. Saya menerima beberapa pesanan ringkas melalui Whatsapp dan emel daripada beberapa pelajar bertanyakan tips untuk soalan peperiksaan yang selang beberapa hari sahaja lagi. "What do you expect?" terjah saya dalam hati. Adakah begini budaya pelajar sekarang? Menghubungi pensyarah semata-mata untuk mencari tips soalan agar kerja belajar dipermudahkan? Beberapa minggu sudah, saya menghadiri Simposium Kesarjanaan dalam Pengajaran dan Pembelaajran; Inovasi dalam P&P sebagai memenuhi undangan untuk membentangkan hasil penyelidikan daripada geran PTS (Program Tindakan Strategik). Saya lalu memilih satu topik berkaitan pemikiran reflektif. Pemikiran reflektif merupakan satu istilah umum yang merujuk kepada aktivti intelek dan afektif di mana individu terbabit meneroka pengalaman sendiri yang akhirnya membawa kepada pemahaman serta apresiari baru tentang sesuatu konsep. Kemahiran pemikiran reflektif ini secara amnya melibatkan kebolehan seseorang individu itu berfikir pada aras tinggi. Satu trend yang saya kenalpasti berlaku dalam pengajian di univeristi, para pelajar sering sahaja diminta untuk menulis refleksi (sesetengah orang menggelarnya refleksi metakognitif). Namun, persoalannya, berapa ramaikah pensyarah yang membuat penilaian secara sistematik ke atas penulisan refleksi ini? Seringkali penulisan refleksi pelajar dikira dalam pemarkahan hanya berdasarkan ada atau tiadanya penulisan. Seringkalu juga, tugasan ini hanya dipandang pelajar sebagai tugasan untuk menulis kembali apa yang mereka lalui dalam setiap aktiviti berkaitan, tanpa menyedari akan hakikat pemikiran reflektif bukanlah sesuatu yang spontan, atau hanya sebagai laporan tentang apa yang berlaku. Ia harus merangkumi kesedaran mental pelajar tentang apa yang telah dipelajari, apa kelemahan yang hendak diperbaiki malah cara untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Hasil analisis yang dijalankan, saya mendapati peratus data untuk penulisan yang berbentuk non-reflective jauh lebih tinggi daripada penulisan di bawah kategori reflektif. Hal ini memberi satu gambaran tentang bagaimana pelajar kini berfikir - atau bagaimana mereka melihat proses pembelajaran secara 'sedar'. Bukan mudah kiranya membina dan memupuk pemikiran reflektif ini kerana ia bukan sahaja melibatkan daya berfikir dan kemahuan untuk memperbaiki potensi diri, malah ia menuntut keterbukaan diri (self-disclosure) daripada individu terbabit. Lalu fahamlah saya bahawa banyak lagi perkara yang perlu saya fikirkan untuk aktiviti P&P akan datang demi memperluas peluang untuk para pelajar saya membina kemahiran reflektif ini! Afterall, it is what being a reflective practitioner is all about, I must say! Meneliti hakikat kehidupan ini, refleksi bukanlah sesuatu yang asing. Dalam istilah Bahasa Arabnya - muhasabah diri, merupakan paksi utama untuk seorang Muslim menganjak diri kepada tingkat yang lebih baik di sisi maha Khalik. Lalu, hal ini memberi peringatan pada diri bahawa nikmat akal diberi untuk berfikir, dan menilai. Lalu jika nikmat akal ini tidak mahu (baca: malas) digunakan pada cara yang sepatutnya, haruslah kita kekal pada takuk yang lama. Ramadhan al-Mubarak is just around the corner .. Selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan senitasalah membuat refleksi diri ... :) P/S: Buat para pelajar yang dikasihi .. SELAMAT BERJUANG DI DEWAN PEPERIKSAAN ..MOGA KEJAYAAN MENJADI MILIK ANDA SEMUA! Langit menangis, meski tidaklah selebat mana namun cukuplah untuk membasahi tanah serta menghilangkan haus rumput-rumput yang telah mula kekuningan di halaman rumah. Perteduhan saya sememangnya begitu dekat dengan alam, maklum sekali, bersebelahan rumah ini penuh dengan deretan pokok yang melatari pundak bukit Taman Rimba Alam. Justeru, minum-minum kala petang di serambi, sambil menghadap hijau pepohon bersulam kicau sang burung peliharaan kami memang mengasyikkan. Saya perhatikan pohon-pohon itu kecil besar, dedauannya pula, berpanca warna, meski dikategorikan di bawah rona hijau, namun ton warnanya tidak seragam. Ada yang hijau pekat, hijau muda, kekuningan, kemerahan namun perbedaan itu anehnya membentuk keserasian nan harmoni pada mata yang melihat. Subhanallah, itu sudah cukup memberi tanda kebijaksaan Pencipta.
Kajian sains telah banyak dilakukan dalam tugas memahami ‘nature’ hidupan tumbuh-tumbuhan. Pelbagai sari warna hijau itu sendiri memberi kepelbagaian dari sudut khasiatnya kepada manusia. Jenis ranting, akar serta susunan dedaunan dan kelopak flora terlalu menarik jika didalami. Banyak benar rahsia di sebalik penciptaannya. Kepelbagaian ini juga bukanlah sesuatu yang kebetulan berlaku, sebaliknya ia dirancang dengan sempurna oleh Pencipta Yang Maha Khalik. Heterogeneity bukan sahaja maujud dalam seni kehidupan tumbuh-tumbuhan. Malah, cuba perhatikan diri kita sendiri. Antara kita dengan adik beradik, meski lahir daripada ibu dan bapa yang sama, tetap sekali bervariasi, apatah lagi jika kita bandingkan diri kita dengan mereka yang bukan siapa-siapa dalam salasilah keluarga. Perbezaan kita dengan orang lain juga bisa disingkap dalam pelbagai aspek penelitian. Rentak fizikal, kognitif atau IQ, cara berfikir, cara bertindak, tingkat keimanan, empati dan pelbagai lagi. Kita sememangnya berbeza! Walau kita produk daripada kuliah yang sama, pensyarah yang sama, universiti yang sama, kita tetap berbeza dengan sahabat kita dalam beberapa perkara. Setuju atau tidak? Jadi, apalah hendak dihairankan jika bila mana anda terjun ke ruang kelas-kelas di sekolah, anda lihat pelajar yang berbeza-beza – watak, perwatakan, cara belajar, stail penerimaan, kemahiran interaksi malah banyak lagi ruang perbezaan yang boleh disenaraikan. Namun, saya bukanlah hendak memberi fokus kepada aspek-aspek apa yang membuatkan mereka berbeda. Tetapi, lebih penting daripada itu, BAGAIMANA kita berhadapan dengan kepelbagaian tersebut secara bijaksana. “Tak adil betul! Kawan saya mengajar kelas pandai! Saya pula diberi kelas tercorot!” “Kalau dia dapat A, saya tak hairanlah .. sebab pelajar kelas dia pelajar bijak .. kelas saya ni jangan harap nak dengar kata!” “Saya pasti takkan dapat A dalam praktikal sebab pelajar saya memang lemah, tak dapat nak tangkap apa yang saya ajar.. malang betul!” Itu mungkin antara dialog atau monolog dalaman sesetengah anda? Guru praktikal atau disebut guru novice seringkala berasa terperangkap apabila berhadapan dengan para pelajar yang disifatkan sebagai kurang cemerlang. Tungkas mereka, kerana pelajar-pelajar itu kurang cemerlang, atau sukar menghadam penerangan guru, lalu menyebabkan rancangan pengajaran tidak dapat dicapai. Adakah adil jika keadaan seumpama itu disandarkan sepenuhnya kepada faktor pelajar? Tidak ada seorang pun yang tidak mahu cemerlang, dan tidak ada seorangpun yang mahu menjadi dungu. Ingatlah bahawa seindah-indah ciptaan Allah adalah kita, manusia. Bukan semata-mata kerana kita ini diciptakan dengan bentuk fizikal sebegini rupa, akan tetapi kerana anugerah akal yang menjadi aset teragung manusia. Manusia juga disebut sebagai ‘hayawanun naatiq’ yang bermaksud makhluk yang bisa berkata-kata. Setiap perkataan yang kita utarakan lahir daripada proses dalaman otak kita yang menterjemahkan segala perasaan, maklumat dan perkara sehingga percakapan kita menjadi sesuatu yang bermakna. Jadi, tidaklah adil jika kita menghukum akan manusia lain kerana alasan mereka itu kurang cemerlang. Setiap insan ada potensinya tersendiri. Batu yang keras, jika dititis air lama-lama pastikan lekuk juga. Jadi poinnya di sini, bagaimana kita sebagai seorang (bakal) pendidik menerima kepelbagaian pelajar dengan hati terbuka, dengan minda yang positif bahawa setiap insan itu bisa saja dibina potensinya. Oeh kerana itulah, janganlah kiranya kita merungut jika tiba-tiba kita ditaklifkan untuk mendidik pelajar di kelas belakang, kerana tunggak utama kejayaan seorang pendidik itu bukanlah semata-mata kerana berjaya menghabiskan sukatan pelajaran, atau memberi impak kepada pencapaian pelajar untuk mendapat A, akan tetapi percayalah, kejayaan hakiki seorang pendidik itu adalah sejauh mana seseorang itu mampu membantu para pelajarnya membina jati diri, kepercayaan serta rasa hormat kepada ilmu dan guru. Tempoh 16 minggu bukanlah masa yang cukup untuk melihat satu perubahan drastik berlaku. Rasionallah dalam bertindak dan berfikir. Satu perkara penting yang perlu kita faham dan laksanakan adalah untuk memahami siapa pelajar kita. Hatta, jika anda masih ingat akan model ASSURE, ADDIE misalnya, kesemuanya memberi fokus kepada pemahaman terhadap siapa pelajar kita. Masih ingatkah anda? Kenapa kita perlu sangat mengenali pelajar kita? Tak kenal maka tak cinta. Kenal yang macamana pula? Saya pernah memberi kejutan kepada pelajar saya kala masih bertugas di sekolah dahulu. Sebelum memasuki kelas buat kali pertama, saya yang kala itu bertugas sebagai guru kelas telah terlebih dahulu meneliti fail setiap pelajar saya yang disertakan foto mereka. Saya mengambil sedikit masa untuk mengenalpasti nama pelajar serta wajahnya. Latihan itu saya ulang beberapa kali sebelum melangkah ke kelas. Saya menyebut nama mereka satu persatu tanpa meminta mereka memperkenalkan diri. Ternyata itu satu kejutan dan dapat saya perhatikan wajah-wajah mereka yang begitu ‘surprised’ apabila saya mampu menyebut nama mereka tanpa teragak-agak. Itulah permulaan hubungan saya dengan pelajar saya di kelas Empat Mekanikal Tiga (4M3) di Teknik KL. Namun ini bukanlah contoh paling tepat dalam konteks seseorang guru mengenali pelajarnya, kerana selain daripada nama, adalah afdal jika seorang guru tahu latar belakang pelajar, khususnya aspek kekeluargaan. Banyak kes melalui pengalaman saya, sikap, pencapaian serta sakhsiah seseorang pelajar itu dipengaruhi isu keluarga. Jadi dalam konteks praktikal yang hanya berlangsung selama 16 minggu ini, bagaimana agaknya anda mampu mengenali pelajar anda? Sebagai langkah singkat, molek kiranya anda mengambil inisiatif untuk berbicara dengan guru pembimbing (guru ini juga yang ‘melepaskan’ pelajar mereka kepada anda bukan?) kerana mereka lebih lama bersama pelajar, atau sekurang-kurangnya mempunyai sumber yang boleh dirujuk tentang latar belakang pelajar serta pencapaian lepas mereka. Satu perkara lagi, yang tidak kurang pentingnya ialah, tanggungjawab guru untuk mengenalpasti objektif pengajarannya. Jika kita tahu tahap pelajar kita, ini akan memudahkan kita merangka apa expected outcome yang kita mahu mereka capai. Janganlah meletakkan objektif yang terlalu tinggi sehingga tidak dapat dilaksanakan pelajar. Itu satu ketidakadilan bagi mereka. Malah lebih parah jika guru yang meletakkan sesuatu objektif, menyalahkan pelajar seratus peratus apabila objektif tidak tercapai. Buatlah refleksi kendiri. Renung semula apa yang telah anda laksanakan di dalam kelas. Dapatkah anda perhatikan reaksi dan ekspresi wajah pelajar anda? Apa yang anda dapat? Adakah anda telah berjaya ‘menawan’ hati mereka? Percayalah bahawa, minda pelajar akan terbuka setelah hatinya kita sentuh. Selain itu, janganlah berhenti berdoa, agar hati-hati itu menjadi lembut dan teduh dengan kehadiran anda. Bukankah Allah jua pemilik setiap keping hati kita? Note: Entri ini dan sebelumnya pernah disiarkan dalam blog lama saya. Sekadar perkongsian semula (^__^) Masa terus berputar, dan tempoh praktikum kembali lagi. Para pelajar fakulti di tahun akhir semuanya ghaib dari ruang fakulti. Masing-masing terlontar sana-sini. Ada yang dekat, ada yang sayup nun di hujung sempadan. Setiap pelajar, ditaklifkan seorang pensyarah sebagai penyelia yang bertanggungjawab memantau perjalanan praktikum serta tahap kemahiran dalam mengaplikasi segala teori yang pernah dipelajari dalam kuliah-kuliah terdahulu, termasuklah sedikit pengalaman mock-teaching ketika menghadiri kelas Kurikulum dan Pedagogi. Cukupkah pengalaman dalam pengajaran mikro? Sejauh manakah teori-teori pembelajaran serta pendekatan yang pernah diperhalusi dan diperdebatkan semasa kuliah dan tutorial dalam menjamin kejayaan para pelajar dalam sesi praktikal mereka yang berlangsung selama 16 minggu itu? Apakah hasil akhirnya kelak? Mampukah mereka melakar satu kenangan serta arca pengalaman yang menarik serta bermakna sebagai persiapan sebelum menerima ‘lesen besar’ apabila ditempatkan di mana-mana sekolah kelak? Apakah harapan fakulti? Atau harapan pelajar itu sendiri? Segala persoalan ini seringkali bermain di fikiran, jika tidak semua pensyarah, yang pastinya benak fikiran saya. Pengalaman saya sendiri melalui dua sesi mengajar ketika menjalani ijazah pertama di kampus Lembah Pantai, UM banyak memberi warna dalam perjalanan karier. Sejujurnya, sesi praktikum bukanlah pengalaman pertama saya berhadapan dengan para pelajar yang berpanca warna, kerana semenjak di tahun pertama universiti, setiap kali cuti semester yang panjang, saya akan meluangkan masa untuk ‘mengisi’ kekosongan sebagai guru ganti di sekolah-sekolah rendah di sekitar tanah kelahiran, Kemaman. Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, malah muzik antara subjek yang pernah saya ajari. Kehadiran saya di kelas-kelas itu tanpa bekalan ilmu yang khusus tentang pengajaran pembelajaran, jauh sekali psikologi, pedagogi dan sebagainya saya anggap sebagai satu ‘eksperimen’. Sebagai manusia, kita sememangnya dianugerahi deria tersediri yang boleh menghidu sama ada kehadiran kita ‘diterima’ oleh para pelajar. Melalui reaksi muka, bahasa badan dan gaya percakapan, kita mampu mengukur secara umum sejauh mana pelajar itu menyukai gaya pengajaran kita. Dan tidak keterlaluan, boleh saya katakan bilangan hadiah yang diterima pada hari terakhir seseorang guru di sekolah juga boleh menjadi kayu ukur! Saya ingat akan pengalaman di mana meja saya di bilik guru penuh dengan hadiah kecil besar daripada para pelajar. Ketika itu saya sebagai guru ganti di sekolah Rendah Sultan Ismail Kemaman, saya sebagai guru Bahasa Inggeris untuk tahun enam, kemudian saya menyambung lagi sebagai guru Muzik di sekolah yang sama dan kali itu saya mengajar pelajar tahun Dua sesi petang. Kebetulan juga, hari guru jatuh pada hari kedua terakhir saya di sekolah itu. Wajah-wajah comel datang ke bilik guru menghulur bingkisan kecil .. malah ada juga yang menghulurkannya selepas pengajaran. Memang terharu. Sesungguhnya, hadiah itu meski kecil, bukanlah ukuran sebenar. Yang paling utama, saya mendapat mesej bahawa kehadiran saya di situ diterima mereka. Alhamdulillah. Praktikum saya yang pertama berlangsung di Sekolah Menengah St Mary, Bukit Bintang. Tidak banyak yang saya ketahui tentang sekolah ini, selain namanya yang mudah diingati. Para pelajar saya merupakan pelajar tingkatan dua. Satu ciri yang paling saya gemar tentang para pelajar di St Mary adalah sikap mereka yang begitu menghormati para guru. Mungkin kerana itulah hasil didikan yang mereka terima semenjak di tingkatan satu (atau juga hasil tarbiyah di peringkat sekolah rendah?). Pantang berselisih dengan guru, mereka bukan sahaja tidak lokek memberi senyuman dan ucapan salam, malah mereka akan melenggokkan badan serta menunduk, atau tidak kurang yang membengkok lutut sambil menjinjit birai pinnafore dengan penuh hormat dan santun. Saya terpesona sekali. Saya di situ bersama seorang rakan baik, Nor. Kami diberi meja paling tersudut di bilik guru, malah terpaksa berkongsi satu meja berdua kerana kekurangan tempat di bilik guru yang agak sempit itu. Apatah lagi, meja itu turut digunakan guru yang mengajar sewaktu sesi pagi. Bolehkah anda bayangkan satu meja dikongsi bertiga? Dengan timbunan buku serta peralatan, belum lagi dicampur dengan bahan-bahan bertulis yang lain. Namun, menyedari diri di tempat orang, serta kehadiran saya di situ sebagai novice yang asih memegang Lesen L dalam pengajaran, tidak banyak yang boleh saya pinta, melainkan belajar untuk redha. Hubungan dengan para guru sedia ada juga tidaklah semesra mana. Saya kira, kami berdua hanya rapat dengan guru pembimbing sahaja. Jarang kami berkesempatan berbual-bual dengan guru yang lain di bilik guru, dan faktor utamanya adalah masa. Masing-masing berkejaran ke kelas, dan apabila seorang sudah kembali ke bilik guru, rakan di sebelah pula ke kelas lain. Jadi, kurang pertindanan masa untuk sama-sama berada di tempat yang sama serentak. Namun itu tidaklah bermakna kami bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali bermasam muka. Ketika acara sukan sekolah misalnya, kerjasama antara kami guru praktikal dengan guru-guru sekolah ternyata serasi. Acara balapan di padang, berlangsung di bawah terik mentari di kepala. Saya masih ingat, kami ditugaskan untuk menjaga garisan, memastikan semua peserta acara berlari di petak masing-masing. Kemudian berlarian pula membawa markah ke meja pengadil. Meski agak semput, saya terima semua itu sebagai apa yang dikatakan pertambahan pengalaman baru yang harus saya depani dengan perasaan positif dan minda terbuka. Penyelia saya, datang kali pertama menaiki bas dari UM. Kedatangan beliau tidak mengejutkan saya, kerana saya diajar untuk sentiasa bersedia terutama dalam penulisan rancangan pengajaran. Malang bagi rakan saya, beliau sedikitcareless atau mungkin juga kurang ‘cakne’ terhadap rancangan pengajarannya. Beberapa hari sebelum itu, kelas tertunda kerana ada mesyuarat yang wajib dihadiri semua guru, lalu rakan saya itu menggunakan rancangan pengajaran yang sama untuk hari berikutnya tanpa menulis yang baru. Menambah kepada impak negatif, beliau tidak pula mengubah tarikh serta masa pengajaran yang baru mengikut jadual hari tersebut. Penyelia yang datang berjaya menghidu perbuatannya. Saya turut merasai kesannya bila mana beliau memberi syarahan panjang bukan kepada rakan saya sahaja, malah saya turut diajak mendengar sama. Hati saya berdebar-debar. Perkara yang saya takuti berlaku kepada rakan akrab saya sendiri. Duh. Bukankah itu pengalaman yang begitu tidak nyaman untuk dikenang? Di akhir semester, saya melihat huruf A pada slip keputusan, syukur alhamdulillah .. manakala rakan saya, mendapat keputusan yang sama sekali berbeza. Bolehkah anda menebak apa hasilnya? Praktikum kali kedua, saya ditempatkan di Sek Men Pasir Panjang, Sekinchan, bersama seorang lagi rakan sekelas. Kami menyewa di sebuah rumah berhadapan sekolah yang jaraknya hanya dipisahkan sebatang jalan berturap yang kecil. Pada satu hari, saya terlihat kelibat penyelia saya di tingkat atas, menuju ke bilik guru, lalu tahulah saya bahawa pada hari itu saya bakal dipantau. Sepantas kilas, saya terfikirkan sesuatu yang lebih menarik untuk pengajaran saya. Meski pada awalnya saya hanya bercadang menggunakan lakaran gelas dan sudu, saya sebaliknya berlari ke dapur rumah sewa untuk membawa kedua bahan realia tersebut. Hasilnya, penyelia saya berpuashati dengan aktiviti pengajaran, ditambah pula nasib saya agak baik kerana pelajar di kelas tersebut merupakan pelajar yang aktif bertanya serta tidak malu mencuba. Dua minggu kemudian, saya dikunjungi pula oleh penyelaras praktikum, Ustaz Hasan Basri Mat Dahan (sekarang Prof. Dr.). Beliau memberitahu saya yang kedatangannya adalah di atas jemputan penyelia saya, dan tujuan kedatangannya adalah untuk ‘mengesahkan’ sama ada saya layak untuk mendapat A sebagai mana saranan penyelia saya. Sekali lagi, A menjadi milik saya. Kenapa saya mencatat kisah-kisah ini? Demi Tuhan, ia bukanlah untuk bermegah-megah, jauh sekali menuntut pujian. Di sebalik pengalaman ini, ada beberapa perkara pokok yang ingin saya kongsikan sebagai pedoman untuk mereka yang sedang berada di alam praktikum mengajar. Seiring dengan label yang kita bawa sebagai guru pelatih, matlamat anda adalah untuk mendapatkan latihan dan bentuk latihan yang dihasratkan agar anda capai bukanlah semata-mata kemahiran dalam mengendalikan aktiviti di dalam kelas, namun lebih luas lagi ia merangkumi aspek kemahiran dalam pengurusan masa serta disiplin. Di sinilah, anda diberi ruang dan peluang untuk bereksperimen dengan setiap ilmu yang anda perolehi di sepanjang pengajian di fakulti, jadi gunakalah kesempatan ini untuk mencubapakai seberapa banyak pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran (tetapi haruslah disesuaikan dengan keadaan kelas, level of performance pelajar dsb). Janganlah jadi guru pelatih yang jumud, yang hanya bergantung kepada satu atau dua kaedah tertentu sahaja di sepanjang 16 minggu yang ada. Be a risk taker, dare to fail and reflect on what went wrong. Kita bukan hanya belajar daripada kejayaan lepas, tetapi kita sebenarnya lebih banyak belajar daripada kesilapan lalu! Latihan mengajar juga adalah platform untuk mengasah bakat inter-personal serta komunikasi dengan rakan sejawat (guru-guru tetap di sekolah anda menjalani latihan mengajar). Aspek ini amat penting kerana ini memberi gambaran awal terhadap kapasiti anda sebagai guru novice serta potensi yang ada untuk anda terus maju. Jika diberi apa juga tugas, terutamanya secara ad-hoc, maka terimalah segalanya dengan niat untuk belajar. Jangan sesekali menarik muka empat belas bila mana nama anda seringkali ‘naik’ untuk sesuatu tugas. Praktisnya memang begitu, semenjak dulu. Guru pelatih seringkali mengadu mereka ‘didera’. Mereka berasakan bahawa pihak sekolah sengaja memilih mereka dengan niat untuk membuli, atau mengambil kesempatan. Mungkin itu yang kita rasa, namun hakikatnya mungkin tidak benar. Pihak pentadbir sekolah juga seorang guru, dan pernah menjadi guru pelatih. Justeru, mereka faham keperluan pihak sekolah untuk memberi sebanyak mungkin pendedahan kepada para pelatih dalam setiap bidang apabila ada ruang yang sesuai. Jadi, minda anda haruslah dibasuh. Bersihkan ia, dari sebarang sangkaan buruk begitu, kerana jika anda bersangka buruk, hati kecil tidak akan berbunga redha. Tanpa kerelaan, setiap perbuatan tentu sekali tidak akan diberi ganjaran pahala, malahan dosa bakal hinggap di kepala. Jadi, poinnya di sini, bermurah hatilah untuk membantu apa sahaja. Pengalaman saya berbual dengan beberapa pentadbir sekolah, pelajar praktikal yang banyak berjasa kepada sekolah namanya akan sentiasa meniti di bibir mereka. Dengan bangganya mereka akan menyebut nama sekian sekian dari universiti sekian sekian. Bukankah itu satu penghargaan, malah doa juga buat kita? MasyaAllah! Sikap merendah diri itu satu senjata kejayaan. Saya amat yakin dengan perkara ini. Tidak rugi satu sen pun jika anda merendah diri dan dalam masa yang sama tidak memandang rendah kepada orang lain. Malah, ilmu kehidupan mengesahkan bahawa mereka yang merendah diri akan dihormati sepanjang masa, mereka yang meninggi diri bakal dihina dan dicerca. Pernah seorang pengetua di sebuah sekolah menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan dua pelajar praktikum dari sebuah universiti ke sekolahnya. Beliau terserempak dengan pelajar-pelajar tersebut kala menapak menuju kantin sekolah untuk makan pagi. Melihat kelibat sang pengetua di hadapan mata, pelajar-pelajar ini terus menyuakan surat penempatan praktikum sebagai tanda mereka melapor diri pada hari tersebut. Pengetua tadi terpinga-pinga kerana usai memperkenalkan diri dan nama institusi , mereka terus berlalu bergitu sahaja. Bukankah janggal lagi pelik? Tambahan pula, di mana adab kita sebagai orang yang mahu menumpang teduh apatah lagi ingin mengutip ‘mutiara’ pengalaman daripada mereka. Kisah kedua, seorang pengetua lain pula. Katanya, pernah sekali seorang pelajar dengan tegas menyebut, “Saya harap pihak sekolah memberi kerjasama sepenuhnya kepada kami.” Kepala yang tidak gatal tiba-tiba pinta digaru! Duh! Apa yang terlintas di hati anda sebagai reaksi kepada dua contoh sebenar ini? Kadangkala kita terlupa tentang gaya bahasa. Itu tidak banyak disisipkan dalam bab mana-mana buku, sebaliknya ia dikaut melalui ilmu kehidupan. Saya beberapa kali terserempak dengan kes sebegini. Misalnya, seorang pelajar ingin mendapatkan bantuan dari segi idea, dan berhasrat untuk bertemu muka, lalu dihantar satu pesanan ringkas yang bunyinya lebih kurang begini: “Saya nak jumpa esok jam 3 petang di fakulti.” atau “Maklumkan kepada saya bila free, saya nak jumpa.” Sekali lagi, apakah lintasan dalam hati anda apabila melihat dua potong ayat ini? Mengikut kaca mata ilmu kehidupan, mereka yang menggunakan gaya bahasa begini belum mencapai ‘kehalusan’ dalam muamalat atau gaya berinteraksi. Saya berharap agar tiada ada seorangpun yang tidak merasakan apa-apa yang sumbang di situ kerana bila kita punya nilai budi yang halus, sensitiviti hati kita akan menyanggah. Jadi, poinnya di sini juga, peliharalah bahasa kita kerana bahasa melambangkan peribadi. Ia berkait rapat dengan ungkapan awal saya tadi bahawa sikap merendah diri itu senjata kejayaan. Jadi, buangkanlah segala ego dan rasa hebat kita, kerana tempoh praktikal adalah tempoh kritikal untuk anda mendalami makna keguruan yang sebenarnya. Seorang pelajar pernah mengeluh kepada saya, “Saya dapat pelajar lemah, bodoh. Sukar saya mengikut rancangan pengajaran.” Mungkin ada yang berhadapan dengan isu yang sama bukan? lalu bagaimana anda menyelesaikan hal ini? InsyaAllah, jika berkesempatan, saya kupas isu ini kelak. Mohon permisi untuk ke kuliah :) Screencast-o-matic merupakan aplikasi web berasaskan Java yang boleh digunakan untuk menghasilkan ‘screen-cast’. Apa itu ‘screen-cast’? Secara ringkasnya boleh dikatakan bahawa ‘screen-cast’ merujuk kepada video pendek yang dirakam bersama suara pengguna atau individu yang menghasilkan bahan tersebut dan dalam masa yang sama memaparkan segala pergerakan pada skrin monitor. Kebiasaannya penggunaan ‘screen-cast’ sangat sesuai untuk menunjukkan sesuatu proses seperti penggunaan formula-formula dalam Excel, pembangunan blog atau cara-cara penghasilan video. Walau bagaimanapun, ia tidaklah terhad kepada tujuan itu sahaja kerana dengan menggunakan teknik ‘screen-cast’, para guru atau pensyarah boleh menghasilkan syarahan atau penerangan lisan berdasarkan bahan yang disediakan. Salah satu aplikasi yang mudah (dan percuma) serta tidak memerlukan proses muatturun (‘downloading’ dan ‘installing’) ialah Screen-cast-o-matic. Saya secara peribadi menggunakan aplikasi ini untuk kursus-kursus berkaitan penggunaan komputer serta Web 2.0. Berikut adalah contoh tutorial yang boleh dijadikan panduan: Namun persoalannya, kenapa perlu menghasilkan bahan ‘screen-cast’ jika guru boleh menerangkan kepada pelajar di dalam kelas? Kelebihan utama penghasilan bahan seperti ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar untuk belajar sesuatu perkara tanpa kuliah bersemuka (secara tidak langsung meningkatkan kebolehan meneroka dalam diri pelajar), tetapi ia mampu memberi peneguhan serta memantapkan kefahaman pelajar kerana bahan video dapat diulang-ulang oleh pelajar sehingga mereka benar-benar mampu menguasai konsep atau kemahiran yang diperlukan.
Selamat mencuba! :) Cuti semester nan lepas sememangnya lebih pendek berbanding semester lalu. Maka tidak hairanlah saya seperti tercengang-cengang dengan pantasnya masa yang berlalu sehingga sedar-sedar pelajar baru (pascasiswazah) sudahpun mula mendaftar, serta pelajar-pelajar yang lain mula berbondong-bondong kembali ke kampus tercinta. Banyak status di Facebook pelajar saya yang memperlihatkan emosi berbelah bahagi mereka untuk kembali semula 'ke sekolah'. Rata-rata melahirkan rasa 'berat hati' untuk datang semula menadah ilmu, atau mungkin juga ada yang telah mula membayangkan peritnya bebanan untuk menyiapkan tugasan sebelum peperiksaan di hujung semester! Namun itulah kemanisan sebagai mahasiswa. Saya sendiri secara personal masih rindukan kehidupan sebegitu, serta bagaimana' zombie'nya diri ini kala minggu peperiksaan mula menjenguk tiba. Perpustakaan menjadi teman paling rapat yang didampingi hampir saban hari dari pagi hingga malam. Duh! Sungguh tepu tempurung kepala, namun sehabisnya peperiksaan, kala menerima slip keputusan hati sentiasa berbunga ria, lalu bersujudlah syukur dengan kurnia 'upah' hasil kerja keras yang tidak berbelah bahagi itu. Bermulanya semester baru, bermakna saya juga perlu membuka lembaran fail pengajaran yang baru. Meskipun beberapa subjek telah saya ajari pada semester-semester lepas, namun sebagai seorang yang sering menelaah karangan berkisar 'praxis practice' tentunya saya perlu melakukan beberapa penambahbaikan dalam pengajaran di setiap semester baru bermula. Lalu azam itu, perlu ditampilkan dengan iringan doa kepada Yang Haq, mudah-mudahan niat suci dipermudahkan pelaksanaannya kelak, ameen. Banyak agenda yang telah berlalu namun kerana kekangan masa yang sering merantai membuat minda beku untuk menulis. Malah, beberapa manuskrip yang dirancang masih terdampar sepi! Namun syukurlah beberapa perkara yang menjadi kewajipan kerja telah selamat dilangsaikan. Kursus Google Drive yang berlangsung minggu nan sudah sungguh memuaskan hati. Peserta kali ini lebih ramai daripada dua bengkel sebelum ini. Semuanya menunjukkan minat yang tidak berbelah bahagi untuk turut sama mendapat manfaat daripada Google Drive yang percuma itu. Terima kasih semua kepada yang hadir serta memberikan saranan untuk bengkel akan datang :) Karnival Inovasi (K-Novasi) Peringkat UKM juga telah diadakan pada 11-12 Februari yang lepas. Saya tidak melepaskan peluang untuk turut sama memeriahkan acara dengan menghantar dua poster untuk dipertandingkan. Mudah-mudahan semester baru membawa kebahagiaan dan dipermudahkan segala urusan kita :)
Asia-Europe Meeting (ASEM) tiba lagi dan kali ini bertempat di PWTC Kuala Lumpur. Saya dipinang oleh pihak KPM untuk bertugas sebagai rapporteur bersama beberapa rakan sejawat yang lain. Saya anggap itu sebagai satu penghormatan serta tanggungjawab yang perlu dilangsai sebaiknya, di samping peluang menimba pengalaman serta memperluas rangkaian kenalan dalam pelbagai bidang khususnya yang datang dari negara-negara lain. Harapan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap tugas merekod segala isi kandungan dalam bengkel, ucap utama serta sidang plenari jelas diketengahkan oleh wakil dari KPM yang bermesyuarat dengan kami. Jadi saya anggap ini bukan tugas main-main. Sejujurnya, sudah lama saya tidak berpergian meninggalkan keluarga untuk bertugas namun kali ini saya tiada pilihan lain kerana terpaksa bertugas sekali lagi pada awal pagi esoknya. Sementelah pula, saya perlu meraikan majlis makan malam bersama peserta dan petugas yang lain. Saya tertarik dengan beberapa sesi plenari dan bengkel berkaitan MOOC serta pembelajaran atas talian (online learning) di mana banyak kupasan sekitar isu bagaimana memperkasa strategi dan polisi berkaitan dua perkara ini. Pembentangan daripada Prof. Mie Buhl dari Aalborg University Denmark, Prof. Bowon Kim dari Korea National Open University serta Prof. Jan Pawlowski dari Ruhr West University of Applied Science Germany adalah antara yang menarik perhatian saya. Ramai juga yang mempersoal bagaimana sistem pembelajaran berasaskan Massive Open Online Courses (MOOCs) boleh dilaksanakan serta sejauh manakah kelangsungannya, justeru kerana konsepnya MOOCs adalah sangat terbuka, di mana pelajar yang mengikuti kursus-kursus MOOCs mempunyai kebebasan untuk menarik diri. Hal lain yang turut dibincangkan adalah bagaimana akreditasi untuk MOOC dapat diselaraskan, serta isu pensijilan bagi kursus-kursus yang ditawarkan. Menarik sekali apabila nama-nama besar dari pelosok dunia yang berbeza mengutarakan pandangan masing-masing. Dan seperti yang saya duga, isu budaya tidak terkecuali dari perdebatan. Meski agak keletihan kerana perlu menyiapkan laporan seusai sesi dijalankan, hati berasa puas dengan pengalaman ini. Horizon pemikiran perlu diliuk lentuk agar lebih bersifat fleksibel serta berani menerima pandangan asing. Ternyata, kita tidak boleh terlalu selesa dalam kotak dan zon kita. Dunia tanpa sempadan menyebabkan kita harus memangkas segala pagar dan kawat yang menyekat arus pemikiran. Namun itu tidaklah bermakna kita harus menerima segalanya bulat-bulat. Di sinilah nilai bestari dalam diri perlu digilap. Alangkah jauhnya lagi perjalanan. Alangkah banyaknya perkara yang harus saya pelajari!
|
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |