Kelas Master Eksekutif Mod Cuti Sekolah baharu saja bermula. Selari dengan namanya. lalu semua kuliah diadakan pada musim cuti sekolah sahaja dalam jangkamasa yang lebih singkat berbanding kelas-kelas master aliran perdana. Bermula pada 19-21 Mac, saya mengendalikan kuliah Kaedah Penyelidikan 1 selama 16 jam dalam tempoh tersebut. Selesai kuliah di Bangi pada jam 12.30 tghr, petangnya terbang pula ke Kuching untuk kuliah di Sarawak dan pulang kembali ke Putrajaya pada 23 Mac. Meski suara sudah mulai hilang dan serak-serak basah, syukur alhamdulillah saya masih bisa bangun dan berjalan. Beberapa rakan sudah mulai demam dan lesu. Manakan tidak, kelas yang berlangsung seperti acara marathon sememangnya memakan tenaga yang bukan sedikit. Banyak perdebatan tentang kelas yang dimampatkan ini. Namun saya tidak berminat untuk membicarakannya di sini, sekadar mahu berkongsi rasa bahawa saya kagum sekali dengan semangat jitu yang ditunjukkan semua pelajar! Syabas dan tahniah!!
0 Comments
Apakah makna peperiksaan bagi anda? Adakah peperiksaan bermaksud memuntahkan semula apa yang diingat dalam bentuk penulisan pada kertas berkajang-kajang? Sejauh mana peperiksaan menduga aspek kefahaman dan kemahiran pemikiran beraras tinggi?
Banyak sekali perkara yang hendak dikupas apabila berdebat soal ini. Ala kulli hal .. di UKM, peperiksaan bertulis masih lagi menjadi sebahagian daripada syarat seseorang pelajar melepasi kursus yang diambil. Demam peperiksaan sudah mula melanda kampus semenjak minggu-minggu nan sudah. Saya mengambil kesempatan ini untuk megnucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua pelajar yang mengenali diri ini dengan doa yang diiringi semoga anda semua berjaya dngan cemerlang inshaAllah .. :) Saban tahun, acara ini seringkali menggamit rasa. Mungkin begitu perasaannya apabila menjadi seorang guru. Gembira bukan kepalang melihat kejayaan para pelajar apatah lagi dalam majlis konvokesyen yang istimewa sebegitu rupa. Saya pasti majlis ini menjadi satu kenangan hebat buat setiap pelajar. Manakan tidak, para ibu bapa serta keluarga terdekat, dan tidak terkecuali sahabat handai sanggup meluangkan masa dan datangnya dari segenap pelosok negara hanya untuk meraikan majlis graduasi. Meskipun telah saya ucapkan di Facebook, namun ingin saya ulangi sekali lagi ucapan TAHNIAH dan MABRUUK buat semua pelajar saya - pra mahu pun pasca siswazah. Anda sememangnya layak diraikan sedemikian rupa! Tidak sampai 48 jam .. kegembiraan masih masih bersisa pastinya! Tamat pengajian bukanlah bermakna pengakhiran bagi anda .. namun percayalah ini sebenarnya satu permulaan. Sudah pasti semua yang telah bergraduasi sedang menunggu saat untuk terjun ke bidang pekerjaan atau mungkin mula membina pelamin angan .. hal itu adalah lumrah kerana kitaran hidup secara umumnya begitu. Ramai juga yang saya perhatikan sudah melalui proses temuduga untuk penempatan. Mudah-mudahan sahaja anda dihantar bertugas dengan segera. Mudah-mudahan sahaja lokasinya sesuai dengan jiwa dan semangat guru baru. Sebarang dugaan dan cabaran harus dijangka. Tiada yang mudah dalam hidup! Namun saya ingin menitip sedikit pesanan kecil buat semua serta peringatan buat diri sendiri. Apabila anda semua telah mempunyai segalanya - kerjaya, keluarga, kemewahan dan harta benda .. barang jangan dilupa kepada kedua orang tua kita .. 'wajib' bagi kita menghulur kepada mereka setiap bulan daripada duit gaji hasil titik peluh kita walaupun sedikit. Orang tua tidak pernah meminta .. tetapi percayalah .. walau sedikit cuma yang dihulurkan, ia umpama mutiara yang berharga yang akan dikenang-kenang! Sejujurnya, perasaan bahagia kerana memberi mampu mengatasi segalanya! International Conference on Education and Regional Development atau kependekannya ICERD, telah berlangsung di Universitas Pendidikan Bandung pda 31 Oktober nan lepas. Saya pada awalnya tidak berniat untuk turut serta namun memandangkan seramai empat pelajar sarjana di bawah penyeliaan menyatakan hasrat membentangkan kertas kerja, lalu semangat saya turut tercuit. Rombongan kecil kami hanya sejumlah enam orang. Namun kala menunggu pesawat di KLIA, kiranya lebih 40 peserta ICERD lain turut menjadi penumpang. Meriah!
Universitas Pendidikan Bandung berlokasi di Setiabudi namun kami mengambil keputusan untuk menginap di Hotel Pasar Baru Square di Jalan Otto Iskandar lantaran jaraknya yang hanya memakan masa 2 minit untuk ke Pasar Baru. Bukan niat utama untuk berhabisan wang rupiah, namun memikirkan bahawa kawasan sekitar itu lebih nyaman untuk bersiar-siar berbanding Setiabudi yang agak jauh dari ribut kota serta sukar pula mencari tempat makan yang enak. Sementelah, saya simpati dengan hasrat anak-anak buah yang pastinya mengimpikan telekung serta segala macam hasil jualan di Pasar Baru (alasan!) lalu kiranya piihan kali ini memang tidak mengecewakan. Seminar ICERD yang dijadualkan berlangsung selama sehari setengah akhirnya dipendekkan menjadi acara satu hari. Entah apa penyebab sebenar, hanya pihak urusetia yang lebih mengetahui. Lalu hari kedua yang diperuntukkan untuk seminar harus diisi dengan agenda lain. Syukur kerana supir kami - Fazar sangat baik dan penyabar orangnya. Kami dibawa melawat Farm House serta Floating Market - dua tempat menarik yang belum pernah saya jejaki meskipun pernah dahulunya sampai ke Bandung sekitar tahun 2009. Sempat juga singgah sebentar di Jalan Cihampelas untuk mencari barangan kulit dan malamnya kami mengisi perut kosong di Kampung Daun. Kembara kali ini memang menyeronokkan. Mungkin kerana jumlah kami berenam membuat keadaan gamat dan kadangkala gegak gempita! Alhamdulillah, ala kulli hal .. saya kira ini satu aktiviti yang bermakna bukan sekadar untuk mengisi masa terluang namun yang jelas hubungan bersama supervisee saya yang happening sememangnya semakin erat serta membekas di hati. Tahniah semua di atas usaha yang diberikan untuk menghasilkan makalah, serta semangat yang tinggi untuk membentangkan hasl penulisan masing-masing dalam persembahan yang terbaik!!! I am really proud of you - Ila, Nad, Syaida, Fiqah! Good job! Terima kasih kasih juga buat En Yusoff selaku 'pengawas' rombongan yang sporting hehehe .. Ingatan indah ini akan saya kenang selamanya! 12 Oktober 2016. Telah beberapa hari berlalu namun baru saya temukan sedikit waktu untuk menulis tentangnya di sini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kali ini merupakan kali ke-4 Fakutli Pendidikan menjayakan Hari Inovasi sebagai acara tahunan. Namun majlis pada tahun ini agak istimewa kerana diadakan di lokasi luar fakulti - DTAMS .. err seberang jalan sahaja sebenarnya :) Selain pertandingan poster penyelidikan dan e-Inovasi, pengisian baharu pada tahun ini adalah Bicara Inovasi yang menampilkan 10 pakar fakulti yang berbicara tentang topik pelbagai. Alhamdulillah dengan masa yang terkejar-kejar saya sempat menghantar dua poster serta satu video multimedia. Tiga pelajar masters saya turut sama mengambil bahagian dengan menghantar poster masing-masing .. good job Ila, Fiqah dan Syaida! I am so proud of you! Alhamdulillah atas pulangan yang saya pasti datangnya daripada-Nya jua .. Alhamdulillah ala kulli hal .. meski hidup berantakan mengejar hari dan tugasan, semua yang dirancang berhasil dilangsaikan meski masih ada cacat cela yang harus diperbaiki dari masa ke semasa. Namun, tanpa langkah kecil dan usaha awal, setiap impian tidak akan dapat direalisasikan. Alhamdulilah, setinggi-tinggi syukur dirafa'kan buat-Nya kerana memberi ruang dan kekuatan untuk sama-sama menyelesaikan impian pihak fakulti khususnya dan UKm amnya untuk melihat lebih banyak kursus ditawarkan dalam bentuk Massive Open Online Courses (MOOCs). Bermula sekitar May tahun ini, saya dipertanggungjawabkan mengepalai gerakerja penghasilan kursus MOOC dalam kalangan pensyarah di fakulti yang dilancarkan di bawah Jawatankuasa Global Online Learning atau PENDETA FPend di mana saya bertindak sebagai pengerusi. Melalui gerakerja ini, perancangan telah dibuat bersama beberapa rakan pensyarah lain yang turut sama menjadi orang kuat memberi sokongan teknikal kepada semua pensyarah terlibat. Beberapa siri bengkel dijalankan secara berkala, meskipun kehadiran tidak semuanya penuh kerana komitmen pensyarah yang pelbagai di sana-sini. Semalam adalah hari yang dinanti. Semalam merupakan hari di mana Majlis Menandatangani MOA antara UKM dan Open Learning Malaysia telah dijalankan di Bilik Senat Universiti. Serentak dengan itu juga, berlangsung acara penyampaian sijil kepada semua pembangun MOOC serta hadiah kepada tujuh kursus MOOC terbaik. Tempat Pertama, Kedua dan Ketiga, serta empat Saguhati. Masing-masing membawa pulang sijil serta wang tunai mengikut kadar tersendiri.
Sekalung tahniah diucapkan kepada kursus2 yang berjaya mendapat tempat pertama,kedua dan ketiga serta pemenang saguhati. Kursus Inovasi dan Teknologi dalam P&P hasil air tangan saya serta rakan-rakan: En Md Yusoff Daud, Mejar mohd Jasmy Abd Rahman dan Cik Mazalah terpilih antara salah satu penerima hadiah Saguhati .. alhamdulillah atas pengiktirafan ini :) Sokongan daripada pihak kedekanan serta dokongan daripada pihak PPTP pastinya juga tidak dilupakan .. semoga Allah memberi lebih nikmat dan kebahagiaan buat semua .. ameen ya rab! International University Carnival on e-Learning 2016 akhirnya berlalu jua. Tahun ini, saya menghantar satu penyertaan bersama dua pelajar Sarjana - Syaida dan Afiqah tentang Hybrid CoP untuk Penyeliaan Berkesan. Satu lagi penyertaan saya adalah bersama PM Dr Rosseni Din tentang Edutechnovation Day yang berkisar tentang perjalanan kursus Teknologi Pendidikan yang kami sama-sama pimpin pada semester yang lepas. Seperti juga tahun sebelumnya, saya turut bertugas sebagai juri pertandingan IIDEL. Alhamdulillah, persembahan oleh setiap peserta sememangnya menarik dan memberi nafas baharu dalam inovasi P&P. Namun demikian, secara umumnya, masih ada beberapa perkara yang boleh ditambahbaik dalam persembahan kepada juri. Misalnya, penerangan yang terus kepada info utama tanpa meleret-leret seperti menyampaikan sorotan literatur (perkara ini banyak terjadi dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelajar Sarjana dan Phd). Selain itu, kurang keyakinan dalam memberi jawapan kepada soalan-soalan menduga yang diutarakan. Kebanyakan peserta yang saya nilai juga tidak dapat membuktikan bagaimana hasil inovasi mereka dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam P&P. Hal ini terjadi kerana mereka banyak terikut-ikut dengan struktur penulisan dalam penyelidikan mungkin - walhal dalam pertandingan inovasi, yang penting adalah para peserta perlu menonjolkan kelebihan inovasi/intervensi mereka yang dapat 'mengubah' masalah atau kekurangan semasa agar menjadi lebih baik. Saya sendiri dinilai oleh dua juri masing-masing daripada UniMAP dan Taylor's University. Alhamdulillah, akhirnya pingat emas menjadi milik kami. Syukurlah di atas segala nikmat dan redhaNya :) Di IUCEL ini juga saya mengambil peluang mencari sahabat-sahabat lama. Seperti sudah diduga saya past bertemu lagi dengan Dr Lee kenalan saya dari UMS, Zac - orang kuat IUCEL dan juga penerima Anugerah e-Pembelajaran (tahniah Zac!) serta Dr Wan dari UPM yang turut menggondol Anugerah e-Pembelajaran bagi kategori bahan Kreatif (tahniah!). Tanpa dirancang saya turut bertemu dengan Dr Dij, sahabat yang pernah saya kenali di Nottingham. Agak panjang kami berbicara tentang pelbagai perkara. Saya turut mengambil kesempatan bertemu dengan Hasnor, sahabat lama yang kini bertugas di Skudai sebagai pendidik. Sungguh manis kenangan itu! Kembali ke fakulti, banyak perkara yang belum langsai menanti. Seminar Siswazah pada hujung minggu pula menuntut saya menghabiskan pembacaan usulan penyelidikan salah seorang pelajar PhD. Beberapa artikel juga menunggu untuk disiapkan. Pendaftaran kelas citra Komputer dalam Pendidikan juga begitu rancak dilakukan oleh para pelajar dari luar fakulti. Duh! Masa yang tidak pernah simpati!
Esok juga, ipar saya bakal kembali dari Baitullahil Haram. Seperti baru beberapa minggu beliau berpergian, rupanya esok sudah mahu kembali. Begitulah. Kitaran masa yang terlalu pantas untuk manusia kerdil yang punya banyak impian untuk diterjemahkan!! Menuju puncak .. gemilang cahaya .. eh tapi bukan akademi fantasia punya cerita .. ini Akademia Nyata!
Alhamdulillah ala kulli hal .. dua pelajar Sarjana saya dalam program Sumber dan Teknologi Maklumat telah berjaya menyempurnakan penyelidikan dan seterusnya menyiapkan Bab 1 hingga 5 dengan jayanya. Tahniah Nadirah dan Afiqah! Kedua2nya graduan UTM Skudai, datang ke UKM dan kebetulan pula sama-sama di bawah penyelia yang sama :) Saya kira kedua2nya punya banyak cerita yang boleh dikongsi .. suka-duka dan jerih-perih yang dilalui pasti menjadi kenangan abadi sebagai seorang mahasiswa sarjana. Gambar di bawah diabadikan sempena hari pembentangan kertas projek 2 baru-baru ini. Sesungguhnya. proses penulisan tidak akan semudah ABC - justeru, banyak lekok dan persinggahan (serta kadang-kadang memerlukan U-turn dibuat) .. namun saya bangga dengan pencapaian keduanya kerana tidak pernah merungut dengan permintaan saya untuk menambah, mengurang di sana sini. Semoga Allah memberkati hidup kalian berdua - Nadirah dan Afiqah. Nantikan foto berjubah oren pula November nanti :) Selain ResearchGate, saya juga pengguna Academia di mana setiap bahan penulisan saya kongsikan pada laman tersebut. Saya pernah menulis tentang bagaimana Academia membekalkan analytic data bagi membolehkan kita melihat pola pencarian terhadap bahan-bahan yang dimuatnaik ke laman milik masing-masing. Misalnya, artikel yang paling kerap dimuatturun, kata kunci yang digunapakai sehingga membawa kepada laman Academia, serta maklumat negara pengguna. Petang tadi, saya sedikit terpinga-pinga kerana tiba-tiba inbox didatangi mesej yang yang agak banyak - sekitar 56 (dalam foto di bawah angka tersebut kini tinggal 46 kerana sebahagiannya telah saya baca lalu secara automatik mesej itu dianggap 'read'). Bermakna masih tinggal 46 unread messages dalam kantung inbox saya di Academia. Jarang sekali saya menerima lambakan mesej sebegini banyak dalam tempoh yang singkat. Kebiasaannya, dalam sebulan, saya menerima sekitar 2 atau 3 mesej yang kadangkala meminta khidmat bantuan serta salinan soal selidik atau soalan temubual yang digunapakai dalam mana-mana artikel penerbitan saya. Setelah membuat sedikit penelitian, rupanya mesej yang masuk memuatkan maklumat yang dibekalkan pengguna yang pernah memuatrurun artikel-artikel saya tentang tujuan mereka berbuat demikian. Saya tidak pernah tahu yang Academia turut membekalkan maklumat sebegini kerana sejak sekian lama saya tidak memuatturun sebarang artikel di laman ini. Misalnya di bawah: Saya kita ini satu perkara baharu yang memberi kejutan kepada pengguna Academia lain. Saya perlu meneliti keseluruhan mesej ini jika ada kelapangan nanti.
Selamat malam dan salam permisi :) |
Archives
May 2023
Categories
All
|
Connect with me:Department of Learning and Teaching Innovations Faculty of Education Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor MALAYSIA |
Site map: GE1155 Computer in Education GE2153 Educational Technology GE3404 Photography GA2123 Innovation & Technology in Teaching and Learning GB6013 Research Methods 1 GB6663 Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer GE6433 Seminar Aliran Terkini dalam Pengajaran Sumber dan Teknologi Maklumat GE6543 Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Research Support e-Learning Support Publication Supervision Awards When My Mind Speaks Guestbook |